Aku malu...


Assalammualaikum.

^_________________________^


Pada satu hari, selipar Jepun pemberian suami saya telah dicuri orang. Meskipun hanya selipar Jepun, saya sangat sedih. Remuk hati saya bagai disiat-siat. Saya terus mencari-cari selipar Jepun tersebut. Sedang asyik saya mengintai-ngintai... saya ternampak seorang gadis muda, cantik memakai selipar Jepun saya. Saya cukup pasti yang selipar Jepun itu adalah milik saya kerana warnanya sama... jenamanya pun sama... saiz pun sama. Apa lagi, dalam keadaan emosi yang membuak-buak, saya terus menghampirinya. Namun sayang, gadis cantik itu tidak mahu memulangkan semula selipar Jepun milik saya. Katanya, buah hatinya yang beri. Apa lagi, semakin berapi-apilah saya. Suami saya main kayu tiga??? Tanpa berfikir panjang, saya terus menyerang dan memarahi gadis cantik itu. Kehadiran orang ramai yang memerhati, langsung tidak saya pedulikan.Kami seolah-olah berada di medan tinju pula.

T.A.M.A.T.

Seminggu berlalu. Saya insaf dengan apa yang saya telah lakukan. Saya malu pada diri saya sendiri. Malu pada ALLAH, lagi-lagilah. Meskipun mungkin kami sama-sama bersalah... sama-sama tidak mahu mengalah... saya tetap menyalahkan diri saya sendiri kerana membiarkan emosi menguasai diri. Namun, nasi sudah menjadi bubur. Saya berharap agar gadis cantik itu tidak mendendami saya lagi. Saya mendoakan dia aman dan bahagia sentiasa.

Namun tanpa disangka-sangka...

Ada hamba ALLAH telah merakam pergaduhan saya dengan gadis cantik itu. Kemudian, disebarkan di Youtube, e-mel dan Facebook. Perasaan saya. Malu sungguh. Saya yang sedia malu bertambah malu. Banyak orang mengomen negatif tentang saya dan gadis cantik itu. Saya sedih. Saya bertambah kecewa. Saya akui kesalahan saya tetapi... tidak akan disebabkan kelemahan saya ini, aib saya disebarkan semata-mata?

Pengajaran

Cerita di atas, bukanlah kisah Muthiah, gadis cantik dan suami tetapi hanyalah rekaan semata-mata. Moga daripada kisah ini, dapatlah kita renung-renungkan bersama.

Tidak ada manusia yang sempurna. Kita sendiri, apabila iman jauh dari dada... acap kali terlepas pandang...terlepas cakap... terlepas macam-macam (namun, jangan pula jadikannya sebagai satu alasan untuk berterusan berbuat dosa).

Ayuh... kita sama-sama memperbaiki diri, menjadi lebih baik daripada semalam. Apabila melihat sesuatu yang tidak menenangkan hati, berbicaralah dengan hikmah (dari dalam hati) kerana yang datang dari dalam itu insya-ALLAH bisa diterima oleh mereka yang ditegur. Sama-samalah kita saling mengasihi dan menyayangi kerana ALLAH.

Muthiah : Koreksi -> Apabila kemungkaran bermaharajalela... apakah sumbangan kita pada agama?
Labels: | edit post
0 Responses