Pesan mami (masak)




Salam. Apa khabar? Ada sihat? Alhamdulillah, masih diberi peluang untuk mendapat nikmat ISLAM dan IMAN. Muthiah kira, itulah nikmat yang paling besar bagi seorang manusia. Tanpanya… nauzubillah.

Pesan mami kali ini….

Muthiah ingin berkongsi tentang pesan mami sewaktu Muthiah masih belum bergelar isteri. Setiap kali Muthiah berborak dengan mami, pesanan inilah yang dititipkan. Selepas Muthiah mendirikan rumahtangga, mami tetap memberitahu pesanan/ nasihat yang sama.


Katanya, “Masaklah untuk suami walau hanya sebiji telur dadar.” Ya… mami berpesan agar sentiasa masak untuk suami dan kurangkan makan di luar (Sekali sekala sewaktu keluar dating, tidak apa. hehe… Kalau hari-hari dating???). Galakkan suami makan di rumah…

Sebab apa ya… hmm…

1- Mungkin untuk MENGERATKAN HUBUNGAN yang sedia erat. Orang tua ada menyebut… hendak ambil hati suami, jagalah perutnya (makan minumnya).

2- Boleh MENINGKATKAN KEMAHIRAN memasak kita… mula-mula buat tidak jadi… insya-Allah, cubaan kali keseribu, mesti jadi (dengan izin Allah). Macam Muthiah… awal-awal kahwin, tidak mahir masak gulai tetapi kini Alhamdulillah… menjadi (dahulu, Muthiah masak A, suami kata masakan B. Hehe).

3- Insya-Allah, bilamana kita lakukan kerana Allah… apa-apa yang kita lakukan untuk suami kita (termasuk masak)… pasti ada ganjarannya di sisi Allah (PAHALA)… Pernah beberapa kali… suami minta Muthiah masakkan sekian sekian sekian (untuk bersahur). Tup-tup sudah siap… tidak mahu makan pula, kenyang katanya. Suami tanya, Muthiah marahkah? Jawapan Muthiah mudah, “Tidak apa... pahala dan syurga sedia menanti,” [ini sebenarnya banyak memotivasi Muthiah].

4- Insya-Allah, makan di rumah, lebih terjamin KEBERSIHANNYA. Di luar rumah, belum tentu mereka yang menyediakan makanan itu berselawat setiap kali membasuh sayur/ ikan/ ayam ayam yang hendak dimasak. Muthiah pernah ada pengalaman… mahu makan mee sup tetapi meenya tidak dibasuh (sedang kandungan asid borik dalam mee kuning/ kueh teow agak agak tinggi). Begitu juga dengan telur… telur yang digunakan untuk membuat roti canai yang kita makan…a doi… tidak perlulah Muthiah coretkan di sini.

Bagaimana halnya dengan si isteri yang BERKERJAYA? Hmmm… waktu Muthiah kerja bank dahulu, sampai rumah selepas Isya’. Kadang-kadang, perlu kerja hujung minggu. Sewaktu bekerja sebagai editor pula, ada masanya kena stay back dan bekerja pada hujung minggu (untuk kejar dateline). Jadi, tidak punya kesempatan dan masa untuk membuat semua itu. Jadi, adakah salah isteri bilamana tidak berkesempatan untuk menyediakan makanan untuk suami? Hmmm… Susah juga ya…

1- Cubalah… cubalah untuk menyediakan santapan buat suami walau hanya SEMINGGU sekali atau bila-bila sahaja kita BERKELAPANGAN. Curilah sedikit masa kita… masaklah walau hanya sebiji telur, nasi putih dan kicap (pernah juga buat terutama sewaktu letih bangat).


2- Kalau mampu, KORBANKAN sedikit masa rehat untuk masak buat suami. Seperti yang dilakukan oleh ibu saudara Muthiah. Beliau adalah seorang yang berkerjaya. Punya anak tiga orang. Setiap hari, seawal jam 5.00 pagi beliau sudah menyediakan makan pagi buat suami dan anak-anaknya. Bukan itu sahaja, pulang dari kerja… perlu pula masak untuk makan malam. Huhu… Muthiah sendiri tidak tahu… mampukah Muthiah menjadi sepertinya tetapi insya-Allah, selagi termampu… Muthiah akan cuba untuk menjadi yang terbaik daripada yang paling baik… di sisi Allah.

Yang ada anak pula? Baru sahaja hendak masuk dapur, si kecil menangis dan terus menangis. Si ibu pula, baru pertama kali bergelar ibu dan banyak yang perlu dipelajari. Boleh stres dibuatnya. Anak lagi… hendak masak untuk suami lagi. Apapun…

1- Lakukan sesuatu mengikut KEMAMPUAN kita (lain orang, lain kemampuannya- tidak boleh samakan diri kita dengan orang lain). Kalau tidak mampu, buatlah setakat yang kita mampu.

2- Para suami… sekali-sekali (kalau ‘sokmo’ bak kata orang Terengganu lagi baik)… BANTULAH isteri (sama ada untuk menjaga anak, membuat kerja rumah atau masak di dapur). Hal ini sebenarnya dapat mengeratkan hubungan dan membuatkan kita lebih memahami antara satu sama lain.

Alamak… tidak arif sebenarnya untuk berkongsi cerita tentang ini. Muthiah juga sebenarnya bukanlah insan yang selayaknya untuk berbicara tetapi sebagai ‘orang baru’, rasa ingin berkongsi cerita agar kita sama-sama dapat BELAJAR. Ya! Agar kita sama-sama dapat belajar dan cuba untuk jadi yang terbaik daripada yang paling baik. Bukan Muthiah sahaja… tetapi kita semua… kita yang baru belajar dan masih belajar.

Sari patinya… Muthiah dapat melalui pembacaan : majalah (ruangan kaunseling/ rumahtangga/ soal-jawab) / akhbar (DCCK Pancaindera) / forum di internet/ sembang bicara dalam televisyen dan banyak lagi. Muthiah suka membaca tentang luahan atau komen si isteri/ suami (ada pro-kontranya).

Selain itu, apa yang Muthiah coretkan ini adalah daripada titipan pesanan orang-orang tua yang berpengalaman. Bukankah kita dituntut untuk menyampaikan (yang baik-baik) walau seayat. Sekurang-kurangnya, ilmu itu disebarluas. Lagipun, Muthiah pernah terbaca… bilamana seorang anak Adam itu meninggal dunia, ia akan meninggalkan semua (miliknya) melainkan :

1- ANAK yang soleh

2- SEDEKAH jariah

3- ILMU yang bermanfaat

Selamat membaca ;) dan moga mendapat sedikit manfaatnya.

Muthiah : Masih tidak pakar buat kuih. Selalu sahaja tidak mencapai misi dan visi (juga matlamat). Hehe…
Labels: | edit post
0 Responses