Mencari Naurah (Bab 76)

Novel | Mencari Naurah





“Alhamdulillah, Natasha selamat. Kandungan juga selamat,” Dr. Rashidah memaklumkan.

“Walaupun isteri Asyraf telah kehilangan banyak darah, Tuhan masih mahu mereka menghirup udara-Nya,” tambahnya lagi. Tanpa menghiraukan doktor yang berada di hadapannya, Asyraf segera bersujud syukur. Tidak ada yang mustahil bagi Allah. Kemudian, ia bangun mendapatkanku yang sedang berbaring di atas katil.

“Cuma, Natasha perlu kami tahan di dalam wad sehinggalah keadaannya benar-benar stabil,” ia memandang Asyraf yang tidak berkelip merenungku.

“Isteri Asyraf ada mengalami sebarang tekanan?”Kali ini, Dr. Rashidah tampak lebih serius.

“Hmmm... setahu saya tidak ada,” Asyraf segera menoleh ke arah doktor muda tersebut. Dahinya berkerut.

“Kenapa?” Mata suamiku membulat.

“Hello, Sayang,” kedengaran suara Datin Khatty memberi ‘salam’. Dr. Rashidah segera beredar sebelum sempat menjawab pertanyaan Asyraf.

“Apa khabar, menantu Mama?” soalnya lembut. Aku hanya diam.

“Alhamdulillah. Semua O.K.. Berkat doa Mama juga. Terima kasih, Ma,” ujar Asyraf perlahan. Terkedu... Air mataku mengalir perlahan.

“Jangan menangis, Sayang. Nanti sakit semakin teruk.” Air mataku disapu dengan tangannya yang cukup lembut.

“Mama duduk dahulu, Asyraf hendak solat sekejap.” Asyraf segera beredar meninggalkan aku bersama dengan mamanya.

“Aku ingat kau sudah mati. Hidup lagi rupanya,” bisik Datin Khatty perlahan. Aku tetap membatu. Tidak sanggup untuk membuka mata.

“Kalau kau mengadu pada Asyraf, siap kau,” tambahnya lagi. Aku masih membisu. Tidak berani untuk memandang wajahnya. Aku tidak sanggup melihat sosok manusia yang ingin membunuh aku dan juga zuriatku...

~ bersambung

Nota : Di atas adalah karya asal sebelum disunting untuk penambahbaikan.
0 Responses