Jalan Sehala



Salam. Alhamdulillah, pagi ini apa-apa yang Muthiah rancang berjalan lancar. Rumah sudah dimop dan tandas selesai dibersihkan. Cuma, operasi menggosok pakaian kerja suami dan menjahit sahaja belum dibereskan.

Hendak buat malam tadi, malas rasanya… Hmmm… kalau penyakit ‘tidak pandai atau tidak tahu’, boleh belajar. Kalau penyakit ‘malas’, entahlah.

Untuk ruangan santai minggu ini, Muthiah ingin berkongsi tentang pengalaman Muthiah dan suami sewaktu mencari lokasi pusat kecantikan (Muthiah dapat voucher produk kecantikan).

Nama tempat yang hendak dituju ialah Eikin Beauty House yang terletak di Jalan Pasar. Maka, kami pun mencari dan terus mencari. Suami memandu, Muthiah pula tengok papan tanda. Jalan yang hendak dicari ialah ‘Jalan Pasar’.

Hendak dijadikan cerita, setiap kali membaca papan tanda, Muthiah akan bacakan nama jalan tersebut buat suami. Sampai di hadapan The Store Taiping, Muthiah pun berkata, “ Jalan Sehala.” Suami tidak menafikan atau membetulkan… membetulkan apa?

Hehe… dalam perjalanan ke Gerik, suami melalui satu jalan. Tiba-tiba, suami berkata, “Jalan Sehala…” Entah bagaimana, baru Muthiah tersedar bahawa baru-baru ini… Muthiah tersilap menyebut nama jalan. Mana ada ‘Jalan Sehala.’

Huhu… Muthiah tahu sebenarnya tetapi entah mungkin baru-baru ini, jadi blur. Dengan kata lain, main sebut sahaja dan suami pula tidak menegur apa-apa. Suami ada niat untuk mengenakan Muthiah rupanya. Kemudian, suami pun gelakkan Muthiah.

Malam tadi, sewaktu suami tonton cerita Transformers (Muthiah tidak minat cerita robot-robot), Muthiah pula menonton cerita Renjis (di Astro Prima). Ada satu babak dalam cerita (Renjis) tersebut yang membuatkan Muthiah dan suami ketawa.

Asyraf Sinclair ingin mencari jalan. Apabila sampai di satu jalan, ia menghubungi kawannya dan berkata, “I’m in Jalan Sehala…” Kawan Asyraf berkata, “Jalan sehala means one way,” dan bukannya nama jalan.

Cepat-cepat Muthiah memanggil suami. Apa lagi, suami pun berkata… ada juga orang seperti Muthiah – blur (tetapi, Muthiah sebenarnya bukan tidak tahu dengan istilah ‘jalan sehala’ itu tetapi mungkin tersilap cakap – sebut tanpa pengertian). Kami pun sama-sama gelak.

Muthiah : Hendak cari jalan mati.
Labels: | edit post
0 Responses