Kepada siapa kita harus takut?


Salam ya semua. Sekembalinya Muthiah dari Kuala Lumpur… penat bangat. Hari ini, sepagi Muthiah tidak membuat apa-apa kerja (hanya menjemur pakaian di ampaian). P-FC pun Muthiah tidak sentuh. Ditambah dengan bau-bauan yang tidak menyenangkan dari kilang berdekatan, menyebabkan Muthiah tidak dapat fokus.

Alhamdulillah, Muthiah kembali bertenaga sesudah solat Zohor. Masuk pejabat dahulu dan siapkan P-FC. Kemudian, hendak menulis blog tetapi… adoi adoi… untuk iftar bersama suami.

Hmmm… macam biasa ;) Yang baik, jadikan teladan…

Akhir zaman ini, tidak banyak ilmuan yang berani menyatakan kebenaran. Dengan ilmu yang dimiliki, ia tahu bahawa pegangan itu salah tetapi ekoran takutkan hilangnya nikmat duniawi yang ia kecapi, ia lebih senang menggadai harga diri daripada menegakkan yang haq.

Ia lupa untuk takut kepada Tuhan yang memiliki segala ilmu, Allah yang merupakan pakar ilmuan daripada segala pakar. Ilmu yang dipunyai tidak dimanfaatkan sebaiknya malahan ilmu itu dieksploitasi demi kepentingan diri sendiri.

Itulah manusia. Manusia yang telah hilang jati diri. Ia lebih takutkan pandangan manusia yang tidak kekal lama berbanding pandangan Allah yang kelak kan menghantarnya ke pintu syurga mahupun neraka. Nafsu telah menguasai dan iman tidak lagi menjadi benteng kekuatan diri.

Sabda Nabi SAW, “Seandainya kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu lebih banyak menangis daripada ketawa.” HR Bukhari dan Muslim.

Orang yang benar-benar takutkan Allah pasti kan lebih banyak MENANGIS daripada KETAWA dan lebih banyak DIAM daripada BERBUAL-BUAL KOSONG. Ia takut ketawa itu kan melalaikannya daripada mengingati Allah. Hmmm… manusia itu lebih mudah teralpa tatkala bersuka ria. Firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 82 yang bermaksud, “Maka hendaklah mereka sedikit tertawa sedikit dan banyak menangis, sebagai pembalasan daripada apa yang selalu mereka kerjakan.”

Bukan itu sahaja, manusia yang benar-benar takutkan Allah pasti takut untuk banyak BERBICARA. Ia khuatir, banyak cakapnya… banyak pula salah yang dilakukan. Bilamana banyak berbuat silap, banyak dosa yang tercatit di dalam buku amalan. Maka, DIAM itu akan membuatkan hatinya senang… tenteram jiwanya.

Satu ketika, Wahab bin Munabih memimpin Ibnu Abbas R.A. yang telah tua dan buta matanya ke Masjidil Haram. Sampai di sana, Ibnu Abbas mendengar beberapa orang sedang berbual dengan suara yang lantang dan sesetengahnya pula sedang ketawa keras.

Lalu beliau meminta untuk dibawa ke hadapan mereka. Berkata Ibnu Abbas, “Izinkan aku menceritakan dari hal hamba-hamba Allah yang sebenar-benarnya. Mereka adalah manusia yang tidak ingin berkata-kata kerana takutkan Allah sungguhpun mereka tidak bisu malahan dapat menggunakan bahasa dengan fasihnya. Namun, mereka sering memuji Allah, mereka tidak dapat memperkatakan yang sedemikian rupa, mereka bergegas ke arah kebaikan. Mengapakah kamu sekalian menyeleweng dari jalan ini?” Wahab bin Munabih berkata, “Sejak peristiwa itu, aku tidak melihat manusia berkumpul di Masjidil Haram untuk berbual-bual kosong apalagi untuk bertengkar.”

T.A.K.U.T!!! Takut kepada Dia yang mencipta ialah takut terhadap seksa-Nya. Takut terhadap kemurkaan-Nya yang membawa kepada balasan yang amat dasyat.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 40, “Dan hanya kepada-Ku hendaknya kamu berasa takut.”

“Dan Allah memperingatkan kamu terhadap seksa-Nya,” Ali-Imran ayat 30.

Takut dan amat takut untuk berhadapan dengan Tuhan dengan dosa yang menggunung.

Takut Allah memalingkan wajah-Nya tatkala kita hadir membawa amalan...

Andai amalan itu diterima, beruntunglah kita. Bergembiralah kita kerana penat lelah kita, tidak sia-sia. Kita kelak kan ditempatkan bersama-sama orang yang soleh yang cintakan Allah. Firman Allah, “Dan bagi orang yang takut akan saat menghadap Tuhannya, disediakan baginya dua syurga.”

Akan tetapi, bersediakah kita andai amalan yang kita lakukan ditolak Ilah? Amalan itu TIDAK SUCI dan bukanlah dilakukan semata-mata kerana Allah. Kita tidak IKHLAS bahkan memandang kepada nama dan penghormatan diri. Jadi, di manakah kita meletakkan Allah?

Kita lupa … kita mungkin terlupa. Kita lupa bahawa penciptaan kita di muka bumi ini adalah sebagai khalifatullah yang mengabdikan diri kepada-Nya. Firman Allah, “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku.” Az-Dzariyat ayat 56.

Disebut dalam buku al-Mustadrak karya al-Hakim dan Musnad al-Bazar, daripada Zaid bin Arqam R.A.; Pada suatu hari, Abu Bakar R.A. telah meminta segelas air lalu diberikan kepadanya segelas air yang telah dicampurkan madu.

Tiba-tiba, Abu Bakar menangis. Hal ini menyebabkan para sahabat turut menangis. Kemudian, mereka berhenti menangis tetapi Abu Bakar masih tidak surut tangisannya bahkan semakin menjadi-jadi esakannya. Akibatnya, para sahabat pun menangis kembali.

Apabila mereka berhenti menangis, mereka bertanya kepada Abu Bakar, “Wahai khalifah Rasulullah SAW, mengapakah kamu menangis?”
Abu Bakar menjawab, “Aku pernah berdua-duaan bersama Rasulullah. Kemudian, beliau bersabda sambil menggerakkan tangannya, ‘Pergi sana, pergi sana.’ Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, engkau berbicara dengan siapa sedangkan di sini tiada sesiapa?’ Nabi SAW bersabda, ‘Dunia datang kepadaku lalu aku katakan kepadanya supaya pergi sana, pergi sana. Lalu dunia berkata kepadaku, ‘Kalau kamu selamat daripadaku, maka orang-orang sepeninggalanmu tidak akan selamat daripadaku.’ Itulah yang membuatkan aku menangis.”

Betapa takutnya sahabat terdahulu kepada Allah dan sesuatu yang melalaikan daripada mengingati Allah. Mereka khuatir akan teralpa sedang iman itu sebenarnya begitu teguh berpaut dalam hati-hati mereka. Mereka tetap takutkan azab Allah serta kemurkaan-Nya. Mereka tidak mahu melakukan kesilapan yang boleh membawa mereka ke pintu neraka.

Kita bagaimana? Adakah kita takut dengan dunia yang kita kejar … kelak menghancurkan diri kita? Dunia yang menyebabkan kita jauh daripada Tuhan yang menciptakan… yang menyungkurkan kita dari jalan Allah.

Marilah kita koreksi bersama, wahai teman… Dunia ini hanya sementara. Tidak kekal abadi dan akan hancur jua akhirnya. Akan tiba masa kita dipanggil pulang oleh Tuhan. Waktu itu, kita akan ditanya tentang amal perbuatan kita di atas muka bumi ini.

Usia… bagaimanakah kita menggunakan umur kita sedang Allah telah melanjutkan penghidupan kita di muka bumi ini?

Amalan dan cara hidup… mengikut garis panduankah atau tersasar dari jalan-Nya? Semua itu akan dihisab oleh Tuhan. Bersediakah kita?

Maka, sedarlah wahai sahabat…

Takutlah hanya kepada Allah. Dialah sebaik-baik Penilai dan Penghukum.
Takutlah melakukan kemaksiatan kepadanya.
Takutlah dengan azab api neraka yang tersedia buat mereka yang engkar dan lalai.


Laksanakanlah seluruh syariat yang telah ditetapkan serta taatilah Rasul, pesuruh Allah yang banyak pengorbanannya terhadap diri kita, umatnya.

Usah gentar dalam menegakkan kebenaran dan membanteras kebatilan. Jangan biarkan syaitan ketawa riang melihatkan kerapuhan kita dalam mentaati Tuhan Pencipta alam. Yakinlah! Allah itu sentiasa bersama kita setiap saat dan ketika. Sama sekali Dia tidak meninggalkan kita walau sedetik. Mohonlah keampunan-Nya dan semailah rasa takut terhadap kemurkaan Allah. Ingatlah! Daripada Dia kita datang dan kepada-Nya jua kita kan kembali.


Sumber : 40 Sifat yang Dicintai Allah- Abu Ahmad Fatanah, Orang-orang yang Menangis kerana Takut Allah –Abdul Hamid bin Abdurrahman as-Sahibani

Muthiah : Takut takut takut… takut dengan azab api neraka… nauzubillah..
Labels: | edit post
0 Responses