Tanggungjawab seorang bapa...
Saturday, August 29, 2009
Salam. Apa khabar semua? Hujung minggu kali ini macam mana? Hehe… Muthiah, Alhamdulillah, CEMERLANG, GEMILANG DAN TERBILANG sentiasa. TER???? Hmmm…
Baru-baru ini, Muthiah menonton tazkirah pagi (lupa hari apa). Rasanya, ingin berkongsi dengan teman-teman semua… Afwan ya, Muthiah tidak akan tulis secara terperinci. Jam 12.00 nanti, ada urusan lain. Hanya ada kurang 30 minit untuk menulis. Yang baik, ambillah…jadikan panduan… yang tidak baik, jadikan sempadan. Selamat membaca ;)
Hai teman-teman. Eh silap… Dedikasi buat :
1- Mereka yang sudah bergelar ayah (sudah punya putera puteri idaman).
2- Mereka yang bakal menjadi ayah.
3- Mereka yang… tunggu masa menjadi suami dan ayah ;)
Tazkirah ini telah disampaikan oleh Ustaz Badli Shah Alauddin. Muthiah pun ingat-ingat lupa tetapi kalau ada yang silap, sama-sama kita perbetulkan ya…
Seseorang telah datang bertemu Sayidina Umar Al-Khattab. Ia mengadu kepada Umar bahawasanya anaknya telah derhaka kepadanya. Kemudian, Sayidina Umar pun memanggil anak lelaki tersebut…
Bertanya si anak kepada Sayidina Umar, “Apakah tanggungjawab seorang bapa?”
Jawabnya…
1- Letaklah anak dengan nama yang baik
Dengan kata lain, berilah nama dengan nama yang baik. Kerana, nama yang disebut/ dipanggil/ diseru sehari-hari adalah satu doa. Bilamana sentiasa disebut dan didoakan… khuatir menjadi nyata (bagi nama yang tidak elok). Sekiranya nama itu sudah sedia elok, Alhamdulillah. Moga-moga anak itu kan menjadi baik dan terpuji akhlaknya.
Hmmm… dewasa ini, ibu bapa lebih gemar memberikan nama yang unik dan pelik. Unik dan pelik, boleh diterima lagi (jika mempunyai makna yang baik). Akan tetapi, bagaimana pula halnya jika anak itu diberi nama dengan nama yang tidak senonoh atau hodoh pengertiannya? Disebut / dipanggil-panggil pula setiap hari. Dalam satu hari, boleh jadi berpuluh-puluh kali…
Tidak dinafikan, ada orang yang baik pengertian namanya tetapi sudah diketahui umum jelik keperibadiaannya. Itu, satu perkara! Namun… sebaik-baiknya, seelok-eloknya, seharusnya… bagi seorang ayah/ ibu… berilah nama yang disukai Allah. Apakah nama yang disukai Allah? Hehe… pastinya nama yang baik-baik.
Adoi… adoi… adoi… Apa yang Muthiah tulis ini??? :) Nama Muthiah, dahulu… ustaz pernah cakap bermakna, ‘Cahaya Harapan Bagiku…’
2- Mengajar anak adab kesopanan
Dengan kata lain, tunjuklah teladan yang baik buat anak-anak. Hiduplah dengan cara hidup Islam. Jadikan rumah sebagai PUSAT TARBIYAH utama mendidik anak-anak menjadi insan berguna, yang boleh berjasa kepada AGAMA, BANGSA dan NEGARA. Fuiyooo… Patriotik…
Dalam hal adab dan sopan, tidak praktikal jika mendidik anak-anak secara teori semata-mata. Si ibu memberitahu anaknya, perlu menghormati orang tua namun sebaliknya, si ibu sendiri tidak menghormati suaminya di hadapan si anak. Jadi, macam mana???
Maka, tunjukkanlah akhlak / peribadi yang baik. Si isteri tidak meninggikan suara kepada suami. Suami pula menjalankan amanah sebagai seorang ketua keluarga dengan baik. Bercakap dengan lemah-lembut, memanggil dengan panggilan yang baik-baik, merendah diri dan banyak lagi. Pasti, setiap perkara yang mungkin kita nampak kecil ini sebenarnya bisa mengajar anak-anak mengenai kehidupan. Kehidupan yang lebih baik…
Seorang guru itu membentuk OTAK, manakala ibu dan bapa membentuk WATAK anak-anak. Jika dikombinasikan, insya-Allah melahirkan manusia yang hebat dan istimewa.
3- Mengajar anak menulis
Dengan kata lain, didiklah anak dengan BUDAYA ILMU, bukannya hiburan… Wahyu pertama yang turun buat umat manusia juga menyeru kita (hamba Allah) untuk membaca surah Al-‘Alaq – Iqra’ – Bacalah… bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu… Tanpa ilmu, boleh jadi kita tidak kenal dengan Pencipta. Bukan itu sahaja bahkan kita tidak dapat membezakan yang halal dengan yang haram. Kita tidak tahu yang salah dengan yang betul. Kita terus berada dalam kejahilan (Al-An’am ayat 35)… Hmmm…
Sayang seribu kali sayang, hari ini… banyak sekali ibu dan bapa (lebih) memberi galakan kepada anak-anak untuk berkecimpung dalam dunia hiburan yang jika tidak dikawal… khuatir bisa memusnahkan. Mereka ini dipuja dan dipuji… diangkat oleh masyarakat serta dijadikan idola. Namun… layakkah mereka dijadikan ikon kepada kita semua?? Fikir-fikirkan…
Berbalik kepada isu galakan untuk berkecimpung dalam dunia hiburan… Alasannya, anak itu berbakat dan tidak mahu mempersiakannya. Bukan itu sahaja, jika bernasib baik… boleh jadi jutawan segera sekaligus dapat mengubah nasib keluarga. Hmmmm…. Muthiah tidak mahu mengulas lanjut. Apapun, ketahuilah bahawasanya ‘MATLAMAT SAMA SEKALI TIDAK MENGHALALKAN CARA.’ Renung-renungkan, fikir-fikirkan….
Tips yang diberikan oleh Imam As-Syafie (untuk kepastian, boleh rujuk mana-mana). Mendidik anak, punya pemeringkatannya :
a) Usia 1 - 7 tahun – didik anak secara berMAIN (tetapi penuh pengajaran).
b) Usia 7 - 13 tahun – didik anak secara berDISIPLIN (tetapi bukan kekerasan).
c) Usia 13 dan ke atas – didik anak secara berSAHABAT/ berKAWAN.
4- Mengajar anak berenang
Hehe… yang ini, Muthiah tidak tahu hendak kupas bagaimana…
5- Anak-anak diberi makanan yang halal dan baik-baik
Renungkan kembali… dari mana kita mendapatkan rezeki? Sumbernya? (An-Nahl ayat 114).
Jauhilah sesuatu yang dilarang Allah. Rasuah itu haram, riba itu haram… mencuri itu haram, merompak dan mengambil hak orang lain tanpa kerelaannya juga haram. Jangan disebabkan perasaan tamak dan haloba, kita lupa segalanya.
Bagaimana pula dengan amanah yang diberikan? Adakah kita berusaha menjadi pekerja yang terbaik (yang mampu kita lakukan)? Lapan jam, tempoh bekerja … adakah kita menggunakan masa tersebut kena pada tempatnya?
Jadi, renungkan kembali… gaji yang kita peroleh pada setiap bulan… Bersihkah? Andai O.K., no problem… Alhamdulillah. Kalau tidak? Perut siapakah yang kita isi dengan gaji yang kita perolehi itu????
6- Anak dikahwinkan apabila sampai masanya
Pernah baca buku Nasihat dan Bimbingan untuk Putera Puteriku, tulisan Syeikh Ali Thantawi? Hehe… Dalam buku tersebut, dinyatakan asbab mengapa seorang putera/ puteri itu perlu bernikah … untuk MEMELIHARA JIWANYA… untuk MENJAGA HATINYA.
An-Nur ayat 32…
…
Kemudian, berkata si anak, “Sesungguhnya, bapaku tidak menjalankan semua tanggungjawab (yang disebut) itu.”
Balas Sayidina Umar, “Sesungguhnya, bukan kamu (si anak) yang derhaka… tetapi ayahmu.”
Baiklah, masa sudah habis. Baca… fikir dan renung… bertanya pada diri dan jawablah sendiri, hehe (saja-saja… mahu kita sama-sama berfikir)… insya-Allah, pasti kita akan mendapat manfaatnya. Selamat maju jaya ;)
Muthiah : Haha… kena menepati masa. Permisi dahulu ;)