Masalah duduk menyewa (bujang)

Assalammualaikum. Apa khabar? Moga sihat dan bahagia hendaknya. Yuk, biasakan diri mengukir senyuman. Moga dapat memberi kegembiraan kepada mata-mata yang memandang. Hati pun senang, bukan? Kalau senyum paksa yang penuh dengan kepura-puraan?  Tepuk dada, tanya isi hati.


Foto : Sekadar gambar hiasan.
Baru-baru ini, Muthiah berbual dengan seorang teman. Perihal rumah sewa yang merangkumi permasalahan di rumah sewa (bagi mereka yang masih bujang).  

Jom duduk sekejap... kita ingat-ingat semula. Masalah apa yang biasa berlaku ketika duduk di rumah sewa?

  • Teman serumah tidak membayar sewa rumah tepat pada masanya. 

Foto : Sekadar gambar hiasan.

Yang pening kepala, orang yang bertanggungjawab untuk meminta duit sewa rumah dan menyerahkan kepada tuan rumah. Dia yang kena tadah telinga. Dia juga yang perlu menjelaskan sebab dan alasan.

Hmm... 

Bagi yang punya masalah kewangan (gaji masuk lewat contohnya), bolehlah dimaafkan. Namun bagi yang sengaja sambalewa, amatlah menyedihkan. Bagi  yang ada duit tetapi menggunakannya untuk berfoya-foya, lagi parah.

Ingatlah... tidak rugi mempermudah urusan orang lain. Insya-ALLAH, ALLAH akan mempermudah urusan kita.

  • Orang guna barang kita tanpa kebenaran (makanan, alatan mandi, alatan membasuh dll).
Foto : Sekadar gambar hiasan.


Contoh makanan yang selalu kena pau sewaktu berada di rumah sewa ialah maggi dan telur. Kalau alatan mandi pula, Muthiah kira tuan punya barang tidaklah kisah sangat kalau kita hendak guna sabun mandi dia. Akan tetapi, kalau guna pencuci muka yang harganya RM30.00 (sekadar contoh), syampu yang berharga RM20.00... guna pula macam barang kepunyaan sendiri... tidak sampai satu bulan. Habis. Bulan pertama, tuan punya barang mungkin boleh buat-buat tidak nampak (sedekah sahaja). Namun sekiranya berbulan-bulan begitu, tidak ramai yang boleh bersabar. Tambahan pula, tuan punya barang pun tidaklah berduit mana. Dia sendiri pun membuat penjimatan terhebat.

  • Susah hendak bayar segala jenis bil di rumah.
Foto : Sekadar gambar hiasan.


Elektrik... api... semua mahu pakai tetapi apabila sampai bil, liat hendak bayar sama rata. Macam-macam alasan diberikan. 

Sekadar perkongsian pengalaman...

Dahulu, rumah sewa Muthiah ada telefon (fix line). Masalah timbul apabila bil sampai, ada yang tidak mahu mengaku. Guna pandai, bayar tidak reti (mak oi, kasarnya). Bukannya sedikit. Akhirnya, semua kena bayar. Perasaan waktu itu? Marah... sakit hati... kecewa. Kita pun, bukannya punya banyak wang. Sama-sama belajar. Sama-sama dapat biasiswa/ pinjaman. Apabila ada yang tidak bertanggungjawab begini, semua akan menanggung akibatnya. Moga-moga, kita tidak tergolong dalam lingkungan manusia yang sebegitu, insya-ALLAH.


  • Pinjam barang kita, tidak gunakan dengan baik sampai rosak. Paling parah, ada yang buat harta sendiri terus. Pun parah... sudahlah pinjam, tidak beritahu pula.
Foto : Sekadar gambar hiasan.


Oleh sebab masing-masing tidak mahu berpakat beli barang asas rumah, kita pun dengan sukarela (bukan sukahati) membelinya. Pindah nanti, boleh angkat sekali. Namun sayang, beli iron tidak sampai sebulan... rosak. Sebabnya, orang terakhir guna letak atas plastik. Jadi, macam mana? Hendak beli... pakai seorang diri... simpan dalam almari, macam melampau sangat. Akan tetapi apabila tidak berkira, orang lain tidak peka. Tidak banyak orang yang menjaga barang orang lain macam barang dia sendiri.


  • Tidak mahu jaga kebersihan.


Satu bilik, kongsi dua orang. Apa perasaan kita kalau rakan sebilik kita itu tidak suka mengemas tempat tidur? Bajunya pula berlonggok di tepi katil. Di dapur... masing-masing mahu guna pinggan, gelas dan cawan. Masak maggi. Makan nasi. Buat air tetapi pinggan dan gelas tidak mahu basuh. Sampah di dalam tong? Hmm... selagi tidak berbau atau berulat, tidak ada siapa yang mahu membuangnya. Sakit jiwa raga juga dibuatnya.  Jadi, jalan yang paling baik ialah dengan membuat jadual. 

  • Jadual sapu sampah.
  • Jadual buang sampah.
  • Kalau ada jadual memasak lagi bagus.
  • Jadual blablabla...

Namun!

Masalah lain timbul pula. Jadual tidak diikuti. Jadi? Ah! Stres tahap lima.


  • Bawa lelaki (bukan muhrim ke dalam rumah).

Foto : Sekadar gambar hiasan.

Satu barah juga. Semuanya bergantung pada iman dalam diri. Ada iman, terhindarlah maksiat. Iman melayang, maruah pun tergadai, Nauzubillah.

Teringat pula Muthiah akan satu kisah sewaktu Muthiah bekerja sambilan sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan SPM. Muthiah bekerja pun saja-saja, di samping untuk belanja yuran kelas komputer. Hendak dijadikan cerita, Abang D (seorang pemain bola sepak) telah ditangkap khalwat. Riuh juga satu Malaysia ketika itu. 

Abang D yang Muthiah kenal, sangat baik. Semacam tidak percaya. Muthiah yakin Abang D tidak bersalah!

Sewaktu Abang D datang membeli barang di kedai (tempat Muthiah bekerja), sahabat Muthiah, Kak N bertanya kepadanya tentang apa yang berlaku.

"Bukan Abang D. Polan tu yang buat balik betina di rumah. Betina tu bawa kawan dia pula. Abang D tengah tidur dalam bilik. Tak sedar pun bila dia bawa masuk mereka. Polan tu, dengan awek dia duduk dalam bilik lain. Kawan awek dia, tidur dekat ruang tamu..." beritahu Abang D panjang lebar.

Muthiah dan Kak N mengangguk-angguk.

"Dah tu, tak akan Abang D biarkan saja?" soal Kak N sungguh-sungguh.

Abang D menghembus nafas perlahan.

"Itulah. Mujur tunang Abang D percayakan Abang D. Abang D cakap dekat pegawai pejabat agama tu. Abang D tak bersalah. Dia cakap, sebab duduk sebumbung, Abang D kira bersubahat. Abang D pun balas, kalau macam tu, tangkap semua oranglah dalam flat ni. Kita semua kan duduk sebumbung."

Muthiah dan Kak N terkesima. Namun kemudian, kami semua sama-sama tertawa. 

Apa lagi ya? 

  • ______________
  • ______________
  • ______________

Muthiah... tidaklah sampai mengalami pengalaman 'terlampau parah' ketika duduk di rumah sewa.

  • Paling teruk, rakan sebilik merokok. Aduh.
  • Parah juga, duit selalu hilang.
  • Yang tidak menyenangkan hati, kena marah dan tengking. 

Namun apabila difikir balik...

Inilah kehidupan. Cabaran dalam hidup menjadikan kita lebih kental. Hendak tidak hendak, kita terpaksa berusaha keras mendepaninya. Tanpa sedar, menjadikan kita lebih akrab dengan TUHAN. 

Okey. Moga dapat mengambil manfaat daripadanya.
Labels: | edit post
0 Responses