Mencari Naurah (Bab 3 - samb. )


“Kak Natasha, saya gelabahlah,” seorang junior menegurku.

“Kenapa, Marjan?” aku menyoal lembut. Matanya yang sedia sepet itu kelihatan sedikit berair. Terlalu takut agaknya. Tak pun, dia tidak cukup bersedia dengan tugasan yang telah diamanahkan kepadanya.

“Abang Anuar minta saya jadi pengerusi majlis malam ini,” katanya lagi.

“Saat-saat akhir?” dahiku berkerut.

“Tidak, kak. Dia sudah maklumkan pada saya dua hari sudah, tetapi saya semacam tetap tidak bersedia. Huhu... saya baru sahaja dipanggil Abang Anuar.” Marjan menjelaskan. Terdapat getaran pada butir bicaranya.

“Jangan risau, sayang. Selawat banyak-banyak. Berpasangan dengan siapa?” aku bertanya lagi.

“Dengan Qaddaffi,” jawab Marjan pendek. Mukanya pucat.

“Marjan, tenang. Kalau masih tak tenteram, Marjan bayangkan muka akak yang comel... manis... jelita...” aku cuba menghiburkan hatinya yang sedang gundah dan ketakutan seperti sedang dikejar seekor singa yang kelaparan. Benar! Adikku yang seorang ini telah ditangkap oleh seorang insan yang bergelar singa lapar.

Kemudian Marjan berjalan ke belakang pentas.

Aku masih mahu mengukir senyuman. Aku dan Marjan merupakan individu yang berbeda, namun kami punya pengalaman yang hampir sama. Ya! Mana mungkin aku melupai saat-saat dimarahi Asyraf kerana lewat hadir ke dewan makan. Bukan sengaja. Jamku mati tetapi alasan yang kuberi menjadi bahan ketawa para senior. Tidak terkecuali Asyraf yang tua dua tahun daripadaku. Pelajar fakulti kedoktoran itu berusaha keras menahan gelak, namun tidak berjaya. Dia ketawa sehingga merah mukanya.

“Kalau saya tidak tenang, saya hendak bayang wajah siapa?” Anuar menerjah.

Sejak bila pula dia berada di belakangku?

“Saya bayang muka Asha yang macam bayi ini, boleh? Tidak salah, bukan?” kata Anuar lagi.

‘Tolong... Kak Rose, tolong selamatkan Asha,’ aku meraung sendiri.

“Asha, Asha. Marilah duduk, program dah nak bermula,” Kak Rose melambai-lambai ke arahku.

Alhamdulillah. Kak Rose hadir menyelamatkanku. Tidak! ALLAH yang melindungiku daripada terjerumus ke lembah fitnah. Kak Rose pula menjadi wasilah bagi ALLAH untuk menarik kakiku yang hampir tersungkur. Ditambah dengan ikatan ukhwah yang terjalin kerana ALLAH membolehkan dua hati itu berhubung tanpa disedari. Ya! Sesungguhnya, doa rabitah hati yang aku amalkan setiap hari itu besar manfaatnya. Bisa mengikat hati-hati manusia kepada TUHAN. Dan... dua jiwa itu adalah milik aku serta Kak Rose.


~bersambung~

0 Responses