Kalau tidak malu pada.... (ii)


Assalammualaikum. Baiklah... Sambungan kisah semalam.

Macam mana, ya. Hati sudah kasih dan sayang. Cinta bangat. Mahu sehidup semati. Walaupun wanita itu tidak bagus agamanya, dia tetap baik dan memahami. Dia juga prihatin lagi peka. Tolong!!!

Kalau sudah cinta... hendak buat macam mana?

Hmmm....

LELAKI ... SUAMI... KETUA RUMAH TANGGA... KETUA KELUARGA... PEMIMPIN BAGI KAUM WANITA... Apa lagi?

Bak kata mak cik tersebut kepada Muthiah, "B kau pun satu. Memanglah bini tu tak pakai tudung tapi dah kahwin, suruhlah dia tutup aurat. Tak takut ke nak bawa dosa bini sekali? Mak cik tahu, dia takut dengan bini dia. Tu tak pernah cakap apa-apa."

Jadi....

Mainkanlah peranan SEWAJARNYA selaku seorang SUAMI.

Mahukah kalian membiarkan isteri kesayangan kalian mempamerkan aurat mereka untuk tatapan umum?

Berbanggakah kalian dengan apa yang dilakukannya?

Kalian berasa senang dengan pujian dan kata-kata manis mereka yang kagum dengan kegebuan peha isteri kalian?

Tepuk dada, tanya iman.

Jadi, kalianlah (suami) yang membuat pilihan. Kalian memilih untuk bernikah dengan dia (isteri) yang masih terdapat kekurangan dalam agamanya. Namun, sayang seribu kali sayang. Kalian membiarkan sahaja isteri kalian berterusan berada dalam kejahilan dan kemaksiatan kepada ALLAH.

Kalian tahu...

Tidak solat itu salah ~ Kalian biarkan sahaja isteri kalian melalaikan solatnya?

Mengumpat itu berdosa ~ Kalian buat endah tidak endah sahaja. Biarlah dia dengan hobinya.

Kubur lain-lain namun sedarkah kalian dengan tanggungjawab yang berada di atas pundak kalian sekarang?

Jadi...

Ayuh. Mainkan peranan sewajarnya. Tidak ada manusia yang sempurna dan tidak ada manusia yang tidak layak berubah menjadi lebih baik dari semalam.

Bimbinglah... bawalah dia (isteri) ke jalan yang diredhai ALLAH. Mahukah kalian? Kaki setapak sudah berada di dalam syurga tetapi dek kuatnya tarikan sang isteri, kalian gagal masuk ke dalamnya, menghala terus ke pintu neraka.

=) Moga titipan ringkas ini kan dapat memberi manfaat (walau sedikit) kepada semua.

Kuliah hari ini : Kebinasaan bagi suami (i)...

Muthiah : Ya, ALLAH. Jauhkan diriku... suamiku.... mereka yang aku kasih dan sayang dari azab api neraka.

Kalau tidak malu pada.... (i)


Assalammualaikum. Ehe...

Mulakan harimu dengan senyuman.
Mulakan harimu dengan berlapang dada.
Mulakan harimu dengan mengingati TUHAN.
Mulakan harimu dengan menghisab diri.
Mulakan harimu dengan segala sesuatu yang positif.


Entri semalam, Muthiah berbicara tentang calon isteri pilihan - PILIHLAH YANG BERAGAMA. Insya-ALLAH, hari ini... Muthiah ingin berkongsi satu kisah...

Sewaktu dalam perjalanan menuju ke satu destinasi bersama seorang wanita bergelar nenek yang berusia dalam lingkungan 60 tahun, tiba-tiba dia pun bersuara, "A pun satu. Dan ada anak sorang pun masih mahu pakai seluar nampak bontot. Kalau tak malu pada orang lain, malulah pada mak cik yang dah tua ni. Bukan orang lain, mak mertua dia."

Muthiah hanya diam. Tidak tahu apa yang boleh diperkatakan. Hanya mampu menjadi pendengar setia buat sang nenek.

"B kau pun satu. Memanglah bini tu tak pakai tudung tapi dah kahwin, suruhlah dia tutup aurat. Tak takut ke nak bawa dosa bini sekali? Mak cik tahu, dia takut dengan bini dia. Tu tak pernah cakap apa-apa," wanita itu menambah lagi.

Kasihan mendengar luahan wanita itu, Muthiah pun bersuara, "Insya-ALLAH, tidak lama lagi berubahlah dia. Sama-sama kita doakan."

Wanita itu mengeluh perlahan...

Apakah pengajaran yang boleh diambil? Hmmm... insya-ALLAH, esok Muthiah sambung ya. Kisah di atas, bukan sekadar cerita tetapi ada sesuatu yang boleh direnung dan difikirkan. Buat seseorang bergelar lelaki... Salahkah bernikah dengan wanita yang tidak mengendahkan agamanya??? Tepuk dada, tanya iman. Tunggu, ya.

Kuliah hari ini : Wanita akhir zaman.

Akhbar hari ini : Siasat lantai sekolah runtuh.

Muthiah : Ya, ALLAH. Peliharalah aku, suamiku, mereka yang aku sayang daripada azab api nerakamu.

Calon isteri pilihan ... (i)


Assalammualaikum. Apa khabar? Ada yang sedang berhati walang? Kenapa, ya? Muthiah?? Alhamdulillah.

Memilih untuk positif.
Memilih untuk menyerahkan segalanya kepada ALLAH.


Ehe... Dahulu, Muthiah ada bercerita tentang HIKMAH PERKAHWINAN, bukan? Hari ini, pun tentang kahwin. Jom baca...

Rasulullah SAW bersabda, “Dikahwini akan perempuan itu kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah dari kalangan mereka yang beragama. Nescaya akan selamat," Muttafaqun Alaihi.

Satu soalan ~ Mudahkah memilih isteri/ suami??? Atau... main rembat sahaja

Hmmmm... Wallahualam. ALLAH lebih tahu hari mendatang. Apa yang penting, diri tidak putus berdoa agar kehidupan yang dilalui sehari-hari menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Mohon perlindungan dan pengawasan TUHAN sentiasa. Insya-ALLAH, jiwa dan jasad akan selamat.

PERTAMA...

Pilihlah seorang wanita (untuk dijadikan isteri) kerana AGAMANYA....


Kenapa?

Apabila dia tahu agama, insya-ALLAH...

1- Dia akan sentiasa patuh kepada suaminya. Meski hartanya lebih banyak, pangkatnya lebih besar, gajinya lebih tinggi... suaminya tetap berada di atas. Dia tahu hak suami dan kedudukannya di sisi sang lelaki. Matlamatnya satu ~ Redha suami dicari dinanti. Bukankah syurga ALLAH selalu terpampang di hadapan mata. Segalanya dilakukan kerana DIA yang Maha ESA.

2- Dia akan sentiasa berusaha menjadi yang terbaik untuk suaminya. Dengan lain perkataan, dia selalu mahu menyenangkan hati sang suami. Dia berhias... hanya untuk suami.Melunakkan suara pun hanya kepada dia yang halal buatnya. Dia tidak kisah mencuri masa lapangnya untuk memasak, membasuh pakaian, menggosok pakaian, membersihkan rumah meski hal ini bukanlah satu kewajiban buatnya. Dia tahu kemampuan sang suami dan dia mahu menggembirakan hati lelaki itu.

3- Amanah. Menjaga harta suaminya dengan baik. Tidak berbelanja sewenang-wenangnya. Suami bergaji RM1,000. Hendak beli kereta yang harganya RM100,000? Suami berjagi RM1,000. Hari-hari hendak makan di kedai? Seorang isteri yang baik, berusaha memahami kemampuan suaminya.

4- Membantu suami membina generasi yang akan datang. Dengan lain perkataan, mendidik anak sebaik mungkin. Perkenalkan mereka dengan ajaran ISLAM. Tunjukkan kecantikan ISLAM kepada mereka. Amalkan ISLAM dalam kehidupan berumah tangga.

Hehe... apa lagi, ya? Apapun, pilihlah seseorang yang boleh mendorong kita ke syurga. Baik bagi lelaki, mahupun perempuan.

Kitalah yang membuat pilihan. Pilihan yang baik, insya-ALLAH akan membahagiakan diri kita. Rumah tangga, ada pasang surutnya namun... apabila ALLAH diletakkan di hadapan, insya-ALLAH... kita semua akan dapat mengharunginya (cabaran dalam alam rumah tangga)/

~ Dia akan sama-sama membantu kita mencapai dan mengejar redha dan syurga-NYA. Hidup ini tidak lama. Satu masa, akan dipanggil kembali. ~


Kuliah hari ini : Hak seorang suami.

Akhbar hari ini : Wakil insuran mohon jasa baik.

Muthiah : Biar baik pada kaca suami meski ada yang tidak senang hati. Ada ke?

Sayidatina Zainab binti Khuzaimah R.H.


Assalammualaikum. Apa khabar? Apa macam? Ada baik semuanya? Muthiah... Alhamdulillah. Syukur kerana telah dikurniakan kehidupan yang baik oleh TUHAN.

Bukankah ALLAH ada berfirman dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud, "Dan (ingatlah juga); Tatkala TUHAN-mu menyatakan,' Sesungguhnya, jika kamu bersyukur, pasti KAMI akan menambah (nikmat) kepadamu; dan jika kamu mengingkari (nikmat-KU), maka sesungguhnya azab-KU sangat pedih,'."

Hmmm... lama sudah Muthiah tidak menulis kisah tokoh. Hari ini, insya-ALLAH... Muthiah sambung lagi tentang profil isteri Nabi SAW yang kelima. Siapakah gerangannya?

Betul. Isteri Nabi yang kelima namanya Zainab binti Khuzaimah R.H. Bapanya bernama Khuzaimah bin Al-Harith bin Abdullah manakala ibundanya pula Hindun binti Auf.

Zainab (berbangsa Arab) telah dilahirkan di Mekah pada tahun ke-26 sebelum Hijrah dan telah bernikah dengan Rasulullah pada penghujung 3 Hijrah/ awal 4 Hijrah di Madinah. Suaminya yang terdahulu bernama Abdullah bin Jahsy, saudara sesusu Nabi SAW.

Kerana ingin memuliakan Abdullah yang telah syahid di medan Uhud, Nabi SAW pun mengambil Zainab sebagai isteri. Tempoh perkahwinan mereka adalah selama 2 ke 3 bulan. Zainab wafat pada bulan Rabiul Akhir tahun ke-4 Hijrah, di Madinah sewaktu Nabi hayat Rasulullah.

Zainab telah mendapat gelaran Ummu Al-Masakin (Ibu kepada orang miskin) kerana sikapnya yang penyayang serta kelembutannya terhadap mereka.

** Muthiah amat alu-alukan penambahan, jika ada. **

Kuliah hari ini : Isu IFF ~

Akhbar hari ini : Zakat dikatakan rasuah. Rasuah dikatakan....

Muthiah : Gerun kepada ulama yang ....
Labels: 0 comments | | edit post

Anda ditahan atas kesalahan ... (ii)


Assalammualaikum. Apa khabar? Roh dan jasad, ada sihat? Ehe… soalan awal pagi….

1- Bangun qiam pagi tadi?
2- Solat Subuh bersendirian atau berjemaah?
3- Sudah membaca al-Quran?
4- Ada join AMT alias Ahli Mesyuarat Tingkap?


Okey.

2- Salah parkir daaaa…

Hihi… Semalam, Muthiah ada bercerita tentang reaksi awal Muthiah tatkala dihubungi suami, meminta Muthiah mengambilnya di Balai Polis Taiping. Sambungan semalam.

Al-kisah… al-tersebutlah kisah…

Sebaik sahaja sampai ke Ibu Pejabat Polis Taiping, tanpa berfikir panjang… Muthiah terus memandu masuk ke dalam kawasan balai polis (walhal, Muthiah sudah nampak kereta-kereta yang diparkir di luar). Berkebetulan pula, tidak ada polis yang bertugas di pintu pagar masuk. Apa lagi??? Muthiah jalan teruslah.

Muthiah mencari-cari tempat parkir. Nah! Ketemu. Ada banyak kereta diparkir di situ. Salah satu (yang Muthiah ingat) ialah kereta jabatan polis. Muthiah pun, memandulah ke situ. Alhamdulillah. Ada dua parkir kosong tetapi rapat-rapat pula. Oleh sebab mahu membuktikan kemampuan Muthiah memandu, Muthiah cuba juga masuk. Alhamdulillah. Boleh walaupun tidak sepakar pemandu lelaki.

Siap memarkir kereta di situ, Muthiah segera menghubungi suami. “Abe berada di mana?”

Suami lantas membalas. “Abe ada di dalam balai. Muthiah ada di mana?”

Dengan selamba Muthiah menjawab, “Dalam kawasan balai. Ada tempat parkir sebelah pondok jaga.”

“Apa?” Nampaknya, suami sedikit terkejut.

Muthiah pun ikut sama terpinga-pinga. “Kenapa, Be?” Soal Muthiah terus.

“Itu tempat parkir kereta polis.”

Adoi. Huhu… Gelabahlah juga. Cepat-cepat Muthiah berjalan mencari suami. Bertemu sahaja dengan suami, terus Muthiah menyerahkan kunci kereta kepadanya. Konon-kononnya, yang buat ‘kerja’ itu adalah suami. Bukan Muthiah!!!

Kesimpulannya… Entahlah. Mungkin….

1- Malu bertanya sesat cari jalan pulang. Ehe…
2- Belajarlah daripada kesilapan.
3- Hmmmm… Inikah Muthiah atau... perempuan memang begini? Muthiah sahaja agaknya. Hii...


Baiklah. Setakat ini perkongsian santai untuk hari ini. Sekian, terima kasih. Majulah sukan untuk negara…

Kuliah hari ini : Oh, wanita. Tolonglah....

Akhbar hari ini : 90% jemaah haji Malaysia wajib bayar dam.

Muthiah : Bercita-cita hendak menjadi detektif.
Labels: 2 comments | | edit post

Anda ditahan atas kesalahan ... (i)


Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah. Alhamdulillah. Sihat tetapi batuk sedikit. Ditambah dengan ehe... capek. Normallah. Nama lagi manusia. Manusia ini lemah... lalai... alpa... lupa. Perlu diingatkan sentiasa. Betul?

Capek? Dari 28-30 Oktober baru-baru ini, Muthiah telah pulang ke Terengganu menghadiri Fiesta Novel 1 Malaysia Terengganu yang diadakan di TTC. Berkebetulan, tidak ada bas ekspres yang turun ke Kuala Terengganu dari Taiping. Jadi, Muthiah perlu menaiki bas ke Kota Bharu dan dari sana berperjalanan pula ke ... oh, negeriku. Eh, silap. Bas dari Taiping pun tidak ada. Maka, suami menghantar Muthiah ke Kuala Kangsar. Adventure, bukan?

Hmmm... Mahu berbicara tentang apa, ya? Banyak tetapi... tidak sempat pula untuk mencoret semuanya. Apa kata Muthiah bercerita tentang pengalaman Muthiah (semalam) di Balai Polis Taiping. Huhu... BERTUAH PUNYA BINI tetapi inilah SITI MUTHIAH.

Tersebutlah kisah... Ehe. Macam syair pula.

Begini, sewaktu Muthiah sedang membeli belah (barang-barang dapur), suami telah menghubungi Muthiah. Beliau telah meminta Muthiah mengambilnya di Balai Polis Taiping.

Balai polis??? Sebenarnya, telah berlaku kecurian. Jadi, repot polis perlulah dibuat ~ Macam biasa ;)

Ada dua cerita yang boleh Muthiah kongsikan.

1- Huhu....

Serius. Akal yang waras tentu tahu. Apabila berlaku kecurian, repot polis perlu dibuat. Namun, apabila suami memberitahu Muthiah agar mengambilnya di balai polis… yang tergambar di fikiran ialah ….

Suami dan kereta sudah ditahan polis. Kesalahannya? Hmmm… otak Muthiah tidak berfikir sampai ke situ. Muthiah pun, cepat-cepat memberesi segala urusan Muthiah untuk ‘menjamin’ suami.

Setelah bertemu dengan suami, Muthiah memberitahu segala sesuatu yang berada dalam benak Muthiah. Suami tergelak. Hmmm… sememangnya Siti Muthiah. Kadang-kadang bijak. Kadang-kadang blur. Mujur bijak mengatasi ke ‘blur’an. Adoi ;) Naik lif tingkat 20, tekan sendiri.

“Jadi, Muthiah bawa berapa ringgit hendak jamin Abe?” Suami lantas bertanya.

Dengan selamba Muthiah menjawab, “RM50.”

Suami menggeleng… RM50???

Kesimpulannya… hmmm… entahlah. Apapun, setiap manusia itu lemah. Banyak khilafnya.

Kadang-kadang bijak.
Kadang-kadang blur.
Kadang-kadang rasional.
Kadang-kadang beremosi.


Jadi…

Fikir dan renung. Ehe…

Akhbar hari ini : Audit ~ tanda aras tandas RM871. Hmmm... Jadi, PILIHLAH yang telus dan tulus ;)

Kuliah hari ini : Tentang PTPTN. Sudah mula bayar? Hmmm... Muthiah tidak bayar. Ehe... Sebab????

Muthiah : Mengantuk...
Labels: 2 comments | | edit post

Epilog silam-ku

Assalammualaikum, semua. Selamat... selamat hari Jumaat. Ehe. Muthiah masih lagi berada di Kuala Terengganu. Orang kerja pejabat kata, 'Outstation,'. Muthiah pula cakap, 'Jalan-jalan cari makan. Tidak jumpa perigi Hang Tuah, perigi rumah Mak Cik Timah pun sudah memadai.' Keliru? Blur? Hehe... Hanya orang yang tertentu sahaja mengetahuinya.

Hmmm... lama sudah tidak menghisab diri. Menangis mengenang dosa pun tidak lagi. Jom hayati lagu ini. Manalah tahu...



Epilog Silam - Haikal

Dalam mengenang kisah hidup silam
Ku sedar dari kesilapan lalu
Tuhan beratnya dosa-dosaku
Masihkah ada ampunan buatku

TUHAN...Dalam menempuh hidup ini
Banyaknya dugaan datang menguji
TUHAN...Ada yang dapatku gagahi
Dan ada yang gagal kuhindari

TUHAN...Dosaku menggunung tinggi
Tapi taubatku tak kutepati
Tuhan...Rahmat-MU melangit luas
Terlalu sedikit kubersyukur

Kini kukembali pada-MU
Mengharap maghfirah dari-MU
Mogakan terampunlah dosa-dosaku
Biarpun ujian melanda
Ku tetap berkasih pada-MU
Kerna kuyakin kasih-MU
Kekal tiada sudahnya...

Moga kan mendapat manfaat daripadanya.

Akhbar hari ini : TV Al-Hijrah 1 Disember 2010.

Kuliah hari ini : Makan perut dan najis ikan (termasuk ikan bilis). Boleh?

Muthiah : Sayang selalu daripada Muthiah buat dia yang jauh di mata tetapi sentiasa dekat dalam hati dan doa... Setiap saat dan ketika, insya-ALLAH.

Istiqomah


Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah… Alhamdulillah, sihat. Cuma tadi, terkejut beruk juga. Kenapa? Muthiah makan bihun sup. Tidak sangka pula makanan tersebut masih berasap (sebab tidak nampak asapnya). Tiba-tiba, rasa sesak nafas. Rasa panas dalam dada. Mujur ALLAH masih memberi peluang kepada Muthiah untuk menghirup udara-NYA. Kalau tidak, di alam barzahlah Muthiah gamaknya. Meninggalkan suami dan mereka yang Muthiah kasih dan cinta. Maaf salah dan silap, ya ;)

Hmmm… Jom baca tentang hadis (daripada hadis ke-21, hadis arbain)…

Daripada Abu Amru, dan (ada) dikatakan pula daripada Abi Amrah Sufyan bin Abdullah R.A. katanya, “Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, ‘Ajarkanlah kepadaku satu ajaran mengenai Islam, yang tidak akan kutanyakan lagi daripadanya akan seorang yang selain daripada engkau.’ Bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Katakanlah, ‘Aku beriman kepada ALLAH; kemudian hendaklah engkau beristiqamah,’.”

Penerangan hadis :

1- Menurut kamus Dewan, istiqomah membawa maksud ketaatan menjalankan sesuatu suruhan secara terus-menerus (berterusan).

2- Berimanlah kepada ALLAH dengan sebenar-benarnya. Taat segala perintah dan tinggalkan larangan-NYA. Insya-ALLAH, hidup pasti akan bahagia. Bukan hanya di dunia bahkan akhirat jua.

3- Bukan mudah untuk istiqomah. Ia memerlukan kecekalan hati dan tekad dan tinggi. Percayalah. Kita tidak sendiri. ALLAH dekat untuk memberikan kekuatan dan melapangkan urusan.

4- Istiqomahlah dalam melakukan kebaikan dan kebajikan. Andai tersungkur, berusahalah untuk bangkit kembali. Tidak berdaya untuk berdiri??? Hmmm… wahai, teman. Bantulah aku yang lemah lagi tidak mampu ini.

Akhbar hari ini : Hutang negara pada paras tertinggi… Oh, duitku jua…

Kuliah hari ini : Benci??? Fikir dahulu. Jangan sampai memutuskan silaturrahim.

Muthiah : Moga Muthiah… suami dan mereka yang Muthiah sayang akan terus istiqomah di atas jalan yang diredhai-NYA.

Oh, tidak - Paksi.net







Muthiah : Selamat menduduki peperiksaan buat semua ;)

Lajunya bas... Huhu...


Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah. Mengantuk tetapi cuba menggagahkan diri untuk tidak tidur. Huhu... sayang sih tidur pada siang hari.

Hmmm... baru-baru ini, Muthiah telah menemani suami ke Baling, Kedah. Ehe... Suami menyertai perlawanan futsal di sana. Namun, bukan perihal futsal yang ingin Muthiah bicarakan. Cerita lain...

Dalam perjalanan pulang dari Baling ke Taiping, Muthiah telah menggantikan tempat suami selaku driver terhormat. Iyalah. Suami sudah sepagi bermain futsal. Mesti letih. Muthiah pun menawarkan diri untuk memandu.

Dalam perjalanan, Muthiah telah bertembung dengan dua buah bas yang dipandu laju. Satu adalah BAS EKSPRES SP BUMI (datang dari arah Gerik ke Kedah) dan satu lagu BAS KOLEJ KOMUNITI (tidak pasti kolej komuniti mana tetapi, warnanya... biru). Huhu...

Mengucap panjang juga Muthiah. Bas ekspres SP BUMI, mak ai. Selekoh pun laju sampai masuk ke lorong Muthiah. Mujur Muthiah tidak laju mana (memang tidak laju pun). Sempatlah memandu ke tepi jalan. Bas kolej komuniti pula. Had laju 70 km/jam. Lajunya macam hendak kejar sesuatu. Jadi... melihatkan pemandu-pemandu bas ini, tidak hairanlah jika banyak kes kemalangan melibatkan bas ekspres. Yang Menjadi mangsa, mereka yang tidak bersalah.

SEREMBAN, 10 Okt. 2010 – Seramai 12 orang maut, manakala lebih 40 lagi cedera termasuk parah apabila dua buah bas, dua buah kereta dan sebuah van terbabit dalam kemalangan di Kilometer 223, Lebuhraya Utara-Selatan, berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat dekat Rembau, petang ini.

KOTA KINABALU, 19 Mei 2010 - Polis hari ini mengambil keterangan pemandu bas ekspres dan kenderaan pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan sehingga mencederakan tiga penumpang di Kilometer 19.5, Jalan Ranau-Tamparuli semalam.

KAMPAR 7 Okt. 2009 — Seorang pemandu bas ekspres maut, lapan penumpang cedera termasuk seorang parah apabila bas berkenaan merempuh belakang sebuah treler membawa muatan besi di Kilometer 305, Lebuhraya Utara-Selatan, awal hari ini.

PASIR PUTEH, 6 Sept. 2009 — Tiga maut manakala tujuh sekeluarga cedera termasuk dua parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 50, Jalan Kota Baharu-Kuala Terengganu di sini malam tadi.

RAWANG, 13 April 2009 - "Saya nampak bas itu dipandu laju dan terhuyung- hayang, malah saya beberapa kali memberi amaran dengan menyalakan isyarat lampu.

KUALA LUMPUR, 5 Julai 2009 - Empat termasuk dua penumpang bas persiaran cedera selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 28.9 Lebuh Raya Karak menghala ibu negara dekat sini malam ini.

SLIM RIVER, 11 Jun 2008 – Seorang penumpang terbunuh manakala 22 yang lain cedera apabila bas yang mereka naiki terbabas sebelum terbalik di Kilometer 383.9 Lebuhraya Utara-Selatan di sini hari ini.

MUAR, 18 Ogos 2007 - Kejadian nahas bas ekspres paling buruk dalam sejarah negara Isnin lalu hampir berulang awal pagi ini apabila 23 penumpang nyaris maut selepas bas ekspres yang mereka naiki terbabas dan terbalik ke dalam gaung sedalam tiga meter di Kilometer 171.9, Lebuh Raya Utara Selatan dekat Tangkak di sini.

TAIPING, 17 Ogos 2007 – Setelah lima hari bertarung nyawa, akhirnya kanak-kanak berusia tiga tahun, Abdul Karim H. Abu Bakar yang terlibat dalam kemalangan bas ekspres di Kilometer 229.1 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Bukit Gantang di sini, Isnin lalu, meninggal dunia hari ini.

IPOH, 15 Ogos 2004 - Empat maut, enam parah manakala 19 lagi turut cedera apabila bas ekspres yang dinaiki terbabas sebelum terbalik ke dalam longkang di laluan cerun di Kilometer 256.9 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini, hari ini.

Hmmm...

Akhbar hari ini : Pakai skirt di Itali - Denda RM2,000. Di Malaysia??? Hmmm....

Muthiah : Berserah pada ALLAH tetapi usaha dahulu..

Kitakah itu??? (ii)


Assalammualaikum. Ehe... Sambungan entri semalam ;)

Rasa-rasalah, apa agaknya kesan negatif bagi mereka yang suka mengungkit ini? Mereka??? Kita, bagaimana? Iyalah... satu jari menuding, empat jari kembali kepada kita. Tidak!!! Kita tidak menuding... Kita berkongsi ilmu... Huhu... Nauzubillah...

1- Tidak akan memperoleh ganjaran pahala daripada ALLAH ~

Sebagaimana firman-NYA dalam surah al-Baqarah ayat 262 yang bermaksud, "Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan ALLAH, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan penerima), mereka memperolehi pahala di sisi RABB mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati."

2- Diancam tidak masuk syurga ~

Daripada Abdullah bin Umar R.A., Rasulullah SAW bersabda,"Sesungguhnya, tiga orang yang tidak akan masuk syurga yakni; Anak yang derhaka kepada orang tuanya; orang yang terus-menerus minum khamar (arak); dan orang yang mengungkit-ngungkit pemberiannya."

Hmmm... ada lagi? Kalau ada penambahan, Muthiah alu-alukan.

Apapun, jom kita renungkan kembali...

Mahukah kita mensia-siakan kebaikan kita disebabkan sikap kita yang suka mengungkit-ungkit itu? Tidak... bukan mengungkit tetapi memberitahu... menyatakan...

Bagaimana dengan orang yang mendengar 'pemberitahuan' kita itu? Adakah hatinya terguris??? Atau berasa hati dengan kata-kata kita? Tidak... bukan hendak mengguris tetapi menyedarkan.

Ikhlaskah kita dalam memberi kesedaran itu? Tepuk dada, tanya iman. Kita khuatir, asalnya... kita memang telus dalam menghulurkan bantuan. Namun, apabila syaitan mencucuk... ketulusan kita tergugat. Banyak pula perasaan (yang kita sendiri tidak ingini hadir).

Justeru, pilihlah yang terbaik untuk diri kita... dan mereka yang berada di sekeliling kita.

Salam muhasabah buat diri Muthiah dan sahabat-sahabat lain khususnya ;)

Kuliah hari ini : Orang beriman, usahlah mengungkit sedekah dan menyakiti hati orang.

Akhbar hari ini : Anti menara di FB...

Muthiah : Ya, ALLAH. Peliharalah aku, suamiku serta mereka yang aku sayang daripada sikap mazmumah ini.
Labels: 0 comments | | edit post

Kitakah itu??? (i)


Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah. Positif. Optimis. Berusaha untuk menjadi lebih baik daripada semalam. Pandangan ALLAH ialah matlamat utama.

Pandangan manusia???

Hmmm... Ehe... Bagi yang suka, Alhamdulillah. Suka itu insya-ALLAH bisa membuahkan rasa cinta dan kasih. Dengan cinta, dapat merapatkan hubungan dan ukhwah. Hasilnya, akan memperoleh kesejahteraan hidup... di dunia dan akhirat.

Bagaimana pula dengan yang membenci dan iri hati? Apapun, kita tidak akan dapat memuaskan hati manusia lainnya terutama yang sememangnya tidak sukakan kita. Bak kata seorang teman, 'Rambut sama hitam, hati lain-lain.' Cuma, pastikan hati kita sendiri sentiasa suci dan bersih. Tidak perlu menyesakkan fikiran berfikir yang bukan-bukan tentang hati orang lain.

Hahaha... Apa kes? Tidak ada apa-apa. Sekadar respons semasa kepada luahan seorang teman yang sedang berhati walang dek sikap manusia yang sering memandang negatif terhadapnya. Entahlah. Lumrah kehidupan. Banyak cabaran dan pancaroba. Semuanya untuk menguji manusia. Apa yang penting, diri sendiri perlulah sentiasa bersangka baik dan serah segalanya pada penghitungan ALLAH SWT yang Maha Teliti.

Ingat atau tidak? Dahulu, Muthiah ada berbicara tentang menolong... tetapi mengungkit...

Kita menolong... kita mudah untuk diminta tolong... kita tidak lokek dengan apa yang kita miliki...

...tetapi...

Kita gemar pula mengungkit-ungkit... menyakitkan hati orang yang kita tolong... berbangga dengan pertolongan yang kita berikan...

Bukan itu sahaja, bahkan hati kecil kita mengatakan, 'Akulah yang membantu... bukan dia...' Lima puluh tahun kita hidup di dunia, selama itu juga kita mengungkit kebaikan yang telah kita lakukan. Awas! Khuatir... ungkit-mengungkit ini bisa menjadikan kita riak dengan kehebatan diri sendiri... Akulah peka... akulah prihatin... akulah baik hati.

Siapa kita hendak berasa begitu? Bukankah ALLAH sudah permudahkan urusan kita... memurahkan rezeki kita... Jadi, yang hebat itu sebenarnya bukanlah diri kita tetapi ALLAH yang memiliki segalanya.

Renung-renungkan... fikir-fikirlah...

-bersambung-

Muthiah : Ya, ALLAH.. Pilihlah aku untuk...
Labels: 0 comments | | edit post

Kalau benar CINTA...


Assalammualaikum, semua. Apa khabar? ….

i) Hati kita?
ii) Jasad kita?
iii) Perasaan kita?
iv) Iman kita?


Hehe… Satu soalan buat para isteri yang sedang membaca entri ini (juga buat diri Muthiah sendiri)…

SAYANGKAH KITA PADA SUAMI KITA?

Huhu… Suka-suka hati sahaja hendak mengajukan soalan sebegini. Mestilah, sayang. Masih mahu tanyakah?

KALAU BENAR SAYANG… BUKTIKAN?

Huhu… Ini satu lagi soalan yang tidak wajar ditanya. Sendiri mahu ingatlah…

Teman-teman (diri Muthiah juga)… Kalau benar menyayangi sang suami…

1- Jagalah aurat kita daripada sesiapa yang tidak sepatutnya ~ Tidak salah bergaya dan berfesyen tetapi berpada-padalah. Turutilah syariat TUHAN. Rambut kita mungkin cantik dipandang. Betis dan peha kita mungkin sedap dilihat tetapi…

2- Hormati dia seadanya seorang suami ~ Berkata-katalah dengan lemah lembut, selayaknya kita seorang isteri (meski gaji dan jawatan kita lebih besar daripada suami). Senangkanlah hatinya sentiasa. Percayalah… bila mana kita berusaha untuk membahagiakan dia dengan ikhlas dan sabar… ganjaran TUHAN pasti ada menanti. Bukankah syurga ALLAH itu adalah matlamat utama kita?

3- Hehe… hobi, hobi juga tetapi beringatlah. Say no to ‘Ahli mesyuarat tingkap.’ ~ Sudah biasa, macam mana? Kasihan, suami. Dia tahu isterinya mengumpat tetapi tidak berdaya pula hendak menasihati. Iyalah… takut sang permaisuri terasa hati. Terasa hati, terasa hati juga tetapi…

4- Tunaikanlah hak ALLAH sebaiknya ~ Aik. Apa kaitannya pula dengan cinta pada suami? Iyalah… kita tidak solat… tidak juga menutup aurat… tidak berpuasa dan bla bla bla… Suami pula mendiamkan diri sahaja. Tidak cukup berani untuk bersuara. Bukan tidak berani tetapi sayang….

5- Usah halang suami kita daripada menunaikan hak ibu bapanya ~ Bagaimana? Kalau mampu, bantulah keduanya selagi mereka masih ada. Sekiranya tidak mampu, lakukanlah sedayanya. Dalam hal ini, Muthiah melihat kepada kekuatan doa seorang anak buat ibu dan ayah. Ibu bapa kita? Di sini, tolak-ansur, timbang-rasa perlulah ada. Tepuk dada, tanya iman. Hmmm…

APAKAH KAITANNYA PULA DENGAN PEMBUKTIAN CINTA TERHADAP SANG SUAMI???

Ada… ada keberkaitannya kerana… SUAMI KELAK AKAN DIPERTANGGUNGJAWABKAN KE ATAS DIRI KITA sedang dia tidak melakukan apa-apa.

Jadi, tepuk dada… tanya iman.

BENARKAN KITA MENCINTAI SUAMI KITA???

Akhbar hari ini : Bantahan 'fesyen Islamik'. Betul??? Tidak tahu... tidak mahu tahu... tidak mahu belajar atau... JAHIL???

Kuliah hari ini : Ciri-ciri wanita masuk syurga. Mahu??? Jadi???

Muthiah : Mahukan redha dan cinta dia sentiasa walau tahu diri tidak cukup sempurna...
Labels: 0 comments | | edit post

Belajar daripada kesilapan ... (ii)


-sambungan semalam-

Semalam, Muthiah berkongsi tentang cerita. Hari ini... jom kita lihat kesimpulannya ;)


Kesimpulan cerita :

1- Bersedialah untuk menerima teguran orang lain ~ Orang tegur, mesti ada sebabnya. Kalau kita cepat melatah dan bermasam muka, macam mana hendak memperbaiki diri sendiri?

2- Bersedialah untuk belajar ~ Belajar daripada orang yang lebih ilmunya… banyak pengalamannya…

3- Kalau tidak pasti, jangan segan bertanya ~ Bak kata Mael XPDC dalam ‘Semangat yang hilang’, Malu bertanya kawan sesat cari jalan pulang…

4- Belajarlah daripada kesilapan ~ Tidak ada manusia yang sempurna.


Tidak salah untuk berbuat salah. Betulkah tidak salah? Tidak salah kalau tidak tahu. Iyalah. Baru tingkatan dua. Tidak cukup faham tentang dunia perniagaan. Huhu…

Salah kalau kita sudah tahu salahnya tetapi tetap mahu melakukannya. Jadi, jangan malu mengakui kesalahan. Jangan malu untuk belajar. Kalau berbuat dosa kepada TUHAN? Usah bertangguh lagi untuk bertaubat kepada-NYA.

Rendahkanlah diri kita untuk menerima teguran dan nasihat. Itu pun, kalau kita benar-benar mahu mengubah diri menjadi lebih baik daripada semalam. Kitalah yang membuat pilihan. Orang lain tidak rugi apa-apa sebenarnya kalau kita yang tidak mahu belajar. Tidak rugi??? Rugilah juga.

Sebagai contoh, papa ajar… ‘Tulis RM1.30.’ Oleh sebab Muthiah merasakan diri Muthiah lebih bijak (Iyalah. Matematik dapat A di sekolah), Muthiah abaikan sahaja apa yang telah diberitahu papa :

Pertama… Muthiah sendiri akan berterusan membuat salah. Merasakan diri betul dan betul.

Kedua… Papalah yang susah sebab kena buat balik. Muthiah pula tidak mahu mendengar kata.

Ehe… Sudah berusaha untuk menjadi lebih baik. Terbuat juga?
Berusahalah untuk tidak melakukannya lagi. Kalau-kalau?

Tepuk dada, tanya iman. Fikirkan kembali, setakat mana rasanya hidup kita di atas muka bumi ini. Huhu…

5- Bantulah ibu dan ayah sedaya mampu. ~ Kalau tidak mampu, percayalah kepada KEKUATAN DOA. Doakan kesejahteraan dan kebahagiaan mereka. Doakan agar mereka kan tergolong dalam golongan yang mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat… dijauhkan dari azab api neraka. Usah berasa bangga andai kita menjadi anak yang menghampari ibu dan ayah dengan harta benda tanpa secebis pun doa dipanjatkan buat mereka.

Huhu… Sekadar cerita lama… Mengimbas memori silam…

Buat papa… ‘Maaf sebab selalu habiskan ais krim, gula-gula, coklat dan apa-apa makanan yang ada…’

Akhbar hari ini : Islamik fesyen Islam Hadhari... Hmmm... terlebih pandai atau... hmmmm....

Kuliah hari ini : Hukum meminjam ...

Muthiah : Teringat pula menolong nenek setiap kali dia berniaga di pasar malam dan pasar sari. Tugas Muthiah ialah mengangkat dan menyusun pakaian yang hendak dijual. Upahnya… duit untuk beli bihun goreng. Sampai sekarang mak cik jual bihun tetap ada. Oh, kenangan.

Belajar daripada kesilapan ... (i)


Assalammualaikum. Apa khabar, semua. Muthiah… Alhamdulillah, sihat. Hati? Alhamdulillah, pun sihat. Ada sesuatu yang sedang bermain-main di dalam fikiran Muthiah tetapi insya-ALLAH, under control. Bukankah ALLAH ada melihat, mendengar dan mengetahui. Juga sangat teliti penghitungan-NYA.

Ehe. Hari ini, Muthiah ingin bercerita kisah ‘lawak’ Muthiah ~ Apabila dikenang kembali, boleh tersenyum sendiri. Moral di sebalik kisah, bolehlah sahabat-sahabat fikirkan sendiri. Insya-ALLAH, sekiranya kita menilai dari mata hati… akan ketemu dengan mutiara yang tersembunyi. Boleh, begitu?

Tersebutlah kisah… al-tersebutlah kisah…

Sewaktu Muthiah berada di tingkatan satu. Ehe… Muthiah sudah biasa membantu papa di kedai runcitnya (terletak di hadapan pasar Sungai Tong). Sewaktu Muthiah berada tingkatan 2, bangunan kedai runcit tersebut telah diroboh oleh kerajaan negari (atas alasan hendak membangunkan tempat).

Apa yang Muthiah ingat… ‘kerja’ Muthiah bermula setelah Muthiah balik dari sekolah. Selepas asar, Muthiah dan sahabat baik Muthiah (Ernie namanya) akan membawa adik Muthiah (Abang. Amir pula masih kecil waktu itu) berjalan-jalan di loji air. Malamnya… dari jam 8.00 malam sampai 12.00 pula, Muthiah akan jaga kedai sambil dengar Radio Muzik pilihan bersama. Padahal, hendak dengar radio. Pada setiap hujung minggu pula, Muthiah akan jaga kedai sampai pukul 2.00 pagi (atau lebih). Begitu juga pada musim perayaan dan cuti persekolahan. Seronok apabila dikenang kembali saat-saat itu.

Hmmm… bukan kisah ini yang mahu Muthiah kongsikan tetapi…

Ingat atau tidak? Sewaktu kita belajar Matematik di sekolah, cikgu ada menyebut…

‘Selepas titik perpuluhan, sifar selepas nombor asli (atau integer positif) tidak memberi sebarang makna.’

Huhu… ada cikgu Matematik di sini? Kalau ada, boleh betulkan mana-mana yang salah…

Sebagai contoh : 2.10 boleh juga ditulis sebagai 2.1. Sifar selepas nombor satu tidak memberi apa-apa makna.

Berbalik kepada kerja Muthiah (bukan kerja sangat pun, belajar sahaja)… Selain membantu papa menjaga kedai, Muthiah juga berperanan untuk berurusan dengan tauke-tauke yang datang menjual barang dengan van. Hmmm… hakikatnya, papa yang berurusan. Muthiah tukang angkut barang, susun barang (sambil panjat kerusi dan rak), ambil duit dan tulis harga sahaja. Akan tetapi, mungkin pernah juga berurusan terus dengan sang peniaga. Macam beli roti contohnya. Papa cakap, ‘Beli sekian sekian sekian.’ Kemudian, beli sahaja. Mudah, bukan?

Setelah barang dibeli, harga perlu diletakkan. Tugas Muthiah yang seterusnya ialah menulis harga pada barang-barang tersebut. Hendak tahu apa yang Muthiah tulis? Hahaha… Mungkin dek terlebih ‘pandai’ dalam kelas…

Harga gula … contohnya, RM1.30… Muthiah tulis RM1.3. Adoi… Iyalah. Bukankah cikgu di sekolah ajar begitu??? ~ Sifar selepas titik perpuluhan, tidak ada makna (tetapi, kalau di tengah-tengah, tetap ada nilainya). Huhu… Akibatnya, Muthiah dimarahi papa. Marahkah? Bukan marah… nasihat dan ajar sahaja.

~ bersambung esok ~

Akhbar hari ini : Hak kita...

Kuliah hari ini : Couple, pinang dan tunang menurut ISLAM.

Muthiah : Belajar dan terus belajar...

Mampukah kita? ... (ii)


-sambungan semalam-

Mampukah kita??? Mampukah kita??? Mampukah kita???

Mampukah kita berdoa kepada ...

1- Mereka yang suka bercerita tentang diri kita?

Pada kaca mata mereka, kita ... hanya yang buruk-buruk sahaja. Hanya yang tidak baik dan negatif. Mereka lebih senang mencari kelemahan kita. Lebih selesa memejamkan mata tatkala kebaikan kita terpampang di hadapan mereka.

2- Mereka yang membenci dan tidak menyukai kita?

Kita pula mengetahui perasaan yang mereka pendam itu. Mampukah kita mendoakan mereka setelah maklum segalanya???

3- Mereka yang baik di hadapan kita tetapi berbicara macam-macam di belakang kita?

Dengan lain perkataan... depan lain, belakang lain. Bersama kita, mereka ketawa riang. Kita dan mereka sama-sama gembira. Kita turut menyelami kepedihan yang dialami mereka. Belakang kita? Aduh... mereka mengeji dan mencerca. Macam-macam. Ada sahaja yang tidak kena pada kaca mata mereka.

4- Mereka yang terang-terangan menghina, mencaci dan mengkeji kita?

Ada sahaja yang tidak kena... ada sahaja yang buruk... Seolah-olah, kita adalah malaikat yang hanya menuruti perintah TUHAN. Tidak boleh membuat salah. Awas!

5- Mereka yang mengambil/ mencuri/ merampas hak kita?

Rumah... tanah... (harta namanya)...
Kasih sayang... cinta...
Kebahagiaan... kedamaian hidup...

6- Mereka yang gemar bersangka-sangka dengan kita?

Alahai, hati. Kenapa begitu cepat membuat tanggapan? Menghasilkan kesimpulan sendiri. Kemudian, menyubur rasa benci dalam diri.

Bla bla bla (sedikit daripada segala macam masalah yang bisa berlaku dalam kehidupupan sehari-hari)...

Persoalannya, MAMPUKAH kita mendoakan agar...

ALLAH mengurniakan hidayah kepada mereka?
Menjadikan mereka manusia yang dekat dengan PENCIPTA?

Mereka bisa berjaya di dunia dan akhirat?

Walhal, hati sedang sakit... luka dan terluka...

Hmmm... Semalam, Muthiah sudah berkongsi kisah Nabi di Taif. Hari ini...

Nabi SAW...

1- Pernah ada yang hendak membunuhnya (bahkan berkali-kali)...

2- Pernah diboikot...

3- Pernah dihina, dicaci dan dikeji...

4- Pernah ada yang berbicara dusta tentangnya...

Itu Nabi... kita bukan Nabi!!!

Jadi, bagaimana?

Tidak salah untuk mampu...
Tidak salah juga untuk tidak berdaya.


Apapun, kitalah yang membuat pilihan...

Sirah :

1- Kisah Nabi SAW dengan Walid al-Mughirah.

2- Kisah Nabi SAW dengan Uqbah bin Mu'it.

Akhbar hari ini : Tengku Muhammad Fa-Iz Petra dilantik Tengku Mahkota Kelantan. ...ALLAHUAKBAR (Menggantikan daulat Tuanku).

Muthiah : Mendoakan diri, suami, saudara mara serta teman-teman yang disayangi...

Mampukah kita? ... (i)


Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah. Sihat. Aman dan bahagia, insya-ALLAH. Hmmmm... mengikut perancangan awal, Muthiah hendak masuk 'office' tetapi... oleh sebab masa tidak cukup panjang, Muthiah memilih untuk mengemaskini blog.

Isu apa, ya yang boleh Muthiah utarakan? Hmmm...

Muthiah teringat kuliah pagi yang disampaikan oleh seorang ustaz di TV9 dalam rancangan Tanyalah Ustaz. Hari apa... Muthiah lupa, hiiii.... Namun, tajuk yang dikupas ialah tentang DOA. Jom kongsi...

Ada seorang penonton bertanya kepada sang ustaz, "Bolehkah kita mendoakan keburukan orang lain?"

Ustaz tersebut lalu menjawab, "Doa adalah hak masing-masing," dia diam sejenak.

"Namun, sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita ikutlah cara Nabi. Nabi mendoakan kebaikan (agar orang yang berbuat jahat memperoleh hidayah) meski dirinya telah disakiti," sambungnya lagi.

Ayuh, sahabat-sahabat. Kita sama-sama menyelusuri sirah Nabi SAW ;)

Muhammad berdakwah di Taif...

Pada tahun ke-10 kenabian, Nabi SAW telah ditemani Zaid bin Harithah menuju ke Taif. Apabila telah sampai ke sana, mereka telah bertemu dengan tiga orang ketua Taif (anak kepada Amru bin Umair) yang bernama Abdul Yalil, Mas'ud dan Habib. Awalnya, Nabi telah disambut baik oleh mereka namun, apabila ajaran ISLAM disampaikan...

Berkata salah seorang daripada mereka, "Aku tidak akan beriman selagimana tidak terkoyak kelambu Kaabah..."

Kemudian, tambah pula yang kedua, "Adakah tidak ada orang lain lagi bagi ALLAH selain kamu untuk dijadikan Rasul?"

Orang yang ketiga juga tidak mahu kalah mengkeji dan menghina. Dia pun bersuara lantang, "Aku tidak akan berbicara lagi denganmu. Jika benar kau Nabi, amat bahaya jika aku tidak menuruti ajakanmu. Namun, jika kau berdusta... sewajarnya aku tidak bercakap denganmu."

Nabi tetap bersabar...

Apabila Nabi SAW memasuki kota Taif, datang pula budak-budak nakal lalu membaling batu ke arahnya sampai berdarah kakinya.

....

Sesudah itu, datang malaikat Jibril menghampiri Nabi. Ia berkata, "Wahai, Muhammad. Sesungguhnya, ALLAH telah mengutus kami kepadamu. Jika kamu mahu, perintahkanlah. Akan kami telangkupkan di antara dua bukit Taif ini sampai musnah mereka semuanya."

Muhammad membalas, "Wahai, Jibril. Biarkan aku bersabar dengan kaumku. Semoga ALLAH keluarkan daripada zuriat mereka, manusia yang beriman kepada ALLAH."

Subhanallah. Akhlak dan keperibadian yang tidak ada tandingannya lagi. Hebatnya Pesuruh ALLAH ini.

Kita??? Mampukah kita...

~bersambung~

Jom hayati : Rasulullah...

Akhbar hari ini : Angkasawan negara kedua diteruskan jika cukup peruntukan. Dari mana???

Muthiah :Belajar untuk bersabar mendepani...

Isteri solehah ;)

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah. Sihat cuma agak tepu sedikit. Apa kata hari ini kita menghayati lagu ini? Iyalah. Hari-hari baca dan baca. Sekali sekali, dengar pula. Moga kita semua kan mendapat maafaat daripadanya.



Isteri cerdik yang solehah ...

Isteri cerdik yang solehah
Penyejuk mata, penawar hati, penajam fikiran
Di rumah dia isteri, di jalanan kawan
Di waktu kita buntu, dia penunjuk jalan

Pandangan kita diperteguhkan
Menjadikan kita tetap pendirian
Ilmu yang diberi dapat disimpan
Kita lupa, dia mengingatkan

Nasihat kita dijadikan pakaian
Silap kita, dia betulkan
Penghibur di waktu kesunyian
Terasa ramai bila bersamanya

Dia umpama tongkat si buta
Bila tiada satu kehilangan
Dia ibarat simpanan ilmu
Semoga kekal untuk diwariskan

Moga kan dipilih TUHAN untuk menjadi isteri cerdik yang solehah ini. Amin... Sama-samalah kita, wahai isteri ;)

Muthiah : Mampukah menjadi umpama Siti Muthiah???

Hikmah kahwin - Memantapkan jiwa


-sambungan semalam-

Jeng jeng jeng... Hikmah perkahwinan yang terakhir buat masa ini (last but not least)...

4- Memantapkan jiwa dalam menunaikan tanggungjawab terhadap keluarga (bagi seorang suami khususnya)...

i)Bersabar dengan karenah isteri (dalam tingkah laku dan ucapannya). Namun, jangan sampai sang isteri memijak kepala. Kasihan dia... nusyuz tanpa dia sedari, nauzubillah. Sang suami pula, lebih senang membiarkan sahaja. Khuatir si jantung hati terasa hati dan terluka. Syariat TUHAN? Nanti, sama-sama yang rugi sebenarnya.

ii) Berusaha membimbingnya ke jalan ALLAH. Dengan kata lain, taat kepada perintah dan suruhan TUHAN-nya. Iyalah. Seorang suami itu akan dipertanggungjawabkan ke atas isteri dan anak-anaknya. Namun sebelum itu, sang suami juga perlu memastikan diri sentiasa teguh berada di atas jalan yang landasan yang betul. Jadi, sama-samalah berusaha keras menuju kepada redha-NYA.

iii) Memberi pendidikan yang baik buat isteri dan anak-anak. Bukan sahaja ilmu duniawi tetapi juga ukhrawi. Pastinya seorang ayah itu tidak mahu anaknya menjadi seorang manusia yang berjaya di dunia tetapi amat merugi di akhirat. Jadi, sedari anak itu masih kecil... berilah ilmu yang mampu menjadikan mereka insan yang berguna. Manusia yang boleh memberi manfaat kepada orang lain yang berada di sekelilingnya.

Ehe...

Lain-lain tentang hikmah perkahwinan :)

Akhbar hari ini : Anugerah dekan pun boleh digantung...

Muthiah : Hikmah di sebalik sesuatu... Serah segalanya kepada ALLAH. Bukankah DIA Maha Teliti Pengitungan-NYA?

Hikmah kahwin - Membina satu keluarga


-sambungan semalam-

Assalammualaikum. Ehe... sabar menanti isi yang keseterusnya. Hikmah sebuah perkahwinan ;)

3- Memenuhi kehendak hati (fitrah insani) untuk membina satu rumah tangga/ keluarga.

Dengan lain perkataan, sang suami memainkan peranan sewajarnya selaku seorang suami.

i) Mencari rezeki yang HALAL buat keluarga.

ii) Membimbing keluarga ke jalan yang DIREDHAI ALLAH.

iii) Menjadikan ISLAM sebagai JALAN HIDUP dalam sebuah rumah tangga.

iv) Berkasih sayang sesama ahli keluarga.

v) Sabar menempuh cabaran dalam menjadi ketua keluarga.

vi) Menyediakan keperluan keluarga.

Hmmm... apa lagi, ya? Ehe... sebenarnya, akan ada entri khusus tentang peranan seorang suami. Kiranya, di sini mukadimah sahaja ;)

Bagaimana pula bagi sang isteri??? Isteri... tidak wajib melakukan kerja-kerja rumah. Tidak wajib juga memasak buat suami. Namun, bilamana suami memerintahkan... jadilah ia wajib, sepertimana yang telah diceramahkan oleh Ustaz Azhar Idrus.

Bagi si isteri (titipan dan pesanan buat diri Muthiah sendiri khususnya)... tidakkah kita mahu mencari redha ALLAH melalui redha dan kesenangan hati suami? Pandanglah syurga yang sedang menanti. Keletihan yang dialami, tentu beransur pergi. Yang penting, sentiasa memperbaharui niat. Lakukan segalanya kerana ALLAH SWT.

Jom jawab sendiri... siapa yang kena buat???

i) Menyiapkan makan/ hidangan buat keluarga.

ii) Membersihkan pakaian, rumah dan tempat tidur.

iii) Bersiap elok kepada suami - senyum, berhias dan memakai bau-bauan.

iv) Menjaga maruah diri serta harta suami.

v) Berbicara elok di hadapan suami - meski kita berpangkat daripadanya.

Isteri sahaja??? Suami???

Para suami...

Tepuk dada, tanya iman. Apa yang penting, sama-sama berusaha untuk membahagiakan rumah tangga. Tolong-menolong dan bertolak-ansur dalam setiap urusan. Sama-sama bertungkus-lumus memgembirakan hati masing-masing. Kita tidak mahu, seorang bergembira dan seorang lagi memendam rasa. Dikhuatiri, apabila gunung berapi meletus, parah jadinya.

Renung dan fikir.

Hmmm... Ada satu lagi isi untuk entri hikmah perkahwinan. Insya-ALLAH, nanti Muthiah sambung ya ;)

~ Menurut Abu Sulaiman ad-Darani, "Isteri yang baik tidak terlalu mementingkan dunia. Akhiratlah yang menjadi impian utama. Dia rela berkorban untuk membina dan mengatur rumah tangga sebaiknya, di samping memerangi hawa nafsu."

Kuliah hari ini : Hai, isteri.... Garangnya??? Huhu...

Akhbar hari ini : Galas dan Batu Sapi...

Muthiah : Demi syurga yang kekal abadi...