Doa (i)


Salam ;) Apa khabar semua. Hmmm… huhu, Muthiah tidak sempat menulis (coretan). Petang ini, perlu keluar ke Taiping dan pagi esok, insya-Allah akan bertolak ke Kuala Lumpur. Ada sedikit urusan yang perlu dibereskan. Berkebetulan, Muthiah memiliki banyak stok artikel (Muthiah tulis sewaktu masih belajar). Hehe… lagipun, Muthiah suka menulis kembali apa-apa yang Muthiah baca atau dengar mengikut gaya penulisan Muthiah sendiri ~ hobi… hobi…

Satu lagi… afwan ya kalau bahasa yang digunakan tidak mengikut tatabahasa yang sepatutnya. Hehe… budak-budak baru belajar… menghurai dan menulis. Yang baik, jadikan teladan, yang tidak elok… jadikan sempadan dan kongsilah penyelesaian…

Hehe… Jom baca…

Sabda Nabi SAW, “Berdoalah kepada Allah, kepada-Nyalah kamu yakin untuk diperkenankan-Nya. Dan sesungguhnya Allah tidak menerima doa daripada orang yang lalai dan lengah,” HR At-Tirmizi.

Cuba tanya kepada diri sendiri, berapa kerapkah kita berdoa kepada Allah? Sehari-hari, berapa kalikah kita mengalirkan air mata mengenangkan dosa yang menggunung dan maksiat yang menodai jiwa?

Apabila mata dicelikkan, apakah yang kita fikirkan? Adakah kita berfikir tentang kerja yang masih belum dibereskan atau date yang perlu bagi kita untuk menyediakan diri kepadanya? Bersedia dengan wangian yang mengharum dan pakaian yang menawan. Ingin berjumpa dengan someone special katakan.

Bagaimana pula dengan kesyukuran kita terhadap Tuhan yang masih memberi peluang kepada kita untuk terus bernafas di atas muka bumi ini? Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 7, “ Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan, ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu, dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih,’.”

Berjalan pada waktu pagi, adakah kita telah berjaya memelihara mata, telinga, mulut dan hati kita? Adakah mata itu benar-benar terhindar daripada maksiat yang menjelikkan? Telinga pula telah kita sumbat dengan kapas agar terhindar daripada fitnah dan umpat keji.

Bagaimana pula dengan mulut? Berhati-hatikah kita dalam berbicara? Adakah apa yang kita ucapkan itu memberi manfaat kepada Islam atau sekadar ucapan yang sia-sia? Tanya sama hati. Ikhlaskah kita dalam menjalankan ibadah kepada Allah? Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui. Firman Allah, “…… Allah itu mengetahui apa-apa yang ada di hadapan mereka dan mengetahui apa-apa yang ada di belakang mereka….” surah Al-Baqarah ayat 255.

Maka, wahai teman… dalam kehidupan sehari-hari, terhindarkah kita daripada sebarang dosa yang nyata mahupun tersembunyi? Jika hati merasakan masih banyak dosa yang dilakukan, pohonlah keampunan kepada Tuhan agar diampunkan dosa-dosa itu.

Bukan sahaja bilamana merasakan ada dosa yang dikandung badan malahan… pada setiap masa, saat dan ketika, perlu sentiasa bermohon dan mintalah kepada Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Allah sebagai Tuan Punya… adalah tempat kita meletakkan pengharapan dan pergantungan. Hanya Allah yang boleh memberi manfaat dan kemudaratan kepada kita. Justeru, jangan sombong dan usah bongkak untuk meminta dan mengharap kepada-Nya.

Allah itu Sebaik-baik Perancang dan Dia lebih tahu apa-apa yang tidak kita ketahui. Dia lebih tahu mana-mana yang terbaik untuk diri kita, hamba-Nya. Yang penting, terus berdoa kepada Allah, agar ikatan antara kita dan Tuhan tidak jauh dan pengharapan kita tidak terpesong kepada selain daripada-Nya.

Doa itu ibadah. Ada yang berdoa agar dikurniakan pekerjaan yang baik. Tidak kurang juga yang berdoa agar dianugerahi seorang isteri cantik yang solehah. Kita meletakkan pengharapan yang tinggi kepada Allah dalam menggapai impian dan cita-cita.

Tetapi jangan lupa wahai sahabat, berdoalah agar diampunkan segala dosa. Kadang-kadang, terlalu banyak yang kita dambakan sehingga kita terlupa untuk berdoa agar dimaafkan segala kesilapan yang telah kita lakukan terhadap Tuhan. Berdoalah agar sentiasa dipelihara daripada kecelaan dan kemurkaan-Nya yang boleh membawa kita ke dalam api neraka.

Kita takut. Takut dicampakkan ke dalam api neraka yang kepanasannya boleh sahaja menghancurkan bumi ini. Setelah berdoa, yakinlah kepada segala ketentuan-Nya. Dia pastinya akan memberikan yang terbaik untuk diri kita. Jangan ragu-ragu dengan janji Allah dan bersangka baiklah kepada-Nya. Sebuah hadis Qudsi ada menyebut, firman Allah, “Aku adalah di sisi hamba-Ku. Maka, hendaklah dia menyangka terhadap-Ku apa-apa yang ia kehendaki dan jangan kamu bersangka kepada Allah kecuali dengan persangkaan yang baik sahaja.”

Bersambung… esok ;)
Labels: | edit post
0 Responses