Mencari Naurah (Bab 4)

“BAS Sani Ekspres ke Kota Bharu jam 9.00 malam telah memasuki kawasan platform. Sila naik bas nombor sebelas dengan nombor pendaftaran BCL****. Pastikan anda mencari bas kerana bas sama sekali tidak akan mencari anda ...” Pengumuman dibuat, menandakan sudah tiba masanya aku berangkat pulang ke kampung halaman.

Hiruk-pikuk kota metropolitan akan aku tinggalkan buat sementara waktu. Tiada lagi kesesakan lalu lintas. Aku juga tidak perlu berpanas-panasan di dalam bas tatkala menuju ke fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat yang terletak nun jauh di sana. Tidak dinafikan, kedudukan fakultiku yang dibangunkan di atas bukit menyediakan pemandangan yang indah, namun untuk sampai ke sana, sakit kepala lutut dibuatnya.


Tiga puluh minit berjalan kaki bukanlah satu tempoh yang singkat. Jika kelasku bermula jam 8.00 pagi, bermakna aku perlu keluar kolej selewat-lewatnya jam 7.25 pagi. Hendak berhias lagi. Hehehe... mana tahu terserempak dengan jejaka idaman di pertengahan jalan. Sebab itu, sewajarnya aku sentiasa berpenampilan menarik. Silap hari bulan, si jantung hati berjalan di hadapan mata. Sekiranya tidak bersedia, siapa yang rugi? Tidak lain... aku dan keluargaku.

‘Natasha, sesungguhnya setiap amal itu bermula dengan niat!’ Bentak hatiku. Semuanya akan kembali kepada diriku sendiri. Sekiranya aku berniat untuk menarik perhatian seseorang, itulah yang akan aku perolehi. Boleh jadi niat yang tidak baik ini kelak akan membinasakan diriku.

Astaghfirullah, sering kali aku dibuai mimpi yang melalaikan. Acap kali juga aku teralpa daripada amaran TUHAN. Bukankah yang halal itu jelas dan yang haram itu nyata? Aku tahu bahawa api neraka itu panas tetapi tidak pernah kujauhi.

‘Ya, ALLAH. Ampunilah dosa hamba-MU yang lemah ini,’ aku berbisik sendiri.

Siap menyimpan beg di tempat meletak barang, aku mula mencari tempat duduk. A18! Alhamdulillah, kali ini aku mendapat single seat. Ditambah dengan keadaan bas yang agak baru membuatkan aku berasa selesa dan lapang. Jika tidak, sukar benar mataku mahu lena. Macam-macam yang akan aku fikirkan. Brek tidak makan... tayar pecah... semua ada di dalam kotak mindaku sekiranya bas yang aku naiki tidak menepati cita rasaku.


~bersambung~

4 Responses
  1. Dafinullah Says:

    err.. ni mencari naurah siri drama ke?? sy ada baca sebelum ni novel die.. teruskan penulisan...n_n



  2. :) Ibnu Darwin, afwan. Lewat sedar komen ini...

    Oh, Mencari Naurah bukanlah siri drama tetapi novel Islamik di bawah syarikat Alaf 21.

    Moga kan mendapat manfaat daripadanya ;)


  3. Jazakillah, Naurah. Moga kan mendapat manfaat daripadanya ;)