Manusia sering lupa

Salam… hehe… sedang asyik ‘mengemas’ folder komputer riba , Muthiah terjumpa artikel ini. Artikel yang pernah Muthiah tulis satu ketika dahulu (lupa bilakah masanya – mungkin akhir tahun lepas atau awal tahun ini). Moga-moga dapat direnungkan bersama. Selamat membaca ;)

Manusia sering lupa

Persidangan Antiperkauman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang berlangsung di Geneva baru-baru ini sekali lagi menaikkan nama pemimpin ‘Negeri Kaum Mullah’, Mahmoud Ahmadinejad. Kelantangan beliau bersuara mengkritik kekejaman dan kerakusan Israel laknatullah menyebabkan kira-kira 40 orang diplomat dari Perancis, Britain dan beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) bertindak keluar dewan.

Tidak banyak makhluk yang bernama manusia berani menyatakan kebenaran. Takut-takut ungkapan itu kelak membinasakan dirinya sendiri. Pepatah ada menyebut, ‘Berani kerana benar, takut kerana salah’ namun dewasa ini, kebenaran sukar sekali ditegakkan bahkan kebatilan terus sahaja bermaharajalela. Asal sahaja punya wang dan kuasa, segalanya boleh dibereskan.

Dengan wang, mulut yang bisa berbicara tiba-tiba bisu tidak mampu berkata-kata. Biarkan luncai itu terjun dengan labu-labunya. Usah dikejar, jangan dihambat. Siapa yang berhati mulia menyediakan kereta mewah, mahligai besar seandainya diri sendiri tidak berusaha mencari ruang dan peluang mendapatkannya? Fikir dan renung-renungkan…

Maruah dan harga diri letakkan sahaja di pinggir jalan. Mulut harus disuap, banyak perut perlu diisi. Lantaran itu, persetan dengan kebenaran yang hendak ditegakkan. Kebenaran tidak dapat mengenyangkan perut yang kelaparan dan menghilangkan rasa dahaga tekak. Ilmu di dada tidak semestinya dipraktikkan andai mengundang duka nestapa. Biar sahaja ia berkubur di dalam jasad sehingga sampai waktu ilmu itu kan disemadikan di tempat yang sepatutnya; alam barzah.

*****

Manusia ini mungkin lupa bahawasanya hidup ini ada limitnya. Satu hari, satu ketika dan satu masa ia pasti kan kembali kepada Pencipta. Waktu itu, kenderaan mewah yang ia bangga-banggakan serta mahligai indah yang ia agung-agungkan ditinggal begitu sahaja. Ia cuba untuk membawa ‘lambang kemegahannya’ di dunia bersama-sama namun ketetapan Tuhan tidak mengkehendakinya. Ia ingin menangis tetapi tiada air mata. Hidup yang disangka sampai bila-bila menemui noktah akhirnya.

Manusia ini mungkin juga lupa, wang berjuta itu sama sekali tidak dapat memberatkan neraca timbangan Tuhan. Boleh jadi manusia itu berjaya memperbodoh neraca pengadilan dunia tetapi tidak sekali-kali dapat membohongi Allah SWT yang sedia tahu segala sesuatu yang terdetik di dalam hati kerdilnya. Lidahnya yang selama ini terkatup daripada menyatakan kebenaran telah memakan dirinya sendiri.

Justeru, bangkitlah hai ilmuan… bangunlah wahai ulama jangan dibiarkan diri itu terus lena daripada mimpi yang disangka indah namun tidak berpanjangan. Tegakkan kebenaran, hancurkan kebatilan. Jika tidak mampu menjadi bak Umar Al-Faruq, berusahalah seadanya untuk memiliki jati diri yang tinggi. Kejarlah redha-Nya kerana kita pasti bahagia. Usah gentar, jangan takut bersuara kerana Allah sentiasa bersama kita, ‘Sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar,’ Al-Baqarah ayat 153.
Labels: | edit post
0 Responses