Solat sunat Dhuha


Salam hormat. Hehe… kali ini, Muthiah ingin berkongsi tentang informasi solat Dhuha. Afwan ya, Muthiah lupa dari mana Muthiah dapatkan maklumat ini ~ coretan ini sudah lama Muthiah tulis. Jadi, yang baik… ambillah dan jadikan ikutan dan yang menimbulkan keraguan, jom kongsi jawapan yang sebetulnya. Selamat membaca ;)

Umat Islam digalakkan untuk melaksanakan amalan sunat. Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah SAW sendiri ialah sembahyang sunat Dhuha.

Banyak hadis yang menggalakkan dan menyatakan keutamaannya. Antaranya yang disebut dalam riwayat Abu Hurairah katanya:

Maksudnya, “Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat sembahyang Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan,” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya:

“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat sembahyang Dhuha,” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya:

“Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”

Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya segala dosa walaupun seperti buih di lautan,” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi).

Dan daripada Anas bin Malik RA berkata:

“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat, dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas,”(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi).

Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai sepenggalah dan berakhir sewaktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.

Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama, jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sayidatina Aisyah RA yang bermaksud :

“Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehendakinya,”(Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah).

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda:

“Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat, ditulis baginya daripada orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak empat rakaat, ditulis baginya tergolong daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat, dicukupkan baginya pada hari tersebut. Barangsiapa menunaikannya sebanyak lapan rakaat, Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat. Barangsiapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat, Allah akan membina baginya mahligai di dalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hamba-Nya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hamba-Nya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingati-Nya,”( Riwayat At-Thabarani).

Manakala surah yang sunat dibaca selepas membaca Fatihah pada rakaat pertama ialah surah as-Syams dan pada rakaat kedua selepas membaca al-Fatihah disunatkan membaca surah adh-Dhuha.

Adapun niat sembahyang Dhuha ialah :

Ertinya, “Sahaja aku sembahyang sunat Dhuha dua rakaat kerana Allah Taala.”

Doa sembahyang Dhuha ialah:

Maksudnya, “Ya Allah, bahawasanya waktu Dhuha itu waktu Dhuha-Mu, kecantikan itu ialah kecantikan-Mu, keindahan itu keindahan-Mu, kekuatan itu kekuatan-Mu, kekuasaan itu kekuasaan-Mu dan perlindungan itu perlindungan-Mu. Ya Allah, jika rezekiku masih di atas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah. Jika sukar mudahkanlah, jika ia (dari yang) haram maka sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu Dhuha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaan-Mu, limpahkanlah kepada hamba-hamba-Mu yang soleh .”
Labels: | edit post
0 Responses