Teman Sejati

Salam. Hehe… sepatutnya, sekarang waktu Muthiah masak makan malam untuk suami tetapi suami beri pelepasan buat Muthiah untuk menulis (sementara ada idea). Insya-Allah, jam 6.30 petang, Muthiah masuk dapur. Mahu masak istimewa untuk suami… al-maklumlah, cik abang Muthiah berpuasa hari ini.

Teman sejati? Cuba tanya pada diri… adakah kita memiliki teman sejati??? Kalau ada, tahniah!!! Kalau tiada??? Hmmm… mengapa ya?

Pagi tadi, sementara membasuh pakaian, Muthiah menonton rancangan di Astro Oasis… motivasi Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah. Beliau berbicara tentang teman sejati.

Bagaimana untuk mendapatkan teman sejati???

1- Jadilah teman sejati terlebih dahulu. Ya! Kita yang terlebih dahulu menjadi teman sejati buat sahabat-sahabat kita. Muthiah??? Alhamdulillah, sejak berada di alam persekolahan, sampai kini Muthiah ada teman sejati… Meski jauh di mata, selalu sahaja dekat dalam hati. Mereka ada tatkala suka dan duka. Dan kini… teman sejati Muthiah adalah suami Muthiah sendiri ;)

2- Pasang niat untuk menjadi teman sejati. Sebagaimana sabda Nabi SAW, ‘Setiap amal bermula dengan niat…’ bilamana kita berniat kerana dunia… dunialah yang kita akan perolehi dan sekiranya kita berniat kerana Allah, insya-Allah… kita bukan sahaja memperoleh teman sejati yang bisa mendorong kita kepada Allah bahkan kita akan mendapat ganjaran yang besar daripada-Nya. Banyakkan berdoa agar dipertemu dengan seseorang yang boleh mendekatkan kita dengan Allah. Ingatlah! Teman sejati itu bukanlah teman yang hanya membenarkan perbuatan kita (tidak kira betul atau salah) tetapi teman sejati adalah teman yang sanggup memperbetul kesalahan dan kesilapan kita dengan hikmah. Dia tidak mahu kita semakin jauh dan tersasar daripada jalan yang sepatutnya.

3- Bentuk sifat yang menawan. Perhatikan kembali…

Adakah kita seorang yang memiliki ego yang tinggi? Bilamana berbuat salah, sukar benar untuk memohon maaf dan sentiasa merasakan diri betul! Sedang manusia itu lemah dan terlalu banyak melakukan kesalahan (dalam sedar atau tidak).

Atau kita seorang yang busuk hati? Kita banyak berprasangka buruk. Bukan itu sahaja, mudah benar salah faham terhadap orang lain. Iyalah… manakan tidak dikatakan berhati kotor/ jelik/ busuk… apa-apa yang berlaku di hadapan mata, cepat benar kita memandangnya sebagai sesuatu yang negatif. Kenapa jadi begitu???? Ya! betul… bermula dari hati yang tidak bersih… terlalu banyak bintik hitam menyebabkan begitu sukar bagi cahaya untuk memasukinya. Apabila cahaya Allah susah menembusi hati kita… mengakibatkan hati kita berkarat… akhirnya, kita menjadi seorang yang cepat melatah dan banyak lagi… Jadi, kembalilah mengharapkan keampunan daripada-Nya. Insya-Allah, Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Atau … kita ini seorang yang mudah cemburu? Kita lupa bahawa setiap manusia ada bahagiannya dan itu (bahagian) hakikatnya adalah pemberian Allah. Sesungguhnya, Allah itu Maha Tahu serta Maha Adil atas segala ketetapan-Nya.

Atau atau… kita seorang yang mudah berdendam kepada orang lain… prejudis dan banyak lagi… (sifat-sifat buruk yang dibenci Allah serta manusia lainnya). Fikir-fikirkan dan muhasabah kembali.

4- Gunakan gelombang minda. Hmmm… Muthiah pun tidak tahu bagaimana hendak ulas sari pati ini. Namun, menurut Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah… bilamana hati ikhlas untuk mendapatkan teman sejati… diri (minda dan jasad) pun mahukan teman sejati… insya-Allah, gelombang minda itu akan bergerak ke arah teman (yang ingin dijadikan teman sejati itu). Huhu… boleh rujuk kembali kepada orang yang sepatutnya untuk mendapat penjelasan yang lebih tepat.

5- Tolong / bantu dan menegur dengan hikmah. Ya… bilamana kita ikhlas dalam persahabatan, insya-Allah… kita pasti mahukan yang baik-baik buat teman kita. Jika kita mahu masuk syurga, kita juga tidak mahu sahabat kita ketinggalan untuk masuk syurga bersama. Sahabat sejati itu adalah sahabat saat suka dan duka. Maka, ringankan diri untuk sentiasa berada di sampingnya tatkala ia memerlukan. Begitu juga tatkala melihat dirinya melakukan kesalahan… sebagai sahabat yang mengasihi temannya kerana Allah… tegurlah dengan hikmah dan kasih sayang. Bangunkan … papahlah ia untuk kembali ke jalan yang benar.

6- Serasikan roh. Huhu… Muthiah tidak tahu bagaimana hendak mengulas isi ini. Hehe… dengan kata lain, tidak berapa faham daaa…


7- Banyakkan berdoa… Ingatlah! Allah, Tuan Punya yang mencipta dan menjadikan. Dia memegang hati setiap manusia di atas muka bumi ini. Hanya Dia yang boleh meneguhkan dan Dia jualah yang boleh membolak-balikkan. Jadi, hendak tidak hendak… kita perlu banyak berdoa kepada-Nya. Berdoa kepada Allah agar dikurniakan teman… yang boleh mendekatkan diri kita kepada-Nya. Teman yang boleh membawa kita kepada kebaikan… kerana sesungguhnya, kehidupan ini tidak lama… sampai waktu, kita akan kembali.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud, “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku. Maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”

8- Maafkan… mudah untuk diungkap tetapi begitu sukar untuk dilaksanakan. Hati berasa berat untuk memohon maaf atau memberi maaf. Ah… ego, merasakan diri betul dan benar, merasakan diri sudah cukup hebat dan besar! Astaghfirullah… moga-moga dapat dijauhkan Allah daripada sifat mazmumah ini. Hakikatnya, tidak ada yang lebih hebat… lebih besar… lebih betul dan benar daripada Allah SWT.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 263 yang bermaksud, “Perkataan yang baik dan pemberian maaf itu adalah lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun.”

9- Ceriakan hati teman… Tanya pada diri… sejauh mana kehadiran kita menceriakan hati teman kita? Atau… kehadiran atau bicara kita hanya sahaja menyakitkan hati orang yang berada di sekeliling kita. Menyebabkan orang lain berduka dan bersedih hati… menyebabkan mereka berasa rendah diri…. muhasabahlah kembali. Banyak yang perlu kita belajar dan tahu. Rendahkan keegoan diri kerana hakikatnya kita bukanlah siapa-siapa. Bila-bila masa sahaja Allah boleh memanggil kita kembali kepada-Nya.

10- Ikhlas. Berdoalah kepada Allah agar menguatkan hati kita untuk melakukan sesuatu ikhlas semata-mata kerana Allah. Mulut boleh sahaja berkata, ‘Aku ikhlas,’ namun hakikatnya, Allah lebih tahu apa-apa yang tersirat dan tersembunyi. Kalau tidak mampu ikhlas, katakan pada diri bahawa ‘Aku ikhlas!’ dan berusahalah untuk mengikhlaskan hati dan diri.

11- Berlapang dada… sama sahaja isinya dengan penulisan Muthiah sebelum ini. Berlapang dada atas kesalahan orang lain buat kita. Boleh jadi ia sengaja dan boleh jadi ia tidak sengaja (ia masih jahil dan tidak tahu) melakukannya. Kembalilah kepada Allah serta hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh-Nya.

Baiklah… cukup setakat ini untuk perkongsian ilmu hari ini. Jom sama-sama kita memperbaiki diri dan saling ingat-mengingatkan… kerana manusia itu sering sahaja lupa dan alpa. Moga kan ketemu sahabat sejati yang boleh membawa kita ke syurga Allah.

Ukhwah fillah lestari selamanya…

Muthiah : Allah adalah segala-galanya walau tahu diri selalu alpa dan lalai terhadap perintah-Nya.
Labels: | edit post
0 Responses