Nur mina dzulumat (Cahaya dari dalam kegelapan)
Tuesday, August 25, 2009
“Sampai bila Nur nak membujang ni?” Diam…
“Sakit telinga mak. Mana mak nak letak muka…” Diam lagi.
“Orang cakap anak mak belajar tinggi-tinggi… ada harta… ada rupa tapi akhirnya jadi anak dara tua,” ibu meluahkan rasa hati yang mungkin sudah sekian lama terpendam. Wajahnya yang semakin dimamah usia dikerutkan. Terpancar rasa kecewa dari dalam lubuk hati. Ibu mana tidak kecewa andai anak yang ditatang bak minyak yang penuh masih tidak kelihatan hala tuju hidupnya. Ya, ia sudah memiliki segalanya namun masih belum cukup untuk melayari kehidupan sebagai seorang manusia… manusia yang punya akal dan nafsu.
Entahlah, aku juga buntu namun lidahku kelu untuk bersuara. Siapa aku untuk berkata-kata. Siapalah aku mahu bergelar isteri dan ibu buat zuriat yang bakal kukandung andai aku bertukar status satu hari nanti. Hatiku tertutup rapat buat cinta dan kasih seorang insan bergelar lelaki. Aku sebenarnya masih belum cukup mengenali diriku sendiri inikan pula mahu bertaaruf dengan orang asing yang bakal meneruskan kehidupan denganku.
“Nur…” ibu bersuara perlahan, seakan-akan satu rintihan sayu bunyinya.
“Ayah dah meninggal. Kita tak punya siapa-siapa sayang,” tersekat-sekat ibu meneruskan bicara.
“Mak kepingin nak tengok cucu. Sayu hati mak tengok Pak Mat dapat menantu. Pilu hati mak tengok Mak Munah dapat cucu, kembar pula tu…” ibu diam sejenak. Matanya memandang tajam dinding kamarku. Mungkin sahaja pandangan itu sudah tembus hingga ke bawah rumah. Atau mungkin sudah sampai ke rumah Pak Mat dan Mak Munah. Aku hanya membisu.
“Dulu…” suara ibu tenggelam-timbul.
“Arwah ayah, nak sangat tengok Nur duduk atas pelamin tapi …” kali ini air mata ibu mengalir laju. Entah ke mana ia pergi, aku sendiri tidak pasti. Aku kaget tetapi kakiku masih tidak mahu bergerak-gerak. Untuk mendapatkan ibu yang kesedihan apatah lagi. Aku hanya mampu menjadi pemerhati bisu.
Ibu… maafkan Nur kerana menghampakan ibu. Nur tidak mampu dan sampai bila-bila Nur akan begini. Biarlah apa orang nak kata asal hidup kita tidak menyusahkan orang lain. Waktu kita susah, kita sendiri. Kini pun, seharusnya kita tidak kekok untuk hidup sendiri-sendiri. Nur akan sentiasa ada di samping ibu. Nur berjanji akan membahagiakan ibu sepanjang hayat ibu.
*****
“Hello, cik Nur Sakinah?” Kata satu suara.
“Ya saya. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Jawabku perlahan. Ikutkan hati, malas rasanya mengangkat telefon bimbit. Al-maklumlah, aku keletihan setelah sehari-suntuk menghadiri seminar yang dianjurkan syarikat tempatku bekerja. Minggu depan, aku perlu ke Seremban pula untuk mengikuti kursus team building.
Kalau begini, lebih baik aku sendiri. Kan susah kalau sudah bersuami, terpaksa meninggalkannya berhari-hari. Lebih-lebih lagi setelah aku dinaikkan pangkat. Aku kini, bukan lagi eksekutif, bukan juga pengurus pemasaran tetapi sudah naik satu tingkat menjadi pengurus senior. Ah, itu hanya alasan untuk aku mengelak diri.
“Saya Konstabel Asyraf dari Balai Polis Belara. Ibu cik Nur Sakinah, Puan Aminah Sidek telah terlibat dalam satu kemalangan langgar lari. Saya harap cik Nur Sakinah boleh hadir ke hospital bagi tujuan pengecaman mayat,” dengan lancar anggota polis tersebut menerangkan.
‘Makkkk!!!’ Aku menjerit sendiri.
Aku berdosa pada ayah, aku juga berdosa kepada ibu dan yang paling utama, aku telah berdosa kepada Tuhan yang satu. ‘Ayah, mak… ampunkan Nur,’ aku berkata sendiri.
Ayah mengharapkan kehadiran menantu, ibu pula begitu teruja untuk bergelar nenek namun segalanya tinggal kenangan. Aku lebih senang sendiri dan akan selamanya sendiri. Tidak terdetik sekelumit rasa dalam hatiku untuk berkongsi kasih dengan sesiapa. Yang pasti, aku mahu mengejar cita-cita. Aku mahu kembali kepada Pencipta. Aku mahu menebus segala silapku buat Rab yang Maha Esa.
Aku malu! Aku malu dengan kejahilan sendiri. Aku malu andai aibku menjadi tontonan mereka di hadapanku. Aku malu memikirkan wajah-wajah sinis insan lain yang selama ini begitu kagum dengan karisma milikku. Nur ini hakikatnya berada dalam kegelapan. Aku malu…
Aku takut! Aku takut dengan kesilapan sendiri. Aku takut taubatku tidak dipandang Tuhan. Aku takut dicampakkan ke dalam api neraka sedang sama sekali aku tidak bersedia menuju ke dalamnya. Aku takut… aku takut. Biarlah aku menghukum diriku dengan caraku sendiri.
‘Ya Allah, ampunilah aku dan janganlah Engkau menghukumku atas keterlanjuranku,’ aku merintih sayu.
*****
“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk,” Al-Israk ayat 32.
Nah, aku bukan setakat mendekati zina tetapi kakiku berjalan menuju kepadanya dan akhirnya aku tersungkur. Aku terjatuh di lembah hina. Bukan itu sahaja bahkan aku menjadi manusia yang begitu keji. Sudahlah berdosa melakukan maksiat ditambah pula dengan dosa sang pembunuh. Ya, aku adalah pembunuh janinku sendiri. Aku tega untuk menutup aib di hadapan manusia di sekelilingku. Akhirnya, jadilah aku seorang binatang yang lebih zalim daripada haiwan tidak berakal.
Kejahilanku menyebabkan aku lupa, membuatkan aku alpa bahawasanya aku hanyalah seorang manusia yang kelak kan dihisab Tuhan di padang Mahsyar. Aku seolah-olah tidak tahu bahawa satu hari aku pasti akan kembali kepada Pencipta. Andai di dunia, aku boleh lari daripada hukumnya zina… aku boleh terhindar daripada hukumnya qisas tetapi tidak pada hari pembalasan. Neraca Allah sentiasa hampir denganku dan aku pasti aku tidak dapat berdolak-dalik lagi.
‘Mak… ampunkan dosa Nur,’ rintihku sayu.
Dosa silam membuatkan aku begini. Dosa yang tidak pernah kuduga dan kupinta. Ia datang sekelip mata dan meninggalkan sisa hitam yang kekal dalam sanubariku. Bukan salah ibu mengandung, bukan jua salah ayah yang membesarkan namun silapku sendiri. Aku terus berada di awangan. Cinta yang tidak bermata itu sering kali membuatkan aku buta. Buta untuk melihat kebesaran Tuhan. Tuhan yang mengurniakan rasa kasih dan sayang dalam hatiku.
Kalau tidak, masakan aku boleh jatuh cinta? Cinta yang membuatkan aku teralpa sehingga jatuh terduduk dan terluka kaki. Awalnya, hanya luka ringan tetapi bilamana kubiarkan luka itu terus merebak, akhirnya menjadi penyakit pada jasadku. Namun, tetap kubiarkan penyakit itu bermaharajalela. Setelah sebati, aku menjadi lali. Luka dan sakit itu bukan apa-apa. Yang penting, aku bahagia dengan dunia ciptaanku.
Sehinggalah aku ditinggalkan sendiri. Siapa aku untuk dijadikan isteri? Aku hanya teman sosial di kala sunyi. Hanya bunga yang terpelihara layak menjadi suri di hati sang lelaki. Kerana apa? Bunga itulah kelak yang bakal melahirkan zuriat buat suami dan meneruskan jaluran keturunan sehingga tiba waktunya Allah mengambil dunia ini daripada ‘penghutang’-Nya.
Penghutang? Ya, segala apa yang ada di atas muka bumi ini adalah pinjaman daripada Allah. Bezanya, Allah meminjamkannya tanpa mengharapkan sebarang bayaran mahupun balasan. Cuma satu yang dipinta ; jadilah insan yang taat dan patuh kepada segala suruhan-Nya tetapi aku?
Aku menggunakan udara milik Tuhan. Bukan itu sahaja bahkan Allah telah mengurniakan kenikmatan pancaindera buatku sehingga aku boleh melihat, mendengar, menghidu dan merasa namun kutetap mahu menjadi manusia yang lupa daratan. Aku lupa diri dan lupakan Tuhan. Aku juga lupa bahawa ibuku telah meletakkan nama yang begitu elok buatku. Bukankah Nur itu bermakna cahaya tetapi aku tetap mahu berjalan di dalam kegelapan dan menutupi cahaya yang sepatutnya menyuluh diriku sendiri.
*****
“Abang terpaksa bernikah dengannya,” kata Anuar suatu hari.
“Tapi bang…” air mataku perlahan-lahan menitik di pipi.
“Abang sayangkan Nur tetapi abang tidak berdaya untuk menolak permintaan papa dan mama,” ada riak kesal pada wajahnya tetapi aku sendiri tidak pasti, adakah ia betul-betul kecewa atau berpura-pura berdukacita.
“Bagaimana dengan kandungan …” diam. Bibirku tidak mampu untuk bersuara. Aku disahkan hamil empat minggu dan berita ini aku terima dengan hati terbuka. Mana tahu ibu dan ayah Anuar dapat menerimaku setelah aku disahkan hamil. Aku yang sememangnya jahil mungkin lupa. Hamil anak luar nikah bukanlah sesuatu yang dipuja-puja bahkan membuatkan masyarakat memandang sinis terhadapku.
“Mama minta Nur gugurkan kandungan tersebut. Segala pembayaran mama sudah uruskan,” perlahan-lahan Anuar cuba menyusun kata.
“Abang!!!” Aku menjadi sayu. Hatiku remuk dek kata-kata itu. Sudah cukup dengan dosa zina yang kulakukan tidak mahu menambah ‘saham’ dosa membunuh. Tidak!!! Aku tidak sanggup. Dosa sedia ada tidak mampu kutanggung inikan pula dosa besar yang begitu keji, bukan hanya pada pandangan Allah tetapi manusia juga pasti kan mencelaku.
“Abang kan lelaki. Abang harus bijak dan bertanggungjawab dengan apa yang dah berlaku. Kita suka sama suka dan Nur lakukan semua ini untuk abang. Nur sayangkan abang seluruh jiwa raga Nur dan Nur tidak sanggup kehilangan abang,” tersekat-sekat aku bersuara. Tangisanku semakin rancak menari. Aku sudah tidak punya siapa-siapa. Sudahlah harga diriku terbang melayang ditambah dengan ‘bala’ yang baru sahaja aku terima. Entahlah, boleh jadi balasan Tuhan buatku yang sentiasa lupa.
“Nur…” Anuar memandang tepat mataku. Bahuku dipegang erat. Ada titik-titik air pada kelopak matanya.
“Hanya Nur yang abang sayang. Hanya Nur yang abang cinta. Abang tahu kita berdosa dan abang tahu kita banyak melakukan kesilapan…” diam sejenak.
“Nur carilah lelaki lain yang lebih baik daripada abang. Abang tidak layak untuk menjadi suami dan ayah kepada anak Nur…”
“Anak kita!!!” Diam…
“Oh, jadi suami buat wanita lain tak apa? Abang rasa abang layak jadi suami untuk wanita lain? Abang dayus!!!” Aku meninggikan suara.
Pang… tamparan hebat mengenai pipiku. Anuar berjalan perlahan meninggalkan aku terkebil-kebil sendiri. Note RM1,000 dicampakkan tepat mengenai mukaku. Ia melangkah laju menuju ke arah kereta BMW miliknya tanpa menoleh kembali kepadaku. Tangisanku semakin kuat, entah bila mahu berhenti.
*****
Daripada Anas bin Malik RA berkata; aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Allah SWT berfirman, ‘Wahai anak Adam, sepanjang engkau bermohon dan berharap kepada-Ku, akan Aku ampuni apa-apa yang telah engkau lakukan, Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika dosa-dosamu setinggi awan di langit kemudian engkau meminta ampun kepada-Ku, akan Aku ampuni. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang kepada-Ku membawa kesalahan sebesar dunia kemudian engkau datang kepada-Ku tanpa menyekutukan Aku dengan sesuatu pun, pasti Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sebesar itu pula,’…” Hadis Riwayat Tirmidzi.
Ya, keampunan Tuhan begitu luas buat hamba-hamba-Nya. Aku juga tidak terkecuali! Aku adalah hamba Tuhan yang pernah melakukan dosa dan aku pasti aku mahu bertaubat kepada-Nya. Taubat nasuha ini kuharap dapat menjauhkan aku daripada azab api neraka dan menghindarkan aku daripada dosa-dosa besar lainnya. Bagaimana dengan dosaku terhadap ibu dan ayah sedang mereka terlebih dahulu telah pergi meninggalkanku?
‘Ya Allah, terimalah taubatku. Tempatkanlah ibu dan ayahku bersama-sama mereka yang mendapat naungan daripada-Mu,’ doaku di dalam hati. Aku tidak mampu untuk mencium tangan ayah dan ibuku sementelah mereka sudah aman di dalam bumi. Aku sama sekali tidak mampu untuk menemukan ibu dan ayahku dengan menantu yang mereka nanti-nantikan kerana nekadku tega dan aku mahu sendiri. Ditambah dengan pemergian mereka menemui Ilahi, mengukuhkan tekadku untuk hidup nafsi-nafsi.
Aku sunyi tanpa insan bergelar suami namun kuharap ‘seksaan’ hati yang kutanggung ini membolehkan dosaku terampun. Entah betul entah tidak jalan pilihanku tetapi aku benar-benar tekad. Aku mahu menjadi umpama Rabiatul Adawiyah yang cintanya hanya pada Tuhan yang satu. Bezanya, aku pernah menjadi gadis ternoda sebelum menemui cinta sejati ini, itulah cinta Ilahi.
“Jangan begitu… kahwinlah,” kata Amirul, teman sekerjaku.
“Nabi SAW berpuasa dan ia tetap berbuka. Muhammad pesuruh Allah berkeluarga dan ia tetap menjadi hamba Allah yang begitu teguh dengan amal ibadahnya…” ia berjalan perlahan menuju tepi mejaku.
“Sudikah Nur menjadi suri di hati saya?” Ia bertanya lagi. Mukanya nampak serius di sebalik keramahannya. Aku hanya diam membisu. Mana mungkin aku melanggar tekad dan prinsipku.
“Saidina Umar juga pernah menjadi musuh umat Islam sehinggalah Allah memberi hidayah kepada-Nya…” diam sejenak.
“Saya juga punya sejarah hitam. Saya tahu bahawasanya saya banyak berdosa kepada Tuhan sehingga merasakan diri tidak layak untuk hidup lagi…” tetap diam.
“Dosa saya umpama buih di lautan yang tidak dapat dikira dengan jari-jari manusia. Namun saya tahu bahawasanya hidup perlu diteruskan dan saya berharap zuriat saya kelak dapat mendoakan kesejahteraan saya bilamana saya sudah dipanggil Tuhan…” ia merenung mataku dalam-dalam. Aku masih tidak mahu bersuara.
“Bukankah setiap anak adam itu akan meninggalkan segalanya di atas dunia ini pabila ia mati kelak melainkan tiga perkara; ilmu yang bermanafaat, sedekah yang ikhlas kerana Allah serta anak-anak yang soleh,” Amirul memandang bunga yang terletak di penjuru pejabat. Nah! Aku mahu memiliki anak soleh yang boleh mendoakanku satu hari kelak.
“Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji dan laki-laki yang keji ada buat wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan laki-laki yang baik adalah buat wanita yang baik pula…” An-Nur ayat 24. Aku tersenyum sendiri.