Jatuh Bangun Seorang Aku (2)

Orang selalu cakap, aku mewarisi bakat ibuku. Sementelah arwah ibuku merupakan seorang penulis. Ya. Kata-kata tersebut mungkin ada benarnya. Pun begitu, perjalanan penulisan aku tidak semudah yang disangka. Aku bermula dari bawah. Aku belajar dan terus belajar. Aku cuba dan terus mencuba. Aku membaca dan terus membaca. Cuba. Salah. Cuba lagi. Dan lagi. Dan lagi. Sampai tepu. Sampai terduduk. Berehat seketika. Kemudian, mencuba buat kesekian kali.

Aku belajar menulis cerpen. Hantar ke majalah. Tidak pernah diterima siar. Walaupun demikian, sekali-kali tidak aku berputus asa. Aku membaca dan menulis lagi. Kemudian, aku cuba menghantar semula karyaku ke majalah. Setiap bulan, aku akan tercongok di toko-toko buku untuk melihat sama ada karya aku diterima siar atau sebaliknya. TIADA! Bohonglah kalau aku katakan yang aku tidak kecewa tetapi kupendam sahaja rasa itu. Aku cuba lagi. Menulis lagi. Tercongok di toko buku buat kesekian kali. Aku cuba membaca karya-karya penulis yang ada nama. Apa lebihnya karya mereka? Apa pula kurangnya karya aku? Aku terus mencuba. Masih tidak berjaya. Kecewa. Terduduk. Bangkit semula.

Setelah mencuba berkali-kali, akhirnya…

Salah satu cerpenku berjaya diterima oleh majalah tempatan. Perasaan aku? Macam dapat emas berkilo. Majalah tersebut kukendong ke mana-mana. Aku khabarkan berita gembira ini kepada suami dan ibu ayahku. Benar. Mereka adalah sumber inspirasi dan pendorong semangatku yang utama. Berkali-kali kubaca cerpen yang aku karang sendiri. Kalau boleh, ingin aku khabarkan kepada dunia bahawa cerpenku sudah diterima siar dalam majalah tempatan. Hati berbunga-bunga. Senyumku sampai ke telinga.


Oh ya. Menyentuh soal karya yang disiarkan dalam majalah. Dari tahun 2010 sehingga 2013, lebih sepuluh cerpenku telah disiarkan dalam majalah tempatan. Ada syarikat yang memberikan saguhati. Tidak banyak tetapi sudah cukup membuatkan hatiku gembira. Ada juga yang membisu seribu bahasa setelah karya disiarkan. Aku tidak kisah. Asalkan nama penaku tercatit pada halaman majalah tersebut, aku okey. Bagiku, apabila cerpenku diterima siar, bermakna karyaku telah diterima editor. Mungkin ada peningkatan kualiti karya berbanding ketika awal menulis. Secara tidak langsung, aku juga boleh mula memperkenalkan namaku sebagai salah seorang penulis di persada penulisan tempatan. 

0 Responses