Si legam itu… menantuku

RATA-RATA jemputan yang berada di ruang solat Masjid Sungai Tong tercengang. Mata mereka membulat. Mulut pula ternganga luas hampir kesemuanya. Mujur tidak ada langau hijau, atau dalam Bahasa Inggeris dikenal juga sebagai green bottle fly berterbangan di situ.

Bukan apa. Takut ada yang tertelan nanti. Silap hari bulan, boleh masuk unit rawatan rapi. Tidak pun, dihantar ke hospital sakit jiwa yang berlokasi di Tanjung Rambutan, pekan kecil di daerah Kinta yang terletak di timur laut bandaraya Ipoh. Punca sebenar tidak pula dapat dikenalpasti. Punca yang tidak benar, mungkin disebabkan oleh keterkejutan yang maha dasyat!

“Hitamnya,” bisik satu suara.

Hafizah segera berpaling ke arah Rohani seraya mengangguk laju. “Iya. Bukan setakat hitam tetapi legam. Aku tengok, Si Hasan yang hendakkan dia dulu pun tidak sehitam ni…” dia diam sejenak. “Macam Beauty and The Beast,” tambah Hafizah lagi bersahaja.

Azlina yang turut mendengar perbualan dua orang rakannya itu menggeleng laju. Dia mendengus perlahan, kemudian menyampuk, “Hisy. Dalam masjid pun nak buat ketupat? Raya lambat lagi, cik kak oi…” kata-katanya terhenti di situ. Dia memandang Dalila yang sedang duduk bersimpuh, tidak jauh dari pengantin lelaki yang baru sahaja selesai melafazkan akad nikah.

“Dah jodoh mereka. Buat apa kau orang nak susah-susah? Kau orang ke yang buat keluar duit belanja kerbau hari ni,” ujar Azlina lagi. Huh! Pedas juga kata-katanya sampai terkedu Hafizah dan Rohani dibuatnya.

Rohani mencebik. Dia menjeling Azlina sekilas, kemudian berkalih ke arah Mazwan yang sudah berada di hadapan Dalila. ‘Memang hitam pun. Tak akan nak cakap putih melepak!’ omelnya sendiri tidak puas hati.

Hafizah menepuk paha Rohani perlahan. Dia tahu apa yang sedang bergelodak di dalam hati rakan karibnya itu. Muncung mulutnya telah menceritakan segalanya. “Nie, janganlah ambil hati. Bukankah si Ina tu memang begitu? Dia dengki sebab kita dah ada pakwe. Dia…” Hafizah menoleh ke tepi. Apabila dilihatnya Azlina tidak ada di sisi, dia pun menyambung lagi, “Sampai sekarang tak laku-laku lagi. Iyalah. Jerawat batu penuh satu muka. Lelaki manalah yang berani nak dekat.”

Rohani yang tadinya mencuka kembali tersenyum. Dia mencari-cari Ridhwan, si jantung hati kesayangannya. Ada! Senyum Rohani semakin melebar. Lelaki itu nampaknya turut tersenyum penuh makna memandangnya.

Pagi tadi, Rohani berkeras untuk datang menghadiri majlis akad nikah ini dengan Ridhwan. Bukan apa. Rohani mahu menayangkan buah hatinya. Nanti, biar seluruh penduduk Kampung Sungai Tong tahu. Wajah kekasihnya itu macam hero Hindustan, Datuk Shah Rukh Khan. Huh! Kembang kempis hidung Rohani jadinya.

Meskipun sudah ditegah berkali-kali oleh emaknya, Rohani langsung tidak mahu ambil peduli. Dia bukan makan rasuah pun, bom orang jauh sekali. Setakat naik motosikal dengan lelaki bukan muhrim sahaja. Bukanlah satu masalah besar yang boleh merugikan negara. Bukan satu masalah besar??? Satu petaka, adalah. Apabila pergaulan bebas antara remaja berleluasa, hancurlah pemuda. Musnahlah negara.

“Anie!!!” Kedengaran nama Rohani dijerit orang.

Rohani tersentak. Dia berkalih ke arah Azlina yang sedang tajam merenungnya. Mulut Rohani yang tadinya terkatup rapat terbuka separuh. Alamak! Pengantin perempuan sudah berada di hadapannya untuk bersalaman.

“Terima kasih, Nie kerana sudi datang,” ucap Dalila lembut.

Rohani yang masih terpinga-pinga terpaku seketika. Dia menoleh ke arah Hafizah yang sedang duduk di tepinya. Kemudian, dia memandang semula ke arah Dalila seraya berkata, “Tahniah. Lila memang tampak cantik hari ni. Terserlah seri pengantin tu walaupun cik abang… aduh, hitam legam.” Spontan dan sungguh bersahaja. Bicaranya lembut tetapi langsung tidak kena pada tempatnya.

Wajah Dalila tidak semena-mena berubah. Lidahnya kelu. Ucapan penghargaannya terlekat di kerongkong. Dia hanya mampu tersenyum raja.

Sungguh! Dalila benar-benar terguris dengan kata-kata Rohani. Malu dia dibuatnya. Walaupun apa yang diperkatakan tidak ada salahnya, Dalila tetap berasa segan. Iyalah. Banyak mata yang sedang memandang, banyak juga telinga yang tengah mendengar kata-kata tersebut.

Hafizah yang terkejut dengan kata-kata Rohani terus mencubit pinggangnya. Rohani segera berpaling. “Sakitlah,” ujarnya kasar.

Mata Hafizah membulat. “Kalau iya pun nak berterus-terang, tunggulah masa yang sesuai. Ini, tidak! Main ikut sedap mulut saja,” balas Hafizah yang tidak kurang juga kerasnya.

Mata Rohani membulat. Tidak suka benar dia apabila dimarahi begitu, di khalayak ramai pula. “Suka hati akulah. Mulut aku, kau apa susah?” dia terdiam seketika. Anak mata Hafizah direnung tajam. Macam singa kelaparan yang hendak menerkam mangsa pun ada.

“Lagipun, aku bukannya buat fitnah. Betul, apa. Laki Lila, hitam legam macam pantat kuali. Ke… kau tengok putih melepak macam Lisa Surihani? ” Nampaknya, Rohani tetap mahu menegakkan benang yang basah.

Atifah yang sedari tadi hanya mendengar perbualan dua sekawan itu sudah tidak dapat bertahan lagi. Sakit telinganya mendengar kata-kata nista yang ditujukan kepada suami Dalila. Maklumlah. Dalila pun, bukan orang lain. Sepupunya juga. Ayah Dalila adalah abang kepada emaknya.

“Kalau iya pun kamu tak fitnah, bercakap tentang orang tu dikira sebagai mengumpat. Bukan aku yang kata tetapi ustaz di madrasah yang bilang. Sia-sia kamu solat tunggang-terbalik lima kali sehari. Tak ada manfaat kamu baca yasin setiap malam Jumaat. Semua ALLAH tak pandang,” bidas Atifah panjang lebar.

Rohani menceber. “Ada aku kisah?” Dia masih mahu mempertahankan kata-katanya.

“Dah, sudah. Pengantin dah nak bergerak dah tu,” Mak Limah yang turut berada di situ mencelah.

Rohani segera mencari-cari suara itu. Dia kemudiannya tersenyum kecil. “Betullah apa yang saya cakap, Mak Limah. Pengantin lelaki dengan perempuan, memang tak sepadan langsung. Si Lila tu, punyalah cantik. Kalah Tiz Zaqyah tetapi sayang, tak pandai pilih laki. Si Mazwan tu, bukan setakat hitam tetapi pendek dan gedempol juga. Ka…”

Belum sempat Rohani menghabiskan kata-katanya, Azlina cepat-cepat menyampuk, “Hitam-hitam si Mazwan tu, dia dah ada kerja tetap. Ada kereta besar. Rumah sendiri pun dah ada. Kamu, Nie? Ridhwan tu kerja apa? Tanam anggur? Sudahlah asyik merempit pagi, petang, siang, malam. Lelaki macam tu yang kamu agung-anggungkan?”

Aduh! Sama celupar nampaknya Azlina dengan Rohani. Bicara keduanya, sama-sama boleh mengguris hati mereka yang mendengarnya. Namun, masing-masing mempunyai alasan sendiri atas keceluparan mulut mereka.

Rohani… mahu menyatakan yang benar. Sememangnya suami Dalila hitam legam macam pantat kuali.

Azlina pula… mahu mempertahankan Dalila, kawan baiknya sejak dari sekolah rendah lagi. Lagipun, bukannya berdosa bersuamikan seorang lelaki yang hitam legam. Kacak, hodoh persoalan kedua. Apa yang lebih penting ialah tanggungjawab dalam diri. Bagi Azlina, tidak ada gunanya bernikah dengan lelaki tampan, tinggi-lampai tetapi tidak tahu dan tidak mahu menunaikan hak seorang isteri. Itu lagi parah!

“Sudah!!!” Jerit satu suara.

Semua orang terkedu. Masing-masing menelan air liur sendiri. Perlahan-lahan, Azlina dan Rohani berpaling ke arah suara itu. Mata mereka membulat. Bila pula Mak Timah berdiri di belakang mereka? Keduanya terus hilang kata-kata.

“Ya, Mak Timah,” ujar Azlina dengar tidak dengar lalu beredar dari situ.

Rohani yang tadinya terkesima seketika kembali mengukir senyum. “Jangan ambil hatilah, Mak Timah. Saya berseloroh saja. Lagipun, bukannya berdosa dapat menantu hitam macam Mazwan,” katanya bersahaja seraya berjalan laju meninggalkan Mak Timah yang masih lagi tidak mahu berganjak dari situ.

DI RUMAH PAK LEMAN…

MAK TIMAH tidak berkedip memandang Dalila. Jantungnya berombak kencang. Sakit hati betul dia mengenangkan perbualan orang kampung di dalam masjid tempoh hari. Terkenang-kenang sampai sekarang! Malu juga dia dibuatnya. Mak Timah pun pelik. Dalam banyak-banyak anak teruna, Mazwan yang tidak ada rupa itu jugalah yang dipilih Dalila sebagai suami. Butakah… atau bodoh?

Lagipun, bukannya tidak ada orang yang hendakkannya. Berlambak. Satu kampung bercakap pasal kecantikan anak daranya yang sudah menjadi bini orang ini. Tersenyum lebar sampai ke telinga Mak Timah dibuatnya. Bukan itu sahaja, bahkan hidungnya juga kembang kempis entah berapa ratus kali tetapi tempoh hari!!!???

Sakit hati Mak Timah mengingatkannya. Hidungnya juga tidak kembang lagi. Wajahnya pula sudah memerah menahan marah dan malu. Jemari kasarnya menggeleter mendengar cakap-cakap buruk orang tentang menantu barunya. Namun, bukan orang kampung yang dipersalahkan. Mak Timah lebih menuding jari kepada anak dan menantunya sendiri.

Mazwan … sudah tahu diri tidak kacak, ada hati juga hendak masuk meminang anak daranya yang sedang meletup mengalahkan Rozita Che Wan.

Si Dalila pula… dalam banyak-banyak lelaki, kenapalah memilih si Mazwan?

Setakat sudah ada kerja tetap, bukanlah hebat sangat. Hasan yang tergila-gilakannya, hanya dipandang sebelah mata. Itu pun setelah dipaksa. Walhal, jika Dalila memilih untuk berkahwin dengan anak ketua JKKK Kampung Sungai Tong itu, sudah senang-lenang hidupnya menjadi menantu orang kaya. Iyalah. Harta ayah si Hasan melimpah-ruah, anak tunggal pula. Tidak habis digunakan sampai tujuh keturunan.

“Mak…” ujar Dalila lembut sambil memegang bahu emaknya perlahan.

Mak Minah yang sedang mengelamun tersentak kecil. “ALLAH,” ucapnya pendek. Dia memandang Dalila atas bawah lalu bertanya, “Suami kamu pergi mana?”

Dalila tersenyum kecil. “Bandar Permaisuri, mak. Ada urusan kerja sikit,” dia menjawab.

Mak Timah mendengus perlahan. Matanya memandang terus ke dinding rumah, mungkin tembus sampai ke jalan besar.

Melihat perubahan riak wajah emaknya, Dalila pun bersuara, “Kenapa, mak?”

Mak Timah mendengkus lagi. “Mak rasa, kamu ni kena ubat guna-gunalah, Lila,” dia meluahkan rasa hatinya.

Dahi Dalila berkerut. Ubat guna-guna? “Untuk apa, mak?” soalnya pendek. Dalila langsung tidak dapat menangkap apa yang ingin disampaikan emaknya.

Mak Timah menggeleng laju. Hendak kata bodoh, lepasan universiti. Hendak kata buta, ada empat mata; sepasang mata tulen dan sepasang lagi kaca mata. Entahlah. Mak Timah pun pelik. Apalah keistimewaan Mazwan sampai Dalila sanggup menikahinya?

“Untuk apa, apa? Untuk bomohkan kamulah. Budak hodoh macam Mazwan, ada hati hendak bernikah dengan kamu. Hisy. Ka…”

Belum sempat Mak Timah menghabiskan kata-katanya, Pak Leman menyampuk. “Apa yang kurangnya menantu kita, Mah? Mata ada. Telinga ada. Mulut ada. Apa yang kamu runsingkan sangat?” Terbakar juga Pak Leman mendengar rungutan isterinya sejak Dalila bergelar isteri kepada Mazwan lagi. Bukan orang lain pun, menantu mereka juga.

“Masalahnya, Bang Leman. Sakit telinga saya mendengar cakap-cakap orang kampung tentang menantu kita. Anak kita cantik macam bidadari. Dapat laki, hitam legam macam pantat kuali. Ada anak nanti, entah macam apa pula,” balas Mak Timah yang nampaknya masih belum berpuas hati.

Pak Leman mendengus kuat. “Dari si Lila ni mula bertunang, sampai dah jadi bini orang. Benda ni juga yang kamu duk ulang. Ingat, Mak Timah oi. Doa seorang ibu tu mustajab. Jangan nak cakap lebih-lebih. Lagipun, bertuah kita dapat menantu macam si Mazwan tu. Walaupun kerja besar, solat di masjid tak pernah tinggal. Hormat pada orang tua, merendah diri sepanjang masa. Apa lagi yang kurang?”

Belum sempat Mak Timah menjawab, Pak Leman menambah lagi, “Lagipun, kamu kena ingat. Bilal bin Rabah yang hitam legam tu sudah terdengar tapak kakinya di syurga. Kamu? Ada jaminan ke nak masuk syurga? Kalau tengok dengan mulut kamu yang tak henti-henti mengata, susahlah. Baik kamu bertaubat cepat. Bolehlah jadi ketua bidadari di sana nanti.”

Lagaknya, macam berseloroh tetapi sangat mendalam kata-katanya. Sememangnya manusia yang tidak sempat bertaubat itu akan sukar baginya untuk masuk syurga. Lebih-lebih lagi, jika dia ada berbuat salah kepada sesama manusia. Perlu mendapat kemaafan daripada mereka yang pernah dianiaya.

Mata Mak Timah membulat. “Awak pun satu masalah juga. Makin tua, makin miang. Makin tua, makin menggatal. Duit tak banyak mana, ada hati nak fikir pasal perempuan lain,” tutur Mak Timah dengan suara yang meninggi. Tersinggung benar dia apabila suaminya berkata begitu. Iyalah. Belum apa-apa, sudah terbayangkan bidadari.

Pak Leman menggeleng laju. Dia memandang Dalila yang membatu di tepi emaknya sekilas, kemudian berkalih semula ke arah isterinya seraya membalas, “Ni satu lagi masalah. Dengan tok laki, tak reti nak bercakap elok-elok. Awak kena ingat, Timah. Syurga awak atas redha saya…” dia diam sejenak.

“Itulah. Saya ajak dengar ceramah di madrasah, tak mahu ikut. Bila Si Limah tu ajak buat mesyuarat tingkap, dia tak bersiap lagi awak dah tercongok depan rumahnya. Dahlah. Saya tak mahu awak cakap benda buruk pasal Mazwan. Bukan orang lain, menantu kita juga, suami si Lila. Orang lain nak mengata… mengumpat… biarkan mereka. Mereka ada mulut. Biar mereka sendiri tanggung dosa. Awak jangan terlibat sama.” Aduh, panjang lebar pula Pak Leman menambah sampai tercengang Mak Timah dibuatnya.

Dalila yang sedari tadi hanya mendengar pertelingakahan mulut di antara emak dan ayahnya sudah hilang sabar. Matanya mula memerah. Sedih apabila emak sendiri tidak menyukai suaminya. Mengata macam-macam tentangnya walhal yang buruk itu… yang hitam legam itu tetap menantunya. Bukan orang lain!

Menyedari perubahan wajah puterinya, Pak Leman pun bersuara, “Jangan kamu ambil hati, Lila. Muka cantik tak menjamin kita masuk syurga. ALLAH tak pandang semua tu. Yang mengangkat darjat manusia ialah iman dan takwa…” dia diam sejenak.

Pak Leman menarik nafasnya dalam-dalam, kemudian menyambung kembali, “Kamu jadilah isteri solehah. Dengar cakap suami. Gembirakan hati suami. Jaga maruah diri dan keluarga. Insya-ALLAH, kamu akan bahagia. Kamu tak akan mati dengan kata cerca manusia. Biarkan mereka.”

Dalila hanya mampu tersenyum paksa. Sekadar hendak menyedapkan hati ayahnya yang sangat memahami. Entahlah. Walaupun sudah lebih dua bulan bergelar isteri buat Mazwan, emaknya tetap tidak sukakan lelaki itu. Alasannya pula tidak cukup konkrit. Suaminya hodoh, hitam macam pantat kuali.

Tanpa lengah, dia segera berlalu masuk ke dalam kamar tidurnya. Air matanya tidak semena-mena mengalir. Dalila lantas mengambil telefon bimbit berjenama Nokia miliknya. Kemudian, dia pun menaip satu mesej yang berbunyi, ‘Lila sayang abang selamanya…’ Selepas itu, mesej tersebut segera dihantar kepada suaminya. Dalila kemudiannya memejamkan matanya rapat-rapat.

SEAWAL pagi, Mak Timah sudah bersiap-siap hendak ke bandaraya Kuala Terengganu dengan Mak Limah. Cantik benar nampaknya isteri Pak Leman hari ini. Siap berbaju kurung lip lap dengan tas tangan yang baru dibeli di pasaraya Sabasun. Tidak lupa juga, gelang tangan emas disarung sampai ke siku.

Katanya kepada Pak Leman, mahu mencari sayur dan ikan di Pasar Payang yang terletak berhampiran dengan jeti Shabandar. Namun sebenarnya, Mak Timah dan Mak Limah mahu menelek-nelek emas yang dijual di kedai emas di sana. Itulah. Pak Leman pun pelik. Pasar pagi Kampung Sungai Tong pun ada menjual barang-barang basah tetapi entahlah… Pak Leman tidak mahu bertanya banyak. Silap hari bulan, boleh perang dingin lagi. Sudah letih Pak Leman melayan isterinya itu. Ini baru seorang. Kalau dua… tiga dan empat??? Boleh kena strok gamaknya.

“Anak kamu tak dapat hantarkah, Limah?” soal Mak Timah dengar tidak dengar.

Mak Limah yang tidak berkedip melihat jalan raya yang kurang sesak itu segera berpaling. Dia menggeleng laju seraya menjawab pendek, “Tak.”

Mak Timah mendengus perlahan. “Kenapa pula? Penat-penat aku pakai macam ni, kena naik bas pula. Sudahlah dalam bas tu panas tak pernah nak pasang aircond. Kedekut,” dia membebel sambil menyingsing lengan baju kurung yang disarungnya.

Mak Limah hanya mampu tersenyum kecil. Itulah. Siapa suruh pakai baju macam mak datin? Mereka bukannya hendak ke majlis orang kahwin. “Huh! Sampai sakit tangan aku ketuk pintu bilik si Iden. Tak jaga-jaga juga. Tak akan aku nak pecahkan pula pintu tu. Mengamuk Pak Samad nanti,” Mak Limah memberitahu.

Dahi Mak Timah berkerut. “Anak teruna kamu tu tidak solat subuhkah, Limah? Hisy. Kalau aku, biar pecah pintu tu. Baru dia tahu langit ni tinggi atau rendah. Dengan ibu, jangan dibuat main,” balasnya keras.

Mak Limah menggeleng perlahan. “Ibu pun, ibu juga. Hak anak, kita kena jaga juga…” kata-kata Mak Limah terhenti di situ. “Anak teruna aku tu, solat cuma tidur semula. Iyalah. Kerja shif malam,” tambahnya lagi bersahaja.

Mak Timah mendengkus lagi, buat kesekian kali.

Sedang asyik dua wanita lanjut usia ini berleter sesama sendiri, sebuah kereta Proton Gen-2 diberhentikan di hadapan mereka. Mak Timah tersenyum panjang.

“Kamu nak ke mana, San?” soalnya lembut kepada menantu tidak jadinya.

Hasan membalas senyum Mak Timah dengan senyum kecil. “Saya nak ke KT. Mak Timah dan Mak Limah nak ke mana?” balasnya ramah. Matanya tidak berkelip memandang gelang emas yang tersarung pada kedua-dua belah lengan Mak Timah.

“Samalah. Aku dan Timah nak ke Pasar Payang. Tengok emas,” beritahu Mak Limah sungguh-sungguh.

Mata Mak Timah membulat. Dia menoleh ke arah Mak Limah lalu merenungnya tajam. “Aku nak cari sayur dan ikan di sana. Jangan kamu percaya cakap Mak Limah ni,” ujarnya serius.

Hasan mengangguk perlahan. “Masuklah, mak cik berdua yang cantik-cantik belaka. Saya tumpangkan sampai Batu Enam,” dia mempelawa lembut.

Senyum Mak Timah terus melebar. “Sampai Batu Enam saja, San? Alang-alang, hantarlah sampai Pasar Payang terus,” tuturnya lalu masuk ke dalam kereta Hasan.

“Iyalah, iyalah. Mak Timah punya pasal, jiwa dan raga saya korbankan,” balas Hasan lalu menekan pedal minyak keretanya. Kereta Proton Gen-2 pun dipecut laju.

MAK TIMAH yang tadinya terlelap tersentak apabila dirasakan badannya berpeluh kepanasan. Matanya membulat. Mulutnya ternganga luas. Mak Timah tercengang. Tempat ini, bukanlah Pasar Payang! Dia mencari-cari Hasan dan Mak Limah.

“San… Limah…” dia memanggil lantang.

Suasana sunyi sepi. Tidak ada sebarang jawapan yang diterima.

“San… Limah…” laung Mak Timah lagi.

Tiba-tiba, pintu kereta dibuka dari luar. “Dah. Bangun, orang tua!” Jerkah satu suara.

Mata Mak Timah yang sedia bulat membulat. Hasan???

“Mana Limah, San? Apa yang kamu dah buat pada dia?” soal Mak Timah terketar-ketar.

Hasan ketawa terbahak-bahak. Mak Timah yang celupar mulutnya ini penakut juga rupanya. “Dia selamat. Aku dah minta si Duan hantarkan dia ke pekan,” jawabnya macam samseng jalanan.

Mak Timah bernafas kencang. “Kamu nak apa, San? Apa salah Mak Timah pada kamu?” Air matanya sudah mula membasahi pipi. Takut benar Mak Timah berada di tempat yang begitu asing ini. Lagipun, bukan dia dan Hasan sahaja ada di sini. Terdapat tiga orang pemuda yang lagaknya macam along si pengutip hutang di sebelah kiri dan kanannya.

Hasan menarik nafasnya dalam-dalam. Dia menampar pipi Mak Timah kuat. “Ada banyak kesalahan yang kau buat, orang tua. Pertama, kau kahwinkan Dalila dengan budak lelaki yang hitam legam tu…”

Mak Timah menggeleng. “Bukan Mak Timah yang nak nikahkan. Lila yang nakkan budak tu,” ujarnya sungguh-sungguh.

Hasan turut sama menggeleng. “Aku tak kisah pun. Aku lagi kisah tengok gelang emas yang kau pakai ni. Kalau gadai, cukup stok untuk setahun. Bukan itu saja, aku boleh cuba barang baru…” balas Hasan bersahaja.

Ridhwan yang baru sampai terus mencelah, “Heroin…”

Hasan segera menoleh. “Syh… Yang tu tak boleh sebut kuat-kuat, nanti ayah tahu, marah. Kalau Mak Timah lapor pada Anie, jadi arwahlah kamu, Duan. Macam mana nak dapatkan duit beli barang?” ujarnya dengar tidak dengar.

Ridhwan hanya tersenyum sumbing. Dia lalu berjalan ke arah Mak Timah. Wanita tua itu dipandang atas bawah. “Itulah. Pak Leman tak bagi pakai gelang emas banyak-banyak, Mak Timah nak pakai juga. Mak Timah nak tunjuk pada siapa?” Dia terdiam sejenak.

“Tengok. Sekarang, Mak Timah juga yang dapat susah,” sambungnya lagi separuh menjerit.

Tanpa membuang masa, Hasan terus memegang lengan Mak Timah kuat. “Cepat! Ambil gelang-gelang yang orang tua ni pakai,” jeritnya lantang. “Duduk diam-diam, orang tua. Kalau kau beritahu orang, aku bunuh kau satu keluarga,” tambah Hasan lagi.

Mak Timah hilang kata-kata. Dia pasrah kerana tidak ada apa yang mampu dilakukannya lagi namun tidak semena-mena, Mak Timah ternampak satu susuk tubuh di tepi belukar sana. Mazwan???

“LEPASKAN emak aku, Hasan!” Jerit Mazwan lantang. Di sebelahnya, kelihatan Mak Limah yang tampak masih lagi ketakutan.

Dahi Hasan berkerut. Dia terus memandang Ridhwan tajam. “Di mana kau tinggalkan orang tua tu?” soalnya keras.

Ridhwan menelan air liurnya seraya menjawab, “Depan jalan besar sana,” terketar-ketar suaranya.

Mata Hasan membulat. “Bodoh!” Wajahnya berubah kemerahan.

“Baik kamu lepaskan mak aku, San. Polis pun sudah dalam perjalanan ke sini!” bentak Mazwan.

Hasan tersenyum kecil. “Ada aku kisah?” Tanpa disangka-sangka, dia pun mengeluarkan pisau dari dalam kocek seluarnya. “Kalau kau orang dekat, aku bunuh orang tua ni,” tambahnya lagi mengugut.

Air mata Mak Timah mengalir semakin deras. Esakannya kuat sampai bingit telinga Hasan dibuatnya.

“Diam, orang tua!” Tidak semena-mena, tamparan kuat singgah ke pipi Mak Timah.

Mazwan terkesima. Dia terus meluru ke arah Hasan. “Jangan kamu apa-apakan emak aku, San. Dia bukan lawan kau. Kau lepaskan dia. Kau ambil aku,” ujar Mazwan yang kini sudah berdiri tidak jauh dari Hasan dan ibu mertuanya.

Kali ini, Hasan tergelak kuat macam orang gila. “Aku ambil kau, aku dapat apa? Lainlah kalau aku ambil bini kau. Dapat juga habuannya. Lagipun…”

Belum sempat Hasan menghabiskan kata-katanya, Mazwan terus menyondol badan lelaki itu, menyebabkan Mak Timah terjelepuk di atas tanah. “Mak… lari dari sini, mak. Cepat lari…” jerit Mazwan.

Mak Timah tetap terpinga-pinga di situ. Dia benar-benar terkejut melihat pergelutan antara Hasan dan Mazwan.

“Lari, mak…” laung Mazwan lagi. Mak Timah tetap tidak berganjak dari situ.

Hasan cuba menghunus pisau ke perut Mazwan tetapi tidak pernah mengena. “Bodoh!” Amarah Hasan semakin memuncak. Mazwan pula, cuba mempertahankan dirinya tanpa membuat sebarang serangan.

“Wan… Fik… Sham… serang dia. Biar sampai tak bernyawa!” Hasan nampaknya sudah mula mengeluarkan arahan.

Ridhwan, Shafik dan Noorhisyam yang sedari tadi hanya memerhati tersentak. Mereka jadi teragak-agak. Mereka hanyalah perompak kecil dan penagih dadah, bukan pembunuh.

Hasan yang geram melihat kawan-kawannya masih tidak berganjak dari tempat mereka semakin menyinga. “Cepat!!!” jeritnya lantang.

Apa lagi… Ridhwan, Shafik dan Noorhisyam segera menyerang Mazwan. Mak Timah yang hanya mampu memerhati dari jauh menangis teresak-esak. Menantu hitam legam inikah yang sedang menggadai nyawa menyelamatkan dirinya?

Apabila empat lawan satu, bermakna tidak ada peluanglah Mazwan untuk menang. Mazwan bukanlah hero Tamil. Bukan juga macam Shah Rukh Khan. Dia semakin longlai. “Lari…” Mazwan cuba untuk bersuara. Khuatir benar dia kepada keselamatan ibu mertuanya.

Mak Limah segera menarik lengan Mak Timah. “Baik kita lari. Menantu kamu tu macam dah tak ada harapan nak menang,” katanya terketar-ketar.

MakTimah menggeleng. “Tidak! Menantu aku…” Dia terus memandang Mazwan yang sudah tidak bergerak di atas tanah.

Apabila dirasakan Mazwan sudah tidak lagi bernyawa, Hasan terus meluru ke arah Mak Timah. Namun, baru sahaja dia hendak menghunus pisaunya ke belakang wanita itu, kedengaran bunyi tembakan. Ridhwan, Shafik dan Noorhisyam terkesima. Mata mereka membulat memandang Hasan yang sudah rebah ke bumi. Cepat-cepat mereka mengangkat kedua belah tangan untuk menyerah diri.

Mak Timah segera berlari mendapatkan Mazwan. “Anak mak,” jeritnya kuat. “Maafkan mak, Wan. Maafkan mak,”ucapnya lagi sungguh-sungguh. Tubuh Mazwan masih lagi kaku di situ.

“Wan!!!!” Mak Timah meraung-raung bagai orang gila. Air matanya mengalir deras. Wajah Dalila yang sudah berbadan dua terngiang-ngiang di benaknya. Esakan Mak Timah semakin jelas kedengaran. Kuat… dan kuat… dan kuat…

Namun sayang, penyesalan Mak Timah tidak berguna lagi.

0 Responses