Jatuh Bangun Seorang Aku (4)

 

Jujur cakap, aku amat terdesak untuk memiliki buku sendiri. Aku takut. Aku gusar. Aku khuatir impianku untuk bergelar penulis tidak berjaya. Banyak perkara bermain di benak. Aku takut aku jatuh. Aku gusar aku tersungkur. Aku khuatir aku tidak berdaya untuk bangkit semula setelah tersembam ke tanah. Kata-kata mereka yang menentang keputusanku untuk berhenti kerja selepas mendirikan rumah tangga berlegar-legar di fikiran. Hatiku berbelah bahagi. Betulkah keputusan yang telah aku ambil? Tidak! Sekali-kali tidak aku menoleh ke belakang!

Betapa takutnya aku berhadapan dengan kegagalan… saban hari, bahkan boleh kukatakan hampir setiap hari aku membaca surah Yasin. Kemudian, kuhadiahkan bacaan ini kepada bakal editor atau penerbit yang akan menerima manuskripku kelak. Aku berbuat demikian dengan harapan dilembutkan hati mereka… dilapangkan fikiran mereka untuk menerima karyaku dan seterusnya diterbitkan. Saban waktu, aku berdoa kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan kerana aku amat berharap agar novelku yang pertama terbit di pasaran.

Susah untuk diungkapkan dengan kata-kata. Meskipun secara zahirnya nampak biasa-biasa namun hakikatnya gelodak yang membara di dalam jiwa, hanya Allah yang tahu.

Aku perlu ada pendapatan sendiri.

Aku perlu ada duit.

Paling tidak, cukup untuk aku memberi kepada ibu dan ayahku di kampung.

Paling tidak, aku boleh membantu adik-adikku yang masih belajar.

Dengan lain perkataan, aku sangat terdesak untuk memiliki duit sendiri. Bukan untuk diri aku tetapi untuk keluarga yang aku sayangi.

Selesai menyiapkan manuskrip… aku cuba menghantar manuskrip tersebut kepada satu syarikat penerbitan. Karyaku tidak ditolak. Tidak pula diterima. Namun, editor menyarankan aku untuk membuat beberapa pembaikan. Editor yang baik hati tersebut juga mencadangkan aku membaca beberapa karya penulis tersohor tanah air antaranya Ramlee Awang Murshid. Secara tidak langsung, aku belajar sebenarnya. Siap membuat pembaikan, aku cuba menghantar manuskripku kepada syarikat yang sama buat kali kedua. Diam seribu bahasa. Tolak tidak. Terima pun tidak. Setelah menunggu untuk tempoh tertentu, aku pun menghantar karyaku kepada syarikat penerbitan kedua.

Syarikat penerbitan kedua menyepi. Aku tidak tahu dan tidak dapat mengagak status manuskrip yang aku hantar. Lagi… aku perlu menunggu untuk tempoh tertentu.

Akhirnya… percubaan aku berhasil setelah menghantar manuskripku ke syarikat penerbitan ketiga. Sebenarnya, syarikat penerbitan ini merupakan pilihan utamaku. Namum, dek kerana tidak yakin terhadap diri sendiri, kuketepikan hasratku untuk menerbitkan karya di bawah syarikat tersebut.

Tidak mengambil masa yang terlalu panjang, editor dari syarikat berkenaan menghubungi. Beliau memaklumkan bahawa manuskripku diterima tetapi aku perlu membuat pembaikan. Teruja dengan berita yang diterima aku menghubungi suamiku untuk memaklumkan perkara tersebut. Penerimaan manuskrip sepertinya aku diterima kerja oleh syarikat yang menjadi igauan. Aku sungguh gembira. Minta ubah? Minta buat pembetulan? Aku tidak kisah asal karyaku bakal diterbitkan. Aku turuti segala tunjuk ajar yang diberikan editor. Seratus peratus tanpa bantahan. Bagiku, editorku adalah sifuku. Hormatku pada editor seolah-olah hormatku kepada seorang guru yang berjasa.

Setelah melalui pelbagai liku dalam menyiapkan manuskrip… akhirnya, lahirlah novel Islamik aku yang pertama dengan judul Mencari Naurah. Kisah seorang gadis yang menyintai seorang jejaka dalam diam.

0 Responses