Berkongsi rezeki

Assalammualaikum, semua. Apa khabar? Muthiah... Alhamdulillah. Sihat. Masih dalam misi ingin menurunkan berat badan bagi mendapatkan berat badan idaman. Haha... Apa yang Muthiah buat? Muthiah cuba konsisten walking outdoor. Cuba dapatkan 10000 langkah sehari. Selain tu, Muthiah cuba jaga kalori defisit. Yang ni susah sikit sebab Muthiah hantu makan. 

Apa macam... banyak sektor ekonomi dah buka. KL, Selangor dan


Putrajaya pun dah boleh rentas. Setakat ni, Muthiah masih mengambil langkah berjaga-jaga. Kalau brisk walk pun... di tempat yang terbuka dan luas. Tidak terlalu banyak orang juga. Mall pun Muthiah tak masuk lagi. Hanya pergi ke premis tertentu atas urusan yang betul-betul perlu, insya-Allah. Ziarah? Pun belum buat... 

Nak bebel apa hari ni? Lagi... ingat balik pasal kematian yang pasti. Apa persediaan kita ya? Selain cuba islah diri untuk menjadi lebih baik... baik dalam tutur bicara, baik dalam akhlak, baik dalam segala aspek. Apa yang boleh kita buat untuk menjadikan diri yang terbaik di sisi Allah? 

Takwa... tahu apa itu takwa? Takwa ni, bahasa mudah dia takut. Takut menjerumus diri kepada sesuatu yang Allah murka. Bila Allah murka, dapat dosa. Kalau tak sempat taubat, takut jauh dari syurga. Jadi, macam mana nak depani 'takut' ni? Kalau kita nampak harimau, kita takut, kita lari sekuatnya dan menyorok takut dilihat harimau. Kita lari sebab takut dibaham harimau. Kalau takut  Allah? Ya. Takutkan Allah... kita tak lari tapi kita semakin mendekat. Kita perlu berusaha untuk mengakrabkan diri dengan-Nya. Dekat agar sentiasa diberi petunjuk dan jalan... dekat agar diampunkan dosa... dekat dan dekat. Bila kita takut... kita akan berjalan di atas muka bumi ni dengan penuh hati-hati. Kita takut tergelincir... takut terpijak duri...  takut salah... takut silap... Noktah.

Hmm... sebenarnya, plan asal nak bercakap pasalberkongsi rezeki. Tidak kira lah kita nak panggil apa tang kongsi rezeki ni. Infak ka, zakat ka, bagi hadiah ka, sedekah dan apa-apa lah yang bersangkutan dengannya. Tujuannya sama. Kongsi sesuatu yang kita ada. Lagipun, rezeki tu hakikatnya daripada Allah jua. Kita ni wasilah jer.


Mula-mula, berkongsi rezeki dengan orang yang paling dekat dengan kita iaitu ahli keluarga dan saudara mara. Kemudian, tengoklah jiran tetangga yang kita biasa selisih bahu dengan mereka. Siapa lagi? Kawan-kawan kita... dengan harapan, melalui perkongsian rezeki tu dapat merapatkan hubungan dan ukhuwah antara kita dengan jiran, sahabat dll. Lagi... orang di hadapan mata kita. Macam abang guard ka... akak cleaner ka... Ada lebih... boleh perluas lagi perkongsian rezeki kita. Oh ya. Jangan dilupa haiwan jalanan yang berhak berkongsi rezeki dengan kita juga.

Kita pun mendedeh tiap-tiap bulan, nak berkongsi rezeki macam mana? Kongsilah apa yang kita mampu. Apa yang kita ada. Ada kisah tentang infak di jalan Allah dalam perang Tabuk yang agak menarik tapi Muthiah macam malas sikit nak tulis tentang sirah hari ni. Nanti boleh rujuk ya. Berbalik pasal berkongsi rezeki dalam keadaan kita pun tak cukup...

Kita jumpa budak-budak main depan rumah, kita bagi ais krim singgit sebatang pun kira kongsi rezeki dah. Kita masak lebih dan kongsi dengan jiran tetangga pun dah dikira kongsi rezeki jugak. Kita bagi hadiah pada kawan-kawan kita pun kira kongsi rezeki. Jadi, berkongsilah semampu dan seadanya. Kalau tak mampu juga? Buat baik... jadi baik.. insya-Allah pasti ada ganjarannya.

Oh ya. Sebelum Muthiah lupa... Jangan dilupa... niatkan perkongsian rezeki itu kerana Allah. Moga dengan kebaikan itu akan membawa kita ke syurga-Nya, insya-Allah. Kalau terdetik rasa bangga atau riak dan yang seangkatan dengannya... istighfar dan terus jalan. Takut rasa itu menyebabkan kita terhenti membuat kebaikan. Kita ni manusia lemah... kita ada Allah untuk memohon keampunan dan petunjuk. 

Apa kebaikan berkongsi rezeki? 

Satu... tentunya kita dapat mendekatkan diri dengan Allah. Kedekatan ni secara tak langsung akan membentuk takwa.

Dua... dapat membersihkan harta kita. Sekali lagi, ingatkan diri sendiri. Kita buat kerana Allah.

Tiga... dapat membersihkan jiwa. Ingatkan diri. Semua yang kita ada ni, hakikatnya Allah yang bagi. Kita usaha tapi Allah yang menentukan rezeki kita di sini.

Empat... dapat merapatkan hubungan sesama manusia. Sambil rapatkan hubungan, dapat juga kita berdakwah. Macam mana tu? Buat baik. Ajak orang buat baik melalui tindakan kita yang buat baik. Dakwah lah tu. 

Lima... Allah akan balas kebaikan kita tu berlipat kali ganda. Tak dapat di dunia, yakinlah kita akan dapat di akhirat. Mana tahu... sedekah kita itu yang menghalang kaki kita daripada masuk ke dalam api neraka. 

Enam.. masuk ke dalam syurga Allah. Matlamat akhir hidup seorang manusia yang bergelar hamba ialah masuk ke dalam syurga Allah. Kita tak akan bersedia untuk masuk neraka. Api dunia pun menggerunkan... apatah lagi azab api neraka. Moga diri kita, keluarga, orang yang kita sayang, semua Muslim yang baik dijauhkan azab Allah yang menyakitkan.

Okey. Terlebih merapu. Yang baik. Ambil. Cuba buat sedayanya. Yang tak baik, jadikan iktibar. Bye.

Suka vs Benci

Assalammualaikum. Salam Jumaat penuh barkah. Buat apa hari ni? Muthiah... Awal pagi... Muthiah dan suami briskwalk di sekitar rumah dalam 1 hingga 1 jam 30 minit (sebelum suami masuk kerja). Balik rumah, kelaparan... goreng mi. Adeh. Setengah bungkus mi goreng, kami habiskan semua. Rezeki, Alhamdulillah cuma 'nak kurus' fail lah.  Mi goreng + basah ni memang tinggi kalorinya. Bukan tak tahu. Oleh sebab Muthiah bangun agak awal pagi ni (biasanya 20 minit sebelum Subuh), hari ni sejam awal pulak. Jadi, dalam jam 11 tengah hari tu mengantuk pulak. Apa lagi.... Zzzzzzz lah. 


Okey. Nak bebel apa? Tentang rasa... mungkin. Rasa ni kan... kita tak boleh tipu kan. Kita tak boleh tipu rasa suka atau rasa benci. Benci ni macam berat sangat... rasa tak suka soft sikit kot (hakikatnya sama je). Kita boleh kata 'I Love You' tapi hati kita macam mana? Kita tak boleh paksa orang sayang kita sebagaimana kita saya orang tu... walau siapa pun dia kan? Ke... macam mana?

Pernah tak kita tak kenal akrab seseorang tetapi kita suka dia? Maybe sebab dia baik... dia cantik... dia cerdik... pandai ambil hati...  menyenangkan. Kata-kata yang keluar dari mulut dia... yang baik-baik aja. Cakap pun tak 'menyengkit' bak kata orang Ganu. Untung kan menjadi seseorang yang disukai dan disenangi oleh orang sekeliling. 

Macam mana nak jadi orang yang disenangi? Cukup ke jadi baik je? Cukup je dan boleh jadi tak memadai. Sebab bukan kita yang pegang hati manusia. Kita rasa kita dah buat baik... dah cukup baik tapi tak semestinya baik dan menyenangkan hati bagi orang lain. Nak-nak bila berbuat baik dengan orang yang tak suka kita. Buat baik pun nampak buruk je di mata. Lagipun, hati manusia ni kan tak terjangka. Ada putih. Ada hitam. Ada kelabu asap. Kadang iman di atas. Kadang iman di bawah. Siapa? Kita dan semua-semua lah.  

Jadi, macam mana? Cukuplah Allah segalanya. Teruskan berbuat baik... Betulkan niat dalam kebaikan yang dibuat kerana Allah... Kemudian, serahkan segalanya pada penghitungan Allah. Yakin dengan keadilan dan kesaksamaan Allah. Jalan terus. Jalani kehidupan dengan tenang dan bahagia. Kitalah yang buat pilihan.

Kontra bagi suka ialah benci. Pernah tak rasa tak suka atau benci seseorang? Muthiah... ada. Bohonglah kalau Muthiah cakap tak ada kan? Tapi tak ada lah sampai tahap membenci. Istilah benci tu agak berat bagi Muthiah. Biasanya... apabila berdepan dengan sesuatu yang Muthiah tak suka... Muthiah avoid je orang atau keadaan tu. Lazimnya... jika sesuatu yang tak menyenangkan hati berlaku berulang-ulang... Muthiah akan 'buang' entiti yang tak menyenangkan tu dari kamus hidup. Maksudnya, Muthiah ignore je keberadaan dia. Dia ada atau tak ada, Muthiah tak ambil peduli. Pun begitu, tak ada lah sampai memutuskan hubungan. Kalau jumpa, tegur. Ada keperluan, bercakap. Selisih bahu, senyum. Cuma Muthiah tak cakna aja lah. Iyalah. Sebagai manusia, khilaf dan lemah itu biasa. Cacat Muthiah ada di sini... bukan tidak tahu yang rasa macam ni memudaratkan jiwa. Cuma bila teringat sesuatu yang tak disukai tu... istighfar balik... muhasabah diri balik... serah segala penghitungan pada Allah.

Berbalik kepada persoalan benci atau tak suka. Kenapa kita tak suka orang ya? Orang tu fitnah kita? Syak wasangka pada kita? Mengata kita... kita tahu pula tu apa yang diperkata. Orang tu pemalas... pengotor? Orang tu lebih cantik, kaya, pandai, beruntung dan bahagia daripada kita? Kita dengki ke tu? Kalau dengki, kenapa kita nak dengki? Dia ada tetapi kita tak ada? Atau sebab kita rasa orang tu cukup sempurna... dah lah cantik... baik... penyabar? Kita pulak, dah lah buruk, mulut puaka, kedekut lagi. Atau kita pun tak tahu kenapa kita tak suka dia... rasa tak suka tu hadir tiba-tiba tanpa sebab. Mungkin cemburu yang kita tak sedar atau akui? Mungkin lah... mungkin ya dan mungkin tidak. Jadi, macam mana?

Istighfar... mohon ampun kepada Allah. Moga dipelihara hati dari titik-titik hitam. Mula-mula, ada satu je titik hitam. Lepas tu, jadi dua. Lepas tu, ganda dua jadi empat. Lama-lama, penuh hati dengan titik hitam sampai susah cahaya nak masuk. Kebencian menguasai diri. Bila benci, macam-macam boleh jadi. Rasa menyampah nak tengok. Silap hari bulan, kebencian terlihat dengan tindakan dan kelakuan. Paling parah... benci itu meranap hubungan persaudaraan. Ni... Muthiah ingatkan diri Muthiah lah. Kalau nak ambil, boleh ambil. 

Doa... doa ni senjata mukmin. Kita ni... nak angkat jari kelingking pun tak akan mampu tanpa izin Allah. Jadi, berdoalah sentiasa. Moga dijagai jiwa dan hati kita. Moga dihindari sifat-sifat keji dan cela yang Allah benci. Doalah agar kita menjadi manusia yang lapang hatinya... mudah minta maaf dan beri maaf. Doa agar Allah memasukkan rasa sayang dalam jiwa kita kepada setiap makhluk Allah yang mencintai Dia. 

Ingat mati... sebenarnya... bila ingat mati... kita pun tak sempat nak rasa benci atau kecik hati atau tak suka pada orang lain. Tak sempat nak sentap. Sebab kita tahu kita dan dia akan mati. Kita dan dia akan dihisab Tuhan. Sebesar zarah pun Allah tak tertinggal dalam membuat penghitungan. Jadi, bila ada je rasa yang tak best tu... istighfar + doa + ingat mati. Memang... hati dan rasa ni, mana boleh dipaksa. Mana boleh nak paksa untuk rasa suka atau buang rasa tak suka ni tapi tu lah... kembali pada Allah. Kembali mohon pada Allah. Semat dalam jiwa... 'aku nak jadi paling baik di sisi Allah'. 

Buat baik... buat baik ni... nak cakap senang pun ya. Nak kata susah pun ya. Semua akan berbalik pada hati. Hati yang baik... tenang... dekat dengan Allah... insya-Allah akan melorong kita kepada kebaikan. Jadi... mudahlah nak buat baik. Buat baik... apa yang Allah suka dan manusia suka. Cakap yang baik. Dengar yang baik. Fikir yang baik. Kalau dah terfikir yang tak baik tu... koreksi diri semula.... 

JOM SEBARKAN CINTA DAN HINDARI KEBENCIAN...

Istighfar

Assalammualaikum. Mulakan harimu dengan senyuman. Apa khabar? Muthiah...

Alhamdulillah, sihat dan baik-baik sahaja. 

Alhamdulillah... semalam selesai buat serahan bakul makanan sumbangan brother dermawan dari Subang Bestari kepada 7 penerima layak di Putrajaya. Moga brother berkenaan diberi kesihatan yang baik, dilimpahi rezeki berganda dan masuk syurga, insya-Allah. Kebetulan, ada permohonan daripada pihak surau dan juga orang persendirian. 

Alhamdulillah. Makan pakai pun cukup setakat ni. Semua perancangan dan perjalanan hidup berjalan lancar.

Okey. Nak bebel apa hari ni? Lately... Muthiah asyik terfikir pasal kematian. Iyalah. Hari-hari ada kes kematian akibat Covid-19. Kita ni, confirm akan mati. Tak boleh cepatkan. Tak boleh nak lambatkan. Bila kita dah hilang nyawa, memang kita tak boleh buat apa dah. Kita tunggu untuk dihisab lah. Kemudian, kita dimasukkan ke dalam liang lahat. Memang tak ada teman lah. Kiri kanan tanah. Silap hari bulan, ada macam-macam binatang. Ulat semua bagai tu. Tak lama lepas tu, malaikat datang. Kita boleh tak jawab soalan yang diajukan? Bersediakah kita untuk berada di alam barzah? Nanti... bila lalu titian Siratul Mustakim... laju ke perlahan langkah tu? Akan dapat sampai ke syurga ke atau jatuh kat tengah-tengah tu. TAKUT...

Muhasabah diri balik... 

Solat... ada kusyuk, ada tak. Ada cepat, ada lewat. Ada solat berjemaah, ada solat bersendirian.

Mulut.. ada cakap benda Allah tak suka tak? Ada buat sakit hati orang dengan kata-kata di bibir @ mata pena? Ada mengumpat @ mengata @ memfitnah? 

Amanah... buat dengan  baik tak?

Hati? Bersih ka kotor? Ada dendam @ tak lapang dada? Ada tak move on dengan sesuatu yang menghiris hati? Ada benci tak dengan makhluk Allah yang lain? Allah pun Maha Pengasih lagi Maha Mengasihani. Kita ni siapa ha susah sangat nak beri maaf?

Amal? Kerana Allah atau siapa? Ada riak atau ujub tak? Nak kan pujian? 


Banyak lagi benda yang boleh dimuhasabah tapi cukup ni dulu. Jadi, macam mana? Bersediakah nak hadapi mati?


Apa yang boleh diharapkan ialah kasih sayang Allah yang menghindar kita dari azab kubur dan azab api neraka. Ya. Kasih sayang Allah. Macam mana nak dapatkan kasih sayang Allah? Kalau dengan manusia, bila kita harapkan manusia tu cinta/ kasih kita... belum tentu mereka akan kasih/ cinta kita. Cinta dan kasih mana boleh dipaksa. Tapi Allah... mohonlah. Pasti tidak kecewa. Tapi... sejauh mana kita meletakkan pengharapan pada kasih dan cinta Allah?

Kita harapkan... Muthiah lah tu... harapkan Allah cinta dan sayang... harapkan ditunjuki jalan yang Allah paling sukai... harap sentiasa berada di bawah naungan Allah... Allah peringatkan bila leka dan alpa. Moga pengakhiran hidup kita adalah pengakhiran yang paling baik di sisi Allah. Moga moga moga...


Selain cuba jadi hamba Allah yang taat dan patuh pada perintahnya... solat pada awal waktu, perbanyakkan bersedekah, bercakap, buat dan melihat yang baik-baik... dan banya lagi lah benda baik yang boleh dibuat, JOM kita sama-sama amalkan beristighfar yakni mohon ampun kepada Allah. Mohon ampun atas salah dan silap. Mohon ampun atas khilaf dan apa sahaja yang buatkan Allah murka. 

JOM.... cuba lazimi diri beristighfar. Basahkan bibir dengan istighfar. Muthiah cuba.. tapi tak istiqamah. Jadi, apa Muthiah buat? Bila ingat je... istighfar. Bila terdetik je, istighfar. Rasa buat dosa atau tak buat dosa, istighfar. Moga usaha kita yang kecil ni diangkat setinggi-tingginya oleh Allah. Moga usaha kita dapat membawa kita ke syurga, insya-Allah.

Okey. Nak masak. Bye.


Syak Wasangka

Assalammualaikum. Mulakan hari dengan senyuman. Lama tidak bercoret di sini. Ada je ni ha. Aktiviti harian berlangsung seperti biasa. Aktif di MedSoc macam biasa. Sekarang, terjebak dengan 'bihun viral' dan 'set jerung merah'. Masih lagi urus Food Bank Amanah Putrajaya secara bulanan di dua buah surau terpilih di Putrajaya. Jika ada sahabat yang baik infak untuk bakul makanan, Muthiah urus serahan bakul makanan pula. Biasanya... Muthiah akan kenal pasti penerima... berurusan dengan kedai (minta kedai sediakan siap-siap bakul makanan dengan nilai RM50 per bakul)... last sekali, buat serahan. Setakat ini, Alhamdulillah. Serahan bakul makanan pun berlangsung secara konsisten setiap bulan. Banyak orang nak buat baik. Banyak juga orang yang baik-baik. 

Cakap pasal orang yang baik-baik... syukur kerana dikelilingi oleh orang baik. Ada jiran... jiran yang baik. Alhamdulillah. Saban minggu, ada aja jiran yang berkongsi rezeki. Bukan setakat jiran je, orang jauh pun ada yang berkongsi rezeki dari kejauhan. Jadi, apa lagi mahu mu, Muthiah? SYUKUR lah sentiasa... 

Nak tulis apa eh hari ni? Jom kita sama-sama islah diri jadi lebih baik. Pertama... mulakan dengan berfikir yang baik-baik. Cakap pasal berfikir yang baik-baik.... Okey. Kita mulakan untuk jadi baik dengan elak syak wasangka. Macam mana tu? Apabila datang satu berita, siasat dulu sebelum menghukum atau mengata. Tidak kiralah sama ada berita itu datang daripada orang dekat, mahupun orang jauh. Sebab kadang-kadang, berita itu hanya dari sisi hati orang yang bercerita. Kena juga semak cerita daripada orang lain yang diperkata. Wujudkan persoalan dalam diri - Kenapa? Mengapa? Dll... Pernah lalui?

Bayangkan... dengan syak wasangka, kita berfikir buruk tentang orang yang diperkata. Fikir buruk satu hal. Kita tambah lagi 'saham' dengan mengata... mengumpat... bukan itu sahaja, bahkan kita menghukum juga. Bagaimana halnya jika perkara yang membawa kepada syak wasangka itu menjadi fitnah pula? Bahaya oooo. Lebih bahaya daripada membunuh. Buat salah dengan Allah, boleh mohon ampun. Buat salah dengan manusia?

Macam mana kalau dah ter syak wasangka? Dah ter mengata? Dah ter umpat? Dah ter fitnah? Istighfarlah. Kata pada diri sendiri... sesaat ini, aku ingin jadi lebih baik dan baik. Tapi... dah buat salah dengan manusia, macam mana? Nak berterus terang ka? Nak minta maaf macam mana? Muthiah pernah hadapi situasi sebegitu. Kali pertama, Muthiah berlapang dada. Iya lah. Sebab ia tidak tahu. Pun begitu, apabila berlaku berulang kali...  Muthiah memutuskan untuk berlepas tangan atas orang yang berkata-kata. Macam mana tu? Muthiah doa pada Allah... Muthiah serahkan segalanya pada penghitungan Allah. Kemudian, Muthiah kembalikan kata-kata tersebut pada orang yang berkata-kata.  Muthiah percaya... Allah yang Maha Teliti Maha Adil Penghitungan-Nya. Allah juga lebih tahu penghitungan macam mana yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya. Then... move on.  

Jom ye.... Kita sama-sama muhasabah. Apa yang kita pernah buat. Apa yang kita sedang buat. Apa yang kita akan buat. Moga Allah ampunkan dosa kita semua, khususnya Muthiah ni ha. Sebagai manusia yang alpa, ada je buat salah. Ada je buat silap. Bukan sikit. Banyak pulak tu.  Moga Muthiah terhindar daripada sikap syak wasangka. Tidak kira lah kepada sesiapa sahaja. Orang dekat. Orang jauh. Siapa-siapalah. Moga Muthiah menjadi seorang yang lebih berlapang dada. Hidup ni tak lama kan? Paling utama, moga hari ini Muthiah menjadi orang yang lebih baik daripada semalam... Esok pula lebih baik daripada hari ini sampai ke nafas yang terakhir.

Bye. Sekian coretan... peringatan buat diri sendiri sebenarnya... JANGAN SYAK WASANGKA YA, MUTHIAH.

Alhamdulillah. Kehidupan hari ini sangat lah baik. Dengan kawan-kawan yang baik... jiran-jiran yang baik... dengan keluarga yang cakna.... Apa alasan Muthiah untuk menjadi seorang yang 'sakit' hatinya? Yuk. JOM JADI BAIK. Mulakan dengan pelihara hati dan jiwa.

CAIYOK.

SAYANG.

Jatuh Bangun Seorang Aku (6)

 

“Sampaikan walau satu ayat.”

Sejak dari awal pembabitanku dalam dunia penulisan, selain hendak mencari duit poket sendiri, aku turut meletakkan matlamat bahawa aku ingin berdakwah menerusi mata pena. Ya. Aku ingin menyebarkan kebaikan menerusi karya. Bukan itu sahaja, bahkan aku ingin mendidik masyarakat melalui penulisan. Bukankah setiap manusia yang mengucapkan kalimah syahadah adalah seorang pendakwah? Maka, hendak tidak hendak… mahu tidak mahu, perlu dan mesti menyebarluas kebaikan dan kebajikan dalam apa jua keadaan dan kaedah. Setiap manusia pula mempunyai kelebihan dan kemampuan yang berbeza. Tepuk dada, tanya iman. Buatlah semampunya.

Jika bijak berkata-kata, berdakwahlah menerusi tutur bicara.

Jika boleh menulis dan berkarya, berdakwahlah melalui mata pena.

Dalam masa yang sama, tunjukkanlah contoh yang baik menerusi tindakan dan teladan. Bukankah Allah ada berfirman yang bermaksud, “Amat besar kebenciannya di sisi Allah bilamana kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah As-Saf, 61:3).

Bagiku, setiap apa yang aku lakukan pasti akan dipersoalkan Allah. Jika kebaikan yang aku sebarluaskan, kebaikan itu akan kembali kepadaku. Begitu jualah jika sebaliknya. Keburukan yang aku ajarkan kepada masyarakat turut menyumbang terhadap sahamku pada hari akhirat kelak.

Mencari Naurah berkisar tentang hati dan perasaan. Dalam novelku yang pertama ini, aku cuba paparkan kisah seorang gadis yang berusaha untuk menjaga hati demi mendapat reda Ilahi. Di samping itu, aku juga cuba tonjolkan perihal kebergantungan seorang manusia kepada Penciptanya. Air Mata Siti Hajar pula menceritakan kisah seorang isteri yang taat. Namun, rebah apabila diuji dengan dugaan yang sangat perit. Ayah, Amir nak masuk U! dan Ayah, Amir nak jadi doktor! merupakan novel remaja yang mengisahkan kesungguhan seorang remaja yang tidak pernah berputus asa untuk mengejar cita-cita bergelar seorang doktor. Sementara itu, menerusi Dia Diktator Hatiku aku cuba mengenengahkan persoalan ikhtilat di tempat kerja. Dalam Kasihnya Ayah dan Kasihnya Ibu pula, aku cuba mengangkat jasa dan pengorbanan seorang ayah ibu manakala Sungai Tong menyorot kisah hubungan kekeluargaan yang retak tetapi tidak akan terputus dek kerana air… sama sekali tidak boleh dicencang.

Jatuh Bangun Seorang Aku (5)

 


Alhamdulillah. Sehingga 2017, aku berjaya menghasilkan dua belas buah buku. Buku-buku tersebut terdiri daripada pelbagai genre atau kategori yang meliputi novel popular, novel Islamik, buku kanak-kanak, buku remaja, novelet serta kompilasi cerpen. Nampak mudah namun hakikatnya tidaklah sesenang yang dilihat. Banyak cabaran yang perlu aku tempuhi. Drama air mata sendiri usah cakaplah. Jatuh tersungkur entah berapa kali. Aku sendiri yang perlu membuat pilihan. Sama ada aku ingin mengorak langkah sampai berjaya atau aku hendak berhenti di pertengahan jalan. Aku melangkah. Aku juga berhenti. Pun begitu, apabila hilang lenguh kakiku, aku melangkah semula.

Cabaran paling besar untuk bergelar penulis ialah cabaran dalam diri sendiri. Ya. Semuanya bergantung kepada diri sendiri. Aku rajin, aku dapat. Aku malas, aku terlepas. Bagiku, disiplin adalah kunci utama kejayaan. Orang lain boleh menitip pesan agar engkau buat itu dan ini tetapi hakikatnya engkau sendiri yang perlu lakukannya. Aku…

Meskipun bekerja sendiri di rumah, aku ada pejabat sendiri…

Daripada mula menulis di atas lantai, kemudiannya ada meja dan kerusi sendiri.

Daripada meja kecil dan kerusi plastik, kemudiannya ada meja yang lebih besar dan kerusi yang lebih selesa.

Daripada komputer riba, aku akhirnya memiliki komputer dan pencetak sendiri.

Secara peribadi aku berpendapat bahawa tempat bekerja yang kondusif turut memainkan peranan penting untuk membantu membentuk disiplin dalam diri. Auranya lain macam. Semangat pun berbeza. Aku memang meletakkan target aku sendiri dalam hal ruang bekerja ini. Jika pada awal penglibatan dalam dunia penulisan aku hanya menulis di atas lantai dengan meja kecil di ruang tamu, aku kena pastikan bahawa satu hari nanti aku punya pejabat sendiri atau ruang yang memperlihatkan suasana dalam pejabat. Oh, ya... Jangan tak percaya. Awal penglibatan aku dalam dunia ini,aku pernah dituduh sebagai seorang isteri yang tidak bertimbangrasa oleh seseorang yang tidak tinggal serumah dengan aku...jauh di mata... sentiasa jauh dalam jiwa. Sebabnya... suamiku ingin masukkan internet di rumah. Aku? Awalnya, memang berkecil hati tetapi aku serah segalanya pada Allah Yang Maha Teliti. Orang yang tidak duduk serumah... tidak tahu perjalanan hidup aku... boleh berkata yang bukan-bukan. Mungkin dek hati yang kotor dan suka berburuk sangka. Alhamdulillah. Walaupun dicela, aku tetap berjaya mengecap impian... bergelar penulis.

FULL STOP!

Di samping itu, aku juga masuk kerja macam orang makan gaji masuk kerja.


Lebihnya aku… aku boleh menyusun dan menetapkan waktu kerja dan waktu rehat sendiri. Jika aku masuk kerja pukul 9.00 pagi, aku perlu keluar seawalnya pada jam 6.00 petang. Cuma, waktu rehat aku tetapkan dua jam. Nampak santai, bukan? Ya dan tidak. Ada kala, aku bekerja dengan penuh relaks. Ada ketika, aku pulun sehabis mungkin. Ada kala, aku rehat sampai dua tiga jam. Ada ketika, aku stay up sampai dua tiga pagi.

Sebagai manusia yang punya hati dan rasa… kadang-kadang emosiku terganggu. Rasa rendah diri. Rasa ‘nobody’. Rasa ‘lonely’. Paling parah, rasa hodoh. Semua rasa hadir. Mungkin sebab sudah terbiasa bekerja dan punya pendapatan bulanan sendiri. Mungkin juga sebab asyik terperuk di rumah. Rakan akrab hanyalah suami. Apabila rasa ini datang menjengah, lazimnya fokus menulis akan turut terganggu. Apabila fokus menulis jadi kacau bilau, penghasilan karya tidaklah seperti yang diharapkan. Solusi? Aku jarang mengambil masa yang lama untuk mengubati ‘sakit’ rasa sendiri. Tarik nafas. Ingat Tuhan ada. Bersangka baik pada Yang Esa. Terus jalan. Lama kelamaan, aku sudah sebati dengan rasa yang sebegini. Maka apabila rasa ini hadir, lazimnya aku berupaya untuk depaninya sendiri.

Selain daripada cabaran dalam diri sendiri, aku juga berhadapan dengan ‘writer’s block’. ‘Writer’s block’ adalah keadaan di mana aku tidak punya idea untuk menulis. Idea ada tetapi tidak boleh diluahkan menerusi mata pena. Aku tengok monitor komputer, monitor komputer tidak tengok aku… hanya membatu di situ. ‘Writer’s block’ sedikit sebanyak memberi tekanan kepada aku. Kenapa? Aku hendak menulis tetapi aku tidak tahu hendak tulis apa. Hendak kejar deadline. Ada sasaran sendiri tetapi KOSONG. Jadi, bagaimana?

Aku berhenti menulis sekejap… mencari ruang pada diri untuk kembali menulis. Lazimnya, apabila mendepani situasi ‘writer’s block’ ini aku akan membuat perkara lain selain daripada menulis. Antaranya ialah dengan membaca, keluar jalan-jalan, ‘window shopping’, tonton TV, menulis blog dan banyak lagi. Bagi aku, ‘writer’s block’ muncul apabila aku menulis tanpa henti. Minda tepu. Idea hilang.

Cabaran lain ketika bergelar penulis ialah mendepani orang yang tidak menyukai. Ketika awal aku berjinak-jinak dalam dunia penulisan, aku pernah di‘serang’ melalui chatbox blog. Serangan pula lebih kepada serangan peribadi oleh orang yang tidak aku kenali. Pada peringkat awal ‘serangan’ tersebut, aku stres. Aku terduduk. Aku menangis. Tidak dapat mengawal rasa hati sehinggalah suamiku memberi kata putus. Suamiku meminta aku membuat pilihan sama ada ingin memulakan kerjaya sebagai penulis atau menjadi suri rumah sepenuh masa? Jika aku tidak boleh menghadapi tekanan yang datang… atau melayan perkara yang tidak sepatutnya aku layan, lebih baik aku berhenti menulis. Akhirnya, aku memilih untuk terus berkarya. Nah! Dua belas buah buku juga terbit di pasaran, Alhamdulillah.

Apa lagi ya? Cabaran yang aku kira besar adalah cabaran untuk memastikan bukuku berterusan diterbitkan. Paling tidak sebuah buku setahun. Kenapa? Agar namaku akan terus diingati di kalangan pembaca ataupun penggiat buku. Maka, hendak tidak hendak, aku kena pastikan bahawa bukuku siap untuk tempoh yang tertentu. Aku juga perlu pastikan yang buku yang siap itu diterima terbit oleh syarikat penerbitan. Selepas buku terbit, perlu fikirkan cara membantu syarikat penerbitan untuk membuat pemasaran buku sendiri pula.

Akhir sekali… boleh kuanggap sebagai cabaran hendak bergelar penulis. Aku pernah dilabel sebagai seorang penulis picisan. Sampai kini kuingat kata-kata itu. Oleh seorang penulis. Entah ada nama. Entah tidak kerana aku tidak mengenalinya sebelum ini. Ketika itu, novel pertamaku terbit di pasaran. Novel genre popular. Apabila terlibat dengan program bersama penulis… biasalah, kita akan saling berkenalan. Apabila ditanya tentang buku yang aku hasilkan, dengan berbesar hati aku menyebut tentang novelku yang telah berada di pasaran. Maklum balas yang diterima?

“Oh, penulis picisian..”

Aku? Sentap itu pasti tetapi sejauh mana aku hendak melayan kata-kata yang menyakitkan hati ini. Mungkin ada benarnya. Mungkin juga salah. Setiap orang ada pandangan yang tersendiri. Aku terduduk sekejap tetapi kemudian bangkit semula. Aku cuba hasilkan buku dengan pelbagai genre dan…

Aku berjaya…

Istighfar

 


Basahkan bibir dengan memohon ampun kepada Allah.

Moga diampunkan segala dosa. 

Dalam sedar atau ketika lalai. 

Moga Allah menyucikan hati kita. 

Hati yang bersih... pasti akan tenang. 

Jiwa yang tenang... pasti akan lapang. 

Lapang sanubari membuatkan jasad menunduk kepada Tuhan. 

Tika jatuh atau alpa... bangkit dan mohon kembali keampunan-Nya.

Jatuh Bangun Seorang Aku (4)

 

Jujur cakap, aku amat terdesak untuk memiliki buku sendiri. Aku takut. Aku gusar. Aku khuatir impianku untuk bergelar penulis tidak berjaya. Banyak perkara bermain di benak. Aku takut aku jatuh. Aku gusar aku tersungkur. Aku khuatir aku tidak berdaya untuk bangkit semula setelah tersembam ke tanah. Kata-kata mereka yang menentang keputusanku untuk berhenti kerja selepas mendirikan rumah tangga berlegar-legar di fikiran. Hatiku berbelah bahagi. Betulkah keputusan yang telah aku ambil? Tidak! Sekali-kali tidak aku menoleh ke belakang!

Betapa takutnya aku berhadapan dengan kegagalan… saban hari, bahkan boleh kukatakan hampir setiap hari aku membaca surah Yasin. Kemudian, kuhadiahkan bacaan ini kepada bakal editor atau penerbit yang akan menerima manuskripku kelak. Aku berbuat demikian dengan harapan dilembutkan hati mereka… dilapangkan fikiran mereka untuk menerima karyaku dan seterusnya diterbitkan. Saban waktu, aku berdoa kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan kerana aku amat berharap agar novelku yang pertama terbit di pasaran.

Susah untuk diungkapkan dengan kata-kata. Meskipun secara zahirnya nampak biasa-biasa namun hakikatnya gelodak yang membara di dalam jiwa, hanya Allah yang tahu.

Aku perlu ada pendapatan sendiri.

Aku perlu ada duit.

Paling tidak, cukup untuk aku memberi kepada ibu dan ayahku di kampung.

Paling tidak, aku boleh membantu adik-adikku yang masih belajar.

Dengan lain perkataan, aku sangat terdesak untuk memiliki duit sendiri. Bukan untuk diri aku tetapi untuk keluarga yang aku sayangi.

Selesai menyiapkan manuskrip… aku cuba menghantar manuskrip tersebut kepada satu syarikat penerbitan. Karyaku tidak ditolak. Tidak pula diterima. Namun, editor menyarankan aku untuk membuat beberapa pembaikan. Editor yang baik hati tersebut juga mencadangkan aku membaca beberapa karya penulis tersohor tanah air antaranya Ramlee Awang Murshid. Secara tidak langsung, aku belajar sebenarnya. Siap membuat pembaikan, aku cuba menghantar manuskripku kepada syarikat yang sama buat kali kedua. Diam seribu bahasa. Tolak tidak. Terima pun tidak. Setelah menunggu untuk tempoh tertentu, aku pun menghantar karyaku kepada syarikat penerbitan kedua.

Syarikat penerbitan kedua menyepi. Aku tidak tahu dan tidak dapat mengagak status manuskrip yang aku hantar. Lagi… aku perlu menunggu untuk tempoh tertentu.

Akhirnya… percubaan aku berhasil setelah menghantar manuskripku ke syarikat penerbitan ketiga. Sebenarnya, syarikat penerbitan ini merupakan pilihan utamaku. Namum, dek kerana tidak yakin terhadap diri sendiri, kuketepikan hasratku untuk menerbitkan karya di bawah syarikat tersebut.

Tidak mengambil masa yang terlalu panjang, editor dari syarikat berkenaan menghubungi. Beliau memaklumkan bahawa manuskripku diterima tetapi aku perlu membuat pembaikan. Teruja dengan berita yang diterima aku menghubungi suamiku untuk memaklumkan perkara tersebut. Penerimaan manuskrip sepertinya aku diterima kerja oleh syarikat yang menjadi igauan. Aku sungguh gembira. Minta ubah? Minta buat pembetulan? Aku tidak kisah asal karyaku bakal diterbitkan. Aku turuti segala tunjuk ajar yang diberikan editor. Seratus peratus tanpa bantahan. Bagiku, editorku adalah sifuku. Hormatku pada editor seolah-olah hormatku kepada seorang guru yang berjasa.

Setelah melalui pelbagai liku dalam menyiapkan manuskrip… akhirnya, lahirlah novel Islamik aku yang pertama dengan judul Mencari Naurah. Kisah seorang gadis yang menyintai seorang jejaka dalam diam.

Selamat Pengantin Baharu

Assalammualaikum. Buat apa hari ini? Okey. Hari ni, nak berceloteh sikit pasal adik lelaki Muthiah. Adik nombor dua. Beza umur kami dalam 9 tahun. Dia… baru sahaja menamatkan zaman bujang dengan gadis pilihan hati pada 17 Mei lepas. Kira pengantin PKP lah ni.

Sebagai kakak…pastinya Muthiah rasa gembira. Ada jugak sedih. Haha sebab rasa dia dah besar. Oh ya.Walaupun dia beza 9 tahun dengan Muthiah… Muthiah banyak juga berkongsi cerita dan rasa dengan dia. Apa/ siapa yang Muthiah suka… apa/ siapa yang Muthiah tak suka… dia tahu lah siapa. Lucky me…orang kepercayaan Muthiah bukan sahaja dari kalangan ahli keluarga tetapi banyak sahabat yang cakna dan baik hati.

Selamat Pengantin Baharu, Abang. Moga jadi suami yang baik dan bertanggungjawab. Jadilah suami yang sentiasa melindungi isteri. Jika mendengar sebarang kata buruk tentang isteri, cuba siasat… dengarkan cerita daripada banyak pihak. Sebab… dalam hidup ni…hati manusia lain-lain.Ada yang sentiasa bersangka baik.Ada juga yang cepat berburuk sangka yang tanpa sedar membawa kepada fitnah. Percayalah. Tatkala kata-kata nista hadir akibat buruk sangka berlaku, kisah itu akan tersemat dalam jiwa sampai bila-bila. Moga perkahwinan terus bahagia sampai jannah, insya-Allah.

Jatuh Bangun Seorang Aku (3)

Selain belajar menulis menerusi penulisan cerpen, aku juga belajar menulis melalui pertandingan penulisan novel ataupun artikel ilmiah. Aku percaya bahawa memasuki pertandingan penulisan merupakan salah satu proses pembelajaran sebelum ingin bergelar penulis.

Kenapa aku beranggapan begitu?

Dalam setiap pertandingan yang dianjurkan, pasti ada syarat yang ditetapkan. Mematuhi syarat dan sebarang ketetapan pertandingan secara tidak langsung memupuk diri untuk menjadi seorang yang lebih berdisiplin. Untuk berjaya, terlebih dahulu perlu berusaha gigih. Usaha tersebut perlu juga disertai dengan disiplin yang tinggi. Lebih-lebih lagi apabila aku memilih untuk ‘bekerja sendiri’. Tiada pantauan daripada sesiapa dan segalanya bergantung kepada diri aku sendiri. Hendak tidak hendak, aku perlu lakukan untuk diri aku sendiri.

Engkau nak, engkau buat!

Engkau tak buat, engkau hadap!

Kenapa pertandingan penulisan menjadi pilihan?

Aku percaya. Menerusi pertandingan penulisan aku akan dapat mengenalpasti kemampuanku dalam menghasilkan karya. Jika aku memang. Pasti ada kriteria tertentu yang membawa kepada kemenanganku. Begitu juga halnya sekiranya aku tidak mendapat sebarang tempat dalam pertandingan tersebut. Pasti ada sebabnya. Atas sebab itu jualah aku suka membaca karya para pemenang pertandingan penulisan, juga para penulis tersohor tanah air. Dari situ, aku cuba mengenalpasti kelebihan yang ada pada karya tersebut sehingga diangkat sebagai pemenang. Dari situ juga aku percaya akan dapat belajar. Belajar secara tidak langsung. Tidak banyak, sedikit pun tidak apa asalkan aku mendapat sesuatu daripada pembelajaran tersebut.


Selain mengenalpasti kemampuan diri, aku memilih untuk menyertai pertandingan penulisan kerana aku ingin bermula. Sebagai orang baharu dalam dunia penulisan, aku perlu memperkenalkan diriku kepada umum. Aku juga perlu mengenali mereka yang sudah lama bertapak dalam dunia ini. Menerusi pertandingan, aku percaya setidak-tidaknya aku akan dapat kenalan baharu yang sama-sama meminati dunia ini. Jika aku menang, aku percaya namaku setidak-tidaknya akan dikenali di kalangan peserta yang bertanding. Jika aku kalah, tiada masalah. Aku boleh cuba lain kali. Kemenangan adalah bonus. Kekalahan adalah proses pembelajaran!

Menganggap bahawa juri adalah guru dalam proses pembelajaran ini, aku percaya dengan menyertai pertandingan penulisan karyaku akan disemak dan dinilai oleh mereka yang sangat arif dalam bidang ini. Bagiku, ini merupakan satu peluang! Bukan mudah karya kecil aku hendak dibaca oleh mereka yang ada nama dan inilah masanya.

Bayangkan…. karya kecilku dibaca oleh mereka yang ada nama.

Bayangkan… jika aku mendapat tempat dalam pertandingan tersebut, kemenanganku adalah hasil penilaian mereka yang bagi aku insan kerdil dalam dunia penulisan oleh bukan calang-calang orang.

Atas kepercayaan inilah aku cuba untuk menyertai pertandingan penulisan. Ada penganjur yang memberi maklum balas penyertaan. Maklum balas tersebut sebenarnya sudah cukup membungakan hati. Ada penganjur yang diam membisu dan aku sendiri tidak tahu status penyertaanku bagaimana. Aku? Bohonglah jika hati kecilku tidak tertanya-tanya tetapi aku percaya segala sesuatu pasti ada hikmahnya.

Alhamdulillah. Daripada beberapa pertandingan yang aku cuba sertai, tidak menang semua… tidak juga mendapat hadiah utama tetapi aku berjaya membuktikan kepada diriku sendiri bahawa aku boleh! Mendapat tempat dalam salah satu pertandingan sedikit sebanyak menaikkan semangatku untuk terus melangkah ke dalam dunia ini.

Syukur...

 Assalammualaikum. Selamat Hari Raya. Maaf salah silap...



Hmm... nak tulis apa ya? Apa macam hari-hari selepas Aidilfitri. Muthiah... so far so good... 

Syukur dikurniakan dengan keluarga, saudara, sahabat dan tetangga yang baik hati. 

Syukur diberi kesihatan yang baik dan kecukupan. Banyak benda yang Muthiah tak jangka pun boleh miliki tetapi nah... ada depan mata.

Syukur dan syukur...

Okey... 

Salam Jumaat penuh barakah. 

Jatuh Bangun Seorang Aku (2)

Orang selalu cakap, aku mewarisi bakat ibuku. Sementelah arwah ibuku merupakan seorang penulis. Ya. Kata-kata tersebut mungkin ada benarnya. Pun begitu, perjalanan penulisan aku tidak semudah yang disangka. Aku bermula dari bawah. Aku belajar dan terus belajar. Aku cuba dan terus mencuba. Aku membaca dan terus membaca. Cuba. Salah. Cuba lagi. Dan lagi. Dan lagi. Sampai tepu. Sampai terduduk. Berehat seketika. Kemudian, mencuba buat kesekian kali.

Aku belajar menulis cerpen. Hantar ke majalah. Tidak pernah diterima siar. Walaupun demikian, sekali-kali tidak aku berputus asa. Aku membaca dan menulis lagi. Kemudian, aku cuba menghantar semula karyaku ke majalah. Setiap bulan, aku akan tercongok di toko-toko buku untuk melihat sama ada karya aku diterima siar atau sebaliknya. TIADA! Bohonglah kalau aku katakan yang aku tidak kecewa tetapi kupendam sahaja rasa itu. Aku cuba lagi. Menulis lagi. Tercongok di toko buku buat kesekian kali. Aku cuba membaca karya-karya penulis yang ada nama. Apa lebihnya karya mereka? Apa pula kurangnya karya aku? Aku terus mencuba. Masih tidak berjaya. Kecewa. Terduduk. Bangkit semula.

Setelah mencuba berkali-kali, akhirnya…

Salah satu cerpenku berjaya diterima oleh majalah tempatan. Perasaan aku? Macam dapat emas berkilo. Majalah tersebut kukendong ke mana-mana. Aku khabarkan berita gembira ini kepada suami dan ibu ayahku. Benar. Mereka adalah sumber inspirasi dan pendorong semangatku yang utama. Berkali-kali kubaca cerpen yang aku karang sendiri. Kalau boleh, ingin aku khabarkan kepada dunia bahawa cerpenku sudah diterima siar dalam majalah tempatan. Hati berbunga-bunga. Senyumku sampai ke telinga.


Oh ya. Menyentuh soal karya yang disiarkan dalam majalah. Dari tahun 2010 sehingga 2013, lebih sepuluh cerpenku telah disiarkan dalam majalah tempatan. Ada syarikat yang memberikan saguhati. Tidak banyak tetapi sudah cukup membuatkan hatiku gembira. Ada juga yang membisu seribu bahasa setelah karya disiarkan. Aku tidak kisah. Asalkan nama penaku tercatit pada halaman majalah tersebut, aku okey. Bagiku, apabila cerpenku diterima siar, bermakna karyaku telah diterima editor. Mungkin ada peningkatan kualiti karya berbanding ketika awal menulis. Secara tidak langsung, aku juga boleh mula memperkenalkan namaku sebagai salah seorang penulis di persada penulisan tempatan. 

Cemburu Aku...

Assalammualaikum. Fuh. Bersawang lagi blog. Idea banyak, masa nak menulis tu yang tak ada. Ada saja benda nak buat. Plus some more, tempoh hari Muthiah kejar deadline proposal kawan minta buat. Dah selesai proposal, handle program Back To School, Ziarah AWAN dan Serahan Limau sempena CNY pulak. Pagi tadi beres semuanya, Alhamdulillah. 

Okey. Nak cakap pasal apa? Hmm... pernah terbaca tak pasal sorang adik ni... dia buat Live FB. Kemudian, dia dihina oleh netizen. Bengkek juga Muthiah dengan sebilangan netizen berbangsa Melayu dan beragama Islam ni... bawa topi Islam, bertuhankan ALLAH tetapi bersikap dan berakhlak dengan agak teruk dan keterlaluan. Dik... yang adik hina dan keji tu ciptaan Allah tau. Lagi satu... cantiknya wajah adik tak bermakna darjat adik diangkat Tuhan melainkan.... ORANG YANG BERTAKWA. Done membebel.

Hmm... Muthiah sebenarnya tak nak ulas pasal adik yang kena keji ni. Hari ni, Muthiah nak cakap pasal cemburu @ dengki @ iri hati.

Pernah rasa cemburu?

Sebab apa rasa cemburu?

Apa kesan cemburu?

Tindakan akibat cemburu?

Last week, Muthiah terbaca dalam FB. Keluarga akak animal lover ni disihir akibat cemburu. Habis kucing jagaan dia sakit dan mati. Teruknya sikap manusia. Entah apa yang dia dapat dek rasa cemburu tu. Eh... Muthiah tak nak cakap pasal akak ni. Muthiah nak bebel pasal rasa cemburu yang pernah bersarang dalam hati Muthiah.


Muthiah lazimnya tak cemburu kalau orang tu cantik @ kaya @ kerja elok @ anak ramai blabla... Kalau ada pun, dekat Mira Filzah sekejap sebab suami suka tengok lakonan dia tapi tak ada lah cemburu sampai nak dia jatuh.

Buat apa Muthiah nak cemburu dengan nikmat yang Allah bagi pada polan bin polan sedangkan Muthiah pun dapat terlalu banyak nikmat daripada Allah. Muthiah punya kesihatan yang baik. Kawan-kawan yang baik. Jiran tetangga yang baik. Parents dan siblings yang baik. Of course suami yang baik. Kucing kat rumah ni pun baik. Harta? Alhamdulillah. Ada rumah. Ada kereta. Ada tanah. Barang dalam rumah pun cukup. Apa lagi? Kesimpulannya... tengok apa yang kita miliki. Bersyukur. Pasti akan tenang dan bahagia, insya-Allah.

Berbalik pada topik - CEMBURU. Muthiah lazimnya cemburu dengan orang yang super baik. Cakapnya menyenangkan hati. Hati dia nampak yang baik-baik. Dengan kata lain, jenis yang tak mudah prasangka. Oh ya. Cakap pasal pasal prasangka ni, hati-hati tau. Jangan cepat menghukum. Kang jatuh fitnah. Tak semua orang boleh memaafkan orang yang bersangka atas sesuatu yang dia sendiri tak pasti. Apa lagi? Semua baik ajalah tentang polan bin polan pada kaca mata Muthiah. Tak mengungkit. Dan sepanjang Muthiah hidup di atas muka bumi ni... orang sebegini Muthiah jumpa ada sorang.

Muthiah namakan dia Ann. Budak UIA. Orang Perak. Kerja cikgu. Dulu, di UIA ambil Bahasa Arab. Kami pernah jadi housemate sekejap. Umur setahun @ dua tahun muda daripada Muthiah. Satu hari.... dia beritahu Muthiah, "Kak Dik, saya ni tak lawa. Siapalah nak kahwin dengan saya. Blabla.." 

Waktu ni, dua orang sahabat kami dalam proses taaruf. Dah ada date kahwin dah pun. Muthiah waktu tu dah ada Cik Abe. Bila semua sahabat dah ada partner, Ann rasa rendah diri... sedih... tapi dia nampak relaks je. Entah macam mana dia boleh terluah kat Muthiah pulak.

Muthiah pun cakap, "Orang yang kahwin dengan Ann nanti adalah orang yang paling beruntung." 

Dia balas, "Alah, Kak Dik ni. Siapalah nak kat saya. Dahlah hodoh. Hitam pula."

Muthiah jawab, "InsyaAllah, ada."

Dari kisah ni... Ann duk nampak kekurangan dan kelemahan dia tapi sepanjang Muthiah kenal dia, hanya yang baik-baik sahaja Muthiah nampak pada diri dia. Muthiah pun tak mampu jadi baik macam dia. Walaupun setiap manusia ada kelemahan, dia ni... boleh sembunyikan kecacatan diri dia di sebalik kebaikan dia.

Ann ni kan...

Pandai masak - Kat rumah sewa Muthiah, kami ada sistem giliran memasak untuk semua. Ann ni, ada je peluang, dia masak. Sedap pula tu. Tak berkira dengan apa yang dia buat dan dia ada.


Tak mengata orang
- Macam mana Muthiah tahu? Sepanjang duduk serumah dengan dia, tak pernah dengar dia cakap pasal sesiapa. Dia tak cepat bersyakwasangka kalau mendengar apa-apa berita. Nak-nak kalau dari sebelah pihak. Dia selalu bersikap berkecuali.

Rajin - Kat rumah... dia paling cepat nak buat kerja rumah. Paling tak berkira untuk bantu  kat dapur dll. Semua dia lah.

Infaq - Ann ni... dia paling cepat nak berkongsi rezeki. Kita tahu... jadi cikgu sandaran, gaji bukan tinggi. Tapi kalau dia nak beli lauk, mak aih. Dia nak infaq duit... cepat je. Baki di tangan tengok kemudian.

Berlapang dada - Dia ni. Cakap lah apa pun. Dia akan cakap, "Tak apa lah, Kak Dik..." Tak apa memanjang.

Apa lagi? Itulah je kot. Kalau cakap pasal cemburu, Muthiah akui... Muthiah cemburukan dia. Sebab... banyak benda, Muthiah perlu struggle untuk jadi macam ni. Contohnya...berlapang dada. Muthiah ni... kisah 10 tahun sudah pun Muthiah susah nak berlapang dada tau. Every single word yang Muthiah pernah dengar @ baca, Muthiah simpan dalam hati.

Alamak. Dah 6.45 petang. Time to cook for dinner. Doakan Muthiah jadi berhati baik macam Ann ni ya.  Doakan kita semua boleh jadi yang terbaik di sisi Allah.

Jom jadi baik...

Assalammualaikum. Fuh... naik sawang blog ni. Nawaitu nak update blog secara konsisten tetapi apakan daya... masa agak mencemburui. Macam sibuk bebenar. Oh ya. Hujung tahun hari tu, parents Muthiah datang dari Terengganu. Plan asal, datang lebih kurang seminggu sahaja tetapi dek kerana banjir di Pantai Timur, terpaksalah tangguh. Mak tak senang duduk dah. Kita ajalah senyum simpul dan suka hati. 

Macam mana hari-hari dalam tempoh PKP? Muthiah... tak ada apa yang unik. Aktiviti harian berlangsung seperti biasa. Off cycling agak lama. Workout dan briskwalk pun tak buat dah. Akibatnya, berat naik 1kg. Huhaha. Hari ni, nekad untuk jaga pemakanan dan aktiviti fizikal balik.

Okey. Last but not least... jom semat dalam hati. Berusaha jadi insan yang paling baik di sisi Allah. Bercakap yang baik. Bertindak yang baik. Melihat yang baik. Sebelum nak buat apa-apa tu, fikir dulu... Allah suka dak. Peringatan untuk diri Muthiah sebenarnya.

Wassalam.

Jatuh Bangun Seorang Aku (I)

Percaya itu aku… 

Suamiku sering ungkapkan, “Awak ni kena tohok ke laut.” 

Aku membalas, “Kenapa sampai nak kena buang ke laut?” 

“Sebab bila awak dicampak ke laut, awak akan buat apa saja untuk hidup!” 

Ya. Kata-kata suamiku memang ada benarnya. “I am a work hard person”. Bukan setakat seorang yang bekerja keras tetapi juga seorang yang gigih berusaha untuk mencapai impian. Aku nak. Aku rancang. Aku buat. Aku serah segalanya kepada Pencipta. On your mark. Get set. Go!

Panaskan badan (warming up). Tarik nafas. Hembus. Berjalan beberapa langkah. Cari rentak. Okey. Jumpa. Percepatkan gerak kaki. Makin lammakin laju. Perlu lari, aku berlari.Perlu pecut, aku memecut. Sedang aku bersemangat mengejar impian, langkah kakiku tidak semena-mena terhenti. 

Apakah? Oh. Ada sesuatu di hadapan. Ada lubang. Aku hampir tersadung. Ada api. Aku hampir terbakar. Ada air dalam. Aku hampir lemas. Ada duri. Aku kesakitan. Aku berdiri tegak. Melihat jauh ke hadapan. Impianku masih jauh. Terlalu jauh untuk dikecapi. Aku tarik nafas. Hembus perlahan. Tarik nafas sekali lagi. Kali ini, hembusan nafasku lebih kuat. 

Aku tepuk dada sendiri lantas menjerit sekuat hati, “Aku tak takut dengan halangan!” Kata yang tidak seiring dengan hati. Aku gusar tetapi aku perlu nyahkan rasa hati itu. Aku ragu-ragu tetapi aku perlu yakinkan diri aku sendiri. Jika bukan aku yang memilih untuk terus melangkah menuju destinasi, siapa lagi? Jika bukan aku yang kuat, siapa lagi? Jika bukan aku yang bangkit, siapa lagi? 

Jawapannya. Aku. Akulah yang membuat pilihan! Jatuh… bisa bangkit. Cedera... bisa diubati. Mati… kepada Allah kita kembali. Asal mana aku tidak memilih untuk berputus asa. Aku pasti berjaya. Berjaya dalam berusaha. Berjaya dalam mengejar impian. Berjaya dalam berperang dengan diri sendiri. Berjaya apabila tidak berhenti terus di pertengahan menuju destinasi. Bagaimana hendak berjaya? Yakinlah, sesungguhnya Allah ada. Yakinlah, sesungguhnya janji Allah itu benar. Yakinlah, bahawasanya kesungguhan dan kegigihan pasti akan membuahkan hasil. 

Firman Allah yang bermaksud, ‘Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri,’ (al-Ra’d, 13:11). Bagaimana pula dengan hasil yang diperoleh? Boleh jadi sepertimana hasil yang aku impikan. Boleh jadi sepertimana hasil yang orang lain impikan. Apa yang pasti. Hasilan yang diperolehi adalah yang terbaik daripada Allah untuk diri aku. 

“Itulah aku,” bisik hati kecilku. Masih lagi berusaha untuk meyakinkan diri yang hatinya sentiasa berbolak-balik. Mampu atau tidak? Boleh atau tidak? Sebagai hamba Allah yang lemah, keraguan dalam jiwa itu tetap ada tetapi mindaku memaksa untuk aku terus yakin yang aku boleh… Dengan izin Tuhan.

Hari Jumaat yang barakah

Assalammualaikum. Apa macam malam ni? Plan asal, nak menulis blog satu artikel sehari sahaja tapi... oleh sebab esok seharian full, malam ni Muthiah tulis siap-siap lah. Nak tulis pasal apa ya?

Happy meπŸ˜„πŸ˜„

Yup. Hari ni... boleh kata hari yang paling menyenangkan hati Muthiah. Alhamdulillah. Semua yang dirancang berjalan dengan baik. Benda yang datang pun baik-baik belaka. Makan pun sedap je hari ni (naik lif tekan sendiri).

Dalam jam 10.45 pagi, Muthiah berkayuh ke beberapa destinasi. Macam biasa. Demi mencari dan berkongsi rezeki dengan makhluk Tuhan. Sebelum tu, singgah kedai Fathima beli kuih dalam2-3 amah. Dapatlah dalam enam biji karipap. 

Kayuhan hari ini.

Sampai dekat pesisir tasik, Muthiah singgah tengok si lelabi (port biasa Muthiah bagi budak ni makan). Saja cuba nasib kot depa ada. Lazimnya, pagi-pagi depa tak ada. But then, sedang Muthiah memerhati ke dalam tasik... nah, muncul sekor menghampiri Muthiah. Yeha...


Selesai bagi makan lelabi, Muthiah bergerak ke arah Ayer 8 melalui Cyberview. Nampak Muklis, isteri dan rakan-rakan tengah duduk berehat. Alhamdulillah. Rezeki mereka untuk menjamah kuih yang Muthiah beli tadi.

Muthiah kemudiannya meneruskan perjalanan ke tempat Oyen. Alhamdulillah. Another good/ happy news. Oyen yang dah beberapa hari MIA tiba-tiba ada. Muthiah bertanya kepada pekerja am di situ. Ke mana Oyen 2-3 hari ni? Kata mereka, kalau Oyen tak ada di Gazebo, dia akan duduk di rumah banglo berhampiran. Rumah lama Oyen sebelum owner Oyen pindah dan tinggalkan dia. Suka betul Muthiah Oyen sihat dan selamat. Another yeha...

Oyen..

Selesai di tempat Oyen... Muthiah berkayuh menghala ke arah Bazaar 8. Paling best hari ni, sepanjang jalan Muthiah... terserempak dengan berpuluh-puluh atau mungkin beratus ekor burung merpati. Ada satu tempat tu, siap ada seekor burung (Tak tahu nama apa. Kaki panjang dan bulu putih) tengah bertenggek. Biawak melintas pun ada. Haha.

Di Baazar 8, ada jumpa seekor je anak jalanan. Yang lain tak pasti ke mana. Tengah ronda-ronda agaknya. Muthiah tak lama kat situ sebab ada satu tempat lagi nak pergi. Plus some more, rushing nak balik sebelum suami balik untuk lunch di rumah. Syukur dah masak siap-siap. 

Dak Bazaar 8.

Dari Baazar 8, Muthiah naik ke Presint 3 ikut atas jalan raya. Sebenarnya, Muthiah tak gemar sangat berkayuh atas jalan ni sebab kena bertembung dengan kereta. Kalau tepi tasik, jumpa basikal dan orang jogging je.  Lagipun, Muthiah tak berapa berani melintas jalan tapi... sebab destinasi akhir ni memerlukan Muthiah bergerak ke arah sana, terpaksalah. Sampai destinasi... macam ditunggu-tunggu pulak. Ada tiga ekor dak nan sedang menanti. Alhamdulillah. Rezeki buat depa dan Muthiah juga sebenarnya.

Dak nan..

Muthiah sampai rumah agak lewat. Another happy situation. Suami yang dah sampai rumah tolong panaskan lauk. 

Dalam hidup ni... kita lah yang membuat pilihan... 

Pilihlah untuk berbuat yang baik. Walau hanya dengan berkongsi sedikit rezeki dengan makhluk Tuhan. 

Pilihlah untuk bercakap yang baik. Macam yang Muthiah pernah tulis sebelum ni. "Jaga lidah". Muthiah nak tambah satu lagi. "Jaga jari". Elakkan berkata sesuatu yang boleh mengguris hati orang lain. Macam mana nak tahu hal tu bisa mengguris hati atau tak? Ada benda, boleh dibuat gurau. Ada benda, tak boleh. Ada orang, kena maki hamun pun relaks je. Ada orang, cakap sikit dah terasa. 

Contoh... 

"Kau ni hitam lah." vs "Kau tu putih sangat ke?"

"Kau ni gemuk lah." vs "Kau tu kurus sangat ke?"

"Kau ni hodoh lah." vs "Kau tu cantik sangat ke?"

"Kau ni kau ni kau ni lah." vs "Aku lah aku lah aku lah!"

Kalau kita nak orang jaga hati kita, terlebih dahulu kita kena jaga hati orang. Jangan marah kalau kita terlebih sensitif (walhal orang tak ada apa-apa pun) sebab kita sendiri terlebih dahulu tidak peka dengan sekeliling.

Okey. Cukup bebelan hari ini. Yang baik, boleh manfaatkan. Yang tak baik, boleh jadikan teladan. Kita sama-sama berusaha untuk menjadi lebih baik.