Jatuh Bangun Seorang Aku (3)
Selain belajar menulis menerusi penulisan cerpen, aku juga belajar menulis melalui pertandingan penulisan novel ataupun artikel ilmiah. Aku percaya bahawa memasuki pertandingan penulisan merupakan salah satu proses pembelajaran sebelum ingin bergelar penulis.
Kenapa aku beranggapan begitu?
Dalam setiap pertandingan yang dianjurkan, pasti ada syarat yang ditetapkan. Mematuhi syarat dan sebarang ketetapan pertandingan secara tidak langsung memupuk diri untuk menjadi seorang yang lebih berdisiplin. Untuk berjaya, terlebih dahulu perlu berusaha gigih. Usaha tersebut perlu juga disertai dengan disiplin yang tinggi. Lebih-lebih lagi apabila aku memilih untuk ‘bekerja sendiri’. Tiada pantauan daripada sesiapa dan segalanya bergantung kepada diri aku sendiri. Hendak tidak hendak, aku perlu lakukan untuk diri aku sendiri.
Engkau nak, engkau buat!
Engkau tak buat, engkau
hadap!
Kenapa pertandingan penulisan
menjadi pilihan?
Aku percaya. Menerusi pertandingan
penulisan aku akan dapat mengenalpasti kemampuanku dalam menghasilkan karya.
Jika aku memang. Pasti ada kriteria tertentu yang membawa kepada kemenanganku.
Begitu juga halnya sekiranya aku tidak mendapat sebarang tempat dalam pertandingan
tersebut. Pasti ada sebabnya. Atas sebab itu jualah aku suka membaca karya para
pemenang pertandingan penulisan, juga para penulis tersohor tanah air. Dari
situ, aku cuba mengenalpasti kelebihan yang ada pada karya tersebut sehingga
diangkat sebagai pemenang. Dari situ juga aku percaya akan dapat belajar. Belajar
secara tidak langsung. Tidak banyak, sedikit pun tidak apa asalkan aku mendapat
sesuatu daripada pembelajaran tersebut.
Selain mengenalpasti kemampuan diri, aku memilih untuk menyertai pertandingan penulisan kerana aku ingin bermula. Sebagai orang baharu dalam dunia penulisan, aku perlu memperkenalkan diriku kepada umum. Aku juga perlu mengenali mereka yang sudah lama bertapak dalam dunia ini. Menerusi pertandingan, aku percaya setidak-tidaknya aku akan dapat kenalan baharu yang sama-sama meminati dunia ini. Jika aku menang, aku percaya namaku setidak-tidaknya akan dikenali di kalangan peserta yang bertanding. Jika aku kalah, tiada masalah. Aku boleh cuba lain kali. Kemenangan adalah bonus. Kekalahan adalah proses pembelajaran!
Menganggap bahawa juri adalah
guru dalam proses pembelajaran ini, aku percaya dengan menyertai pertandingan
penulisan karyaku akan disemak dan dinilai oleh mereka yang sangat arif dalam
bidang ini. Bagiku, ini merupakan satu peluang! Bukan mudah karya kecil aku
hendak dibaca oleh mereka yang ada nama dan inilah masanya.
Bayangkan…. karya kecilku
dibaca oleh mereka yang ada nama.
Bayangkan… jika aku mendapat
tempat dalam pertandingan tersebut, kemenanganku adalah hasil penilaian mereka
yang bagi aku insan kerdil dalam dunia penulisan oleh bukan calang-calang
orang.
Atas kepercayaan inilah aku
cuba untuk menyertai pertandingan penulisan. Ada penganjur yang memberi maklum
balas penyertaan. Maklum balas tersebut sebenarnya sudah cukup membungakan
hati. Ada penganjur yang diam membisu dan aku sendiri tidak tahu status
penyertaanku bagaimana. Aku? Bohonglah jika hati kecilku tidak tertanya-tanya
tetapi aku percaya segala sesuatu pasti ada hikmahnya.
Alhamdulillah. Daripada
beberapa pertandingan yang aku cuba sertai, tidak menang semua… tidak juga
mendapat hadiah utama tetapi aku berjaya membuktikan kepada diriku sendiri
bahawa aku boleh! Mendapat tempat dalam salah satu pertandingan sedikit
sebanyak menaikkan semangatku untuk terus melangkah ke dalam dunia ini.