Marah (i)


-sambungan artikel semalam-

Marah...

Tanyakan pada diri, KENAPA KITA MARAH?

  1. Rasa diri dikhianati.
  2. Orang tidak bayar hutang.
  3. Kena tipu.
  4. Tidak dihormati.
  5. Orang masuk rumah tidak beri salam. Masuk-masuk, komen itu dan ini. Boleh marah?
  6. ________ (Sila isi tempat kosong. Kenapakah kita marah)

Kalau mampu sabar, BERSABARLAH. Kerana, MARAH itu lawannya SABAR. Kalau tidak mampu? Huhu... tidak boleh... hendak marah juga.

Hmmm... marahlah secara berpada-pada. Bayangkan. Kita sudah berbuat salah. Kita akuinya. Kita menyesal. Tup-tup... kesilapan kita tidak dimaafkan. Sedih, bukan? Alah... Tahu buat, tahulah tanggung. Hmmm :) Satu sahaja yang boleh Muthiah katakan. NOBODY IS PERFECT. Muthiah juga tidak sempurna. Bila direnungkan kembali, Muthiah tertanya-tanya sendiri, "Akukah yang sedang marah itu?" Oh, tidak!Meski sudah lebih 5 tahun peristiwa itu berlaku, masih segar dalam ingatan Muthiah. Dan... Muthiah belajar daripadanya.

Daripada hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, datang seorang lelaki kepada Rasulullah seraya berkata, "Berwasiatlah kepadaku, ya Rasulullah." Nabi SAW bersabda, "Janganlah engkau marah." Dan Nabi mengulanginya sebanyak tiga kali.

Lagipun, marah yang keterlaluan ini...

  1. Ditakuti mendorong kepada permusuhan ~ Memutuskan silaturrahim.
  2. Oh, tidak ~ Merenggangkan hubungan.
  3. Buat hati tidak tenang/ tidak senang duduk/ gelisah. Fikir sesuatu yang tidak sepatutnya.
  4. Kalau melayan sangat, boleh jadi best friend .....
  5. Khuatir bisa menjauhkan diri daripada ALLAH. Iyalah. Hanya marah yang kita fikirkan.
  6. _______ (Sila isi tempat kosong)
Ehe... Panjang sudah. Kita sambung esok, insya-ALLAH ~ Punca marah menurut Imam Al-Ghazali. Jeng jeng jeng.

Kuliah hari ini : Golongan bangkai bernyawa.

Muthiah : Kadang-kadang sukar menahan marah.
Labels: 0 comments | | edit post

Kerasnya hati...


Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah. Sekarang, sedang tersenyum. Kenapa? Alhamdulillah kerana novel kedua Muthiah yang berjudul Ayah! Amir nak masuk U sudah pun berada di pasaran. Alhamdulillah, ya ALLAH. TUHAN permudahkan jalan Muthiah dalam urusan ini.

Satu pertama : Keraskah hati kita?

Boleh tanya diri sendiri, kawan-kawan dan sesiapa sahaja yang dekat dengan diri kita.

Soalan kedua : Benarkan orang yang sukar menangis itu keras hatinya?

Boleh jadi YA dan boleh jadi TIDAK. Lain orang, lain sikapnya... lain fiilnya... lain karektornya.

Muthiah teringat satu kisah... cerita tentang persahabatan....

Al-kisah, al-tersebutlah kisah...

Berlaku konflik antara Muthiah dan seorang teman. Puncanya... Marahnya Muthiah saat itu, sampai tidak ingat dunia. Menyebabkan Muthiah tidak dapat berbicara dengannya meskipun kami jumpa hari-hari. Terlupa dengan pesan Nabi SAW, "... kalau berbalah, jangan melampau-lampau." Huhu... bukan apa. Muthiah perlukan masa/ tempoh bertenang. Hahaha... Parah, bukan?

Kemudian, kakak angkat kami mengambil inisiatif bertemu dengan kami berdua. Di rumah kakak tersebut, Muthiah masih masam mencuka. Teman tadi, nampak sudah serba-salah dan Muthiah terus dengan amarah dalam jiwa. Muthiah boleh memilih untuk tenang tetapi Muthiah tidak mahu. Muthiah biarkan rasa yang tidak enak itu terus bersarang dalam jiwa.

Sang kakak yang baik hati lalu meminta kami untuk bercerita, apakah sebenarnya yang berlaku? Bermula dengan teman Muthiah. Dia pun memberitahu segalanya. Dari sisi apa yang Muthiah ceritakan padanya... dari sisi pandangan dia dan macam-macam lagi. Semua diluahkan. Muthiah hanya diam. Tidak membantah atau berkata apa-apa.

Selepas itu, si kakak bertanya pula kepada Muthiah, "Apa yang Adik hendak katakan?"

Muthiah hanya menggeleng.

Si kakak bertanya lagi. "Adik... ada apa-apa yang Adik hendak kongsikan?"

Muthiah tetap menggeleng. Tidak mahu berkata apa-apa.

Kakak tersebut masih tidak berputus asa. Dia memandang tepat anak mata Muthiah. "Adik..."

Muthiah mengeluh perlahan. Kasihan melihat sang kakak tetapi... hati Muthiah benar-benar sakit...

Semua terkedu. Teman Muthiah sudah mengalirkan air mata. Begitu juga dengan kakak tersebut. Cuma, Muthiah masih berlagak selamba. Macam tidak ada apa-apa yang berlaku.

Tidak semena-mena, sang teman meminta maaf atas kesalahan dia pada Muthiah. Tangan disambut tetapi tidak ada apa yang terpacul dari bibir Muthiah...

Pengajarannya? -bersambung-

Kuliah hari ini : Tangkapan disko ... Kupasan dan ulasan.

Muthiah : Belajar daripada kesilapan.

Dosa berbaldi-baldi tetapi...


Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah... Alhamdulillah. Ehe... Mengantuk. Sedang menghitung waktu hendak ... ~ tidur. Hahaha... Biasalah. Muthiah biasa tidur sekejap sebelum zohor.

Hmmm... Baru-baru ini, Muthiah ada menulis tentang ...

~ Dosa berbaldi-baldi tetapi payah hendak menangis mengenangkan kesilapan yang telah dilakukan ~

Hmmm... wajib menangiskah? Tidak. Hmmm... Ya? - Yang penting ialah menyesali kesilapan lalu. Seterusnya, berusaha untuk tidak mengulangi kesalahan itu. Namun, jika menangis itu mampu merendahkan diri di hadapan TUHAN, tidak ada salahnya ;)

Dosa berbaldi-baldi tetapi...

~ Kita tahu... kita arif tentang dosa yang telah dilakukan tetapi entahlah. Sukarnya hendak bermuhasabah. Sukarnya mahu menghisab diri. Sukarnya hendak kembali. Sukarnya sukarnya.

Cop!!! Buang perkataan SUKAR dalam kamus diri. Katakan ~ AKU BOLEH lakukannya ;)

Apapun... Alhamdulillah. Setidak-tidaknya, kita masih tahu yang kita telah melakukan dosa. Hati masih mahu terjentik cuma kaki belum cukup kuat untuk melangkah sahaja lagi, mungkin. Tidak apa... Teruskan usaha membaiki diri menjadi lebih baik daripada semalam. Mohon kekuatan daripada ALLAH. Usaha dan terus usaha sampai hujung nyawa.

Sudah usaha. Jadi baik sekejap tetapi buat salah lagi? Cuba jadi baik lagi. Cuba dan terus cuba buat kesekian kalinya... sampai masa ketetapan TUHAN. Banyakkan berdoa..Positif dan optimis untuk berubah.

~ Kalau kita tidak pandai... kita ulang dan terus ulang, 'AKU BODOH...' Bodohlah jadinya nanti. Sebab... bukankah kata-kata itu satu doa?~

Jadi... ayuh... Kita sama-sama berusaha memperbaiki diri menjadi lebih baik. Katakan pada diri... AKU BOLEH dan AKU TIDAK AKAN BERPUTUS ASA dalam mengejar redha-NYA.

Kuliah hari ini : Karut!!! Karut!!! Kepercayaan karut. Awas! Pelihara akidahmu.

Bas

Assalammualaikum. Apa khabar? Ehe... Macam mana imannya? Sedang berada di atas, atau di bawah? Hmmm.. satu perkara yang Muthiah boleh kongsikan (ada tambahan, Muthiah alu-alukan. Sharing is caring)...

Kita malas untuk beribadah... Malas untuk buat kebaikan. Malas dan malas. Jadi, bagaimana? Ehe... Seperti apa yang Muthiah sedang lakukan sekarang, jom kita PAKSA diri. Serius. Sejak akhir-akhir ini, Muthiah berasa agak malas untuk mengaji al-Quran. Solusi yang Muthiah ambil ~ Paksa diri membaca al-Quran setiap kali selepas solat. Caiyok-caiyok. Sahabat-sahabat? Ayuh... kita sama-sama.

Hmmm... Santai hujung minggu. Jom fikir ;)


Terima kasih kepada Saudara Kia Kartunis kerana mengizinkan Muthiah berkongsi karya kreatif beliau di blog siti-muthiah.

Hmmm... Apa yang sahabat-sahabat boleh fikirkan di sebalik lukisan ini?

Kuliah hari ini : Apa ada pada CINTA?

Muthiah : Moga-moga tetap menjadi pilihan TUHAN.
Labels: 0 comments | | edit post

Positif dan negatif...

Assalammualaikum. Apa macam? Ada baik? Hati? Ada baik? Atau... sedang marah... meluat... dendam... sakit hati... bersangka-sangka dengan seseorang. Ops. Maaf. Santai-santai sahaja. Bagi yang mahu mengambil kata-kata ini secara positif... Alhamdulillah. Bagi yang mahu menilainya secara negatif... Kita sendiri yang membuat pilihan ;) Jom senyum....

Hmmm... macam mana hendak mengambilnya secara positif?

Contoh - Terma perkataan 'marah' - Kenalpasti sebab dan puncanya - Fikirkan baik buruk perasaan itu - Cari jalan penyelesaian, bagaimana untuk mengatasi rasa marah. Apa yang pasti, setiap apa yang kita fikirkan, letaklah ALLAH di hadapan. Tanyakan pada diri : ALLAH suka atau murka? Ada sesiapa yang ingin merungkai persoalan ini satu per satu? Muthiah amat alu-alukan. Sharing is caring ;)

Hmmm... apa pula yang dikatakan sebagai mengambilnya dari sisi negatif?

Contoh - Terma perkataan 'meluat' - Ish... Muthiah ni... suka sangat fikir orang meluat pada dia. Hehe...

Jadi... fikir-fikirkan. Renung-renungkan. Muthiah sendiri. Tidak sentiasa positif dalam berfikir. Namun, Muthiah belajar untuk mengambil dari sisi positif sesuatu yang asalnya negatif itu.

Sebagai contoh :

Sakit hati :

Cakap pasal sakit hati, ada dua kategori (kalau sahabat-sahabat tahu penambahan kategorinya, Muthiah alu-alukan. Sharing is caring)...

i) Sakit hati apabila melihat ISLAM diperkotak-katikkan ~ bagus. Bermakna kita peka. Kalau mampu lakukan sesuatu, buatlah. Kalau orang menulis dan mengutuk ISLAM... Kita menulis dan menyebarluas agama ISLAM... meletakkan ISLAM di tempat teratas.

ii) Sakit hati apabila melihat kegembiraan orang lain ~ Tidak elok untuk sukan negara. Jadi, bagaimana? Sakit hati yang tidak kena pada tempatnya adalah sesuatu yang negatif. Lantas, belajarlah untuk mengawal diri apabila berhadapan dengan sesuatu yang menyakitkan hati.

- Dia berjaya... kita cemburu dan kita mencari inisiatif untuk menjatuhkannya. Ini SALAH!

- Atau... dia berjaya. Kita cemburu (perasaan, bukan senang hendak jaga). Namun, kita tidak sampai melakukan sesuatu yang bisa menjahanamkan orang yang kita cemburui. Kita berusaha untuk sama-sama berjaya sepertinya. Kita mendekatkan diri kepada TUHAN agar dikurniakan kebersihan hati.

Dapat? Huhu...

Kuliah hari ini : Sebab-sebab digigit jin.

Muthiah : Contoh di atas tidak ada kaitan antara yang hidup dengan yang mati ;) Senyum...

Sesungguhnya...

Assalammualaikum. Apa khabar, semua. Muthiah. Pagi ini... sedih. Kenapa? Muthiah terbaca kisah seorang suami yang telah kembali ke rahmatullah setelah menghantar isterinya ke tempat kerja. Entah. Muthiah rasa sebak pula. Teringat pula pada suami dan mereka yang Muthiah sayang. Ayuh kita sama-sama berdoa ;)

'Ya ALLAH. Lindungilah... peliharalah... diriku... suamiku... mereka yang aku kasih daripada sesuatu yang memudaratkan.'




Ehe. Pernah dengar lagu ini? ;) Sebenarnya, nasyid ini pertama kali Muthiah dengar setelah belajar di KISAS. Seorang teman mengalunkannya sesudah menunaikan solat sunat hajat (antara waktu maghrib dan isyak).

Dan... tersedu-sedan Muthiah menghayatinya. Iyalah. Sebelum ini, Muthiah langsung tidak menyukai nasyid. Muthiah suka rock kapak dan XPDC (Lebih spesifik, Mael XPDC). Teringat sewaktu berada di tingkatan dua. Antara pukul 8.00 - 12.00 malam, Pilihan Bersama Radio Muzik menjadi pilihan utama. Waktu itu, lagu Teman dendangan Brothers selalu sahaja mendapat permintaan pendengar untuk dikumandangkan. Muthiah? Alih siaran lain. Tidak boleh masuk dengan irama nasyid. Cannot go!!! Hmmm... itu dahulu.

Namun, segalanya berubah sejak Muthiah masuk KISAS. Nasyid pertama yang telah menambat hati Muthiah ialah Kembara. Huhu... sudah beberapa kali Muthiah cari dalam youtube tetapi tidak ketemu.

Positifnya mendengar lagu-lagu begini (Antara method untuk bermuhasabah. Boleh?)

Rasa diri banyak dosa...
Rasa dosa tidak diampun TUHAN...
Rasa terlalu jahat...
Rasa tidak layak masuk ke dalam syurga TUHAN...

Iyalah. Muthiah bermula dari zero. Masuk KISAS, barulah Muthiah tahu yang BANYAK sebenarnya (tentang agama) yang Muthiah tidak ketahui. Waktu itu... macam-macam perasaan hadir. Terkenang kisah-kisah lalu. Teringatkan kawan-kawan yang akrab dengan Muthiah dan sama-sama pula tidak tahu. Sedih. Sedih kerana hanya Muthiah yang mendapat peluang ini tetapi teman-teman? Masih terkapai-kapai...

Moga sahabat-sahabat dapat menghayati lirik nasyid ini.

Hmmm... Susah hendak menangis? Dosa berbaldi-baldi tetapi tetap payah untuk mengeluarkan air mata. .. Jom kongsi tips ;)

Kuliah hari ini : Remaja oh remaja...

Akbar hari ini : NIK AZIZ terima Kit Siang jadi TPM - DAP, PAS boleh tegur.

Muthiah : Karektor orang macam-macam. Karektor kita?

Kenapa apakah? (ii)


-sambungan semalam-


Tanyakan pada diri ~ ADAKAH?


ADAKAH kita sudah menunaikan hak ALLAH sebaiknya?

ADAKAH kita (bagi isteri) sudah menunaikan hak suami kita?

ADAKAH kita (bagi anak) telah menunaikan hak ibu bapa kita?

ADAKAH kita (bagi suami) telah menunaikan hak ibu ayah, isteri dan anak-anak kita?

ADAKAH, APAKAH…

Bukan apa… dikhuatiri… ketidaktenangan itu berpunca daripada pengabaian diri kita terhadap mereka yang sepatutnya.

Hak suami… hak isteri… hak ibu bapa… hak mereka yang berada di sekeliling kita.


** Ya ALLAH. Pelihara aku daripada melakukan pengabaian ini.

Takut... khuatir andai aku terlupa dan terlepas pandang.**


Lazimkan bertanya kepada diri sendiri (Muthiah biasa buat tetapi acap kali juga terlupa. Hehe... Kalau sudah terlupa... Sesudah 'sakit', baru sedar pengabaian ini. Hmmm... Alhamdulillah... Setidak-tidaknya, ALLAH masih memilih untuk mengingat dan menyedarkan :


Mampukah aku bahagia dan berjaya andai aku ~


  • Tidak menunaikan amanah TUHAN-ku?
  • Mementingkan diriku tanpa melihat mereka yang berada dekat denganku?


~ Fikir dan renung…

Apapun keadaannya, ALLAH tidak akan melakukan sesuatu yang sia-sia. Muthiah sendiri. Pernah terjatuh dan tersungkur. Memang ‘sakit’ namun di sebalik kesakitan itu, ada sesuatu yang lebih bermakna sebenarnya.


~ ALLAH mahu mengingatkan Muthiah yang sedang lalai dan alpa.

~ ALLAH mahu Muthiah kembali mengharapkan DIA.

~ ALLAH tidak mahu Muthiah jauh dan menjauh daripada-NYA.


Iyalah. Kadang-kadang, kita tidak ingat pada TUHAN kala senang. Oleh sebab ALLAH sayang dan cinta kita, ALLAH berikan ujian itu. Beruntunglah andai kita MEMILIH untuk KEMBALI kepada-NYA.


Satu lagi… kesulitan itu… jeng jeng jeng ;)


Akhbar hari ini : Kes POLIS tembak mati - MENINGKAT.


Selamat merenung diri, Muthiah.... juga sahabat-sahabat yang Muthiah kasihi.


Muthiah : Takut tersungkur tidak sempat kembali.

Labels: 0 comments | | edit post

Kenapa apakah? (i)


Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah. Alhamdulillah. Sedang bersemangat untuk ~ Membaiki kualiti hidup; Kemaskini mutabaah ibadah; Mengkoreksi diri, bla bla bla; Belajar menjadi lebih positif, berlapang dada, bisa memaafkan dan tidak kelam-kabut. Huhu…


Iyalah. Sebagai manusia yang lemah... kadang-kadang alpa. Kadang-kadang lalai bahkan acap kali terlupa. Apabila dijentik oleh TUHAN, baru hendak tergadah. Mujur ALLAH masih mahu mengingatkan, Alhamdulillah.


Ehe... Hari ini... hendak berbicara tentang apa, ya? Jeng jeng jeng...


Satu persoalan :


Pernahkah kita berasa... 'SULITNYA HIDUP...'?


Buat itu tidak kena... buat ini tidak kena.

Ada duit... tidak tahu hilang ke mana. Tahu-tahu, kopak.

Rasa tidak tenang… tidak tenteram… stres… tension…

Ada sahaja masalah yang menjengah. Di pejabat… rumah… semua ada.


….


Tanyakan pada diri ~ KENAPAKAH?


Contohnya, kita tidak dapat fokus dalam kerja. KENAPAKAH tidak dapat fokus? Cuba tengok satu per satu puncanya; Adakah disebabkan oleh diri kita, orang lain atau faktor persekitaran? Dengan kata lain, rungkaikan satu-satu…


** KENAPA di sini bukanlah satu keluhan (Contoh : Kenapa ALLAH mengujiku? Tidak!!!)… atau pertikaian terhadap dugaan yang datang menimpa. **


Tanyakan pada diri ~ APAKAH?


APAKAH yang telah kita lakukan untuk menyelesaikan masalah atau kerumitan yang dihadapi? Sudahkah kita mencari jalan/ alternatif terbaik untuknya? Atau… kita lebih senang termenung dan berfikir tentang masalah itu tanpa berbuat apa-apa?


bersambung...


Kuliah hari ini : Hukum beli emas secara ansuran atau trade in.


Akhbar hari ini : Isteri PM layak terima duit...


Muthiah : Ujian sebagai tanda CINTA ALLAH kepada hamba-hamba pilihan-NYA.

Labels: 0 comments | | edit post

Ultraman Cosmo ~

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Huhu... Hari ini, terlewat pula kemaskini blog. Bukan apa, dua tiga hari ini... Muthiah agak sibuk pula. Kelam-kabut pun ada. Haha...

Macam mana dengan hujung minggu sahabat-sahabat sekalian? Ehe...

Buat apa? - Bermanfaat atau sebaliknya?
Ke mana? - Dengan siapa?
Bersuka-ria atau bermuram durja? - Apa yang telah membungakan hati kita?

Sebenarnya, ada satu pengiktibaran yang hendak Muthiah kongsikan dengan semua tetapi... ada beberapa perkara yang perlu Muthiah setelkan dahulu. Jadi, hari ini... Muthiah berkongsi tentang satu lagi ayat kegemaran Muthiah.

Dari surah Al-Maidah ayat 118 yang bermaksud, "Jika ENGKAU menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba-MU, dan jika ENGKAU mengampuni mereka, maka sesungguhnya ENGKAU-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."

Kenapa Muthiah sukakan ayat ini? Sebab... entahlah tetapi memang Muthiah suka membacanya berulang kali.

Mungkin dek rasa diri terlalu banyak berbuat dosa... Dosa nyata dan tersembunyi. Dalam sedar atau tidak. Terlalu banyak. Iyalah. Sebagai manusia biasa, terlalu banyak khilaf yang Muthiah lakukan.

Ayuh... ayuh kita berkoreksi diri. Takut... dosa yang kita buat sudah sampai menenggelamkan kita. Kita yang hampir lemas masih tidak sedar-sedar lagi. Tidak ada siapa pula yang mahu menghulurkan tangan, menyelamatkan.

OK. Selamat bermuhasabah ;)

Kuliah hari ini : Gelaran haji dan hajah.


Muthiah : Mode ~ Holiday for 10 days. Ehe...
Labels: 0 comments | | edit post

RAYYAN FANTASI ;)

Assalammualaikum. Ehe... Apa khabar? Muthiah... Alhamdulillah. Sihat. Sedang menghitung hari hendak menghadiri majlis perkahwinan di Kota Bharu (4 Disember) dan Shah Alam (5 Disember), insya-ALLAH.

Hmmm... Siapa minat Ramlee Awang Murshid alias RAM? Hihi... Muthiah adalah salah seorang peminat beliau. Kiranya, kalau di Malaysia... Muthiah memang kagum dengan buku-buku penulisan beliau. Kenapa? Kerana ... karya RAM bukan setakat karya... bukan juga untuk hiburan semata-mata tetapi punya unsur kebaikan/ dakwah di dalamnya.

Siapa-siapa yang hendak berjumpa dengan RAM secara live... ehe... sudi-sudikan...

Okey. Selamat berhujung minggu. Selamat meluangkan masa bersama keluarga. Selamat menjalani kehidupan seharian sebaiknya. Apapun... letaklah ALLAH di atas/ hadapan sebelum memutuskan sesuatu. Tepuk dada, tanya iman.

Kuliah hari ini : Isu sebat ~ Jawapan kepada Tun Dr. Mahathir.

Akhbar hari ini : RAM - 10 tahun buku tidak laku..
Muthiah : Meminati karya RAM.
Labels: 0 comments | | edit post

Mutabaah solat...


Assalammualaikum. Huhu... mengantuknya tetapi masih ada amanah yang perlu dilaksanakan. Ya. siti-muthiah.blogspot adalah satu amanah bagi diri Muthiah. Kenapa? Kerana Muthiah telah meletakkan dalam diri ~ Sampaikan walau seayat.

Muthiah mungkin tidak mampu menjadi seperti orang lain yang berbicara lantang di atas pentas dakwah... Muthiah juga mungkin tidak berpeluang (buat masa ini) untuk mempunyai mutarabbi sendiri. Menjadi murabbi dalam satu halakah ilmu. Punya adik-adik @ anak usrah yang bisa menjadi insan terpercaya bagi diri Muthiah. Namun, Muthiah tetap mahu menjadi salah seorang yang berterusan alias istiqomah dalam menyebarluas kebaikan, insya-ALLAH. Moga-moga, pengakhiran hidup Muthiah adalah di dalam pengakhiran yang baik. Mohon dijauhkan dari azab api neraka.

Hmmm... hari ini, Muthiah ingin berbicara tentang solat. Huhu... peringatan untuk diri Muthiah yang selalu lalai dan alpa juga:

1- Bagaimana dengan solat kita sehari-hari? Penuh??? (Melainkan ada uzur syarie).

2- Khusyukkah kita dengan solat yang kita kerjakan? Atau, duk fikir dengan kerja printing yang tidak siap-siap lagi?

3- Fahamkah kita dengan apa yang kita ungkapkan dalam solat kita?

4- Berusahakah kita untuk solat di awal waktu? Atau, masih punya ruang untuk melengah-lengahkan solat. Huhu... 'Hendak habiskan animasi Detektif Conan dahulu.' Hmmm... kalau tiba-tiba ajal menjengah?

5- Hmmm... di rumah... kita solat berseorangkah atau secara berjemaah? Sejauh mana kita mencari inisiatif untuk solat secara berjemaah dengan : Kawan-kawan kita? Adik-beradik kita? Suami/ isteri kita? Ibu/ ayah kita?

6- Sejauh mana kita menunaikan solat-solat sunat?

Hehe... Sudah jawab soalan mudah tetapi sukar ini? Jadi, apa lagi. Jom, berubah!!! Menjadi lebih baik daripada semalam.


Akhbar hari ini : Zaid tubuh parti baru - Januari.

Muthiah : Iman di atas dan di bawah ;)
Labels: 0 comments | | edit post

Bantulah agama ALLAH... (Muhammad, 47:7)


Assalammualaikum. Mulakan harimu dengan senyuman namun awas!!! Senyumlah hanya pada mereka yang layak menerima senyuman itu. Ada yang tidak layakkah? Hmmm... entahlah. Apa yang pasti. Berhati-hatilah... jangan sampai senyum manis kita itu kelak mendatangkan fitnah kepada diri kita sendiri.

Ehe... Isu apa, ya yang boleh Muthiah coretkan hari ini? Ada cadangan? Apa??? Mahu bergosip? Tentang apa? Hmmm... NO! NO! NO! Muthiah takut makan daging manusia. Kalau lupa... termakan juga. Huhuhu... Nauzubillah. Ya ALLAH, peliharalah... lindungi aku dan mereka yang aku kasih daripada azab api neraka-MU.


Hmmm... berbalik kepada entri siti-muthiah.blogspot, apakah yang boleh kita bicarakan hari ini?
Hmmm...
Hmmm... Ain ~ Help...

Hmmm... satu perkongsian... waktu Muthiah muda-muda dahulu. Sekarang, sudah tuakah? Ya. Usiaku bertambah sudah. Sampai masa, ALLAH memanggilku kembali. Bersediakah, aku? Huhu... merapu pula tetapi BETUL!!! Satu masa, setiap kita akan kembali kepada-NYA.

Waktu Muthiah muda-muda dahulu... semasa di kampus... Muthiah suka dan selalu membaca, menghafal, dan mengulang berkali-kali ayat ini. Bisa membuatkan Muthiah tenang dan lapang. Ayuh... Jom baca ~

"Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya DIA akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu," surah Muhammad ayat 7.

Fikir dan renung-renungkan...

Kuliah hari ini : Sakit dan penyakit ~ Berdoalah...

Akhbar hari ini : Doa Obama peluk Islam.

Muthiah : Moga ALLAH teguhkan Muthiah di atas jalan yang benar... dengan sebenar-benar benar ..

Isteri Nabi SAW yang ke-6...


Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah. Alhamdulillah. Sihat. Sekejap di atas... sekejap di bawah. Mujur ALLAH beri kekuatan untuk naik kembali :)

Jom... kita sambung tentang profil isteri Nabi SAW.

Soalan : Siapakan isteri Rasulullah yang keenam?

Jawapan : _____________

Bapanya bernama Al-Mughirah (Abu Umayyah) manakala ibundanya diberi nama Atikah binti Amir. Wanita ini dilahirkan pada tahun ke-30 sebelum Hijrah, di Mekah.

Suaminya yang terdahulu bernama Abdullah bin Abdul Asad (Abu Salamah) dan beliau bernikah dengan Rasulullah pada bulan Syawal, tahun ke-4 Hijrah, di Madinah. Pernikahan tersebut adalah bertujuan memecahkan tembok permusuhan dengan Kabilah Bani Makhzun terhadap Islam dan memadamkan api kebencian mereka.

Keistimewaannya, beliau merupakan wanita pertama yang berhijrah ke Habsyah. Selain itu, beliau juga memiliki rupa paras yang cantik serta pintar. Bukan itu sahaja bahkan isteri ke-6 Nabi SAW ini turut menjadi ahli mesyuarat dalam peristiwa Hudaibiyah.

Wanita berbangsa Arab ini kembali ke rahmatullah pada bulan Syawal tahun ke-60 Hijrah, di Madinah.

Ehe... Siapakah gerangannya? _______________

Kuliah hari ini : Cerai yang semakin berleluasa ... Perlu Kementerian Pembangunan LELAKI?

Akhbar hari ini : Tembak lagi. Awas! Berhati-hati, wahai jiwa yang...

Muthiah : Berusaha untuk menjadi yang terbaik walaupun tahu sukar untuk merealisasikannya.

Labels: 4 comments | | edit post

Pecah Amanah


Assalammualaikum. Apa khabar? Hari ini, sudah berhari raya di mana? Ehe. Jadikanlah amalan ziarah-menziarahi sebagai satu rutin dalam hidup kita. Bukan sokmo, bukan? Lagipun, kalau bukan kita yang hendak memelihara dan merapatkan perhubungan, siapa lagi?

Pernah dengar perkataanPECAH AMANAH? ~ Hmmm.... mengikut Kamus Dewan, pecah amanah membawa maksud perbuatan mensia-siakan amanah (kepercayaan) orang.

Nabi SAW juga ada bersabda yang bermaksud, "Ada 4 perkara, jika dilakukan membawa kepada kemunafikan yakni; Apabila diberi amanah (kepercayaan), dia khianat. Apabila berbicara, dia berdusta. Apabila berjanji, dia mungkiri. Apabila berbalah, dia melampaui batas."

Ayuh, kita susuri isu pecah amanah yang berlaku dalam negara kita.

SHAH ALAM, 26 Okt. 2010 - Bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), X yang didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah memfailkan permohonan untuk menggantung semua prosiding sehingga perbicaraan kes bekas Menteri Pengangkutan, Tun Ling Liong Sik, selesai.

KUALA LUMPUR, 25 Okt 2010 — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka sebanyak 20 kertas siasatan dan penyiasatan serta lima kertas pemeriksaan dan perundingan, hasil daripada Laporan Ketua Audit Negara 2008 yang dikeluarkan tahun lepas.

KUALA LUMPUR, 18 Okt 2010 - Perbicaraan kes pecah amanah RM888,000 oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, X dan bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Pembangunan Pelancongan Nasional (Pempena) Sdn. Bhd., Y akan mula dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini pada 16 Mei tahun depan.

BUTTERWORTH, 8 Okt 2010 - Seorang bekas pengurus Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pecah amanah wang Skim Pinjaman Bazar Ramadan berjumlah RM8,865.45 dua tahun lalu.

KUALA LUMPUR, 27 Sept. 2010 - Dua pengarah syarikat termasuk seorang warga Singapura hari ini diperintah membela diri atas tuduhan terbabit dalam penipuan dan pecah amanah membabitkan pembelian saham bernilai lebih RM26 juta, tiga tahun lalu.

***(Informasi adalah tidak menyeluruh. Tidak mengikuti perjalanan kes. Bersalah atau tidak, boleh semak balik. Muthiah kongsikan sedikit sahaja. Namun ingat! Apapun keadaannya, usah menuding jari dahulu sebelum benar-benar diputuskan bersalah).***

Bayangkan... Informasi di atas hanyalah dalam tempoh satu bulan. Jadi, agak-agaklah....sudah berapa banyak kes pecah amanah (besar dan kecil) yang berlaku dalam negara? Tengok akhbar, buat carian per bulan. Mak ai. Menggeleng dibuatnya.

Ini, yang kita tahu... yang dilaporkan di dada-dada akhbar. Bagaimana pula halnya dengan kes pecah amanah yang tidak dilaporkan? Selamatkah Malaysia dan diri sekiranya kita sentiasa dikelilingi oleh mereka yang TIDAK TAKUTKAN TUHAN ini? Tepuk dada, tanya iman.

Jadi, bagaimana?

Ehe. Lahirkan individu yang takutkan ALLAH. Macam mudah. Mudahkah? Dengan lain perkataan, mudahkah hendak menyampaikan/ berdakwah? Insya-ALLAH, perkara sebegini (pecah amanah) tidak akan berlaku tetapi bagaimana hendak melahirkan? Huhuhu....

Kembali kepada peranan manusia di atas muka bumi ini ~ Mengabdikan diri kepada ALLAH, sebagai khalifah yang mengajak manusia kepada yang maaruf dan mencegah mereka melakukan kemungkaran serta memakmurkan alam.

Kuliah hari ini : Hukum ASB dan ASN.

Akhbar hari ini : Parlimen bocor lagi. Hmmmm... macam rumah Muthiah di kampung tetapi kos rumah Muthiah tidaklah tinggi sangat. Maklumlah... Pembikinnya bukan pro ;)

Muthiah : Amanah terhadap diri sendiri .... Sayang pada yang sayang. Yang tidak sayang, tidak mahu ambil peduli. Boleh, begitu?

Kenapa isteri selalu lambat ...?


Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah... Ehe... tengah tepu tahap cipan. Adakah tepu sebegini? Entahlah. Tepuk dada, cari dari Kamus Dewan. Adoi.

Apa kita, kita sama-sama merungkai.... Namun sebelum itu, Muthiah ingin bertanya ~ Kalau hendak ke mana-mana, siapa yang keluar akhir sekali dari rumah? Macam isteri atau mak... anak pun pernah juga. Iyalah. Touch up-nya berjam-jam. Bagi nampak cantik. Akhlak dan tingkah laku, jangan lupa touch up sekali, ya ;) Ayuh jawab...

Suami/ isteri hendak keluar ke majlis kenduri.

1- Siapakah yang menunggu di dalam kereta (sementara pasangannya masih berada di dalam rumah)?

(a) Suami

(b) Isteri

(c) Anak-anak

(d) Adik/ abang/ kakak

2- Agaknya, kenapa lambat benar hendak bersiap? (Sila tandakan alasan yang kena dengan diri kita).

(a) Touch up - Macam tidak tahu pula. Hendak pakai toner lagi (Huhu...Muthiah tidak pakai). Pakai pelembab muka (Pun tidak pakai. Adoi). Bedak... lipstik... alamak. Apa lagi, ya? Huhu... Muthiah biasa pakai bedak dan kadang-kadang (kalau teringat) pakai lipstik. Sila tambah sendiri.

(b) Tengok suiz dalam rumah- Iyalah. Suiz lampu, kipas, TV... sudah tutupkah belum? Modem internet pun... kena pastikan sudah di-off-kan. Takut kilat. Siapa susah? Yang keluar duit juga yang susah. Maklumlah... bil tinggi... modem rosak, kena beli baru.

(c) Simpan tuala/ kain yang siap dipakai - Tidak akan hendak biarkan tuala dan baju (yang tidak jadi pakai) bersepah-sepah di atas katil atau lantai? Semak mata melihatnya. Adoi.. adoi...

(d) Cari kunci yang berkaitan - Kunci rumah... atau kunci kereta, mungkin? Tidak pun, kunci peti besi (Kalau ada).

(e) Kemas katil - Buruk mata memandang. Cadar tidak tegang. Bantal bersepah-sepah. Apa hendak jadi, jadilah. Kena kemas katil dan bilik dahulu. Bebel pun, bebellah. Aku redha. Hahaha...

(f) Jawab telefon - Ada gosip hangat. Anak polan bin polan, kahwin dengan jutawan. Haru. Sempat lagi berborak-borak. Orang yang sedang menunggu sudah berasap kepalanya.

(g) Habiskan cerita Detektif Conan dahulu. Case close! - Aduh. Kalau tidak sempat tengok pukul 2.30 petang. Pukul 11 pagi dan 7.30 malam pun ada.

(h) Tengah merajuk, tunggu dipujuk - Beruntunglah mereka yang sentiasa dipujuk namun awas! Usah jadikan amalan. Lama-kelamaan, takut tidak ada orang yang hendak ambil peduli lagi.

(i) Basuh cawan sekejap - Takut tikus masuk dapur. Jilat-jilat cawan yang tidak berbasuh. eiii....

(j) Siapkan membasuh kain - Mesin manual. Lagi sekali, siaplah. Balik nanti, boleh jemur terus.

(k) Tutup tingkap sekejap - Kalau tidak, balik malam penuhlah nyamuk berpesta di dalam rumah.

(l) Saja-saja. Mahu biar orang ternanti tertunggu - Hmmm... Awas! Jika kita tidak peka terhadap hati dan perasaan orang lain. Percayalah... akan ada 1001 manusia yang boleh jadi tidak akan prihatin terhadap hati dan perasaan kita.

(m) _____ Sila isi tempat kosong.

Hmmm... coretan santai-santai. Moga sahabat-sahabat kan dapat mengambil manfaat daripadanya (bagi mereka yang mahu merenung dan berfikir)...

Kuliah hari ini : Sifat-sifat ilmu - Ustaz Kazim Elias.
Labels: 0 comments | | edit post

Sifat ____ bagi Nabi (i)


Assalammualaikum. Apa khabar, ya? Muthiah... Ehe... Agak sibuk hendak mengejar target. Doakan urusan ini dipermudahkan TUHAN. Usaha dan usaha dan usaha.

Jom kenal Nabi kita.

Sifat WAJIB bagi Nabi ada empat :

1- Siddiq - Benar : Benar dalam pertuturan dan perbuatannya.

2- Amanah - Dipercaya : Menyampaikan segala sesuatu yang diperintahkan kepadanya (tidak menyembunyikan). Tidak mengerjakan sesuatu yang dilarang TUHAN.

3- Tabligh - Menyampaikan : Sentiasa menyampaikan wahyu walau berhadapan dengan ancaman.

4- Fathonah - Bijaksana : Nabi SAW adalah seorang yang buta huruf namun, ALLAH kurniakan baginda dengan kebijaksanaan yang luar biasa. Rasulullah yang tidak boleh membaca pastinya tidak akan mampu mengarang al-Quran.

Kuliah hari ini : Cara pujuk suami/ isteri.

Muthiah : Apa khabar Hajar, Sarah dan Ibrahim di sana?
Labels: 2 comments | | edit post

Wanita akhir zaman

Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah... Ehe... Sentiasa bersemangat waja walaupun kalah di Galas. Aik! Bila masa Muthiah masuk bertanding? Hmmmm....

Jom nasyid...

Sekejap!!! Bukan setakat bernasyid tetapi ambillah pengajaran daripada seni katanya.


Oh mengapa semua ini terjadi
Kehancuran wanita akhir zaman
Martabatnya kini dipandang hina
Maruah tiada terbela

Anak gadis menjadi bahan mainan
Hamba nafsu serakah insan durjana
Apakan daya dirimu wanita
Akhirnya batinmu terseksa

Oh mengapa semua ini terjadi
Kehancuran wanita akhir zaman
Martabatnya kini dipandang hina
Maruah tiada terbela

Pilunya rasa di dalam jiwa
Hidupmu diselubungi duka
Jalan yang disangka membawa bahagia
Derita menanti di sana

Sedarlah, oh wanita
Dirimu amatlah berharga
Pertahankan maruah
Tinggalkan lembah hina

Kembalilah pada ALLAH
Carilah keredhaan-NYA
Masih ada kesempatan masa
Sebelum kau menemui-NYA

Justeru, wahai wanita. Sayangi dirimu.. Peliharalah maruahmu. Pertahankan martabatmu. Sesungguhnya, engkau sangat istimewa. Chewah...



Muthiah : Bersyukur dilahirkan sebagai wanita.

Mahalnya...

Assalammualaikum. Apa khabar? Mulakan harimu dengan senyuman. Berlapang dadalah dengan sesuatu yang menyakitkan. Boleh?? Muthiah... hmmm... entahlah. Bisa mengajak kepada kebaikan namun kadang-kadang, diri sendiri tidak cukup kuat untuk melupakan segala sesuatu yang telah menghiris perasaan. Apapun, insya-ALLAH. Muthiah akan terus berusaha menjadi lebih baik dari hari semalam.

Firman ALLAH dalam surah As-Saff ayat 2 dan 3 yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi ALLAH bilamana kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan."

Jom jawab soalan, kemudian renungkan bersama (Sila bulatkan jawapan anda) :

1- Pernah makan di luar/ kedai? (Ya/ Tidak)

2- Tahap kebersihan kedai yang dipilih? (A/ B/ C/ D) - A adalah paling baik dan D tercorot.

3- Harga makanan? (Murah/ Sederhana/ Berpatutan/ Mahal/ Mahal macam bedil).

4- Kepuasan makanan yang disediakan? (Sedap/ Biasa sahaja tetapi masih berbaloi/ Biasa-biasa tetapi masih boleh dimakan licin/ Tidak sedap langsung).

Hmmm... Muthiah... kalau rasa tidak kena (harga makanan terlalu mahal contohnya)... Muthiah tidak complaint banyak. Iyalah. Mungkin rezeki Muthiah. Namun, itulah kali pertama dan terakhir Muthiah menjejakkan kaki ke kedai makan itu. Sebagai pengguna, kita punya hak dan kitalah yang membuat pilihan.

Baiklah. Di sini, Muthiah kongsi tempat makan yang pernah Muthiah kunjungi dan Muthiah boleh suggest kepada kawan-kawan semua. Harganya berpatutan dan makanan yang dijual, boleh tahan (Kalau Muthiah ~ menepati citarasa).

Lokasi : Batu 6, Kuala Terengganu. Bersebelahan dengan stesen minyak. Ada jual nasi lemak/ dagang/ kerabu/ minyak dan lain-lain.

Lokasi : Berdekatan dengan bandar Kemaman. Betul-betul di hadapan stesen minyak Shell rasanya. Tandasnya bersih.

Lokasi : Sebelah 7-Eleven, Kelana Jaya - Dekat dengan SRK Kelana Jaya.

Baiklah. Selamat menjamu selera. Jangan lupa hak kita sebagai pembeli dan pengguna ;)


Muthiah : Sayang pada yang sayang...

Labels: 0 comments | | edit post

Parkir lagi... Alahai, Muthiah...

Assalammualaikum. Apa khabar? Tiba-tiba Muthiah rasa hendak menyanyi dan menari pula. Mahu turut serta? Namun sebelum itu, pastikan tidak ada siapa yang melihat. Maluuuu...


Hehe... baru-baru ini, Muthiah ada urusan di Taiping. Suami pula meminta Muthiah membereskannya sendiri. Katanya, buat apa ambil lesen mahal-mahal kalau tidak mahu memandu? Oleh sebab Muthiah hendak jadi isteri yang jurus (chewah), Muthiah pun patuh dengan kata-kata suami.

Di lokasi pertama...

Muthiah tercari-cari tempat parkir yang paling mudah. Dengan kata lain, senang hendak masuk parkir dan senang juga hendak keluar. Kalau boleh, biar tempat parkir yang keluasannya boleh muat 20 buah kereta itu, buat letak kereta Muthiah sahaja. Alhamdulillah. Ada. Haaaa... kena bayar parkir! Mesti bayar. Dalam hati, Muthiah sudah berniat untuk meletakkan sepuluh sen (bersamaan sepuluh minit) di dalam mesin tersebut (tidak tahu hendak panggil apa). Hmmm... hanya niat. Keluar dari kereta, Muthiah terus ke tempat yang hendak Muthiah tujui. Siap urusan, Muthiah kembali ke tempat letak kereta. Alamak! Terlupa bayar parkir!!!

Lokasi kedua...

Alahai... macam mana boleh terlupa? Muthiah pun berlalu ke tempat yang kedua. Kali ini, Muthiah tekad. Muthiah akan bayar parkir! Duit sudah Muthiah keluarkan siap-siap. Dua puluh sen. Sebagai ganti parkir tadi yang tidak dibayar. Sampai sahaja ke destinasi, Muthiah pun berjalan ke arah mesin (tempat bayar parkir). Apa lagi, duit siling tersebut Muthiah masukkan. Aik. Kenapa jarum tidak jalan? Muthiah berfikir sendiri. Rosak agaknya. Lantas, Muthiah pun berlalu dari situ.

Sekembalinya ke rumah, Muthiah memberitahu suami. Suami tergelak seraya berkata, "Kalau sehari tidak buat lawak, tidak boleh?"

Kemudian, suami menambah, "Mula-mula masuk duit. Lepas itu kena pulas..."

Muthiah menceber. "Oh, begitu ke?" Kata Muthiah bersahaja.

Kesimpulannya???


Muthiah : Sukar untuk melupakan...
Labels: 0 comments | | edit post