Menyuburkan Ruhiyah


Salam sahabat-sahabat yang Muthiah kasihi fillah. Afwan ya, halaqah minggu ini Muthiah tidak dapat sambung tajuk ‘Tauhidullah’ yang lepas. Makan ubat batuk tadi dan mengantuk bangat… juga tidak dapat berfikir dengan sebaiknya. Moga-moga kan dapat mengambil manfaat daripada penulisan Muthiah kali ini. Selamat berhalaqah ;)

…..

Sukarnya mendapat kelazatan beribadah. Fikir Hanan suatu hari. Sering kali merasakan ibadah yang dilakukan sekadar amalan rutin yang perlu dibuat kerana telah lazim mengamalkannya. Akan tetapi, sukar merasakan hadirnya Tuhan di dalam jiwa. Setelah bermuhasabah, banyak perkara yang harus diperbaiki. Perlu usaha dan terus usaha.

Faktor Yang Berkaitan Dengan Kepekaan Jiwa

Selalu muraqobah kepada Allah


Dalam hal ini, seorang hamba perlulah merasakan bahawa Allah itu sentiasa bersamanya. Kamera Allah ada di mana-mana dan ia tidak punya peluang untuk menyembunyikan diri daripada pengetahuan Allah. Ia meyakini bahawa Allah itu Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Justeru, ia akan sentiasa menjaga perlakuannya agar tidak mendatangkan kemurkaan Allah.

Seorang muslimah solehah pernah berkata kepada ibunya tatkala disuruh mencampurkan air dan susu untuk dijual, “Kalaupun Amirul Mukminin tidak melihat kita tetapi Rabb Amirul Mukminin tetap melihat kita.”

Mengingati kematian dan kehidupan sesudahnya

Apabila seseorang itu sentiasa mengingati kematian, pastinya ia akan berasa takut. Di manakah ia akhirnya? Menjadi orang yang beruntung atau tergolong dalam golongan yang rugi. Jadilah ia seorang insan yang sentiasa merasakan kehadiran Tuhan. Ia berusaha untuk meningkatkan amalannya demi mempersiapkan diri untuk hari akhirat. Sabda Nabi SAW, “Perbanyakkanlah mengingati pemusnah segala kenimatan (kematian).”

Membayangkan hari akhirat dan hal-hal yang berkaitan dengannya

Tidak dinafikan bahawa apabila seorang insan mengingati peristiwa-peristiwa yang dihadapi oleh ahli syurga mahupun ahli neraka, pastinya rasa gerun mencengkam jiwa. Justeru, ia akan berusaha mendekatkan diri kepada Allah. Ia takut andai Allah tidak memberikan rahmat-Nya pada hari kebangkitan tersebut dan ia tidak punya sesiapa yang boleh membantunya daripada azab Allah.

Nabi pernah bertanya kepada para sahabat, “Adakah kalian tahu apa yang dimaksudkan dengan berita-beritanya?(setelah Nabi SAW membaca ayat ‘Yaumaizin tuhadditsu akhbaroha’).”
Para sahabat berkata, “Allah dan Rasul-Nya lebih tahu.”
Nabi bersabda, “ Berita-beritanya ialah bumi menjadi saksi terhadap seorang hamba lelaki dan perempuan atas apa-apa yang dilakukan di atas permukaannya. Bumi akan berkata, ‘Dia melakukan ini dan itu…’.”

Neraka! Sesuatu yang menakutkan tetapi itulah yang telah disediakan Allah buat mereka yang engkar. Apabila berfikir tentang neraka yang gelap dan pekat, lembah-lembah jahanam, gada-gada neraka serta keburukan ahli neraka dan tangisan mereka, pastinya membuatkan seseorang itu berasa ngeri. Hal ini akan membuatkan seseorang itu berusaha untuk menjauhkan diri daripada lembah jahanam itu.

Faktor-Faktor Amaliah Yang Menumbuh Suburkan Ruhiyah

Memperbanyak tilawah al-Quran dengan tadabbur

Bacaan yang disertai tadabbur dan khusyuk mampu mempertajamkan pandangan yang sudah tumpul. Apabila seorang Mukmin itu istiqomah dalam membaca al-Quran dengan tenang, tadabbur dan khusyuk, maka akan terbukalah belenggu yang menutup hatinya dan memancarkan cahaya al-Quran di dalam jiwanya. Iman Muslim meriwayatkan daripada Abu Umamah daripada Rasulullah SAW, “Bacalah al-Quran sebab ia datang pada hari kiamat nanti sebagai pemberi syafaat atas pembacanya.”

Hidup bersama Rasulullah melalui sirahnya yang harum semerbak

Dalam hal ini, seseorang perlulah mencontohi kehidupan nabi yang merangkumi cara nabi beribadah, kezuhudan nabi, ketaqwaan baginda terhadap Allah, kesabaran dan kelembutan nabi, keteguhan nabi junjungan dalam mempertahankan prinsip, serta mencontohi kekuatan fizikalnya. Nabi SAW bukan sahaja hebat pergantungannya terhadap Allah tetapi beliau juga merupakan ketua dalam sesi pertempuran menentang musuh Allah.

Dalam menumbuh suburkan ruhiyah, perlu untuk menyelusuri kehidupan Nabi SAW kerana beliau sendiri adalah uswah hasanah, qudwah solehah dan peribadi yang sempurna bagi seluruh umat manusia. Firman Allah, “Sesungguhnya telah ada dalam diri Rasulullah itu suri teladan yang baik (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut nama Allah,” al-Ahzab ayat 21.

Selalu menyertai orang-orang pilihan yakni mereka yang berhati bersih dan mengenal Allah

Seorang dai’e sepatutnya berusaha untuk menyertai orang-orang yang bertaqwa dan bergaul dengan mereka yang berhati bersih serta mengenali Allah. Hal ini kerana Allah telah berfirman dalam surah at-Taubah ayat 119, “Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah kamu berserta orang-orang yang benar.”

Selain itu, dengan bersama mereka yang dekat dengan Allah membolehkan kita mendapat nasihat dan tempiasan ketaqwaan mereka kepada Allah. Dengan kata lain, diri kita akan turut terdorong melakukan kebaikan di jalan Allah.

Berzikir kepada Allah pada setiap waktu dan ketika

Firman Allah, “Oleh sebab itu, ingatlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku akan mengingati kamu…” al-Baqarah ayat 152. Yang dimaksudkan dengan zikir ialah merasakan keagungan Allah dalam semua keadaan. Sesungguhnya dengan mengingati Allah hati kan menjadi tenang. Hal ini membolehkan seorang mukmin itu menemui kenikmatan dan ketenangan dalam zikrullah di dalam relung hatinya. Hatinya tidak dikotori dengan debu-debu dosa tetapi dipenuhi dengan kasih Ilahi.

Menangis kerana takut kepada Allah pada saat bersendiri

Apabila seseorang itu menyendiri dan berusaha untuk bermuhasabah diri, ia pasti kan teringat dosa-dosa lampau. Ia khuatir andai dosa itu tidak terampun dan ia takut dengan azab yang dijanjikan Allah bagi hamba yang engkar.

Ia takutkan neraka Allah dan ia risau sekiranya ia mati dalam kesesatan. Setelah menghisab diri, ia akan bertaubat kepada Allah. Ia menghadap Tuhan dengan istighfar, berzikir, menjaga batasan-batasan-Nya, mengikut segala perintah-Nya, serta menjauhi larangan-Nya. Bahkan, ia termasuk dalam golongan yang berlumba-lumba melakukan amal kebaikan yang menjadi bekal buat mereka pada hari kebangkitan.

Maka, menangislah kerana takutkan Tuhan yang menciptakan. Menangis kerana takut mati sebelum bertaubat, takut diberi nikmat dalam keengkaran, takut kepada sakratulmaut, serta seksa kubur. Paling utama, takutlah kepada azab Allah dalam api neraka yang kita tidak punya peluang untuk keluar darinya andai kita mati dalam kekufuran.

Bersungguh-sungguh membekali diri dengan ibadah nafilah (sunat)

Di antara kaedah untuk mendekatkan diri kepada Allah ialah dengan memperbanyakkan ibadah nafilah. Apabila seorang manusia mahu ditempatkan di bawah naungan cinta kasih Ilahi dan keredhaan-Nya, ia perlu berusaha untuk membiasakan diri dengan amalan-amalan sunat seperti mana yang telah diamalkan oleh Nabi SAW, serta para sahabat.

Sabda Nabi SAW, “Allah berfirman, ‘Barangsiapa yang mendekat kepada-Ku sejengkal, maka Aku akan dekat kepadanya satu siku. Barangsiapa mendekat kepada-Ku satu siku, maka Aku akan dekat kepadanya satu depa. Barangsiapa mendekat kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku akan dekat kepadanya dengan berlari keci,’.” HR Imam Bukhari dan Muslim.

Maka, berusahalah untuk menyuburkan hati yang leka. Terus berjalan, jangan berundur. Muhammad bin Abdullah as-Syibli ada menyebut, “Jika kamu ingin merasai betapa manisnya berhubung dengan Tuhanmu, engkau harus garang terhadap dirimu. Apabila engkau telah merasai kemanisan perhubungan itu, tahulah engkau betapa pahitnya apabila engkau berpisah dengan-Nya.”
Labels: | edit post
0 Responses