Mencari Naurah (Bab 3 - samb.)
‘Terima kasih, ya ALLAH,’ kataku di dalam hati. Dengan izin-MU, dapat aku hindari fitnah ini... Fitnah yang banyak menimbulkan perpecahan di kalangan umat manusia. Fitnah yang bisa mengganggu-gugat keamanan sejagat. Sama sekali tidak menguntungkan mana-mana pihak. Tidak sama sekali! Fitnah yang membangkitkan perasaan benci dalam diri. Benci dan marah kepada si pemfitnah serta mereka yang difitnah.
Tanpa sedar, banyak kaki yang menuruti langkah Abdullah bin Ubay. Tanpa rasa takut kepada ALLAH yang amat teliti penghitungan dan perkiraan-NYA, Aisyah dan Sofwan dijadikan mangsa. Mangsa fitnah yang jelas boleh membinasakan.
Ah!!! Begitu besar kesan fitnah ke atas manusia dan aku pula sedang menuju kepadanya.
Beruntunglah Sayidatina Aisyah R.A. kerana dibersihkan namanya melalui firman ALLAH yang berbunyi, ‘Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagimu bahkan ia adalah baik buatmu. Tiap-tiap orang daripada mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya. Dan barang siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang besar dalam penyebaran berita bohong itu, baginya azab yang besar...’
Sedangkan isteri kesayangan Rasulullah menerima tuduhan serong sebegini, inikan pula aku manusia biasa. Insan lemah yang masih memerlukan tarbiah untuk menyucikan hati dan jiwa. Aku begitu naif tentang kehidupan yang begitu banyak pancarobanya. Aku begitu kerdil dan hina di hadapan TUHAN. Masih banyak yang perlu aku pelajari untuk membersihkan hati yang semakin kotor sehari demi sehari.
Moga-moga ALLAH akan sentiasa memberi ruang dan peluang kepadaku untuk kembali mengharapkan keampunan-NYA di atas segala kekhilafanku. Andai kata puteri kesayangan Sayidina Abu Bakar itu disucikan namanya oleh ALLAH melalui wahyu-NYA, aku berharap agar ALLAH memeliharaku daripada fitnah yang boleh memusnahkanku...
“Assalammualaikum dan selamat malam.”
Lamunanku terhenti. Suara itu telah membuatkan aku tersentak sendiri.
“Waalaikumussalam... malam...” bergema dewan makan dengan suara para pelajar.
“Apa khabar semua? Segalanya ditanggung beres?”
Diam sejenak...
“Bersemangatlah sedikit,” katanya lagi.
“Seronok...” jawab pelajar-pelajar junior.
“Baiklah... cukup untuk hari ini. Pagi esok, abang akan umumkan pemenang kumpulan terbaik. Malam ini, balik bilik dan terus tidur. Bagi pelajar yang beragama Islam, jam 4.30 pagi esok ada qiamullail di surau Umar Al-Khattab. Pastikan datang tepat pada waktunya. Kita berkumpul balik dalam dewan ini jam 9.00 pagi, insya-ALLAH,” Asyraf menambah. Sedikit tegas tetapi tetap bersahaja.
“Baik...” jawab satu suara.
“Okey...” sayup-sayup jawapan sebegini kedengaran.
“Insya-ALLAH,” laung Anuar dan diikuti dengan laungan yang sama oleh pelajar-pelajar yang beragama Islam.
“First college...”
“Power!”
“First college...”
“Power!”
“Baik, kita bersurai di sini. Assalammualaikum dan selamat malam,” Asyraf menyudahi kata-katanya.
Aku tersenyum memandang wajahnya yang tenang. Kemudian, aku menoleh ke arah Kak Rose yang begitu ralit memerhatikan Asyraf. Hmm...
Tiba-tiba, wajah ibu berlegar-legar di dalam kotak pemikiranku. Tidak sabar rasanya untuk menjamah air tangan ibu. Malam esok aku akan balik kampung setelah berminggu-minggu berkampung di kampus Universiti Malaya ini!!!
Alhamdulillah, selesai sudah semuanya. ‘Balik kampung... ooo balik kampung,’ bait lagu Balik Kampung dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad kunyanyikan perlahan-lahan sambil tersenyum manis. Maniskah senyumanku? Entahlah...