Doa (ii)


Sambungan pengisian semalam… Selamat membaca ;)

Nah! Begitu murah keampunan Allah terhadap hamba-Nya. Maka, apa tunggu lagi? Berdoalah segera. Akan tetapi, sebelum itu mari kita lihat kepada adab-adab berdoa. Adakah kita berdoa mengikut adabnya atau hentam kromo sahaja? Dipetik daripada Kitab Tuhfatudz Dzaakirin, halaman 34, tulisan Muhammad bin Ali Asy-Syaukani, terdapat 10 adab doa yang perlu dihayati iaitu:

i) Menjauhi perkara yang diharamkan; meliputi makanan, pakaian dan minuman.
ii) Perlu berdoa dengan seikhlas hati.
iii) Didahului dengan solat. Nabi SAW bersabda, “Sesiapa yang berwuduk dengan baik, kemudiannya solat dua rakaat dan setelah itu berdoa… Maka, Allah akan memerhatikan permintaannya. Diberi-Nya dengan segera atau diberi-Nya dengan lambat.”
iv) Mengucapkan kalimah tahmid serta berselawat dan salam ke atas Nabi pada awal dan akhir doa.
v) Khusyuk dan tenang.
vi) Dengan suara yang rendah serta mengharap dengan sepenuh hati.
vii) Mengulangi dengan tidak berputus asa.
viii) Menghadirkan hati kepada Tuhan.
ix) Jangan berdoa untuk berbuat dosa.
x) Jangan berkata, “Aku berdoa tetapi tidak diperkenankan Tuhan.”


Sering kali kita dengar, “Sudah banyak kali aku berdoa tetapi doaku masih belum Allah makbulkan.” Sabarlah… Allah itu Maha Mendengar. Dia tahu apa-apa di dalam hati kita malahan lebih daripada itu, Dia lebih tahu mana-mana yang paling baik untuk diri kita. Firman Allah, “…. Boleh jadi kamu benci akan sesuatu sedang ia amat baik bagimu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedang ia amat buruk bagimu. Sesungguhnya Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui,” surah Al-Baqarah ayat 216.

Suatu ketika, Ibrahim bin Adham sedang berjalan-jalan di negeri al-Bashrah. Penduduk yang melihatnya segera datang dan bertanya, “Ya Ibrahim, mengapa doa kami tidak dimakbulkan sedang Allah telah berfirman, ‘Apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka katakan Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa kepadaku, apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintah-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka selalu berada di dalam kebenaran?’,” A-Baqarah ayat 186.

Kemudian, Ibrahim menjawab bahawa doa itu tidak termakbul kerana hati mereka telah mati disebabkan sepuluh perkara iaitu:

i) Mereka mengenal Allah tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
ii) Mereka membaca Al-Quran tetapi tidak mengamalkan isi-isi-Nya.
iii) Mereka mengaku cinta Rasulullah tetapi meninggalkan sunnahnya.
iv) Mereka mengaku membenci syaitan tetapi masih mematuhi ajakannya.
v) Mereka mengaku ingin masuk syurga tetapi tidak mematuhi syarat-syaratnya.
vi) Mereka mengaku ingin selamat daripada api neraka tetapi masih menjerumuskan diri ke dalamnya.
vii) Mereka meyakini bahawa kematian itu pasti tetapi tidak mempersiapkan diri untuk menghadapinya.
viii) Mereka sibuk melihat keburukan orang tetapi lupakan keburukan sendiri.
ix) Mereka sering menguburkan orang mati tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.
x) Mereka mendapat nikmat Allah tetapi tidak mensyukurinya.


Kata Ibrahim bin Adham, “Itulah sepuluh perkara yang membawa kepada kematian hati. Oleh itu, berhati-hatilah denganya.”

Maka, teruslah berharap kepada Allah. Jangan sekali-kali berputus asa dalam meletakkan pergantungan kepada-Nya. Sabarlah dalam berdoa kerana doa itu adalah senjata Mukmin. Dengan doa, akan mengakrabkan hubungan kita dengan Pencipta. Dengan doa, secara tidak langsung kita telah merendahkan diri kita di hadapan Tuhan yang mencipta. Jangan gusar untuk terus berdoa meski doa itu masih tidak dimakbulkan Allah.

Menyelusuri sirah Nabi SAW. Sewaktu sedang bersembahyang di Mekah, para pembesar saling mencabar antara mereka siapa yang berani mengambil perut-perut unta yang bernajis dan berdarah itu untuk diletakkan di atas kepala Muhammad bin Abdullah.

Kemudian, bangun Uqbah bin Mu’it lalu mengambil tali-tali perut itu dan meletakkannya di atas kepala Nabi SAW yang sedang sujud. Mereka pun ketawa terbahak-bahak. Apabila Muhammad bangun daripada sujud, beliau memerhatikan mereka semua dan berdoa kepada Allah dengan menyebut nama mereka satu persatu. Mengikut cerita seorang perawi hadis, “Aku melihat setiap orang yang Muhammad sebut semuanya mati di dalam Perang Badar.”

Di sini, dapat kita perhatikan bahawa Allah mengabulkan doa Muhammad beberapa lama selepas itu. Maka, apabila kita berdoa, jangan gopoh untuk mendapatkan apa yang kita hajati. Muhammad SAW pernah berpesan, “Akan dimakbulkan doa selagi ia tidak gopoh dengan Tuhan.” Apabila ditanya, “Apakah yang dimaksudkan dengan gopoh itu ya Muhammad?” Muhammad berkata, “Iaitu orang yang berkata, aku sudah berdoa dan berdoa tetapi tidak dimakbulkan lagi oleh Allah.”

Justeru, marilah kita berdoa kepada Allah. Sentiasa berdoa tidak akan merugikan diri walaupun belum dimakbulkan (permintaan tersebut) oleh Allah. Jadikanlah Rasulullah sebagai contoh buat kita agar sentiasa sabar dan berharaplah kepada-Nya.


Sumber : 40 Sifat yang Dicintai Allah - Abu Ahmad Fatanah, Biografi Muhammad bin Abdullah - Prof Madya Dr. Zulkifli Mohd Yusoff , Kitab Tazkiyah Metode Pembersihan Hati Aktivitis Dakwah - Dr. Ahmad Farid #
Labels: | edit post
0 Responses