C.I.N.T.A
Monday, August 17, 2009
Seorang teman ada menyebut, “ Cinta kepada bunga, bunga kan layu. Cinta kepada manusia, manusia kan mati. Cinta kepada Allah, itulah cinta yang hakiki.” C. I. N. T. A. Ada yang kata, cinta itu buta. Ada juga yang kata, cinta itu tidak buta tetapi hati telah dibutakan oleh cinta. Mencari cinta dan segalanya cinta. Cinta yang dikatakan boleh membawa bahagia. Rasa cinta yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Akan tetapi, benarkah cinta itu kelak kan memberi kebahagiaan yang diidami?
Si isteri mencintai suami kerana suami itu tempat ia bergantung. Si suami mencintai isteri kerana isteri itu membawa ketenangan kepada dirinya. Si kekasih mencintai kekasih hati kerana si dia memberi rasa senang dalam hatinya. Rasa cinta yang begitu mengasyikkan tetapi sering kali melekakan. Sehingga tanpa sedar rasa kasih dan cinta itu menyebabkan ia lupa dan alpa.
Kepada siapa sebenarnya ia patut meletakkan pergantungan? Sedang jelas tauhid rububiyyah menyatakan bahawa Allah itu sebagai Pencipta, Allah sebagai tempat bergantung, Allah-lah Pemberi rezeki dan Dia jua segalanya. Siapa pula yang memberi ketenangan dan rasa senang kepada diri insani? Segalanya adalah milik Allah yang menjadikan juga mewujudkan.
Sayang sekali kerana manusia itu sering lupa. Lupa itu mungkin disebabkan oleh hati yang telah dibutakan oleh cinta yang sememangnya tidak bermata. Firman Allah,“Katakanlah: Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum kerabatmu, harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu takuti kerugiannya, serta tempat kediaman yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah, RasulNya, dan jihad ke jalan Allah, maka tunggulah olehmu, sehingga Allah mendatangkan seksaanNya.” At-Taubah : 24.
C. I. N. T. A! Kerana cinta ia sanggup menggadaikan dirinya. Kerana cinta ia lupa asal usul dirinya. Ia lupa mengapa ia dijadikan Allah di atas muka bumi ini. Menjadi khalifatullah dan hamba yang mengabdikan diri kepada-Nya. Ia berpura-pura lupa sehingga akhirnya menyebabkan ia benar-benar lupa.
Begitu kuat penangan cinta. Cinta yang sebenarnya tanpa sedar telah menghancurkan dirinya. Cinta yang menyebabkan ia tersasar arah dari landasan cinta yang sebenar yakni dalam mengejar dan menggapai cinta yang pasti. Itulah cinta Ilahi. Cinta hakiki yang pastinya kekal abadi.
Cintakan Allah. Cintakan Rasul. Bergetarkah hati kita tatkala ungkapan ini terlintas di dalam benak fikiran kita? Atau kita tidak punya rasa apa-apa? Rasa biasa-biasa sahaja. Atau mungkin jantung kita hanya berdenyut kencang tatkala berbicara dengan si dia yang zahirnya berada di hadapan mata? Kalau tidak di depan mata, meski jauh di mata tetapi dekat di hati? Renung-renungkan wahai teman. Di manakah kita meletakkan cinta kita itu? Bak kata pujangga, “Milik siapakah hati ini?”
Si polan mencintai si polan. Ia mencintainya dengan seikhlas dan sepenuh hati. Ia sanggup melakukan apa sahaja untuk meraih perhatian pujaan hati yang telah menambat hatinya. Ia mahu kehadirannya disedari. Ia mahu cintanya berbalas atau paling tidak pun, cintanya itu terluah meskipun tanpa ungkapan manis.
Akan tetapi, yakinkah ia bahawa cintanya akan berbalas? Rasa cinta yang dirasainya turut sama dirasai oleh insan yang dicintai? Ingatlah! Allah pemegang hati si pencinta dan yang dicintai. Dialah yang memberi rasa cinta itu kepada hamba pilihan-Nya untuk mengujinya. Justeru, Dia jualah yang berhak untuk mengambil kembali cinta itu.
Yakinkah kita bahawa cinta yang kita dambakan selama ini akan kekal utuh sepanjang hayat kita? Kita khuatir andai kemaksiatan itu bermaharajalela di dalam jiwa, menyebabkan kita akhirnya terjatuh, tersungkur dan tidak mampu untuk bangkit kembali. Fikir-fikirkan wahai teman. Bagaimana pula andai cinta itu kita beri kepada Allah yang Esa?
Cinta kepada yang Esa. Apabila insan itu mencintai Tuhannya, ia pasti sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai keredhaan Kekasihnya itu. Ia melakukan ketaatan dan kepatuhan untuk menggapai rasa cinta bersama Pencipta.
Sukar untuk istiqomah dalam ketaatan tetapi ia garang terhadap dirinya lantaran semangat dan keazaman untuk mendapat apa yang diimpikan. Ia sentiasa berusaha untuk mengikhlaskan diri demi mencapai cita-cita yang satu. Muhammad bin Abdullah As - Syibli ada menyebut, “ Jika engkau mahu merasai betapa manisnya berhubung dengan Tuhanmu, engkau harus garang terhadap dirimu. Apabila engkau telah merasai kemanisan perhubungan itu, tahulah engkau betapa pahitnya apabila engkau berpisah denganNya.”
Maka, ia akan terus bermujahadah dan meletakkan pengharapan yang tinggi terhadap Tuhannya. Ia garang dalam meninggalkan kemaksiatan yang membawa kepada kemurkaan Tuhan dan ia berusaha memperbanyakkan amal ibadah dalam mendekatkan diri kepada-Nya.
Yakinlah! Allah pastinya tidak akan mengecewakan hamba-Nya yang berharap kepada-Nya. Cinta itu pasti kan berbalas. Tidak seperti cinta si polan yang masih diragui ketulusannya. Allah berfirman, “Allah mencintai mereka dan mereka pula mencintai Allah.” Al-Maidah:54.
Begitu indah apabila cinta bersambut. Lebih-lebih lagi apabila cinta diterima oleh yang Maha Agung. Serasa seluruh bumi tersenyum melihat percintaan yang suci itu. Allah berfirman, “Dan orang-orang yang beriman itu sangat mencintai Allah.” Al-Baqarah:165.
Kenapa perlu cinta terhadap ILAHI????
Pertama. Secara semulajadinya makhluk itu pastinya mencintai dirinya sendiri. Ia khuatir dirinya mendapat kemudaratan. Apabila ia sakit, ia pergi berubat. Apabila ia letih, ia merehatkan diri. Hal ini berlaku kerana adanya rasa cinta terhadap diri sendiri.
Maka, bagaimana pula keadaannya dengan cinta terhadap Pencipta yang menjadikan diri kita? Dia yang mewujudkan daripada tiada kepada ada. Dia yang memberi penghidupan kepada kita. Justeru, lebih-lebihlah rasa cinta perlu diberikan kepada-Nya. Hal ini kerana, tanpa izinnya kita sendiri tidak akan wujud di atas muka bumi ini. Maka, tidak punya peluang untuk mencintai diri sendiri apatah lagi insan lain.
Kedua. Secara fitrahnya, manusia itu akan mencintai orang yang banyak membantunya, yakni orang yang telah meringankan bebanannya.
Suatu hari, Azim pergi ke pasar. Dia mahu pulang dengan menaiki bas RapidKL. Apabila sedang mencari duit tambang, didapatinya bahawa ia tidak cukup sepuluh sen. Azim kaget.
Amir yang dari tadi melihat gelagat Azim menyedari bahawa terdapat kegusaran dalam diri Azim lantas bertanya, “ Apa yang berlaku?” Azim yang tidak mengenali Amir melihatnya sekilas dan terus mencari duitnya. Dalam pada itu, ia menjawab, “Saya tidak cukup tambang sepuluh sen.”
Tanpa banyak bertanya, Amir terus menghulurkan wang seringgit kepada Azim. Disebabkan tidak cukup sepuluh sen, lahir satu perkenalan. Perkenalan yang mula mengikat ukhwah.Tidak lama kemudian, bas nombor 20 pun sampai. Azim begitu bersyukur kerana mendapat bantuan itu. Begitu baik sahabat baru tadi. Rasa cinta terhadap teman baru berputik di dalam jiwa.
Selang beberapa hari, Azim bertemu Amir di Kota Raya lantas menegurnya, “Apa khabar teman?” Nah! Disebabkan duit sepuluh sen, cinta itu berputik. Rasa cinta hadir kerana bebanan kita diringankan. Jadi, apatah lagi rasa cinta yang perlu hadir buat Tuhan yang Esa.
Kenikmatan yang diberikan infiniti dan tidak terkira banyaknya. Dia bukan sahaja memberi penghidupan buat hamba-Nya tetapi Dia memberi kemudahan kepada seluruh makhlukan di atas muka bumi ciptaan-Nya. Firman Allah, “Kalau kamu berusaha menghitung kenikmatan Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya.” Ibrahim:34.
Teringat persoalan daripada seorang teman. Andai diberi berjuta ringgit untuk menjual sepasang mata yang dimiliki, adakah sanggup bagi kita menjualnya? Pastinya tidak meskipun jual beli ini membuahkan keuntungan yang berganda-ganda. Keuntungan material! Satu juta. Boleh bergelar OKB (Orang Kaya Baru) dalam sekelip mata.
Maka fikir-fikirkanlah. Besarnya pemberian Allah kepada kita tanpa sedikit Dia meminta bayarannya. Yang penting, kita perlu sentiasa taat kepada segala suruhan-Nya serta menjauhi larangan-Nya. Bukan untuk kepentingan Tuhan, tetapi untuk manfaat diri kita sendiri.
Ketiga. Secara tabiatnya, manusia itu mencintai sesuatu yang indah dan cantik. Indah dan cantik itu secara tidak langsung mungkin boleh memberi rasa senang di dalam hati kita. Kita suka melihat wanita yang anggun, rumah yang kemas, bunga yang mekar.
Si ulat buku gemar membaca tulisan penulis kritis sehingga ia berkobar-kobar untuk mengenali siapa empunya diri yang mengarang. Begitu istimewa insan ini. Pastinya ia mempunyai ilmu dan pengalaman yang luas sehingga berjaya menghasilkan karya yang tinggi kualitinya.
Maka, apatah lagi semangat yang perlu ada untuk mengenali Tuhan. Pastinya kan berkobar-kobar apabila disebut nama Tuhan yang begitu agung itu. Hati bergetar dan merintih sayu. Ingin kenal dan mencintai Tuhan yang mencipta segala keindahan dan keistimewaan. Dia punya kelebihan melebihi apa yang dimiliki oleh penulis kegemaran kita. Ilmu-Nya meliputi langit dan bumi. Pengetahuan-Nya tidak terbatas dan pastinya Dia lebih tahu sesuatu yang tidak kita ketahui.
Dia lebih arif apa-apa yang terbaik untuk setiap hambaNya. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud, “ … Boleh jadi kamu membenci sesuatu tetapi ia adalah baik untukmu. Boleh jadi kamu cintakan sesuatu tetapi ia adalah tidak baik untukmu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” Tanpa izin- Nya, keindahan yang terpampang megah itu tidak akan hadir dan tidak akan mampu dihayati. Maka benarlah, cinta itu keseluruhnya adalah milik Tuhan.
Justeru, marilah kita koreksi diri. Di manakah cinta kita terhadap Allah? Di manakah kita meletakkan ar-Rahim ini di dalam hati dan jiwa kita? Adakah kita masih alpa dan tidak sedar keutamaan yang patut kita letakkan? Andai kita terlupa, kembalilah kita ke jalan-Nya.
Keluarkanlah apa sahaja kecintaan di dalam hati kita melainkan cinta kepada-Nya, kerana-Nya. Firman Allah, “ Allah sekali-kali tidak menjadikan dua buah hati bagi seseorang di dalam rongga dadanya.” Al-Ahzab : 4.
Di samping itu, bersihkanlah sentiasa hati kita dan selalu memerhatikan ciptaan Tuhan. Seterusnya, letakkan keyakinan bahawa kasih sayang Allah itu Maha Luas dan tidak berbelah bahagi terhadap hamba-NYA. CINTA ALLAH, CINTA YANG HAKIKI, CINTA YANG ABADI…