Mencari Naurah (Bab 13)
ALLAHU Akbar... |
Kedengaran suara Pak Madi mengangkat takbir. Oh, mereka solat berjemaah rupanya. Entah bila dia pulang ke rumah, aku sendiri tidak perasan. Aku pula tertidur dengan lenanya dek kepenatan yang melampau.
Cepat-cepat aku ke bilik air dan membasuh muka. Hmm... mungkin Sal terlupa untuk mengejutku dari tidur. Malu aku pada Pak Madi kerana bersenang-senang di dalam bilik sedangkan orang lain begitu sibuk membuat kerja rumah.
Aku kemudiannya berjalan ke ruang tamu lalu duduk di atas kerusi rotan milik Pak Madi.
Zohor tadi, aku sudah menunaikan solat jamak dan qasar. Mempraktikkan pengisian ilmu yang disampaikan oleh Ustaz Anuar Riduan, bekas seniorku di Universiti Malaya. Katanya, “ALLAH sudah memberi keringanan, buatlah. Tunai solat fardu sudah dapat pahala. Buat solat jamak dan qasar pun dapat pahala.”
Lupakan Ustaz Anuar Riduan dengan tazkirahnya. Aku kemudiannya memandang sekeliling rumah. ‘Kemas dan bersih,’ bisik hatiku. Bukan itu sahaja, dibersihkan lagi dengan amalan solat berjemaah. Rumah ini pasti sentiasa dinaungi ALLAH dan dipelihara oleh-NYA. Malaikat juga sudah tentu senang untuk diam di dalam rumah sebegini. Nyamannya rasa hati, tidak dapat kuungkapkan dengan kata-kata.
Aku melihat Pak Madi dan makmumnya yang sedang bersujud. Saat yang paling baik untuk memohon sesuatu kepada ALLAH. Lama juga sujud mereka. Aku merenung diri sendiri. Terasa diri kerdil di hadapan TUHAN. Tempat jatuhnya kaki manusia itu menjadi lokasi persinggahan kepala makhluk yang bernama insan.
‘Allahu Akbar,’ aku bertakbir perlahan. Siapa lagi yang lebih hebat perancangan dan penciptaannya selain daripada TUHAN yang satu? Ketinggian dan keagungan ALLAH tidak dapat disangkal lagi. Hanya mereka yang bodoh lagi jahil sahaja berasa hebatnya diri, namun hakikatnya tetap kecil di sisi TUHAN.
Pertama kali menjejakkan kakiku ke sini, hatiku menjadi tenang. Mungkin kerana ada hati-hati yang ikhlas menerima kehadiranku. Mereka berasa senang menanti kehadiran tetamu dan tetamu itu adalah aku! Alhamdulillah...
Tidak seperti tentera Amerika, kedatangan mereka ke Baghdad pada Mac 2003 tidak dialu-alukan bahkan pengunduran mereka dari bumi Iraq itu diraikan secara besar-besaran. Bukan itu sahaja, tanggal 30 Jun turut diisytihar sebagai Hari Kedaulatan Kebangsaan! Bergembiralah puak Syiah, Sunni dan Kurdis menyambut hari pembebasan mereka. Tidakkah satu penghinaan namanya itu? Kutukan yang selayaknya diberi kepada penentang agama Allah yang zalim lagi kejam.
Tiba-tiba, aku teringatkan Kak Rose, Emelda dan rakan-rakan yang lain. Adakah mereka juga mendapat keberuntungan yang sama sepertimana diriku? Apapun, syukur kepada TUHAN kerana telah memilih dan mencampakkan diriku ke sini.
Aku memandang siling rumah. Ada bekas tampalan padanya. Subhanallah... Rumah ini tidak semewah rumah agam milik Allahyarham Michael Jackson. Neverland, nama pulau fantasi bagi Peter Pan. Akan tetapi, terpancar cahaya dari dalamnya. Kini kuperoleh jawapan. Cahaya itu datang dari kebarakahannya. Dihidupkan dengan kalimah tauhid. Diserikan dengan zikrullah. Aku benar-benar bersyukur kerana telah dihantar ILAHI ke sini.
Assalammualaikum warahmatullah... Assalammualaikum warahmatullah.
Kedengaran suara Pak Madi memberi salam. Kupalingkan wajahku ke arah mereka. Sal yang tadinya duduk bersimpuh bangun perlahan-lahan. Seperti mahu berjalan ke arahku. Tepat!
“Akak, jom baca Mathurat sama-sama,” ajak Sal lembut.
“Insya-ALLAH,” kataku lantas mengekorinya ke bilik solat.
Amsaina wa amsaina ... (permulaan doa dalam al-Mathurat).
~ bersambung~
Yuk. Dapatkan novel Mencari Naurah di pasaran segera ;)