Tauhidul Ibadah


Salam. Pertamanya, Muthiah ingin mengucapkan selamat berpuasa… apa yang kita rasa? Gembira??? Alhamdulillah… bulan yang penuh dengan keberkatan… bulan yang dijanjikan ganjaran pahala yang besar/ banyak oleh Allah. Hanya kita yang tidak mahu ambil peduli… Maka, sematkan dalam diri…

Mulai saat dan ketika ini, aku mahu jadi yang PALING BAIK di sisi Tuhan-ku. Ya… jika kita seorang pekerja, jadilah pekerja yang terbaik… Bilamana kita seorang isteri/ suami, jadilah yang terbaik tetapi jangan lupa… lakukanlah yang TERBAIK itu KERANA ALLAH.

1- Banyakkan bertadarus Al-Quran.
2- Banyakkan beristighfar, berzikir .
3- Banyakkan solat sunat (tahajjud, hajat, taubat, istikharah, dhuha).
4- Banyakkan bersedekah/ berinfak.
5- Jangan lupa solat tarawih, witir ;)
6- Berbukalah berpada-pada… elakkan pembaziran.
7- Jangan lupa makan sedikit untuk sahur.
8- Berbuka dengan kurma dahulu ya…
9- Elakkan berkata-kata yang sia-sia.
10- Membeli-belah? Berpada-pada dan ikutlah kemampuan diri.
11- Jangan lupa bayar zakat :p

Baiklah, jom berhalaqah ;)

Mula-mula, Muthiah ingin membuat imbasan kembali. Apakah yang kita fahami dengan TAUHIDULLAH?

Ya betul!!! Hehe… (ingat Pop Kuiz ka???)… Tauhidullah membawa makna MENGESAKAN ALLAH. Dengan kata lain, kita tidak hanya menjadikan Allah sebagai RAB dan MALIK tetapi turut mengesakan-Nya sebagai ILAH. Allahlah tempat kita mengabdikan diri dan kepada Dia juga kita memohon pertolongan. Firman Allah dalam surah Al-Fatihan ayat 5 yang bermaksud, “Hanya kepada Engkau yang kami sembah (mengabdikan diri) dan hanya kepada Engkau kami meminta pertolongan.”

Namun, perlu diingat bahawa segala sesuatu yang kita lakukan itu perlulah/ haruslah/ mestilah IKHLAS (hati suci, tidak menipu, tidak berpura-pura) kerana Allah SWT semata-mata. Benar… Allah hanya menerima amal yang ikhlas sepertimana sabda Nabi SAW, “Sesungguhnya diterima amal perbuatan (seseorang itu) bergantung kepada niatnya dan sesungguhnya setiap orang akan dapat apa-apa yang diniatkannya. Barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya (akan diterima) sebagai hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ia cari atau wanita yang ingin ia nikahi, maka ia akan mendapat apa yang ia tuju,” (HR Imam Bukhari dan Muslim).

Hmmm… boleh rujuk juga kisah Habil dan Qabil yang menyembahkan korban kepada Allah sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Maidah ayat 27 yang bermaksud, “Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya. Ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima daripada salah seorang daripada mereka berdua (Habil) dan tidak diterima daripada yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil), ‘Aku pasti membunuhmu!’ Berkata Habil, ‘Sesungguhnya, Allah hanya menerima (korban) daripada orang-orang yang bertakwa.’..”

Sesungguhnya, bilamana seorang anak Adam itu mentauhidkan Allah secara luhur dan ikhlas, menjadikan dirinya seorang manusia yang benar-benar beriman kepada-Nya.

Ya! Ia tidak mengharapkan sesuatu yang lain daripada Allah. Pada-Nya, kita memohon PERTOLONGAN… PERLINDUNGAN… PENGHARAPAN dan hanya kepada Dia kita BERGANTUNG HARAP. Mana mungkin ada kuasa lain yang bisa membantu manusia yang sama taraf dengannya (melainkan mereka yang taqwa). Jadi, sudah jelas… segalanya adalah milik Allah. Adoi… berbelit bahasa untuk mengulasnya ;)

Sebut tentang ikhlas, insya-Allah kita kan dapat memurnikan ibadah kita bilamana kita melalui dua perkara yang akan Muthiah bincangkan secara ringkas di bawah :

1.1- Mengingkari thaghut/ syaitan

Huhu… Muthiah cari makna thaghut dalam Kamus Dewan, tiada tetapi dari apa yang Muthiah ingat… THAGHUT membawa maksud melampaui batas (afwan kalau tersilap). SYAITAN pula ialah makhluk halus yang jahat (menggalakkan manusia melakukan kejahatan/ melanggar perintah Allah).

Eh, terlupa. MENGINGKARI bermakna memungkiri, menafikan, tidak mengakui (mentaati, menuruti) dan menderhakai.

Dengan kata lain… kita derhaka terhadap sesuatu yang dibenci Allah, yakni syaitan (dan segala sesuatu yang sepadan dengannya). Syaitan adalah musuh Allah dan musuh kita semua. Ia hanya mengajak manusia kepada kejahatan, menjauhkan manusia daripada Islam dan jalan/ cara hidup yang telah ditetapkan oleh Allah ke atasnya.

Firman Allah dalam surah Al-A’raf ayat 27 yang bermaksud, “Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga. Ia menanggalkan daripada keduanya pakaian untuk memperlihatkan kepada keduanya aurat (mereka). Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang tidak dapat dilihat olehmu. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang yang tidak beriman.”

Sama-samalah kita mengikhlaskan hati dalam ibadah dan mengingkari musuh-musuh Allah yang dapat menjauhkan kita daripada-Nya. Siapa? Thaghut… siapakah thaghut itu? Hmmm… orang yang berbuat zalim, mereka yang melampaui batas serta manusia-manusia yang berbuat salah (tanpa penyesalan).

1.2- Menjauhi thaghut

Ya, kita bukan sahaja perlu mengingkari bahkan menjauhkan diri daripadanya (thaghut). Dengan kata lain, kita menolak thaghut dalam segala hal dan keperluan. Jangan sekali-kali menjadikannya sebagai rakan/ teman kerana pasti! Thaghut itu bukanlah teman sejati yang bisa membawa kita kepada Tuhan, Allah yang Esa.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam KESELURUHAN dan janganlah kamu menuruti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.”

Jauh jauh jauh…usah sekali-kali mencuba sesuatu yang dilarang Allah. Arak itu haram! Zina itu jelik! Memutuskan silaturrahim itu mengundang murka daripada Allah. Tanyakan pada diri setiap kali mahu melakukan sesuatu, ‘Kalau aku buat benda ini, Allah suka atau tidak?’ … Kalau tidak tahu jawabnya, tanyalah lagi, ‘Allah murka atau tidak…’ Kalau masih tidak tahu… bertanyalah kepada mereka yang lebih tahu. Hehehe…

1.3- Tidak mempersekutukan Allah

Bilamana kita telah meletakkan pergantungan 100% kepada Allah, bermakna kita tidak lagi menduakan Allah. Kita tidak meletakkan sesuatu lebih tinggi atau sama tandingannya dengan Allah. Bagi kita, Allah adalah segala-galanya dan setiap apa yang kita lakukan, tidak lain dan tidak bukan semata-mata kerana Allah.

Kita belajar… kerana Allah.
Kita bernikah… kerana Allah.
Kita bekerja, mencari rezeki yang halal… kerana Allah.
Kita berjuang… kerana Allah SWT.


Insya-Allah, kita pasti akan berjaya dunia akhirat. Mencari ruang atau masa untuk beribadah/ berinteraksi dengan Allah sama sekali tidak akan merugikan waktu kita. Pasti! Allah akan memberi ruang dan masa buat kita untuk menyudahkan kerja-kerja yang ditangguhkan semata-mata untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim Mukmin.

Contohnya… kita punya banyak kerja, perlu hantar assignment pagi esok. Tiba-tiba, azan berkumandang. Alahai… serba-salah jadinya. Argh!!!! Kerja terlalu banyak dan aku stres…

Hmmm… sebenarnya, tidak ada alasan bagi kita untuk melengah-lengahkan solat dan lebih malang jika kita mengambil keputusan untuk meninggalkan suruhan Allah tersebut. Kalaupun kita solat, solat kita tidak khusyuk… ada sesuatu yang ‘lebih penting’ bermain-main dalam pemikiran kita. Aduh aduh, nauzubillah…

Ingatlah, segala apa yang kita lakukan…adalah izin daripada Allah. Kita boleh berbicara, menulis, membaca … semua dengan izin Allah! Kita… hendak menggerakkan jari kelingking yang paling halus pun tidak mampu inikan pula perkara lain yang lebih besar. Fikir-fikirkan…

Firman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat 116 yang bermaksud, “ Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan Dia mengampuni dosa selain syirik bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.”

2.1 – Beriman terhadap Allah

Dengan kata lain, kita harus menanamkan keimanan dalam diri. Kita beriman kepada Allah dengan seikhlas hati dan tulus. Sesungguhnya, sama sekali tidak akan bersemayam keimanan di dalam hati manusia yang berkarat, kotor, busuk hatinya … tidak menghilangkan thaghut dalam jiwanya.

Apa itu IMAN??? Hmmm… iman itu adalah membenarkan dengan lidah, percaya dalam hati dengan penuh yakin dan mengamalkan dengan anggota badan (huhu.. Muthiah kurang ingat ungkapan yang lebih sedap untuk dicoreti).

Kita mengakui bahawa Allah itu Esa, Allah sebagai tempat bergantung dan Allah adalah segalanya. Bukan itu sahaja, hati kita juga yakin dengan kekuasaan Allah terhadap sesuatu. Hanya Allah yang boleh memberi manfaat serta mudarat. Akhirnya, sebagai hamba yang telah teguh keyakinannya terhadap kuasa yang menciptakan dan menjadikan, ia melakukan segala suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Selain itu, kita juga menjadi manusia yang bertaqwa kepada Allah. Kita takut untuk melanggar perintah-Nya dan kita tidak berani untuk melakukan ketaatan dengan sambil lewa.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 285 yang bermaksud, “Rasul telah beriman kepada Al-Quran yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya. Demikian pula orang-orang yang beriman,semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya…”

Info : Rukun iman ada enam semuanya – Percaya kepada Allah, malaikat-Nya, Rasul-Nya, kitab-Nya, qadak dan qadar serta hari kiamat. Hmmm… cuba kita renungkan bersama sari pati rukun-rukun iman ini…

2.2- Mengabdikan diri hanya kepada Allah

Hanya… bermakna satu-satunya kepada… betul atau tidak? Salah?? Jadi, yang sebetulnya bagaimana ya? ;)

Keimanan seseorang tidak dapat dilihat tetapi terbukti dengan ketaatan seorang hamba terhadap Tuhannya. Dengan kata lain, ia mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. HANYA ALLAH…

Ia taat kepada segala perintah-Nya. Bilamana ia terlupa, segera ia beristighfar memohon ampun kepada Allah yang memiliki keampunan itu (hehe…macam pelik sahaja bahasa yang digunakan). Dari semasa ke semasa, ia berusaha membaiki diri menjadi lebih baik, mengikut apa-apa yang telah ditetapkan/ disyariatkan oleh Allah SWT. Ia tidak ego terhadap diri sendiri dan sentiasa merasakan dirinya kerdil di hadapan Tuhan.

Selain itu, ia menjauhi larangan Tuhannya. Allah suka? Allah murka? Ia tidak mahu dekat dengan sesuatu yang diharamkan Allah. Begitu juga dengan sesuatu yang syubhah… ia tidak mahu menghampirinya kerana ia mahu hanya yang terbaik dan paling baik buat Allah yang telah mengurniai dirinya 1001 kenikmatan bahkan infiniti.

Yang pasti! Hanya Islam yang patut diikuti. Hanya ajaran Islam yang akan membawa manusia mengecapi kebahagiaan di dunia dan akhirat, insya-Allah.

2.3- Mengesakan Allah

Sari pati yang paling penting… MENGESAKAN ALLAH. Bahasa mudahnya, tidak menyekutukan Dia dengan sesuatu… tidak mencampur-adukkan ibadah dengan nilai-nilai yang bisa mencacatkannya seperti syirik, riyak, takbur, ujub dan banyak lagi.

Jom, Muthiah kongsi sedikit pengertian perkataan di atas (diambil dari Kamus Dewan)… lepas ini, Muthiah perlu beransur dahulu… ingin masak ya..

Syirik – perbuatan menyekutukan Allah, baik dengan keyakinan, ucapan atau perbuatan; percaya adanya kuasa ghaib selain daripada Allah, memuja berhala

Riyak – sikap atau sifat suka menunjuk-nunjuk amal ibadah atau sesuatu kebaikan dengan tujuan mendapat pujian atau sanjungan daripada orang lain, bukan kerana Allah.

Takbur – berperasaan tinggi diri (suka menganggap diri lebih mulia, lebih pandai, lebih cerdik daripada orang lain), angkuh dan bongkak.

Ujub – kagum terhadap diri sendiri, angkuh.

Muthiah : Nauzubillah… moga dijauhkan daripada perbuatan mazmumah…
Labels: | edit post
0 Responses