Singa Dahaga
Monday, August 10, 2009
“Nanti apa orang akan kata?” Satu-satu kuungkapkan bicara itu. Diam…
“Saya janda dan En. Haiqal adalah MAJIKAN saya sendiri!” Sengaja kutinggikan suara. Ini tak boleh jadi. Mendung tidak, guruh pun tidak tiba-tiba taufan melanda. Masalahnya tidak mahu pula membinasakan bangunan pejabat tiga tingkat milik anak Datuk Hakim, bukan juga mahu memusnahkan department tempat aku mencari rezeki namun taufan yang tidak kupinta ini hanya mahu bertiup kencang mengenai tubuhku yang langsing.
Akibatnya, aku jatuh terpelanting. Lebih malang lagi apabila kepalaku terhantuk di muka pintu bilik ‘musuh’ ketatku sendiri. Haiqal Daniel bin Datuk Hakim (bukan adik-beradik Norman Hakim tau) begitu dekat dengan jasadku tetapi berbilion batu jauh dari hatiku. Dengan kata lain, aku membencinya seluruh jiwa dan ragaku. Ah, jika Harry Porter sahabat akrabku sudah pasti kuminta bantuannya untuk menyahkan ‘Singa Dahaga’ ini dari kamus hidupku. Singa Dahaga???
*****
“Emelda Arisya binti Bujang. Umur 25 tahun, Ijazah Sarjana Muda …” tiba-tiba anak mata bos muda itu dibulatkan, sebulat-bulatnya.
“Status janda!!!” Ia seakan-akan terpaku dengan statusku.
“Hm…” diam.
“Graded bulan Ogos, dapat kerja bulan Oktober…” diam lagi. Aku sekadar memandang wajahnya yang lebih bengis daripada Pak Man Telo, anak Pak Usin Tompel, konstabel di tempat kelahiranku.
“Dah tu awak kahwin bila dan bercerai pula bulan berapa?” Ia memandang mataku tanpa berkelip.
“Inilah anak gadis zaman sekarang. Kecil-kecil menggatal nak berlaki. Dah kahwin, bercerai-berai walhal nikah tak sampai setahun. Kahwin nak, jadi isteri tak pandai,” majikan baruku menyampaikan ceramah panjang lebar. Mengalahkan umi di kampung. Umi pun pandai pilih waktu untuk melepaskan ‘tembakan’ M16-nya.
Aku hanya diam seribu bahasa tetapi hatiku sudah berbakul-bakul menyumpah-seranah lelaki tak handsome di hadapanku. Tiba-tiba, wajah Irfan berlegar-legar dalam kotak fikiranku. ‘Arisya rindukan abang,’ aku berkata sendiri.
“Puan Emelda Arisya, eh silap. Bukan puan lagi…” diam.
“Cik Emelda Arisya, dengar tak apa yang saya kata???”
“Macam mana awak nak jadi PA saya kalau awak tidak dapat bekerjasama dengan baik dengan saya,” katanya tanpa henti. Anak matanya masih lagi setia di situ, tepat memandang anak mataku. Diam…
“Dah dah… keluar. Saya tak mahu tengok muka awak lagi. Bila hati saya dah tenang, baru saya panggil awak balik,” Haiqal berkata perlahan tanpa memerhatikan wajahku. Fail yang dilemparkan sebentar tadi diambilnya kembali.
“Kejap! Bila awak kahwin dan bila awak bercerai?” Ia seolah-olah masih tidak berpuas hati dengan reaksiku. Terserlah bakatnya sebagai seorang diktator. ‘Tak profesional langsung,’ aku membentak sendiri. Aku yang tadinya sudah berjalan ke pintu kembali berundur menuju ke mejanya. Aku memandang tepat mata anak Datuk Hakim yang bulat tetapi tidak menarik itu.
“En. Haiqal! Saya bernikah 11 September 2008 dan bercerai dengan Allahyarham Irfan bin Aminuddin pada 12 September 2008. Allah lebih sayangkan suami dan mengambilnya kembali sebelum sempat kami hidup sebagai suami isteri,” tanpa menunggu responnya, aku bergerak laju keluar dari bilik ‘tahanan’ itu. Air mataku tiba-tiba gugur ke bumi.
*****
“Arisya, dunia ini umpama pentas. Kita adalah pelakon yang memainkan watak di atasnya,” kata Irfan suatu hari. Aku hanya tersenyum. Air tembikai susu tanpa gula itu kuhirup perlahan. Aku bahagia kerana kan bersatu dengan insan yang paling aku cintai. Irfanlah jiwaku, Irfanlah jantung hatiku. Tidak dapat kubayangkan hidup tanpanya. Aku pasti terkapai-kapai sendiri. Mataku tidak buta tetapi masih tidak berdaya mencari cahaya. Ya, Irfan adalah segalanya bagiku…
Arisya yang abang kasihi fillah,
Maafkan abang kerana merahsiakannya daripada pengetahuanmu. Abang khuatir Arisya tidak cukup kuat untuk itu. Abang tidak sanggup melukakan hatimu tetapi abang tidak mampu menolak ketetapan Tuhan. Kita adalah manusia biasa yang pasti kan kembali kepada Pencipta. Itu pasti!
Tiga bulan sebelum majlis perkahwinan kita, abang disahkan mengidap penyakit barah otak tahap kritikal. Hanya keajaiban yang mampu menghilangkannya. Abang cuba untuk berterus-terang tetapi lidah abang kelu tatkala melihat senyuman Arisya. Abang tahu cinta Arisya buat abang sentiasa teguh dan utuh meskipun abang bukanlah siapa-siapa. Terima kasih atas kasih sayang itu.
Arisya, usahlah Arisya menangisi pemergian abang kerana kasih abang buat Arisya tidak pernah melangkaui kasih-Nya kepada Arisya. Allah lebih sayangkan Arisya lantas dikurniakan segalanya buat Arisya. Jika abang meninggalkan Arisya, Dia tidak begitu. Dia sentiasa dekat dan hampir mendengar segala rintihan Arisya.
Justeru, kuatlah dalam menghadapi ujian ini kerana Allah mahu Arisya kembali kepada-Nya. Abang bukan siapa-siapa, abang hanyalah makhluk Tuhan yang sama-sama dikurnikan rasa kasih buat insan ciptaan-Nya. Yakinlah, Arisya akan semakin kental jika tidak bertindak menjauhi-Nya. Dia ada memberi kekuatan buatmu.
Abang…
Irfan akhirnya pergi tak kembali. Benar seperti apa yang diperkata, hanya cinta Allah yang kekal abadi. Irfan cintakan aku namun kasih Allah lebih hebat buatku. Dia mungkin sahaja mahu menyedarkanku daripada mimpi yang panjang. Makhluk itu bukanlah segala-galanya. Ia juga seorang insan yang dikurniakan kenikmatan daripada Tuhan yang Esa.
‘Arisya sayangkan abang dan Arisya kan cuba menyelami kata-kata abang,’ aku berkata sendiri. Bukan mudah untuk menerima hakikat ini. Aku bukanlah seorang hamba yang sentiasa dekat dengan Tuhan. Aku hanya manusia biasa yang terlalu banyak melakukan khilaf. Tidak mustahil aku terpana dan tidak pelik jika aku berasa kecewa.
*****
“Apa yang awak dapat tiga bulan di sini?” Tanya Haiqal tatkala aku melangkah ke dalam biliknya. Diam…
“Dari mula-mula awak masuk sini sampai bulan ketiga ni, mulut awak tak pernah reti nak bercakap,” tambahnya lagi. Argh, ‘Singa Dahaga’ ni sudah memulakan kuliah Dhuhanya. Kenapa aku memanggil majikanku yang banyak songeh ni ‘Singa Dahaga’? Kerana dalam sehari, lebih lima kali aku perlu menyediakan minuman buatnya. Jam 8.00, teh panas mesti sudah berada di atas meja. Jam 11.00, milo pula mengambil tempat. Jam 2.00, kopi kurang manis menjadi pilihannya. Jam 4.00, 5.00, 6.00… minum minum minum.
Kalau macam ni, lebih baik aku bekerja sebagai tea lady. Bukan itu sahaja, kerjaku sehari-hari pun bertambah sampaikan membersihkan lantai biliknya pun menjadi tugas rutinku. Masih belum cukup! Kalau boleh dia mahu aku mop, lap meja, cuci tingkap kamar kerjanya… ingat aku ni orang gaji????
Amarahku masih belum reda. Aku perlu luahkannya. Sekiranya dia rasa mahu menjadikan aku tea lady, makcik cleaner … ‘Increase my salary please.’ Ini tidak, kerja bertambah (sudahlah tidak dapat claim OT) tetapi apa yang kuterima tidak setimpal dengan penat-lelahku.
Jumaat lepas, pandai pula ‘Singa Dahaga’ diktator gila kuasa ni memujiku,“Congrats, hasil kerja awak memang perfect. Semua orang memujinya…”
“Arisya… Arisya!!!” Jerit Haiqal. Alamak, aku berkhayal rupanya.
“Awak ingat saya cakap dengan tunggul? Atau awak ni memang keturunan tunggul? Ulang balik apa yang saya cakap?”Ia menghentakkan mejanya. Habis bersepah fail yang baru kususun pagi tadi. ‘Kurang asam punya ‘Singa Dahaga’,’ aku menjerit sendiri. Ingat dia seorang ke yang boleh jerit? Nama sahaja lulusan Oxfort University tetapi akhlak??? Mengalahkan anak Pak Mail yang suka menjerit-jerit memanggil beruknya yang tidak mahu turun dari pokok kelapa yang dipanjatnya.
“Dah dah…keluar. Saya tak mahu tengok muka awak lagi…” jeritnya. Aku mencebikkan bibirku. Dulu pun cakap macam ni tapi….
“Buatkan saya milo ais kurang manis,” arahnya lalu duduk di atas sofa yang terletak di penjuru bilik. Majalah Reader Digest dibelek perlahan. Kan aku dah cakap, mesti suruh buat air punya. Kan bos aku yang seorang ni suka cakap tak serupa bikin. Aku berjalan perlahan menuju ke pintu.
“Aik, macam tu je nak pergi? Meja saya yang bersepah ni siapa nak kemas? Nak saya buat sendiri?”Jeritnya lagi. Aduh! Tensionnya ada majikan macam ni. Aku tengok, Datuk Hakim tidaklah macam tu sekali. Bicaranya penuh dengan adab. Bukan itu sahaja, ia menghormati setiap orang bawahannya. Ini, belum dapat tittle datuk sudah angin, kalau dah dapat mesti berasap satu badan.
Tanpa memandang wajahnya yang kulihat semakin berkedut, aku berjalan cepat-cepat menuju ke mejanya. ‘Alah, bukannya bersepah sangat pun,’ aku mengomel sendiri. Confirm anak datuk ni tak pernah buat kerja rumah. Malanglah siapa-siapa yang bakal menjadi isterinya. Nanti, bukan sahaja jadi isteri bahkan bibik, makcik dobi, chef dapur dan banyak lagi.
Apa sahaja yang aku lakukan, selalu tidak cantik di matanya. Aku sendiri keliru, apakah salahku sehingga ia bertingkahlaku begitu? Kalau benci, meluat, tidak suka… pecat sahaja. Tidak perlu sampai menyeksa zahir dan batinku.
Ah, biarkan ‘Singa Dahaga’ itu dengan fiilnya. Yang penting, aku di sini mencari rezeki yang halal. Boleh meringankan beban abi dan umiku di kampung. Dia berbangga dengan gelaran datuk milik daddy-nya? Abiku juga seorang ‘datuk’ meskipun hanya bekerja sebagai penoreh getah. Bulan sudah, aku mendapat sepasang anak buah yang comel-lote. Tak macam Haiqal, bukan sahaja tak handsome bahkan muka macam orang tua, perangai macam budak-budak dan banyak lagi keburukan miliknya.
*****
“Saya tahu saya tak handsome, muka berkerut macam orang tua, perangai macam budak-budak…” kata Haiqal perlahan. ‘Astaghfirullah, siapa yang report ni? Mesti Haisarah, pelajar praktikal yang baru sebulan membuat latihan ilmiah di sini. Aku dan dia agak serasi membuatkan aku berasa selesa untuk berkongsi cerita dengannya.
“Awak jangan salahkan Haisarah. Dia adik bongsu kesayangan saya merangkap bakal adik ipar awak,” katanya lagi tanpa memberi peluang aku bersuara.
“Tak salah kahwin dengan janda. Bukan berdosa pun lagipun awak janda ada class bukan janda tepi jalan. Mummy dan daddy very open. Mereka tak kisah kalau saya mahu bernikah dengan janda, jangan isteri orang sudah! Itu haram,” sejak bila bosku ini jadi ustaz? Aku hanya membisu. Enam bulan aku terseksa sekelip mata mahu menerimanya?
“Saya taklah macam singa. Singa makan orang tapi saya tak makan. Saya manusia biasa, ada hati dan perasaan,”Haiqal masih belum mahu menghabiskan kata-katanya. Kali ini, ia berlagak romantik walaupun sifat ini begitu canggung dengan dirinya. ‘Tak sesuai,’ aku berkata perlahan.
“Saya ikhlas mahu jadikan awak sebagai isteri saya, bukan bibik atau makcik dobi atau chef dapur. Saya mahu awak menjadi permata hati saya serta ibu buat zuriat saya,” kali ini, Haiqal lebih serius. Sah! Haisarah membongkar segalanya. Nak marah? Siapa aku untuk itu.
“Manusia yang paling mulia di sisi Allah adalah insan yang bertaqwa. Tidak kira sama ada ia ditakdirkan menjadi janda ataupun duda. Yang penting, imannya teguh dan ia tidak lupa asal-usulnya…” diam sejenak.
“Manusia itu sebenarnya hanya pelakon di atas pentas ciptaan Tuhan dengan membawa watak-wataknya. Kemudian, mereka kan diadili untuk dinilai ketaqwaan dan keimanannya,” Haiqal meneruskan kata-katanya. Aku yang tadinya tunduk ke bumi memandang tepat anak matanya. ‘Abang…’ wajah Irfan datang kembali. Air mataku tiba-tiba gugur ke bumi. Aku betul-betul rindukannya.
“Arisya, terimalah saya sebagai pengganti Irfan. Dia pergi tak kan kembali. Allah lebih sayangkannya,” ucap Haiqal perlahan.
Kutundukkan wajah ke lantai. Fail yang terletak di atas meja Haiqal aku perhati dari jauh. Kemudian, aku mendongak ke siling.
“Arisya…” panggil Haiqal. Aku memandang wajahnya yang semakin sayu. Tidak ada apa yang mampu kuungkapkan melainkan sekuntum senyum manis.
Salam,
kadangkala kita terlupa siapa kita,kadangkala kita dilekakan oleh kesibukan dunia sehingga terlupa tujuan sebenar kita,
kadangkala kita rasa amat kesunyian,
kadangkala kita jadi terlampau pilu,
kadangkala kita terlampau gembira,
kadangkala...
kita tak tahu apa nak komen kat blog kawan kita,huah huah huaa..
Hehe... betul-betul...