Mencari Naurah (Bab 3)

RIUH-RENDAH suasana dewan makan. Aku lihat pelajar junior begitu asyik dengan persiapan akhir untuk persembahan mereka. Ada yang memakai baju kebangsaan dan ada juga yang mengenakan baju rasmi kolej. Mahu berkoir agaknya.

Kulihat kiri, kupandang kanan. Tidak nampak kelibat tubuh itu. Hanya kelihatan Anuar yang begitu bersemangat memberi penerangan kepada seorang pelajar siswi junior. Terserlah gaya seorang pemimpin. Aku memandang ke kiri dan ke kanan kembali.

“Assalammualaikum. Melilau sahaja. Cari akak?” Kak Rose bertanya, mematikan pencarianku.

“Ya,” jawabku. Aduh... Aku sudah mula menipu. Bukankah pepatah Melayu ada menyebut, ‘Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri.’ Oh, tidak! Aku tidak punya niat untuk berbicara dusta apatah lagi menjadi seorang pencuri. Namun, aku tidak cukup kuat untuk berkata benar. Aku bukanlah Umar Al-Faruq yang sentiasa benar dalam perkataannya.

Benar… Khulafa' Ar-Rasyidin yang kedua ini begitu tega membezakan sesuatu yang benar dengan yang batil. Siapa tidak kenal Sayidina Umar Al-Khattab? Jasadnya menjadi kegentaran penentang Muhamamd SAW serta musuh-musuh ALLAH. Tika mana umat Islam begitu takut dengan ancaman Quraisy yang dilaknat TUHAN, abang ipar Saad bin Zaid ini tanpa gusar menonjolkan keislamannya secara terang-terangan. Dan… Baitullah telah menjadi saksi keberaniannya.

“Jom. Cepat cari tempat,” ujar Kak Rose lagi.

“Akak duduk dahulu, boleh? Saya nak lihat adik-adik membuat persiapan akhir. Akak tolong tandakan tempat untuk saya, okey?” Aku memberi alasan.

“Jangan lama sangat...” kata Rose lalu berjalan ke arah kerusi VIP.

Aku melilau kembali. Kupandang kiri, kupandang kanan, kulihat hadapan, kulihat belakang. Nah! Mataku tertumpu pada kelibat seseorang. Mulutnya terkumat-kamit. Aku tahu, sudah tentu ia sedang berzikir mengingati ALLAH. Aku jua sedia maklum... bilamana kita mengingati ALLAH kala lapang dan sibuk, pasti ALLAH akan ingat tika kita memerlukan-NYA.

~bersambung~
0 Responses