C.I.N.T.A


Seorang teman ada menyebut, “ Cinta kepada bunga, bunga kan layu. Cinta kepada manusia, manusia kan mati. Cinta kepada Allah, itulah cinta yang hakiki.” C. I. N. T. A. Ada yang kata, cinta itu buta. Ada juga yang kata, cinta itu tidak buta tetapi hati telah dibutakan oleh cinta. Mencari cinta dan segalanya cinta. Cinta yang dikatakan boleh membawa bahagia. Rasa cinta yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Akan tetapi, benarkah cinta itu kelak kan memberi kebahagiaan yang diidami?

Si isteri mencintai suami kerana suami itu tempat ia bergantung. Si suami mencintai isteri kerana isteri itu membawa ketenangan kepada dirinya. Si kekasih mencintai kekasih hati kerana si dia memberi rasa senang dalam hatinya. Rasa cinta yang begitu mengasyikkan tetapi sering kali melekakan. Sehingga tanpa sedar rasa kasih dan cinta itu menyebabkan ia lupa dan alpa.

Kepada siapa sebenarnya ia patut meletakkan pergantungan? Sedang jelas tauhid rububiyyah menyatakan bahawa Allah itu sebagai Pencipta, Allah sebagai tempat bergantung, Allah-lah Pemberi rezeki dan Dia jua segalanya. Siapa pula yang memberi ketenangan dan rasa senang kepada diri insani? Segalanya adalah milik Allah yang menjadikan juga mewujudkan.

Sayang sekali kerana manusia itu sering lupa. Lupa itu mungkin disebabkan oleh hati yang telah dibutakan oleh cinta yang sememangnya tidak bermata. Firman Allah,“Katakanlah: Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum kerabatmu, harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu takuti kerugiannya, serta tempat kediaman yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah, RasulNya, dan jihad ke jalan Allah, maka tunggulah olehmu, sehingga Allah mendatangkan seksaanNya.” At-Taubah : 24.

C. I. N. T. A! Kerana cinta ia sanggup menggadaikan dirinya. Kerana cinta ia lupa asal usul dirinya. Ia lupa mengapa ia dijadikan Allah di atas muka bumi ini. Menjadi khalifatullah dan hamba yang mengabdikan diri kepada-Nya. Ia berpura-pura lupa sehingga akhirnya menyebabkan ia benar-benar lupa.

Begitu kuat penangan cinta. Cinta yang sebenarnya tanpa sedar telah menghancurkan dirinya. Cinta yang menyebabkan ia tersasar arah dari landasan cinta yang sebenar yakni dalam mengejar dan menggapai cinta yang pasti. Itulah cinta Ilahi. Cinta hakiki yang pastinya kekal abadi.

Cintakan Allah. Cintakan Rasul. Bergetarkah hati kita tatkala ungkapan ini terlintas di dalam benak fikiran kita? Atau kita tidak punya rasa apa-apa? Rasa biasa-biasa sahaja. Atau mungkin jantung kita hanya berdenyut kencang tatkala berbicara dengan si dia yang zahirnya berada di hadapan mata? Kalau tidak di depan mata, meski jauh di mata tetapi dekat di hati? Renung-renungkan wahai teman. Di manakah kita meletakkan cinta kita itu? Bak kata pujangga, “Milik siapakah hati ini?”

Si polan mencintai si polan. Ia mencintainya dengan seikhlas dan sepenuh hati. Ia sanggup melakukan apa sahaja untuk meraih perhatian pujaan hati yang telah menambat hatinya. Ia mahu kehadirannya disedari. Ia mahu cintanya berbalas atau paling tidak pun, cintanya itu terluah meskipun tanpa ungkapan manis.

Akan tetapi, yakinkah ia bahawa cintanya akan berbalas? Rasa cinta yang dirasainya turut sama dirasai oleh insan yang dicintai? Ingatlah! Allah pemegang hati si pencinta dan yang dicintai. Dialah yang memberi rasa cinta itu kepada hamba pilihan-Nya untuk mengujinya. Justeru, Dia jualah yang berhak untuk mengambil kembali cinta itu.

Yakinkah kita bahawa cinta yang kita dambakan selama ini akan kekal utuh sepanjang hayat kita? Kita khuatir andai kemaksiatan itu bermaharajalela di dalam jiwa, menyebabkan kita akhirnya terjatuh, tersungkur dan tidak mampu untuk bangkit kembali. Fikir-fikirkan wahai teman. Bagaimana pula andai cinta itu kita beri kepada Allah yang Esa?

Cinta kepada yang Esa. Apabila insan itu mencintai Tuhannya, ia pasti sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai keredhaan Kekasihnya itu. Ia melakukan ketaatan dan kepatuhan untuk menggapai rasa cinta bersama Pencipta.

Sukar untuk istiqomah dalam ketaatan tetapi ia garang terhadap dirinya lantaran semangat dan keazaman untuk mendapat apa yang diimpikan. Ia sentiasa berusaha untuk mengikhlaskan diri demi mencapai cita-cita yang satu. Muhammad bin Abdullah As - Syibli ada menyebut, “ Jika engkau mahu merasai betapa manisnya berhubung dengan Tuhanmu, engkau harus garang terhadap dirimu. Apabila engkau telah merasai kemanisan perhubungan itu, tahulah engkau betapa pahitnya apabila engkau berpisah denganNya.”

Maka, ia akan terus bermujahadah dan meletakkan pengharapan yang tinggi terhadap Tuhannya. Ia garang dalam meninggalkan kemaksiatan yang membawa kepada kemurkaan Tuhan dan ia berusaha memperbanyakkan amal ibadah dalam mendekatkan diri kepada-Nya.

Yakinlah! Allah pastinya tidak akan mengecewakan hamba-Nya yang berharap kepada-Nya. Cinta itu pasti kan berbalas. Tidak seperti cinta si polan yang masih diragui ketulusannya. Allah berfirman, “Allah mencintai mereka dan mereka pula mencintai Allah.” Al-Maidah:54.

Begitu indah apabila cinta bersambut. Lebih-lebih lagi apabila cinta diterima oleh yang Maha Agung. Serasa seluruh bumi tersenyum melihat percintaan yang suci itu. Allah berfirman, “Dan orang-orang yang beriman itu sangat mencintai Allah.” Al-Baqarah:165.

Kenapa perlu cinta terhadap ILAHI????



Pertama. Secara semulajadinya makhluk itu pastinya mencintai dirinya sendiri. Ia khuatir dirinya mendapat kemudaratan. Apabila ia sakit, ia pergi berubat. Apabila ia letih, ia merehatkan diri. Hal ini berlaku kerana adanya rasa cinta terhadap diri sendiri.

Maka, bagaimana pula keadaannya dengan cinta terhadap Pencipta yang menjadikan diri kita? Dia yang mewujudkan daripada tiada kepada ada. Dia yang memberi penghidupan kepada kita. Justeru, lebih-lebihlah rasa cinta perlu diberikan kepada-Nya. Hal ini kerana, tanpa izinnya kita sendiri tidak akan wujud di atas muka bumi ini. Maka, tidak punya peluang untuk mencintai diri sendiri apatah lagi insan lain.

Kedua. Secara fitrahnya, manusia itu akan mencintai orang yang banyak membantunya, yakni orang yang telah meringankan bebanannya.

Suatu hari, Azim pergi ke pasar. Dia mahu pulang dengan menaiki bas RapidKL. Apabila sedang mencari duit tambang, didapatinya bahawa ia tidak cukup sepuluh sen. Azim kaget.

Amir yang dari tadi melihat gelagat Azim menyedari bahawa terdapat kegusaran dalam diri Azim lantas bertanya, “ Apa yang berlaku?” Azim yang tidak mengenali Amir melihatnya sekilas dan terus mencari duitnya. Dalam pada itu, ia menjawab, “Saya tidak cukup tambang sepuluh sen.”

Tanpa banyak bertanya, Amir terus menghulurkan wang seringgit kepada Azim. Disebabkan tidak cukup sepuluh sen, lahir satu perkenalan. Perkenalan yang mula mengikat ukhwah.Tidak lama kemudian, bas nombor 20 pun sampai. Azim begitu bersyukur kerana mendapat bantuan itu. Begitu baik sahabat baru tadi. Rasa cinta terhadap teman baru berputik di dalam jiwa.

Selang beberapa hari, Azim bertemu Amir di Kota Raya lantas menegurnya, “Apa khabar teman?” Nah! Disebabkan duit sepuluh sen, cinta itu berputik. Rasa cinta hadir kerana bebanan kita diringankan. Jadi, apatah lagi rasa cinta yang perlu hadir buat Tuhan yang Esa.

Kenikmatan yang diberikan infiniti dan tidak terkira banyaknya. Dia bukan sahaja memberi penghidupan buat hamba-Nya tetapi Dia memberi kemudahan kepada seluruh makhlukan di atas muka bumi ciptaan-Nya. Firman Allah, “Kalau kamu berusaha menghitung kenikmatan Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya.” Ibrahim:34.

Teringat persoalan daripada seorang teman. Andai diberi berjuta ringgit untuk menjual sepasang mata yang dimiliki, adakah sanggup bagi kita menjualnya? Pastinya tidak meskipun jual beli ini membuahkan keuntungan yang berganda-ganda. Keuntungan material! Satu juta. Boleh bergelar OKB (Orang Kaya Baru) dalam sekelip mata.

Maka fikir-fikirkanlah. Besarnya pemberian Allah kepada kita tanpa sedikit Dia meminta bayarannya. Yang penting, kita perlu sentiasa taat kepada segala suruhan-Nya serta menjauhi larangan-Nya. Bukan untuk kepentingan Tuhan, tetapi untuk manfaat diri kita sendiri.

Ketiga. Secara tabiatnya, manusia itu mencintai sesuatu yang indah dan cantik. Indah dan cantik itu secara tidak langsung mungkin boleh memberi rasa senang di dalam hati kita. Kita suka melihat wanita yang anggun, rumah yang kemas, bunga yang mekar.

Si ulat buku gemar membaca tulisan penulis kritis sehingga ia berkobar-kobar untuk mengenali siapa empunya diri yang mengarang. Begitu istimewa insan ini. Pastinya ia mempunyai ilmu dan pengalaman yang luas sehingga berjaya menghasilkan karya yang tinggi kualitinya.

Maka, apatah lagi semangat yang perlu ada untuk mengenali Tuhan. Pastinya kan berkobar-kobar apabila disebut nama Tuhan yang begitu agung itu. Hati bergetar dan merintih sayu. Ingin kenal dan mencintai Tuhan yang mencipta segala keindahan dan keistimewaan. Dia punya kelebihan melebihi apa yang dimiliki oleh penulis kegemaran kita. Ilmu-Nya meliputi langit dan bumi. Pengetahuan-Nya tidak terbatas dan pastinya Dia lebih tahu sesuatu yang tidak kita ketahui.

Dia lebih arif apa-apa yang terbaik untuk setiap hambaNya. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud, “ … Boleh jadi kamu membenci sesuatu tetapi ia adalah baik untukmu. Boleh jadi kamu cintakan sesuatu tetapi ia adalah tidak baik untukmu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” Tanpa izin- Nya, keindahan yang terpampang megah itu tidak akan hadir dan tidak akan mampu dihayati. Maka benarlah, cinta itu keseluruhnya adalah milik Tuhan.

Justeru, marilah kita koreksi diri. Di manakah cinta kita terhadap Allah? Di manakah kita meletakkan ar-Rahim ini di dalam hati dan jiwa kita? Adakah kita masih alpa dan tidak sedar keutamaan yang patut kita letakkan? Andai kita terlupa, kembalilah kita ke jalan-Nya.

Keluarkanlah apa sahaja kecintaan di dalam hati kita melainkan cinta kepada-Nya, kerana-Nya. Firman Allah, “ Allah sekali-kali tidak menjadikan dua buah hati bagi seseorang di dalam rongga dadanya.” Al-Ahzab : 4.

Di samping itu, bersihkanlah sentiasa hati kita dan selalu memerhatikan ciptaan Tuhan. Seterusnya, letakkan keyakinan bahawa kasih sayang Allah itu Maha Luas dan tidak berbelah bahagi terhadap hamba-NYA. CINTA ALLAH, CINTA YANG HAKIKI, CINTA YANG ABADI…

Menyuburkan Ruhiyah


Salam sahabat-sahabat yang Muthiah kasihi fillah. Afwan ya, halaqah minggu ini Muthiah tidak dapat sambung tajuk ‘Tauhidullah’ yang lepas. Makan ubat batuk tadi dan mengantuk bangat… juga tidak dapat berfikir dengan sebaiknya. Moga-moga kan dapat mengambil manfaat daripada penulisan Muthiah kali ini. Selamat berhalaqah ;)

…..

Sukarnya mendapat kelazatan beribadah. Fikir Hanan suatu hari. Sering kali merasakan ibadah yang dilakukan sekadar amalan rutin yang perlu dibuat kerana telah lazim mengamalkannya. Akan tetapi, sukar merasakan hadirnya Tuhan di dalam jiwa. Setelah bermuhasabah, banyak perkara yang harus diperbaiki. Perlu usaha dan terus usaha.

Faktor Yang Berkaitan Dengan Kepekaan Jiwa

Selalu muraqobah kepada Allah


Dalam hal ini, seorang hamba perlulah merasakan bahawa Allah itu sentiasa bersamanya. Kamera Allah ada di mana-mana dan ia tidak punya peluang untuk menyembunyikan diri daripada pengetahuan Allah. Ia meyakini bahawa Allah itu Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Justeru, ia akan sentiasa menjaga perlakuannya agar tidak mendatangkan kemurkaan Allah.

Seorang muslimah solehah pernah berkata kepada ibunya tatkala disuruh mencampurkan air dan susu untuk dijual, “Kalaupun Amirul Mukminin tidak melihat kita tetapi Rabb Amirul Mukminin tetap melihat kita.”

Mengingati kematian dan kehidupan sesudahnya

Apabila seseorang itu sentiasa mengingati kematian, pastinya ia akan berasa takut. Di manakah ia akhirnya? Menjadi orang yang beruntung atau tergolong dalam golongan yang rugi. Jadilah ia seorang insan yang sentiasa merasakan kehadiran Tuhan. Ia berusaha untuk meningkatkan amalannya demi mempersiapkan diri untuk hari akhirat. Sabda Nabi SAW, “Perbanyakkanlah mengingati pemusnah segala kenimatan (kematian).”

Membayangkan hari akhirat dan hal-hal yang berkaitan dengannya

Tidak dinafikan bahawa apabila seorang insan mengingati peristiwa-peristiwa yang dihadapi oleh ahli syurga mahupun ahli neraka, pastinya rasa gerun mencengkam jiwa. Justeru, ia akan berusaha mendekatkan diri kepada Allah. Ia takut andai Allah tidak memberikan rahmat-Nya pada hari kebangkitan tersebut dan ia tidak punya sesiapa yang boleh membantunya daripada azab Allah.

Nabi pernah bertanya kepada para sahabat, “Adakah kalian tahu apa yang dimaksudkan dengan berita-beritanya?(setelah Nabi SAW membaca ayat ‘Yaumaizin tuhadditsu akhbaroha’).”
Para sahabat berkata, “Allah dan Rasul-Nya lebih tahu.”
Nabi bersabda, “ Berita-beritanya ialah bumi menjadi saksi terhadap seorang hamba lelaki dan perempuan atas apa-apa yang dilakukan di atas permukaannya. Bumi akan berkata, ‘Dia melakukan ini dan itu…’.”

Neraka! Sesuatu yang menakutkan tetapi itulah yang telah disediakan Allah buat mereka yang engkar. Apabila berfikir tentang neraka yang gelap dan pekat, lembah-lembah jahanam, gada-gada neraka serta keburukan ahli neraka dan tangisan mereka, pastinya membuatkan seseorang itu berasa ngeri. Hal ini akan membuatkan seseorang itu berusaha untuk menjauhkan diri daripada lembah jahanam itu.

Faktor-Faktor Amaliah Yang Menumbuh Suburkan Ruhiyah

Memperbanyak tilawah al-Quran dengan tadabbur

Bacaan yang disertai tadabbur dan khusyuk mampu mempertajamkan pandangan yang sudah tumpul. Apabila seorang Mukmin itu istiqomah dalam membaca al-Quran dengan tenang, tadabbur dan khusyuk, maka akan terbukalah belenggu yang menutup hatinya dan memancarkan cahaya al-Quran di dalam jiwanya. Iman Muslim meriwayatkan daripada Abu Umamah daripada Rasulullah SAW, “Bacalah al-Quran sebab ia datang pada hari kiamat nanti sebagai pemberi syafaat atas pembacanya.”

Hidup bersama Rasulullah melalui sirahnya yang harum semerbak

Dalam hal ini, seseorang perlulah mencontohi kehidupan nabi yang merangkumi cara nabi beribadah, kezuhudan nabi, ketaqwaan baginda terhadap Allah, kesabaran dan kelembutan nabi, keteguhan nabi junjungan dalam mempertahankan prinsip, serta mencontohi kekuatan fizikalnya. Nabi SAW bukan sahaja hebat pergantungannya terhadap Allah tetapi beliau juga merupakan ketua dalam sesi pertempuran menentang musuh Allah.

Dalam menumbuh suburkan ruhiyah, perlu untuk menyelusuri kehidupan Nabi SAW kerana beliau sendiri adalah uswah hasanah, qudwah solehah dan peribadi yang sempurna bagi seluruh umat manusia. Firman Allah, “Sesungguhnya telah ada dalam diri Rasulullah itu suri teladan yang baik (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut nama Allah,” al-Ahzab ayat 21.

Selalu menyertai orang-orang pilihan yakni mereka yang berhati bersih dan mengenal Allah

Seorang dai’e sepatutnya berusaha untuk menyertai orang-orang yang bertaqwa dan bergaul dengan mereka yang berhati bersih serta mengenali Allah. Hal ini kerana Allah telah berfirman dalam surah at-Taubah ayat 119, “Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah kamu berserta orang-orang yang benar.”

Selain itu, dengan bersama mereka yang dekat dengan Allah membolehkan kita mendapat nasihat dan tempiasan ketaqwaan mereka kepada Allah. Dengan kata lain, diri kita akan turut terdorong melakukan kebaikan di jalan Allah.

Berzikir kepada Allah pada setiap waktu dan ketika

Firman Allah, “Oleh sebab itu, ingatlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku akan mengingati kamu…” al-Baqarah ayat 152. Yang dimaksudkan dengan zikir ialah merasakan keagungan Allah dalam semua keadaan. Sesungguhnya dengan mengingati Allah hati kan menjadi tenang. Hal ini membolehkan seorang mukmin itu menemui kenikmatan dan ketenangan dalam zikrullah di dalam relung hatinya. Hatinya tidak dikotori dengan debu-debu dosa tetapi dipenuhi dengan kasih Ilahi.

Menangis kerana takut kepada Allah pada saat bersendiri

Apabila seseorang itu menyendiri dan berusaha untuk bermuhasabah diri, ia pasti kan teringat dosa-dosa lampau. Ia khuatir andai dosa itu tidak terampun dan ia takut dengan azab yang dijanjikan Allah bagi hamba yang engkar.

Ia takutkan neraka Allah dan ia risau sekiranya ia mati dalam kesesatan. Setelah menghisab diri, ia akan bertaubat kepada Allah. Ia menghadap Tuhan dengan istighfar, berzikir, menjaga batasan-batasan-Nya, mengikut segala perintah-Nya, serta menjauhi larangan-Nya. Bahkan, ia termasuk dalam golongan yang berlumba-lumba melakukan amal kebaikan yang menjadi bekal buat mereka pada hari kebangkitan.

Maka, menangislah kerana takutkan Tuhan yang menciptakan. Menangis kerana takut mati sebelum bertaubat, takut diberi nikmat dalam keengkaran, takut kepada sakratulmaut, serta seksa kubur. Paling utama, takutlah kepada azab Allah dalam api neraka yang kita tidak punya peluang untuk keluar darinya andai kita mati dalam kekufuran.

Bersungguh-sungguh membekali diri dengan ibadah nafilah (sunat)

Di antara kaedah untuk mendekatkan diri kepada Allah ialah dengan memperbanyakkan ibadah nafilah. Apabila seorang manusia mahu ditempatkan di bawah naungan cinta kasih Ilahi dan keredhaan-Nya, ia perlu berusaha untuk membiasakan diri dengan amalan-amalan sunat seperti mana yang telah diamalkan oleh Nabi SAW, serta para sahabat.

Sabda Nabi SAW, “Allah berfirman, ‘Barangsiapa yang mendekat kepada-Ku sejengkal, maka Aku akan dekat kepadanya satu siku. Barangsiapa mendekat kepada-Ku satu siku, maka Aku akan dekat kepadanya satu depa. Barangsiapa mendekat kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku akan dekat kepadanya dengan berlari keci,’.” HR Imam Bukhari dan Muslim.

Maka, berusahalah untuk menyuburkan hati yang leka. Terus berjalan, jangan berundur. Muhammad bin Abdullah as-Syibli ada menyebut, “Jika kamu ingin merasai betapa manisnya berhubung dengan Tuhanmu, engkau harus garang terhadap dirimu. Apabila engkau telah merasai kemanisan perhubungan itu, tahulah engkau betapa pahitnya apabila engkau berpisah dengan-Nya.”
Labels: 0 comments | | edit post

Serahlah kepada Allah

Bismillahirahmanirrahim…

Salam teman-teman yang Muthiah kasihi fillah. Bagaimana perjalanan hidup minggu ini? Ada O.K? Atau masih banyak kerja yang belum dibereskan? Bos pula marah-marah atau sedang bertungkus-lumus mengejar date-line (bagi editor dan penulis)? Atau ada krisis dengan seseorang????

Hmmm… minggu ini, banyak sungguh ujian yang datang. Kadang-kadang, rasa tidak kuat. Ah! Bukan kadang-kadang bahkan selalu sahaja berasa diri lemah. Suami cakap, Muthiah kuat (‘Insya-Allah kita kan kuat’)… be strong tetapi entahlah… sejauh mana boleh kuat atau berpura-pura gagah. Hehe…

Hmmm.. kembalilah kepada firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud, “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan, “Kami telah beriman,” sedang mereka belum diuji?”

Sesungguhnya, Allah itu dekat dan terlalu hampir dengan kita… Hehe… Muthiah sudah ada sahabat baru. Siapa??? Haha… sebenarnya sahabat lama yang semakin dilupakan tetapi kini, Muthiah membutuhkan dirinya… siapakah dia? Biarlah rahsia… ia selalu dekat dengan Muthiah dan bila-bila masa Muthiah boleh datang kepadanya…

Hmmm… ‘hmmm’ ini bukan mengeluh ya ;) Petang semalam, Muthiah menerima sistem pesanan ringkas daripada seorang teman. Katanya, kali ini ia mendoakan kebaikan buat insan yang menyakitinya. Tidak seperti dahulu, ia sering sahaja mendoakan kebinasaan mereka yang menganiaya dirinya. Alhamdulillah, itulah sebaik-baik tindakan. SYABAS!!!

Apa ya yang ingin Muthiah coretkan??? Betul! Bijak bijak bijak (gaya Upin dan Ipin). Serahkan segalanya kepada Allah.

Setelah berusaha dengan sedaya upaya kita…
Setelah bertungkus-lumus mempertahankan hak kita…
Setelah bersungguh-sungguh menjernihkan suasana yang keruh menggila…
Setelah dan setelah…

Namun… TIDAK BERJAYA…

Dengan kata lain, kita berusaha dahulu menyelesaikan sesuatu permasalahan yang timbul. Melarikan diri bukanlah langkah terbaik untuk menyelesaikan kerumitan yang dihadapi namun, diam seketika bagi mencari tempoh bertenang itu boleh dipraktikkan.

Kenapa? Dalam keadaan beremosi… tidak stabil… jarang sekali kita dapat berfikir secara rasional dan sewajarnya. Jadi, cari masa untuk menenangkan diri terlebih dahulu. Waktu itu, banyakkan berdoa, beristighfar dan mengharapkan pertolongan dan petunjuk daripada Allah.

O.K… setelah itu… berserahlah kepada Allah. Ya! Allah itu Maha Teliti dan Maha Segalanya… Jadi, kita pasti kan terpelihara dan terjaga.

Ada yang pau duit kita? Tidak ada bukti pula untuk mendapatkannya (wang kita) kembali.

Ada yang memburuk-burukkan kita? Atau buat muka di hadapan kita? Atau tidak menghormati kita??? Disebabkan rasa benci… cemburu dan sakit hati… kita pula tidak tahu hendak buat macam mana. Hendak pertahankan diri, tidak tahu bagaimana. Manusia itu terlalu ego dengan rasa betulnya diri. Makhluk Allah itu berasa dirinya besar dan banyak lagi…

Ada dan ada…. Setiap manusia, kesulitannya lain-lain, masalahnya tersendiri. Mungkin bagi kita, bebanan yang dihadapinya begitu kecil. AWAS!!! Usahlah memperlekeh orang lain (dengan mengatakan mereka lemah) kerana boleh jadi ujian itu berat baginya dan tidak berat bagi kita namun… ada ujian yang bagi kita amat berat untuk dipikul dan tidak berat pula bagi orang lain. Aduh aduh… berbelitnya bahasa ;)

Insya-Allah, Allah turunkan ujian buat setiap hamba pilihan-Nya mengikut kemampuan masing-masing sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 286, “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya…”

Yakinlah bahawa Allah itu Maha Adil.. usah mendoakan kecelakaan orang lain tetapi berdoalah agar diberi kekuatan oleh Allah untuk menempuh kehidupan ini. Berdoalah agar ditunjukkan jalan yang paling baik, yang boleh membawa kita untuk lebih dekat dengan-Nya. Serahkan segalanya kepada Allah… Ya! Allah lebih maklum atas segala sesuatu.

Sirah :

Sewaktu peperangan Badar berlangsung…

Nabi SAW meluruskan barisan kaum Muslimin dan ada seorang sahabat yang berbadan besar manakala perutnya terkehadapan. Muhammad pun menyentuh perut sahabat (tadi) dengan tongkatnya bertujuan menyuruhnya untuk bergerak ke belakang sedikit.

Ia pun berkata, “Wahai Rasulullah, kamu menyakitiku. Aku mahukan qisas yakni membalas perbuatanmu wahai Nabi Allah.”

Para sahabat terkejut dengan kata-kata lelaki tadi tetapi ia tetap bertegas dengan permintaannya. Lalu, Nabi SAW pun membuka belakang bajunya dan menyerahkan tongkatnya untuk diqisas. Cepat-cepat lelaki itu melompat ke arah Rasulullah lalu mencium belakangnya.

Bertanya Nabi SAW, “ Apakah yang kamu lakukan wahai polan bin polan?”

Ia menjawab, “Wahai pesuruh Allah. Engkau pun sudah sedia maklum suasana ketika ini… cemas dan aku yakin akan syahid hari ini namun sebelum aku syahid, aku ingin mendapat keberkatan daripada tubuhmu”

(Sumber : Buku ‘Biografi Muhammad bin Abdullah – Prof. Madya Dr. Zulkifli Mohd Yusoff, Noor Naemah Abdul Rahman – PTS)

Muthiah : Berusaha memperbaiki diri… berlapang dada dan bla bla bla…

Teman Sejati

Salam. Hehe… sepatutnya, sekarang waktu Muthiah masak makan malam untuk suami tetapi suami beri pelepasan buat Muthiah untuk menulis (sementara ada idea). Insya-Allah, jam 6.30 petang, Muthiah masuk dapur. Mahu masak istimewa untuk suami… al-maklumlah, cik abang Muthiah berpuasa hari ini.

Teman sejati? Cuba tanya pada diri… adakah kita memiliki teman sejati??? Kalau ada, tahniah!!! Kalau tiada??? Hmmm… mengapa ya?

Pagi tadi, sementara membasuh pakaian, Muthiah menonton rancangan di Astro Oasis… motivasi Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah. Beliau berbicara tentang teman sejati.

Bagaimana untuk mendapatkan teman sejati???

1- Jadilah teman sejati terlebih dahulu. Ya! Kita yang terlebih dahulu menjadi teman sejati buat sahabat-sahabat kita. Muthiah??? Alhamdulillah, sejak berada di alam persekolahan, sampai kini Muthiah ada teman sejati… Meski jauh di mata, selalu sahaja dekat dalam hati. Mereka ada tatkala suka dan duka. Dan kini… teman sejati Muthiah adalah suami Muthiah sendiri ;)

2- Pasang niat untuk menjadi teman sejati. Sebagaimana sabda Nabi SAW, ‘Setiap amal bermula dengan niat…’ bilamana kita berniat kerana dunia… dunialah yang kita akan perolehi dan sekiranya kita berniat kerana Allah, insya-Allah… kita bukan sahaja memperoleh teman sejati yang bisa mendorong kita kepada Allah bahkan kita akan mendapat ganjaran yang besar daripada-Nya. Banyakkan berdoa agar dipertemu dengan seseorang yang boleh mendekatkan kita dengan Allah. Ingatlah! Teman sejati itu bukanlah teman yang hanya membenarkan perbuatan kita (tidak kira betul atau salah) tetapi teman sejati adalah teman yang sanggup memperbetul kesalahan dan kesilapan kita dengan hikmah. Dia tidak mahu kita semakin jauh dan tersasar daripada jalan yang sepatutnya.

3- Bentuk sifat yang menawan. Perhatikan kembali…

Adakah kita seorang yang memiliki ego yang tinggi? Bilamana berbuat salah, sukar benar untuk memohon maaf dan sentiasa merasakan diri betul! Sedang manusia itu lemah dan terlalu banyak melakukan kesalahan (dalam sedar atau tidak).

Atau kita seorang yang busuk hati? Kita banyak berprasangka buruk. Bukan itu sahaja, mudah benar salah faham terhadap orang lain. Iyalah… manakan tidak dikatakan berhati kotor/ jelik/ busuk… apa-apa yang berlaku di hadapan mata, cepat benar kita memandangnya sebagai sesuatu yang negatif. Kenapa jadi begitu???? Ya! betul… bermula dari hati yang tidak bersih… terlalu banyak bintik hitam menyebabkan begitu sukar bagi cahaya untuk memasukinya. Apabila cahaya Allah susah menembusi hati kita… mengakibatkan hati kita berkarat… akhirnya, kita menjadi seorang yang cepat melatah dan banyak lagi… Jadi, kembalilah mengharapkan keampunan daripada-Nya. Insya-Allah, Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Atau … kita ini seorang yang mudah cemburu? Kita lupa bahawa setiap manusia ada bahagiannya dan itu (bahagian) hakikatnya adalah pemberian Allah. Sesungguhnya, Allah itu Maha Tahu serta Maha Adil atas segala ketetapan-Nya.

Atau atau… kita seorang yang mudah berdendam kepada orang lain… prejudis dan banyak lagi… (sifat-sifat buruk yang dibenci Allah serta manusia lainnya). Fikir-fikirkan dan muhasabah kembali.

4- Gunakan gelombang minda. Hmmm… Muthiah pun tidak tahu bagaimana hendak ulas sari pati ini. Namun, menurut Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah… bilamana hati ikhlas untuk mendapatkan teman sejati… diri (minda dan jasad) pun mahukan teman sejati… insya-Allah, gelombang minda itu akan bergerak ke arah teman (yang ingin dijadikan teman sejati itu). Huhu… boleh rujuk kembali kepada orang yang sepatutnya untuk mendapat penjelasan yang lebih tepat.

5- Tolong / bantu dan menegur dengan hikmah. Ya… bilamana kita ikhlas dalam persahabatan, insya-Allah… kita pasti mahukan yang baik-baik buat teman kita. Jika kita mahu masuk syurga, kita juga tidak mahu sahabat kita ketinggalan untuk masuk syurga bersama. Sahabat sejati itu adalah sahabat saat suka dan duka. Maka, ringankan diri untuk sentiasa berada di sampingnya tatkala ia memerlukan. Begitu juga tatkala melihat dirinya melakukan kesalahan… sebagai sahabat yang mengasihi temannya kerana Allah… tegurlah dengan hikmah dan kasih sayang. Bangunkan … papahlah ia untuk kembali ke jalan yang benar.

6- Serasikan roh. Huhu… Muthiah tidak tahu bagaimana hendak mengulas isi ini. Hehe… dengan kata lain, tidak berapa faham daaa…


7- Banyakkan berdoa… Ingatlah! Allah, Tuan Punya yang mencipta dan menjadikan. Dia memegang hati setiap manusia di atas muka bumi ini. Hanya Dia yang boleh meneguhkan dan Dia jualah yang boleh membolak-balikkan. Jadi, hendak tidak hendak… kita perlu banyak berdoa kepada-Nya. Berdoa kepada Allah agar dikurniakan teman… yang boleh mendekatkan diri kita kepada-Nya. Teman yang boleh membawa kita kepada kebaikan… kerana sesungguhnya, kehidupan ini tidak lama… sampai waktu, kita akan kembali.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud, “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku. Maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”

8- Maafkan… mudah untuk diungkap tetapi begitu sukar untuk dilaksanakan. Hati berasa berat untuk memohon maaf atau memberi maaf. Ah… ego, merasakan diri betul dan benar, merasakan diri sudah cukup hebat dan besar! Astaghfirullah… moga-moga dapat dijauhkan Allah daripada sifat mazmumah ini. Hakikatnya, tidak ada yang lebih hebat… lebih besar… lebih betul dan benar daripada Allah SWT.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 263 yang bermaksud, “Perkataan yang baik dan pemberian maaf itu adalah lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun.”

9- Ceriakan hati teman… Tanya pada diri… sejauh mana kehadiran kita menceriakan hati teman kita? Atau… kehadiran atau bicara kita hanya sahaja menyakitkan hati orang yang berada di sekeliling kita. Menyebabkan orang lain berduka dan bersedih hati… menyebabkan mereka berasa rendah diri…. muhasabahlah kembali. Banyak yang perlu kita belajar dan tahu. Rendahkan keegoan diri kerana hakikatnya kita bukanlah siapa-siapa. Bila-bila masa sahaja Allah boleh memanggil kita kembali kepada-Nya.

10- Ikhlas. Berdoalah kepada Allah agar menguatkan hati kita untuk melakukan sesuatu ikhlas semata-mata kerana Allah. Mulut boleh sahaja berkata, ‘Aku ikhlas,’ namun hakikatnya, Allah lebih tahu apa-apa yang tersirat dan tersembunyi. Kalau tidak mampu ikhlas, katakan pada diri bahawa ‘Aku ikhlas!’ dan berusahalah untuk mengikhlaskan hati dan diri.

11- Berlapang dada… sama sahaja isinya dengan penulisan Muthiah sebelum ini. Berlapang dada atas kesalahan orang lain buat kita. Boleh jadi ia sengaja dan boleh jadi ia tidak sengaja (ia masih jahil dan tidak tahu) melakukannya. Kembalilah kepada Allah serta hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh-Nya.

Baiklah… cukup setakat ini untuk perkongsian ilmu hari ini. Jom sama-sama kita memperbaiki diri dan saling ingat-mengingatkan… kerana manusia itu sering sahaja lupa dan alpa. Moga kan ketemu sahabat sejati yang boleh membawa kita ke syurga Allah.

Ukhwah fillah lestari selamanya…

Muthiah : Allah adalah segala-galanya walau tahu diri selalu alpa dan lalai terhadap perintah-Nya.

Aku sudah berputus asa!!!

Salam. Kaifahalukum? Muthiah? Alhamdulillah, ana bil khair. Batuk-batuk, sakit dada dan agak keletihan sahaja… Namun insya-Allah, Muthiah masih ceria dan gumbira… bak kata Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

Ingatkan, ingin menulis untuk ruangan halaqah tetapi ada sesuatu yang lebih penting perlu Muthiah coretkan. Apa dia??? Petang Selasa lalu, Muthiah menerima kiriman sistem pesanan ringkas daripada adik Muthiah, si keraspedal. Katanya, ada seorang teman yang sedang ‘tension’ dan hampir ‘give up’ dalam pembelajaran. Kerja / tugasan… banyak bangat!!! Bikin kepala pusing, mungkin.

Pertamanya, Muthiah ingin mengucapkan TAHNIAH kepada adik-adik yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Ada yang boleh masuk universiti, matrikulasi, kolej dan ada yang menyambung pelajaran ke tingkatan enam rendah (macam adik Muthiah)… “Good luck bro ;)” Bagi yang belum berjaya, CUBA LAGI …

…..
Tidak dapat ‘catch up’?

Mengalami kejutan budaya?

Kawan baru tidak sekepala?

Suasana yang tidak menenteramkan jiwa?


Hmmm… SABAR… insya-Allah, setiap kesulitan pasti kan disusuli dengan kemudahan. Sepertimana firman Allah dalam surah Al-Insyirah ayat 5 dan 6 yang bermaksud, “Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.”

Jadi, apa yang boleh kita lakukan? Bak kata anak muda zaman sekarang, “Down gile…” Nasib baik tidak jadi orang gila, nauzubillah…

TENANG dahulu ya (Penting bangat! Kalau tidak tenang… minda pun kurang berkesan untuk berfikir dan bertindak sebaiknya) – Dan sesungguhnya, dengan mengingati Allah hati kan tenteram (Ar-Ra’d ayat 28). Maka, dekatkanlah dirimu kepada Allah. Bagaimana???

a) Ambil wuduk – Pastikan diri sentiasa berwuduk.

b) Lakukan amalan-amalan sunat (tanpa mengenepikan ibadah wajib). Ibadah sunat ini merangkumi solat sunat, puasa sunat dan banyak lagi.

c) Banyakkan mengaji dan membaca tafsir Al-Quran. Sewaktu Muthiah masih lagi bergelar pelajar, Muthiah menjadikan Al-Quran tafsir sebagai teman yang paling akrab. Bilamana Muthiah rasa kekosongan, Muthiah pasti akan membeleknya.

d) Banyakkan mengikuti majlis ilmu – yang bisa sahaja mendekatkan diri kepada Tuhan. Mungkin sahaja kita merasakan tidak mendapat apa-apa daripada pengisian yang disampaikan tetapi insya-Allah, keberkatan berada di dalam majlis ilmu itu tetap kita perolehi.

e) Banyakkan berdoa kepada Allah. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud, “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku. Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”

f) Banyakkan istighfar dan berzikir kepada Allah.

Sudah tenang? Atau sedikit tenang??? Baik, sekarang cuba kenalpasti punca tekanan yang dialami…

Tidak dapat ‘catch up’ pembelajaran?

Assignment terlalu banyak? Susah???

Asyik dibuli rakan-rakan/ senior?

Rindukan keluarga/ geng lama/ sahabat karib di kampung halaman?

Perubahan cara belajar – kalau dahulu, kita hanya menerima daripada guru tetapi kini… kita yang perlu mencari jawapan sendiri. Waaaaa….

Jatuh cinta??? Adoi…. Kejutan budaya juga ini ;)

Setelah menyenaraikan PUNCA TEKANAN yang dihadapi, cari pula penyelesaian yang boleh diambil. Lihat juga kepada kesesuaian MASA, TEMPAT dan SUASANA(senaraikan dahulu semua JALAN PENYELESAIAN yang difikirkan). Paling penting, pastikan jalan yang diambil itu tidak melanggar syariat Tuhan. Kata mudahnya, ‘Matlamat sama sekali tidak menghalalkan cara…’

Cop! Sebelum Muthiah terlupa… kita mungkin merasakan kita tidak mampu… kita tidak cukup kuat dan merasakan terdapat seribu satu kelemahan dalam diri kita tetapi percayalah… bilamana kita bergantung harap kepada Allah… memohon pertolongan dan petunjuk daripada-Nya… setiap kesukaran yang dialami itu pasti kan menemui jalan penyelesaiannya. Cuma yang penting, kita jangan sekali-kali berputus asa. Cuba dan terus mencuba. Usaha dan terus berusaha sehingga kita berjaya dengan cemerlang, gemilang dan terbilang (bukan temberang daaa).

Satu lagi, tatkala menghadapi tekanan… carilah teman yang dapat menceriakan hidup kita. Dengan kata lain, HINDARI DARIPADA DUDUK SEORANG DIRI kerana dikhuatiri syaitan laknatullah datang mencucuk. Dan pasti! Pilihlah sahabat/ teman yang sebenar-benarnya. Sahabat yang baik ialah sahabat saat suka dan duka… sahabat yang boleh membawa kita kepada Tuhan, Allah yang Esa.

Apa lagi ya? Singkatannya…

a) Elakkan diri daripada duduk berseorangan. Usahlah memendam rasa seorang diri… sakitnya… huhu… hanya Tuhan yang tahu.

b) Sentiasa memotivasi diri. Katakan, ‘MALAYSIA BOLEH!’ Eh silap… ‘Aku boleh daaa’.

c) Menekan diri? Tidak perlu …. lakukanlah mengikut kemampuan. Namun, jangan jadikan alasan ‘Tidak mampu/ tidak boleh buat,’ untuk melarikan diri daripada tugasan/ amanah yang diberikan (AWAS!!! Berkata sesuatu yang negatif [contoh : Tidak mampu] juga boleh menjadi doa buat diri kita). Yang penting, USAHA dahulu. Kalau masih tidak boleh buat, carilah seseorang yang lebih arif (senior atau pensyarah contohnya) untuk membantu kita.

d) Ikhlas hati, betulkan niat dalam segala apa yang kita lakukan dan yang paling penting, lakukanlah sesuatu kerana Allah SWT. Kita hendak jadi pelajar cemerlang, KERANA ALLAH. Kita hendak mendapat PNGK 4.00, KERANA ALLAH. Kita hendak memperoleh Anugerah Dekan, KERANA ALLAH. Insya-Allah… kejayaan pasti akan menjadi milik kita asal mana kita SABAR dan TERUS SABAR.

Huaaaa… mengantuklah, jam menunjukkan pukul 11.56 malam. Muthiah beransur dahulu ya. Afwan jika apa yang dicoretkan ini tidak menepati citarasa. Yang baik, jadikan panduan, yang tidak sesuai… fikir-fikirkan. Wassalam.

Muthiah : Cuba untuk tetap sampaikan walaupun… minda berada dalam status ‘kurang sedar’… hahaha… Selamat malam ;)

Manusia sering lupa

Salam… hehe… sedang asyik ‘mengemas’ folder komputer riba , Muthiah terjumpa artikel ini. Artikel yang pernah Muthiah tulis satu ketika dahulu (lupa bilakah masanya – mungkin akhir tahun lepas atau awal tahun ini). Moga-moga dapat direnungkan bersama. Selamat membaca ;)

Manusia sering lupa

Persidangan Antiperkauman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang berlangsung di Geneva baru-baru ini sekali lagi menaikkan nama pemimpin ‘Negeri Kaum Mullah’, Mahmoud Ahmadinejad. Kelantangan beliau bersuara mengkritik kekejaman dan kerakusan Israel laknatullah menyebabkan kira-kira 40 orang diplomat dari Perancis, Britain dan beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) bertindak keluar dewan.

Tidak banyak makhluk yang bernama manusia berani menyatakan kebenaran. Takut-takut ungkapan itu kelak membinasakan dirinya sendiri. Pepatah ada menyebut, ‘Berani kerana benar, takut kerana salah’ namun dewasa ini, kebenaran sukar sekali ditegakkan bahkan kebatilan terus sahaja bermaharajalela. Asal sahaja punya wang dan kuasa, segalanya boleh dibereskan.

Dengan wang, mulut yang bisa berbicara tiba-tiba bisu tidak mampu berkata-kata. Biarkan luncai itu terjun dengan labu-labunya. Usah dikejar, jangan dihambat. Siapa yang berhati mulia menyediakan kereta mewah, mahligai besar seandainya diri sendiri tidak berusaha mencari ruang dan peluang mendapatkannya? Fikir dan renung-renungkan…

Maruah dan harga diri letakkan sahaja di pinggir jalan. Mulut harus disuap, banyak perut perlu diisi. Lantaran itu, persetan dengan kebenaran yang hendak ditegakkan. Kebenaran tidak dapat mengenyangkan perut yang kelaparan dan menghilangkan rasa dahaga tekak. Ilmu di dada tidak semestinya dipraktikkan andai mengundang duka nestapa. Biar sahaja ia berkubur di dalam jasad sehingga sampai waktu ilmu itu kan disemadikan di tempat yang sepatutnya; alam barzah.

*****

Manusia ini mungkin lupa bahawasanya hidup ini ada limitnya. Satu hari, satu ketika dan satu masa ia pasti kan kembali kepada Pencipta. Waktu itu, kenderaan mewah yang ia bangga-banggakan serta mahligai indah yang ia agung-agungkan ditinggal begitu sahaja. Ia cuba untuk membawa ‘lambang kemegahannya’ di dunia bersama-sama namun ketetapan Tuhan tidak mengkehendakinya. Ia ingin menangis tetapi tiada air mata. Hidup yang disangka sampai bila-bila menemui noktah akhirnya.

Manusia ini mungkin juga lupa, wang berjuta itu sama sekali tidak dapat memberatkan neraca timbangan Tuhan. Boleh jadi manusia itu berjaya memperbodoh neraca pengadilan dunia tetapi tidak sekali-kali dapat membohongi Allah SWT yang sedia tahu segala sesuatu yang terdetik di dalam hati kerdilnya. Lidahnya yang selama ini terkatup daripada menyatakan kebenaran telah memakan dirinya sendiri.

Justeru, bangkitlah hai ilmuan… bangunlah wahai ulama jangan dibiarkan diri itu terus lena daripada mimpi yang disangka indah namun tidak berpanjangan. Tegakkan kebenaran, hancurkan kebatilan. Jika tidak mampu menjadi bak Umar Al-Faruq, berusahalah seadanya untuk memiliki jati diri yang tinggi. Kejarlah redha-Nya kerana kita pasti bahagia. Usah gentar, jangan takut bersuara kerana Allah sentiasa bersama kita, ‘Sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar,’ Al-Baqarah ayat 153.

Selamat pengantin baru Kak Yong

Minggu lepas (7 Ogos hingga hingga 9 Ogos), Muthiah dan suami pulang ke kampung untuk menghadiri majlis perkahwinan sepupu Muthiah yang berlangsung di Jertih, Terengganu.

Hmmm… kami bertolak dari Taiping jam 6.00 petang (7 Ogos) dan bercadang untuk bermalam di Pasir Mas (rumah mertua) dahulu. Dalam perjalanan, kami berhenti solat dan makan malam di Masjid Gerik. Hehe… Menu Muthiah??? Ayam masak lemak tempoyak, telur masak merah dan sayur cendawan air… terlebih makan pula.

Kami sampai di Pasir Mas jam 1.00 pagi. Esoknya, kami bertolak ke Jertih jam 11.00 tengah hari. Namun sebelum itu, Muthiah dan suami sempat menjengok nenek saudara suami (di Pasir Mas) serta ibu saudaranya yang tinggal di Machang. Jam 1.00 petang, baru berangkat ke tempat perkahwinan (perarakan bermula jam 2.30 petang).

Hehe… segan juga kerana Muthiah rasa agak bergaya dan ‘vogue’ (bagi Muthiah tetapi mungkin padahal tidak ada apa-apa). Mana tidaknya, Muthiah memakai baju kebarung putih (longgar) yang berlabuci. Cuma, Muthiah mengenakan tudung hitam agar nampak suram sedikit.. Huhu… tidak pernah sepanjang hayat Muthiah bergaya begitu (kecuali pada hari pernikahan Muthiah dahulu). Tema pada hari tersebut ialah berpakaian serba putih (sebelah pengantin perempuan). Malu bangat dan Muthiah hanya berjalan di belakang suami sahaja.

Majlis perkahwinan ini diadakan secara besar-besaran. Antara perkara yang menyeronokkan Muthiah ialah tatkala menerima door gift daripada pengantin (hobi Muthiah ialah mengumpul barang-barang percuma - aduh, buruk perangai. Hehe…). Mama memberi Muthiah dua tangkai bunga telur (satu yang biasa-biasa dan satu lagi bunga telur kristal) serta bekas gula-gula yang dibuat daripada besi (berbentuk hati). Bukan itu sahaja, Muthiah juga dapat dua buah beg mengisi duit syilng (sebenarnya satu milik suami… namun, tetap menjadi milik Muthiah juga). Ada kaaaa….

Muthiah dan suami pulang ke Sungai Tong (rumah Muthiah) jam 5.30 petang dan sampai di rumah jam 7.00 malam. Awalnya, ingin menziarahi nenek (Mek Mak Minah dan Mek Mak Cu) dan ibu saudara Muthiah (Mok Teh) tetapi Muthiah dan suami sama-sama kelesuan. Malam itu, Muthiah tidur awal manakala suami pula surfing internet setelah makan buah dengan papa dan adik lelaki Muthiah, si keraspedal.

Kami pulang ke Taiping pada hari Ahad jam 8.45 pagi (ikut jalan Tasik Kenyir). Huhu… tidak sempat tengok gajah kerana pelawat hanya dibenarkan masuk ke tempat gajah diberi makan dan dimandikan pada jam 11.00 tengah hari.

Muthiah : Hormati yang tua, pasti orang lain kan menghormatimu… agar terserlah kecantikan pekertimu dan tersembunyi kejelikanmu…

Sedih????



Salam. Apa khabar semua? Kerjanya ada beres? Muthiah??? Hmmm… hari ini, tidak masuk pejabat. Pertama sebab mahu selesaikan urusan membasuh. Banyak bangat pakaian yang perlu dicuci (al-maklumlah, balik kampung tiga hari… tiga harilah pakaian tidak berbasuh). Kedua… hmmmm…

Malam tadi, Muthiah menerima kiriman sistem pesanan ringkas daripada seorang teman. Astaghfirullah… ia dikejar samseng???? Mujur ia tidak memandu berseorangan, Alhamdulillah… Cuma, katanya ia bersedih hati… bukan hanya bersedih tetapi sedih bangat… sedih yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata bilamana orang yang disayangi buat endah tidak endah. Sampai tengah malam ia meluahkan rasa kepada Muthiah. Moga-moga, sahabat Muthiah ini kan tenang selalu dan sentiasa berada di bawah naungan Allah hendaknya.

Pagi tadi, Muthiah menerima kiriman sistem pesanan ringkas lagi. Bukan daripada sahabat Muthiah yang dikejar samseng tetapi teman yang pernah menjadi rakan sekerja Muthiah. Katanya, ia sedih… gagal dalam peperiksaan yang diduduki…

Hmmm… setiap manusia, ada masalah yang tersendiri… kadang-kadang, ia gembira dan kadang-kadang ia bersedih hati.

Ia gembira tatkala :

Bersama bersama insan tersayang (macam Muthiah, hehe).

Memperoleh apa yang diingini… berjaya dalam pelajaran, berjaya dalam kerjaya dan berjaya dalam apa jua yang dilakukan.

Mencapai apa-apa yang dirancang / dikehendaki. Ia mahu berkahwin, Alhamdulillah… Allah mengizinkannya bernikah. Ia mahukan anak, Alhamdulillah… Allah mempermudah rezekinya. Ia mahu ini dan itu… ia dapat!!!

Ia gembira dan terus bergembira. Kadang-kadang, ia gembira tanpa melupakan Tuhan dan acap kali juga ia gembira… tetapi teralpa daripada mengingati Allah SWT. Maklumlah, manusia sering kali lupa tatkala beroleh kenikmatan. Ia lupa dari mana datangnya nikmat itu… ia lupa bahawa nikmat itu adalah bukan miliknya yang mutlak. Ia lupa dan terus lupa sehingga ada yang mengingatkannya.

Boleh jadi ia diperingat kepada Tuhannya oleh teman-teman yang kasih dan sayangkan dirinya (hakikatnya, teman itu adalah wasilah daripada Allah untuk mengingatkannya). Boleh jadi juga ia ditarbiyah terus oleh Allah. Apabila ia ditimpa musibah, ia kembali kepada Allah. Saat itu, ia tidak lepas daripada beristighfar dan bermuhasabah atas kelalaiannya. Ya! Allah sayangkan dirinya dan tidak mahu ia terus jauh dan menjauh.

Adoi… apa yang Muthiah coretkan ini????

Sedih??? Setiap manusia, tentu pernah berasa sedih… kadang-kadang, sedihnya masih mampu dikawal dan terjadi juga… kesedihannya melampau-lampau. Tidak mampu diluah dengan kata-kata… tidak mampu ditulis melalui pena…

Ia sedih… ia sedih kerana :

Rasa diabaikan… terutama oleh orang yang dikasihi…

Gagal dan tetap gagal dalam apa jua yang dilakukannya. Sehingga, ia merasakan bahawa tidak ada peluang baginya untuk mengecap kejayaan. Ia lupa, gagal itu bukanlah penyudah bagi kehidupan. Bilamana ia gagal tetapi bangkit kembali… ia sebenarnya telah berjaya! Dan ia masih punya ruang untuk mencapai apa-apa yang diidamnya. Namun, tatkala ia gagal dan jatuh terduduk… tidak punya hasrat untuk bangun kembali… itulah sebenar-benar kegagalan. Kegagalan sementara… bilamana ia tersedar dari lena, insya-Allah, ia pasti menjadi orang yang berjaya.

Diperlaku seperti manusia yang tidak punya harga diri… ia tidak dihormati… ia dibenci dan menjadi mangsa salah sangka oleh mereka yang tidak faham… oleh mereka yang hatinya telah dikotori dengan seribu satu prasangka… oleh mereka… oleh mereka… oleh mereka yang… Astaghfirullah… banyak sungguh bintik hitam di dalam jiwa menyebabkan hanya yang buruk-buruk bermain di dalam minda mereka.

Sedih sehingga tidak mampu untuk berbicara. Tidak mampu untuk meluahkan rasa meski kepada insan yang begitu dekat dengannya. Teman itu dekat tetapi mulut masih lagi terkatup dek kesedihan yang dialami. Ia sedih dan sungguh sedih… terasa diri berseorangan… kepiluan menyelubungi jiwa. Kedukaan menghantui diri… apapun yang pasti! Ia sedih…

Firman Allah dalam surah Al-Fussilat ayat 30 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, “Tuhan kami adalah Allah,” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka. Maka, malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan, “Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih, dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang telah dijanjikan Allah kepadamu…”

Nah! Janganlah berasa sedih… janganlah berasa hidup keseorangan. Janganlah jangan kerana Allah itu Maha dekat dengan kita. Lebih dekat daripada ibu yang melahirkan kita… lebih dekat daripada ayah yang banyak berjasa kepada kita… lebih dekat daripada suami / isteri yang sentiasa melalui saat senang dan sukar bersama kita…

Allah itu dekat dan amat dekat… lebih dekat daripada urat merih kita sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Qaaf ayat 16 yang bermaksud, “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya…”

Allah sudah tahu apa-apa yang terpendam dalam hati kita. Allah dapat melihat tangisan hati kita. Allah dan Allah adalah segalanya buat kita. Percayalah! Yakinlah! Sesungguhnya kita tidak sendiri. merintih… merayu… mengharap… mengadulah kepada-Nya yang Maha Melihat… Maha Mendengar… Maha Mengetahui dan Maha Segalanya.

Justeru… ayuh! Bangkit wahai teman. Jangan biarkan diri dirundung duka. Allah ada… Allah Maha Dekat dan kita sama sekali tidak bersendirian. Ujian itu (kesedihan) adalah tanda kasih-Nya buat kita. Dia tidak mahu kita lupakan-Nya tatkala kita bersuka-ria. Dia mahu kita semakin menghampirkan diri kepada-Nya. Dia mahu dosa-dosa kita terhapus… dosa yang dilakukan dalam sedar mahupun tidak. Dia mahu kita kembali kepada-Nya dengan dosa yang terampun. Kita kan manusia yang terbatas akal fikirannya???

Persetan segala cakap-cakap manusia yang busuk dan hitam hatinya. Usah pedulikan mereka yang tidak suka… dengki atau membenci. Hiduplah dengan aman bahagia kerana kita sebenarnya ada Tuhan… kita ada Ilah… kita ada Rab yang selalu dekat dengan kita… bukan sahaja dekat dengan jasad kita bahkan jiwa dan hati kita. Berlapang dada dan sentiasalah mengharapkan kegembiraan itu hadir dengan perhubungan yang akrab dengan Allah SWT.

Firman Allah dalam surah Yunus ayat 65 yang bermaksud, “Janganlah kamu sedih oleh perkataan mereka. Sesungguhnya kekuasaan itu seluruhnya adalah kepunyaan Allah. Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Muthiah : Sedih… tetapi tanpa sedar kesedihan ini sebenarnya mendekatkan diri dan hati kepada Pencipta… SAYANG ALLAH… CINTA ALLAH…

Singa Dahaga


“Nanti apa orang akan kata?” Satu-satu kuungkapkan bicara itu. Diam…
“Saya janda dan En. Haiqal adalah MAJIKAN saya sendiri!” Sengaja kutinggikan suara. Ini tak boleh jadi. Mendung tidak, guruh pun tidak tiba-tiba taufan melanda. Masalahnya tidak mahu pula membinasakan bangunan pejabat tiga tingkat milik anak Datuk Hakim, bukan juga mahu memusnahkan department tempat aku mencari rezeki namun taufan yang tidak kupinta ini hanya mahu bertiup kencang mengenai tubuhku yang langsing.
Akibatnya, aku jatuh terpelanting. Lebih malang lagi apabila kepalaku terhantuk di muka pintu bilik ‘musuh’ ketatku sendiri. Haiqal Daniel bin Datuk Hakim (bukan adik-beradik Norman Hakim tau) begitu dekat dengan jasadku tetapi berbilion batu jauh dari hatiku. Dengan kata lain, aku membencinya seluruh jiwa dan ragaku. Ah, jika Harry Porter sahabat akrabku sudah pasti kuminta bantuannya untuk menyahkan ‘Singa Dahaga’ ini dari kamus hidupku. Singa Dahaga???

*****

“Emelda Arisya binti Bujang. Umur 25 tahun, Ijazah Sarjana Muda …” tiba-tiba anak mata bos muda itu dibulatkan, sebulat-bulatnya.
“Status janda!!!” Ia seakan-akan terpaku dengan statusku.
“Hm…” diam.
“Graded bulan Ogos, dapat kerja bulan Oktober…” diam lagi. Aku sekadar memandang wajahnya yang lebih bengis daripada Pak Man Telo, anak Pak Usin Tompel, konstabel di tempat kelahiranku.
“Dah tu awak kahwin bila dan bercerai pula bulan berapa?” Ia memandang mataku tanpa berkelip.
“Inilah anak gadis zaman sekarang. Kecil-kecil menggatal nak berlaki. Dah kahwin, bercerai-berai walhal nikah tak sampai setahun. Kahwin nak, jadi isteri tak pandai,” majikan baruku menyampaikan ceramah panjang lebar. Mengalahkan umi di kampung. Umi pun pandai pilih waktu untuk melepaskan ‘tembakan’ M16-nya.
Aku hanya diam seribu bahasa tetapi hatiku sudah berbakul-bakul menyumpah-seranah lelaki tak handsome di hadapanku. Tiba-tiba, wajah Irfan berlegar-legar dalam kotak fikiranku. ‘Arisya rindukan abang,’ aku berkata sendiri.
“Puan Emelda Arisya, eh silap. Bukan puan lagi…” diam.
“Cik Emelda Arisya, dengar tak apa yang saya kata???”
“Macam mana awak nak jadi PA saya kalau awak tidak dapat bekerjasama dengan baik dengan saya,” katanya tanpa henti. Anak matanya masih lagi setia di situ, tepat memandang anak mataku. Diam…
“Dah dah… keluar. Saya tak mahu tengok muka awak lagi. Bila hati saya dah tenang, baru saya panggil awak balik,” Haiqal berkata perlahan tanpa memerhatikan wajahku. Fail yang dilemparkan sebentar tadi diambilnya kembali.
“Kejap! Bila awak kahwin dan bila awak bercerai?” Ia seolah-olah masih tidak berpuas hati dengan reaksiku. Terserlah bakatnya sebagai seorang diktator. ‘Tak profesional langsung,’ aku membentak sendiri. Aku yang tadinya sudah berjalan ke pintu kembali berundur menuju ke mejanya. Aku memandang tepat mata anak Datuk Hakim yang bulat tetapi tidak menarik itu.
“En. Haiqal! Saya bernikah 11 September 2008 dan bercerai dengan Allahyarham Irfan bin Aminuddin pada 12 September 2008. Allah lebih sayangkan suami dan mengambilnya kembali sebelum sempat kami hidup sebagai suami isteri,” tanpa menunggu responnya, aku bergerak laju keluar dari bilik ‘tahanan’ itu. Air mataku tiba-tiba gugur ke bumi.

*****


“Arisya, dunia ini umpama pentas. Kita adalah pelakon yang memainkan watak di atasnya,” kata Irfan suatu hari. Aku hanya tersenyum. Air tembikai susu tanpa gula itu kuhirup perlahan. Aku bahagia kerana kan bersatu dengan insan yang paling aku cintai. Irfanlah jiwaku, Irfanlah jantung hatiku. Tidak dapat kubayangkan hidup tanpanya. Aku pasti terkapai-kapai sendiri. Mataku tidak buta tetapi masih tidak berdaya mencari cahaya. Ya, Irfan adalah segalanya bagiku…
Arisya yang abang kasihi fillah,
Maafkan abang kerana merahsiakannya daripada pengetahuanmu. Abang khuatir Arisya tidak cukup kuat untuk itu. Abang tidak sanggup melukakan hatimu tetapi abang tidak mampu menolak ketetapan Tuhan. Kita adalah manusia biasa yang pasti kan kembali kepada Pencipta. Itu pasti!
Tiga bulan sebelum majlis perkahwinan kita, abang disahkan mengidap penyakit barah otak tahap kritikal. Hanya keajaiban yang mampu menghilangkannya. Abang cuba untuk berterus-terang tetapi lidah abang kelu tatkala melihat senyuman Arisya. Abang tahu cinta Arisya buat abang sentiasa teguh dan utuh meskipun abang bukanlah siapa-siapa. Terima kasih atas kasih sayang itu.
Arisya, usahlah Arisya menangisi pemergian abang kerana kasih abang buat Arisya tidak pernah melangkaui kasih-Nya kepada Arisya. Allah lebih sayangkan Arisya lantas dikurniakan segalanya buat Arisya. Jika abang meninggalkan Arisya, Dia tidak begitu. Dia sentiasa dekat dan hampir mendengar segala rintihan Arisya.
Justeru, kuatlah dalam menghadapi ujian ini kerana Allah mahu Arisya kembali kepada-Nya. Abang bukan siapa-siapa, abang hanyalah makhluk Tuhan yang sama-sama dikurnikan rasa kasih buat insan ciptaan-Nya. Yakinlah, Arisya akan semakin kental jika tidak bertindak menjauhi-Nya. Dia ada memberi kekuatan buatmu.
Abang…
Irfan akhirnya pergi tak kembali. Benar seperti apa yang diperkata, hanya cinta Allah yang kekal abadi. Irfan cintakan aku namun kasih Allah lebih hebat buatku. Dia mungkin sahaja mahu menyedarkanku daripada mimpi yang panjang. Makhluk itu bukanlah segala-galanya. Ia juga seorang insan yang dikurniakan kenikmatan daripada Tuhan yang Esa.
‘Arisya sayangkan abang dan Arisya kan cuba menyelami kata-kata abang,’ aku berkata sendiri. Bukan mudah untuk menerima hakikat ini. Aku bukanlah seorang hamba yang sentiasa dekat dengan Tuhan. Aku hanya manusia biasa yang terlalu banyak melakukan khilaf. Tidak mustahil aku terpana dan tidak pelik jika aku berasa kecewa.

*****

“Apa yang awak dapat tiga bulan di sini?” Tanya Haiqal tatkala aku melangkah ke dalam biliknya. Diam…
“Dari mula-mula awak masuk sini sampai bulan ketiga ni, mulut awak tak pernah reti nak bercakap,” tambahnya lagi. Argh, ‘Singa Dahaga’ ni sudah memulakan kuliah Dhuhanya. Kenapa aku memanggil majikanku yang banyak songeh ni ‘Singa Dahaga’? Kerana dalam sehari, lebih lima kali aku perlu menyediakan minuman buatnya. Jam 8.00, teh panas mesti sudah berada di atas meja. Jam 11.00, milo pula mengambil tempat. Jam 2.00, kopi kurang manis menjadi pilihannya. Jam 4.00, 5.00, 6.00… minum minum minum.
Kalau macam ni, lebih baik aku bekerja sebagai tea lady. Bukan itu sahaja, kerjaku sehari-hari pun bertambah sampaikan membersihkan lantai biliknya pun menjadi tugas rutinku. Masih belum cukup! Kalau boleh dia mahu aku mop, lap meja, cuci tingkap kamar kerjanya… ingat aku ni orang gaji????
Amarahku masih belum reda. Aku perlu luahkannya. Sekiranya dia rasa mahu menjadikan aku tea lady, makcik cleaner … ‘Increase my salary please.’ Ini tidak, kerja bertambah (sudahlah tidak dapat claim OT) tetapi apa yang kuterima tidak setimpal dengan penat-lelahku.
Jumaat lepas, pandai pula ‘Singa Dahaga’ diktator gila kuasa ni memujiku,“Congrats, hasil kerja awak memang perfect. Semua orang memujinya…”
“Arisya… Arisya!!!” Jerit Haiqal. Alamak, aku berkhayal rupanya.
“Awak ingat saya cakap dengan tunggul? Atau awak ni memang keturunan tunggul? Ulang balik apa yang saya cakap?”Ia menghentakkan mejanya. Habis bersepah fail yang baru kususun pagi tadi. ‘Kurang asam punya ‘Singa Dahaga’,’ aku menjerit sendiri. Ingat dia seorang ke yang boleh jerit? Nama sahaja lulusan Oxfort University tetapi akhlak??? Mengalahkan anak Pak Mail yang suka menjerit-jerit memanggil beruknya yang tidak mahu turun dari pokok kelapa yang dipanjatnya.
“Dah dah…keluar. Saya tak mahu tengok muka awak lagi…” jeritnya. Aku mencebikkan bibirku. Dulu pun cakap macam ni tapi….
“Buatkan saya milo ais kurang manis,” arahnya lalu duduk di atas sofa yang terletak di penjuru bilik. Majalah Reader Digest dibelek perlahan. Kan aku dah cakap, mesti suruh buat air punya. Kan bos aku yang seorang ni suka cakap tak serupa bikin. Aku berjalan perlahan menuju ke pintu.
“Aik, macam tu je nak pergi? Meja saya yang bersepah ni siapa nak kemas? Nak saya buat sendiri?”Jeritnya lagi. Aduh! Tensionnya ada majikan macam ni. Aku tengok, Datuk Hakim tidaklah macam tu sekali. Bicaranya penuh dengan adab. Bukan itu sahaja, ia menghormati setiap orang bawahannya. Ini, belum dapat tittle datuk sudah angin, kalau dah dapat mesti berasap satu badan.
Tanpa memandang wajahnya yang kulihat semakin berkedut, aku berjalan cepat-cepat menuju ke mejanya. ‘Alah, bukannya bersepah sangat pun,’ aku mengomel sendiri. Confirm anak datuk ni tak pernah buat kerja rumah. Malanglah siapa-siapa yang bakal menjadi isterinya. Nanti, bukan sahaja jadi isteri bahkan bibik, makcik dobi, chef dapur dan banyak lagi.
Apa sahaja yang aku lakukan, selalu tidak cantik di matanya. Aku sendiri keliru, apakah salahku sehingga ia bertingkahlaku begitu? Kalau benci, meluat, tidak suka… pecat sahaja. Tidak perlu sampai menyeksa zahir dan batinku.
Ah, biarkan ‘Singa Dahaga’ itu dengan fiilnya. Yang penting, aku di sini mencari rezeki yang halal. Boleh meringankan beban abi dan umiku di kampung. Dia berbangga dengan gelaran datuk milik daddy-nya? Abiku juga seorang ‘datuk’ meskipun hanya bekerja sebagai penoreh getah. Bulan sudah, aku mendapat sepasang anak buah yang comel-lote. Tak macam Haiqal, bukan sahaja tak handsome bahkan muka macam orang tua, perangai macam budak-budak dan banyak lagi keburukan miliknya.

*****


“Saya tahu saya tak handsome, muka berkerut macam orang tua, perangai macam budak-budak…” kata Haiqal perlahan. ‘Astaghfirullah, siapa yang report ni? Mesti Haisarah, pelajar praktikal yang baru sebulan membuat latihan ilmiah di sini. Aku dan dia agak serasi membuatkan aku berasa selesa untuk berkongsi cerita dengannya.
“Awak jangan salahkan Haisarah. Dia adik bongsu kesayangan saya merangkap bakal adik ipar awak,” katanya lagi tanpa memberi peluang aku bersuara.
“Tak salah kahwin dengan janda. Bukan berdosa pun lagipun awak janda ada class bukan janda tepi jalan. Mummy dan daddy very open. Mereka tak kisah kalau saya mahu bernikah dengan janda, jangan isteri orang sudah! Itu haram,” sejak bila bosku ini jadi ustaz? Aku hanya membisu. Enam bulan aku terseksa sekelip mata mahu menerimanya?
“Saya taklah macam singa. Singa makan orang tapi saya tak makan. Saya manusia biasa, ada hati dan perasaan,”Haiqal masih belum mahu menghabiskan kata-katanya. Kali ini, ia berlagak romantik walaupun sifat ini begitu canggung dengan dirinya. ‘Tak sesuai,’ aku berkata perlahan.
“Saya ikhlas mahu jadikan awak sebagai isteri saya, bukan bibik atau makcik dobi atau chef dapur. Saya mahu awak menjadi permata hati saya serta ibu buat zuriat saya,” kali ini, Haiqal lebih serius. Sah! Haisarah membongkar segalanya. Nak marah? Siapa aku untuk itu.
“Manusia yang paling mulia di sisi Allah adalah insan yang bertaqwa. Tidak kira sama ada ia ditakdirkan menjadi janda ataupun duda. Yang penting, imannya teguh dan ia tidak lupa asal-usulnya…” diam sejenak.
“Manusia itu sebenarnya hanya pelakon di atas pentas ciptaan Tuhan dengan membawa watak-wataknya. Kemudian, mereka kan diadili untuk dinilai ketaqwaan dan keimanannya,” Haiqal meneruskan kata-katanya. Aku yang tadinya tunduk ke bumi memandang tepat anak matanya. ‘Abang…’ wajah Irfan datang kembali. Air mataku tiba-tiba gugur ke bumi. Aku betul-betul rindukannya.
“Arisya, terimalah saya sebagai pengganti Irfan. Dia pergi tak kan kembali. Allah lebih sayangkannya,” ucap Haiqal perlahan.
Kutundukkan wajah ke lantai. Fail yang terletak di atas meja Haiqal aku perhati dari jauh. Kemudian, aku mendongak ke siling.
“Arisya…” panggil Haiqal. Aku memandang wajahnya yang semakin sayu. Tidak ada apa yang mampu kuungkapkan melainkan sekuntum senyum manis.
Labels: 2 comments | | edit post

Batasan waktu - AJAL


Di sini di sini kita berkumpul (2x)
Salam salam salam salam salam hey
Here we are here we are here we are again (2x)
Hello hello hello hello hello hey
Cacciili caccili wa mu caccili (2x)
Meong meong meong meong meong hey
Porenggeh porenggeh eneh porenggeh (2x)
Eneh eneh eneh eneh eneh hey


Assalammualaikum. Salam hormat dan salam sejahtera buat teman-teman yang Muthiah kasihi fillah. Tahu atau tidak apa yang Muthiah coretkan di atas? Betul! Lagu Pengakap mungkin. Lagu waktu Muthiah muda-muda dahulu, lagu kegemaran Muthiah zaman sekolah rendah ;)

Hmmm… bagaimana hendak mulakan ya?

Muthiah terfikir… berapa lama Muthiah boleh bertahan? Maksud Muthiah, berapa lama Muthiah boleh hidup di atas muka bumi ini? Hmmm…

Paling lama, mungkin setelah usia menjangkau 100 tahun atau paling cepat… mungkin beberapa saat selepas ini, Muthiah dipanggil kembali oleh Ilahi. Mampukah Muthiah melarikan diri daripada ketetapan dan ketentuan-Nya? Bolehkah Muthiah menyorok atau bersembunyi daripada ajal? Tidak!!! Tidak sama sekali dan Muthiah pasti kan kembali kepada Pencipta. Itu pasti! Dan tidak ada kompromi.



Firman Allah dalam surah Luqman ayat 34 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sahajalah pengetahuan tentang hari kiamat; dan Dia-lah yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan MATI. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Muthiah merancang … siapa sahaja merancang.

Muthiah mendambakan kebahagian hidup bersama suami tercinta selama-lamanya. Bukan itu sahaja, bahkan kita semua mahukan yang paling baik untuk diri kita. Mahukan rumah yang sempurna, punya kenderaan sendiri yang boleh membawa kita ke sana ke mari (tanpa perlu bersesak-sesak di dalam kenderaan awam), mahu itu dan mahu ini.

Ini adalah fitrah dan sebagai manusia, kita mahukan… kita inginkan segala benda yang baik untuk diri kita…. segala benda yang menyenangkan hati kita. Namun, setakat mana Allah mengizinkan kita melalui saat-saat yang kita dambakan itu? Kita merancang untuk sampai ke ‘Z’ tetapi ketentuan Tuhan, kita hanya mampu melangkah sehingga ke ‘H’. Hidup kita, hanya takat itu kerana Allah sudah memanggil kita untuk menemui-Nya. Dari tanah kita diciptakan dan kepada tanah kita kembali (atau lebih tepat… ‘Dari Allah kita datang dan kepada Allah jua kita kan kembali’).

Alamak! Muthiah pun keliru dengan apa yang Muthiah coretkan tetapi memang ada sesuatu yang ingin Muthiah kongsikan. Hmmm…

Bilamana nyawa sudah dicabut… bagaimana ya keadaan kita?

Masih ada orang yang SAKIT HATI dengan kita? Mulut kita terlalu lantang (sehingga menyakiti orang yang mendengar butir bicara kita). Hati kita terlalu busuk dan penuh prasangka sehingga membuatkan orang lain berduka dengan sikap kita…

Masih banyakkah HUTANG kita? Hutang yang sengaja dilengahkan pembayarannya atau kita sudah berusaha keras untuk melunaskannya.

Masih ada manusia yang belum sempat kita memohon MAAF kepadanya atas keterlanjuran kata-kata kita? Kata-kata kita (yang tidak menghiraukan perasaan orang lain) mungkin telah menyentak hati abang/ kakak/ sahabat/ keluarga kita.

Bagaimana dengan AMANAH yang telah ditaklifkan kepada kita? Semuanya akan dipertanggungjawab atas diri kita. Kita selaku seorang pekerja… seorang suami/ isteri… seorang ibu/ ayah… dan paling utama, sebagai KHALIFAH di atas muka bumi Allah ini.



Takut tatkala memikirkan…

Takut kita tidak dipilih Tuhan untuk berada bersama mereka yang telah dijanjikan syurga.

Takut terlalu banyak dosa yang dilakukan sehingga melangkaui kebaikan yang kita buat.

Takut mati dalam perasaan dendam yang masih tersimpan dalam jiwa. Sukar benar untuk berlapang dada dan susah benar untuk melupakan silap orang terhadap kita (silap kita terhadap orang, mudah pula diabaikan).

Takut dan takut kerana setiap itu akan diperhitung Allah…

Waktu itu, apakah yang boleh membantu kita?

Amal-amal yang kita lakukan? Ikhlaskah kita dalam perjuangan itu? Ikhlaskah kita dalam sedekah / infak yang kita lakukan?

Al-Maidah ayat 85, “Maka Allah memberi mereka pahala terhadap perkataan yang mereka ucapkan, (iaitu) syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, sedang mereka kekal di dalamnya. Dan itulah balasan (bagi) orang-orang yang berbuat kebaikan (yang IKHLAS keimanannya).”

Hmmm… tidak lain dan tidak bukan… hanya RAHMAT dan KASIH SAYANG Allah yang bisa membantu kita… bisa menjauhkan kita daripada neraka-Nya, yang tidak ada satu makhluk pun yang sanggup memasukinya. Betapa gerunnya api neraka yang membakar…

Justeru… katakan pada diri. Mulai saat ini…

1- MAAFKANLAH orang yang pernah menyakiti hati kita.

Al Baqarah ayat 263, “Perkataan yang baik dan pemberian maaf itu adalah lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun.”

2- BERFIKIR dahulu sebelum berbicara. Dikhuatiri bisa menghiris hati dan perasaan orang di hadapan kita.

3- Selagimana kita bernyawa, lakukanlah segala sesuatu SEBAIKNYA.

Jika kita seorang pekerja, jadilah pekerja yang AMANAH dan CEMERLANG.

Jika kita seorang isteri, jadilah isteri solehah dan gembirakanlah hati suami setiap detik dan ketika. Moga-moga dengan redhanya, kita kan mendapat redha Ilahi.

Jika kita seorang pendakwah, berhabis-habisanlah dalam memperjuangkan agama Allah yang suci ini dan sesungguhnya… kita semua adalah pendakwah (“Man qola ‘lailahaillallah wa hua daie,’..”)

4- BERLAPANG DADAlah atas segala sesuatu. Huhu… paling sukar untuk melupakan sesuatu yang menyakitkan tetapi ingat! Mungkin esok atau lusa kita akan dipanggil kembali menemui Tuhan dan waktu itu… dendam, marah dan benci tidak akan memberi manfaat sedikitpun buat kita.

An-Nur ayat 22, “..dan hendaklah mereka memaafkan dan BERLAPANG DADA…” (Kisah sumpah Abu Bakar yang tidak mahu membantu orang yang telah menyebarkan fitnah terhadap Sayidatina Aisyah).

5- BERSANGKA BAIKlah… khususnya kepada Allah yang Maha Esa. Allah yang Maha Tahu… Allah yang Maha Pengampun… Allah yang Maha Penyayang… Allah yang Maha Segalanya….

6- Banyakkan BERDOA agar ditempatkan bersama-sama mereka yang soleh/ solehah. Juga, moga-moga kita ‘dipanggil pulang’ dalam IMAN dan ISLAM.

Al-Mukmin ayat 60, “Dan Tuhanmu berfirman, ‘Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku-perkenankan bagimu,’…”

7- Jangan biarkan perasaan MARAH menguasai diri kita kerana waktu itu iblis bisa sahaja menghasut dan meracuni fikiran kita. Banyakkan istighfar, berzikir dan mengharapkan kekuatan daripada Allah tatkala mendepani sesuatu yang tidak sanggup kita depaninya.

As-Syura ayat 36 dan 37, “…Maka sesuatu yang diberikan kepadamu, itu adalah kenikmatan hidup di dunia; dan yang ada pada sisi Allah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal. Dan (bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan- perbuatan keji, dan apabila mereka MARAH mereka memberi maaf.”


8- Hindari BERBICARA yang sia-sia. Mana tahu, termengumpat! Mana tahu, teraibkan! Mana tahu dan mana tahu… (semuanya TER bermakna tanpa sengaja (betulkah tidak sengaja?)… hmmm).

Muthiah : Mengharapkan redha Allah dan juga suami setiap saat dan masa.

Tauhidullah (iii)


Salam ukhwah fillah. Apa khabar ya? Bersedia untuk berhalaqah? Hehe… seperti yang dijanjikan, insya-Allah minggu ini Muthiah ingin berkongsi tentang …

2- Mulkiyatullah (Kepenguasaan Allah)

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat (Dewan Bahasa dan Pustaka), KEPENGUASAAN membawa maksud perihal menguasai atau menguasakan. MENGUASAI pula bererti berkuasa atas (sesuatu) manakala MENGUASAKAN bermakna memberi kuasa kepada.


Ya! Allah-lah Pemilik, Allah-lah Pemimpin dan Allah-lah Pembuat hukum bagi segala sesuatu di atas muka bumi ini. Dengan kata lain, Dia-lah yang PALING BERKUASA terhadap alam ini. Segalanya adalah milik Tuhan, di bawah kepimpinan Tuhan serta dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh-Nya.

Maka, sebagai hamba Allah yang menggunakan sesuatu bukan miliknya (hakikatnya adalah milik mutlak Allah SWT)… sebagai hamba yang naungannya adalah Allah yang Maha Esa… seharusnya, semestinya dan sepatutnya MENTAATI dan TUNDUK kepada segala PERINTAH Allah meskipun berlawanan dengan kehendak nafsu kita.

Kita siapa? Kita bukan siapa-siapa. Jadi, sebagai seorang insan yang tidak punya apa-apa (melainkan sesuatu yang dikurniakan Allah), perlu bagi mereka untuk PATUH kepada Pemberi nikmat itu… perlu IKUT segala perintah Pemilik nikmat itu dan banyak lagi….

Firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 183 yang bermaksud, “Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi, dan Allah Maha Perkasa atas segala sesuatu.”

Dalil lain : Al-Imran : 26, Al-Fatihah :4

a) Waliyan (Allah sebagai satu-satunya Penolong dan Pelindung)

Bilamana kita dirundung duka, kesedihan yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata, percayalah bahawasanya Allah itu dekat dengan kita. Dia adalah PENOLONG dan PELINDUNG kita tatkala senang atau ketika ditimpa kesukaran.

Kita tidak seorang dan Allah itu MAHA DEKAT dengan setiap hamba-Nya. Bukankah Dia PENCIPTA? Selaku Pencipta alam, pastinya Dia lebih TAHU, lebih ARIF dan lebih MAKLUM dengan keperluan (yang sepatutnya) hamba-hamba-Nya.

Maka, BERGANTUNG HARAPLAH kepada Dia yang mencipta. Dia? Betul! Dialah wali yang melindungi, menolong dan memelihara setiap hamba-Nya.

Jadi, selepas ini… jangan sedih-sedih lagi ya? Stres dengan permasalahan hidup??? Hmmm… jangan rasa kita sendiri kerana Allah yang melindungi dan membantu itu begitu dekat dengan kita… lebih dekat daripada urat merih kita sepertimana firman-Nya dalam surah Al-Qaaf ayat 16 yang bermaksud, “Dan sesungguhnya Kami telah mencipta manusia dan mengetahui apa-apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.”

Dalil lain – Al-A’raaf : 196

b) Hakiman (Allah sebagai satu-satunya Pemilik Autoriti Hukum)

Hmmm… hendak perjelas macam mana ya? Mengikut kamus dewan, hukum bermakna peraturan yang ditetapkan oleh sesuatu kekuasaan.

Dengan lain perkataan, Allah-lah yang menetapkan peraturan berkenaan. Apa yang boleh dilakukan, apa yang dilarang dan banyak lagi. Sebagai manusia, fikiran kita terbatas.

Sering kali kita tidak dapat melihat hikmah di sebalik peraturan Allah itu. Bahkan, kadang-kadang kita merungut sendiri… kita marah dan melenting dengan segala ketetapan-Nya. Namun, percayalah… Allah sama sekali tidak melakukan sesuatu yang sia-sia (“Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia..” Al-Imran ayat 191) dan PASTI… segala apa yang telah ditetapkan itu adalah yang paling baik untuk diri kita. Sesungguhnya Allah mengetahui segala sesuatu yang tidak kita tahu (Al-Baqarah ayat 216).

Yang penting, sentiasalah berharapkan Allah dalam segala apa yang kita lakukan. Ya! BERHARAPKAN ALLAH. Bilamana kita rasa kita tidak mampu… kita kembalilah kepada-Nya. Mengadu dan merintihlah dan PASTI Dia akan memberi jalan.

Cuma… kita perlu bersabar kerana jalan itu boleh jadi cepat dan boleh jadi lambat. Yang penting, kita perlu yakin bahawa Allah pasti akan membantu kita.

c) Aamiran (Allah sebagai satu-satunya Pemimpin)

Allah telah memberi rezeki… Allah memiliki segalanya di atas muka bumi ini. Justeru, hanya kepada Dia kita patut sembah (mengabdikan diri) serta menurut perintah.

Hmmm… apa macam? Muthiah rasa macam tergantung sahaja pengisian minggu ini tetapi Muthiah harap, kita semua dapat menyelaminya walau sedikit.






Labels: 0 comments | | edit post

Cikgu oh cikgu



Assalammualaikum dan salam sejahtera. Hmmm… huhu… tidak tahu hendak tulis apa sebenarnya. OKlah… ingin berkongsi cerita tentang penulisan pertama Muthiah yang dikongsi bersama umum.

Bukan cerpen yang bertajuk ‘Hati Seorang Isteri’ dalam majalah Mingguan Wanita ya tetapi karangan Muthiah sewaktu berada di tingkatan tiga.

Menurut kata Noyen (tingkatan 3T1), Cikgu Hamid yakni guru Bahasa Melayu Muthiah sering membacakan karangan Muthiah di dalam kelasnya (Muthiah berada di tingkatan 3KA). Dengan kata lain, karangan Muthiah telah diiktiraf oleh Cikgu Hamid. Apa yang Muthiah rasa? Tentunya rasa bahagia dan berbesar hati. Lagipun, Muthiah memang agak akrab dengan Cikgu Hamid dan keluarganya.

Kata Noyen lagi… setiap kali Cikgu Hamid membacakan karangan yang ditulis Muthiah, apabila masuk bahagian watak-watak dalam karangan, budak-budak mesti tergelak. Ish ish ish. Sah! Satu tingkatan tahu tentang minat Muthiah yang satu ini. Apa dia?

Hehe… sebenarnya, Muthiah suka menggunakan nama (watak) orang yang Muthiah kagumi atau sukai. Contohnya : Azman Adnan, Shahril Arshad, Mehmet Durocovic (betulkah namanya begini?) dan banyak lagi (Ronaldo). Dahulu, Muthiah agak fanatik dengan pasukan ‘Merah Kuning’ dan Brazil (atau mana-mana pasukan yang diwakili Ronaldo – Inter Millan, Barcelona)… Merah kuning lambang kebanggaan… alamak, lupa daaa lagu skuad Selangor (waktu itu).

Cikgu Hamid pun tidak boleh cakap apa kerana Muthiah memang tidak buat salah dalam karangan Muthiah cuma mungkin nama watak yang digunakan Muthiah tidak sesuai. Iyalah… adakah patut… letak nama Ronaldo sebagai kawan karib? Betullah… bilamana kita mengagumi seseorang, kita pasti kan sentiasa menyebut namanya (Sejauh mana pula kita sentiasa menyebut nama Tuhan yang telah memberikan 1001 nikmat buat kita?).

Selain itu, satu pengalaman yang tidak dapat Muthiah lupakan juga ialah bilamana Muthiah tidak mendapat ‘A’ dalam kertas karangan Bahasa Melayu. Waktu itu, untuk peperiksaan percubaan, pemeriksa adalah daripada sekolah lain. Cikgu Hamid tidak berpuas hati dan membawa karangan yang Muthiah tulis ke Pejabat Pendidikan Daerah (Muthiah tidak pasti Cikgu Hamid berjumpa dengan siapa). Karangan tersebut disemak semula dan sebenarnya, Muthiah layak mendapat ‘A’. Apa lagi, tersenyum simpullah Cikgu Hamid. Muthiah… Alhamdulillah. Muthiah bersyukur kerana mendapat guru yang prihatin terhadap anak muridnya.

Lagi… sewaktu tingkatan lima, guru Bahasa Melayu Muthiah bernama Cikgu Arfah. Cikgu, tidak pula membacakan karangan Muthiah kepada umum tetapi di dalam buku karangan Muthiah… cikgu selalu menulis komen sangat baik, baik atau memberi bintang. Oh, Muthiah boleh menulis rupanya.

Siapa lagi ya guru Muthiah dalam bidang penulisan? Hmmm… akhir sekali ialah Kemala (Kemala banyak menghasilkan puisi), pensyarah Muthiah di UM dahulu (subjek penulisan kreatif). Beliau banyak memberi nasihat dan motivasi kepada Muthiah untuk menghasilkan cerpen yang baik. Waktu itu, rujukan Muthiah adalah novel penulisan Sasterawan Negara, A. Samad Said selain beberapa orang penulis dari Indonesia (Muthiah lupa namanya). Novel yang bertajuk ‘Salina’ Muthiah khatam beberapa kali dan memberi kesan mendalam buat Muthiah.

Manakan tidak. Novel itu membawa pembacanya untuk mendalami kehidupan seorang tokoh dalam bidang penulisan. Ya! Muthiah ingat-ingat lupa sebenarnya tetapi Muthiah kira, novel itu bisa sahaja meresap ke dalam hati pembacanya.



Alamak… sudah jam 5.11 petang. Minum petang buat suami belum disediakan lagi. Permisi ya ;)