Jatuh Bangun Seorang Aku (5)

 


Alhamdulillah. Sehingga 2017, aku berjaya menghasilkan dua belas buah buku. Buku-buku tersebut terdiri daripada pelbagai genre atau kategori yang meliputi novel popular, novel Islamik, buku kanak-kanak, buku remaja, novelet serta kompilasi cerpen. Nampak mudah namun hakikatnya tidaklah sesenang yang dilihat. Banyak cabaran yang perlu aku tempuhi. Drama air mata sendiri usah cakaplah. Jatuh tersungkur entah berapa kali. Aku sendiri yang perlu membuat pilihan. Sama ada aku ingin mengorak langkah sampai berjaya atau aku hendak berhenti di pertengahan jalan. Aku melangkah. Aku juga berhenti. Pun begitu, apabila hilang lenguh kakiku, aku melangkah semula.

Cabaran paling besar untuk bergelar penulis ialah cabaran dalam diri sendiri. Ya. Semuanya bergantung kepada diri sendiri. Aku rajin, aku dapat. Aku malas, aku terlepas. Bagiku, disiplin adalah kunci utama kejayaan. Orang lain boleh menitip pesan agar engkau buat itu dan ini tetapi hakikatnya engkau sendiri yang perlu lakukannya. Aku…

Meskipun bekerja sendiri di rumah, aku ada pejabat sendiri…

Daripada mula menulis di atas lantai, kemudiannya ada meja dan kerusi sendiri.

Daripada meja kecil dan kerusi plastik, kemudiannya ada meja yang lebih besar dan kerusi yang lebih selesa.

Daripada komputer riba, aku akhirnya memiliki komputer dan pencetak sendiri.

Secara peribadi aku berpendapat bahawa tempat bekerja yang kondusif turut memainkan peranan penting untuk membantu membentuk disiplin dalam diri. Auranya lain macam. Semangat pun berbeza. Aku memang meletakkan target aku sendiri dalam hal ruang bekerja ini. Jika pada awal penglibatan dalam dunia penulisan aku hanya menulis di atas lantai dengan meja kecil di ruang tamu, aku kena pastikan bahawa satu hari nanti aku punya pejabat sendiri atau ruang yang memperlihatkan suasana dalam pejabat. Oh, ya... Jangan tak percaya. Awal penglibatan aku dalam dunia ini,aku pernah dituduh sebagai seorang isteri yang tidak bertimbangrasa oleh seseorang yang tidak tinggal serumah dengan aku...jauh di mata... sentiasa jauh dalam jiwa. Sebabnya... suamiku ingin masukkan internet di rumah. Aku? Awalnya, memang berkecil hati tetapi aku serah segalanya pada Allah Yang Maha Teliti. Orang yang tidak duduk serumah... tidak tahu perjalanan hidup aku... boleh berkata yang bukan-bukan. Mungkin dek hati yang kotor dan suka berburuk sangka. Alhamdulillah. Walaupun dicela, aku tetap berjaya mengecap impian... bergelar penulis.

FULL STOP!

Di samping itu, aku juga masuk kerja macam orang makan gaji masuk kerja.


Lebihnya aku… aku boleh menyusun dan menetapkan waktu kerja dan waktu rehat sendiri. Jika aku masuk kerja pukul 9.00 pagi, aku perlu keluar seawalnya pada jam 6.00 petang. Cuma, waktu rehat aku tetapkan dua jam. Nampak santai, bukan? Ya dan tidak. Ada kala, aku bekerja dengan penuh relaks. Ada ketika, aku pulun sehabis mungkin. Ada kala, aku rehat sampai dua tiga jam. Ada ketika, aku stay up sampai dua tiga pagi.

Sebagai manusia yang punya hati dan rasa… kadang-kadang emosiku terganggu. Rasa rendah diri. Rasa ‘nobody’. Rasa ‘lonely’. Paling parah, rasa hodoh. Semua rasa hadir. Mungkin sebab sudah terbiasa bekerja dan punya pendapatan bulanan sendiri. Mungkin juga sebab asyik terperuk di rumah. Rakan akrab hanyalah suami. Apabila rasa ini datang menjengah, lazimnya fokus menulis akan turut terganggu. Apabila fokus menulis jadi kacau bilau, penghasilan karya tidaklah seperti yang diharapkan. Solusi? Aku jarang mengambil masa yang lama untuk mengubati ‘sakit’ rasa sendiri. Tarik nafas. Ingat Tuhan ada. Bersangka baik pada Yang Esa. Terus jalan. Lama kelamaan, aku sudah sebati dengan rasa yang sebegini. Maka apabila rasa ini hadir, lazimnya aku berupaya untuk depaninya sendiri.

Selain daripada cabaran dalam diri sendiri, aku juga berhadapan dengan ‘writer’s block’. ‘Writer’s block’ adalah keadaan di mana aku tidak punya idea untuk menulis. Idea ada tetapi tidak boleh diluahkan menerusi mata pena. Aku tengok monitor komputer, monitor komputer tidak tengok aku… hanya membatu di situ. ‘Writer’s block’ sedikit sebanyak memberi tekanan kepada aku. Kenapa? Aku hendak menulis tetapi aku tidak tahu hendak tulis apa. Hendak kejar deadline. Ada sasaran sendiri tetapi KOSONG. Jadi, bagaimana?

Aku berhenti menulis sekejap… mencari ruang pada diri untuk kembali menulis. Lazimnya, apabila mendepani situasi ‘writer’s block’ ini aku akan membuat perkara lain selain daripada menulis. Antaranya ialah dengan membaca, keluar jalan-jalan, ‘window shopping’, tonton TV, menulis blog dan banyak lagi. Bagi aku, ‘writer’s block’ muncul apabila aku menulis tanpa henti. Minda tepu. Idea hilang.

Cabaran lain ketika bergelar penulis ialah mendepani orang yang tidak menyukai. Ketika awal aku berjinak-jinak dalam dunia penulisan, aku pernah di‘serang’ melalui chatbox blog. Serangan pula lebih kepada serangan peribadi oleh orang yang tidak aku kenali. Pada peringkat awal ‘serangan’ tersebut, aku stres. Aku terduduk. Aku menangis. Tidak dapat mengawal rasa hati sehinggalah suamiku memberi kata putus. Suamiku meminta aku membuat pilihan sama ada ingin memulakan kerjaya sebagai penulis atau menjadi suri rumah sepenuh masa? Jika aku tidak boleh menghadapi tekanan yang datang… atau melayan perkara yang tidak sepatutnya aku layan, lebih baik aku berhenti menulis. Akhirnya, aku memilih untuk terus berkarya. Nah! Dua belas buah buku juga terbit di pasaran, Alhamdulillah.

Apa lagi ya? Cabaran yang aku kira besar adalah cabaran untuk memastikan bukuku berterusan diterbitkan. Paling tidak sebuah buku setahun. Kenapa? Agar namaku akan terus diingati di kalangan pembaca ataupun penggiat buku. Maka, hendak tidak hendak, aku kena pastikan bahawa bukuku siap untuk tempoh yang tertentu. Aku juga perlu pastikan yang buku yang siap itu diterima terbit oleh syarikat penerbitan. Selepas buku terbit, perlu fikirkan cara membantu syarikat penerbitan untuk membuat pemasaran buku sendiri pula.

Akhir sekali… boleh kuanggap sebagai cabaran hendak bergelar penulis. Aku pernah dilabel sebagai seorang penulis picisan. Sampai kini kuingat kata-kata itu. Oleh seorang penulis. Entah ada nama. Entah tidak kerana aku tidak mengenalinya sebelum ini. Ketika itu, novel pertamaku terbit di pasaran. Novel genre popular. Apabila terlibat dengan program bersama penulis… biasalah, kita akan saling berkenalan. Apabila ditanya tentang buku yang aku hasilkan, dengan berbesar hati aku menyebut tentang novelku yang telah berada di pasaran. Maklum balas yang diterima?

“Oh, penulis picisian..”

Aku? Sentap itu pasti tetapi sejauh mana aku hendak melayan kata-kata yang menyakitkan hati ini. Mungkin ada benarnya. Mungkin juga salah. Setiap orang ada pandangan yang tersendiri. Aku terduduk sekejap tetapi kemudian bangkit semula. Aku cuba hasilkan buku dengan pelbagai genre dan…

Aku berjaya…

0 Responses