Mencari Naurah (Bab 12)
‘TENANG lagi nyaman,’ aku berbisik sendiri tatkala menjejakkan kaki ke sini. Pepohon hijau yang merimbun menyejukkan mata yang memandang. Tiada lagi gas karbon dioksida yang menyesakkan pernafasan sekali gus mengancam kesihatan. Tiada juga kebingitan manusia mahupun kenderaan yang mengganggu ketenangan jiwa. Aku seolah-olah berada di tempat lahirku sendiri. |
Teringat ibu di kampung. Rumah usang peninggalan ayah begitu banyak berjasa buat kami sekeluarga. Di dalamnya aku dilahirkan dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Di situ juga ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir sebelum dipanggil menghadap ILAHI.
“Rumah pak cik tak besar sangat. Risau benar mak cik apabila pak cik cakap ada budak universiti nak datang,” kata Pak M
“Tak apa, pak cik. Saya pun berasal dari kampung. Dah biasa mandi sungai, panjat pokok rambutan,” balasku pula.adi sewaktu kami sama-sama berjalan menuju ke rumahnya. Hari pertama program baktisiswa memerlukan kami bersuai kenal dengan keluarga angkat masing-masing. Menurut Kak Rose, aktiviti akan bermula pada hari kedua.
“Asal mana?” Pak Madi bertanya.
“Saya berasal dari Kampung Kedai Lalat, Kota Bharu Kelantan. Mak dan arwah ayah orang Kelantan,” aku menerangkan.
“Maaflah, pak cik nak bertanya sikit. Ayah meninggal, sakit apa?” Pak Madi menyoal lagi.
“Ayah ada sakit paru-paru berair. Di kampung, pak cik buat kerja apa? Hmm... tentu keluarga pak cik besar, bukan? Saya ada tiga orang adik,” jawabku ringkas disusuli dengan pertanyaan tentang dirinya serta taaruf mengenai diriku.
“Ooo... Pak cik buat kerja kampung sahaja. Asal nama rezeki yang halal, pak cik buat semuanya. Panjat pokok kelapa, tebas lalang...” Pak Madi diam sebentar. “Anak pak cik ada sembilan orang. Tiga lelaki, enam perempuan,” sambungnya lagi.
‘Ramah juga Pak Madi,’ bisik hati kecilku. “Ooo...”
Sesampainya di hadapan rumah, Pak Madi berkata dengan perlahan, “Masuklah dahulu. Jangan malu-malu. Kalau ada apa-apa, minta dengan Sal. Sal pun masuk universiti juga. Dia di UKM. Sekarang dia tengah cuti belajar. Dia hendak kerja tetapi pak cik tak izinkan. Lebih baik bantu ibunya di rumah...” Dia memandang jam yang tergantung pada dinding rumah. Muka dia sedikit berubah, ada kerutan di dahinya.
“Asha, bukan? Asha duduk dahulu. Pak cik nak ambil anak-anak pak cik sebentar. Sekejap lagi baliklah mereka dari sekolah. Hari ini tak ada aktiviti ko-kurikulum. Jadi, mereka pulang awal sedikit. Lupa pula pak cik tadi,” sambungnya setelah mempersilakan aku masuk. Luas juga ruang tamu rumah Pak Madi.
Aku hanya tersenyum.
“Sal, Minah... tetamu dah sampai,” panggil Pak Madi dari muka pintu.
“Maaf, Sha. Pak cik beransur dahulu. Assalammualaikum,” Pak Madi nampaknya serba salah hendak meninggalkanku.Dia nampak tergesa-gesa. Sudah terlewat gamaknya.
Aku tersenyum sendiri lalu menjawab salamnya di dalam hati. Mataku mengekori susuk tubuh Pak Madi. Cepat-cepat Pak Madi berjalan ke arah motosikal Honda Kapcai 50ccnya. Tanpa menggunakan kunci, dia cuba menghidupkan enjin. Sekali... tak hidup.
Dua kali... masih tak hidup. Lantas, dia menolak perlahan motosikal tersebut ke atas jalan raya. Pak Madi kemudiannya menolak motosikalnya laju-laju dan terus memasukkan gear. Alhamdulillah... hidup akhirnya. Aku tersenyum lagi.
“Assalammualaikum, kak. Emak pergi ambil adik di sekolah tadika. Akak duduk dahulu, saya buatkan air.”
Seorang gadis ayu menegurku.
“Waalaikumussalam. Tak apa. Duduklah dengan akak dahulu. Siapa nama?” aku memulakan bicara.
“Akak boleh panggil saya Sal,” jawabnya.
Ooo... ini rupanya Sal yang disebut-sebut Pak Madi sebentar tadi.
Setelah bersalaman, Sal berjalan laju menuju ke dapur. Tidak sampai lima minit, dia keluar bersama-sama air teh o ais dan jemput-jemput.
“Minum sekali,” ajakku lembut.
Sal segera menuangkan air lalu menemaniku minum.
“Berapa orang dalam rumah ini?” soalku lagi.
“Termasuk mak ayah, ada enam orang. Mak pergi ambil adik bongsu, Amir namanya. Ayah pula, ambil adik-adik di sekolah rendah. Shazleen dan Nadia, darjah dua dan enam,” ia menjelaskan.
“Ambil UPSR tahun ini,” aku menambah.
Sal hanya tersenyum sambil mengangguk-angguk perlahan.
“Lima lagi?” Aku bertanya lanjut.
“Abang Ammar bekerja di Selangor. Jadi pensyarah di UPM, kursus Politik dan Sains Sosial. Nombor dua dan tiga sudah bekerja di Johor Bahru dan Melaka. Kak Iman jadi doktor sakit puan dan Kak Ayyun jadi cikgu.” Sal diam sejenak. “Kak Rahmah pula sekarang praktikal di KLCC. Dia ambil kursus perakaunan di UTP. Jefri tingkatan empat di SBP, Sekolah Alam Shah,” tambahnya lagi.
“Ooo...” kataku memberi respon.
“Akak duduk-duduk dahulu, saya nak ke dapur sekejap,” kata Sal.
“Nak akak tolong?” Aku menawarkan diri.
“Tak apa, kak. Sekejap sahaja. Saya nak tutup air. Terlupa tadi... Akak rehat dahulu ya. Nanti kita borak lagi,” katanya sambil mengukir senyuman manis buatku hingga menampakkan lesung pipit yang memaniskan wajahnya. Cantik...
Meskipun hidup serba kekurangan, anak-anak Pak Madi berjaya semuanya. Sejuk perut Mak Minah mengandungkan dan membesarkan sembilan orang putera dan puteri. Semuanya menjadi. Tidak sabar untuk bertemu dengan tangan yang pernah menghayun buaian itu sehingga lahir anak bangsa yang memberi manfaat kepada negara. Negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Aduh! Sejak bila aku menjadi seorang yang patriotik ini?
Rumah Pak Madi ada empat bilik semuanya. Aku kira, satu adalah bilik Pak Madi dan Mak Minah. Satu untuk anak-anak gadisnya dan satu lagi untuk si teruna. Satu lagi... mungkin bilik solat memandangkan terdapat sejadah dan kain sembahyang yang tersusun rapi di dalamnya. Alhamdulillah... aku terpilih untuk bersama-sama sebuah keluarga sakinah yang boleh kujadikan panduan untuk hari mendatang, insya-ALLAH.
“Assalammualaikum....”
Panjang sungguh salam yang diberi. Aku menjenguk ke pintu. Dua orang puteri comel baru pulang dari sekolah. Shazleen dan Nadia agaknya. Mereka berjalan ke arahku dan menyalamiku dengan sopan. Aku tersenyum dan mencium pipi mereka. “Ayah mana?” Aku bertanya mesra.
“Ayah pergi kerja,” jawab salah seorang daripada mereka. Shazleen agaknya kerana dia nampak lebih rendah dan agak kebudak-budakan berbanding seorang lagi.
“Nama siapa?” soalku lagi meskipun sudah mengetahui nama keduanya.
“Saya Nadia. Yang ini, adik saya. Namanya Shazleen,” kata Nadia. Pandai dia menyusun kata.
“Dah makan?”
“Sudah... makan di sekolah,” Shazleen tersenyum sipu.
“Akak duduk dahulu, kami hendak mandi dahulu,” kata Nadia pula.
Mahu tergelak dibuatnya aku melihat Nadia yang menggunakan bahasa Melayu baku ketika bertutur denganku. Maklumlah, tahun ini UPSR!
“Insya-ALLAH,” balasku pendek.
Shazleen segera berlari memasuki biliknya manakala Nadia berjalan dengan penuh sopan.
“Assalammualaikum, Asha?”
Aku ditegur seseorang, Mak Minah agaknya.
“Ya, mak cik. Waalaikumussalam,” aku tersenyum sambil memandang Mak Minah yang jernih wajahnya. Membuatkan aku terpaku sendiri. Meskipun tudung labuh itu nampak lusuh, Mak Minah kelihatan menawan. Inilah heroin kepada putera-puteri yang diceritakan Sal sebentar tadi.
“Maaflah. Mak cik ambil Amir di tadika. Lewat pula sebab jumpa cikgu sekejap.” Mak Minah menjelaskan.
“Tak apa, mak cik. Saya baru sahaja minum dengan Sal. Mak cik nak minum? Saya boleh ambilkan,” kataku sambil tersenyum. Semacam aku pula yang menjadi tuan rumah.
Mak Minah memandang tepat anak mataku, “Mak cik dah minum dengan cikgu sekolah Amir tadi. Marilah kita duduk-duduk dahulu,” ajaknya.
“Baik, mak cik,” aku menuruti langkahnya.
“Tentu letih perjalanan dari Kuala Lumpur ke sini. Sal, bawakan air suam untuk Kak Asha,” kata Mak Minah separuh menjerit tetapi tetap lembut.
“Eh... susah-susah pula, mak cik. Saya baru sahaja minum teh o ais dengan Sal,” aku sedikit membantah. Tidak mahu menyusahkan sebenarnya.
“Tak apa. Selepas minum air manis, lebih baik minum air suam pula,” katanya persis seorang ibu yang sedang menasihati anaknya.
Aku tersenyum lagi.
“Jam 3.00 nanti, budak-budak datang rumah. Mak cik mengajar mengaji. Awalnya, hendak batalkan kelas mengaji hari ini tapi Nadia terlupa pula maklumkan kepada kawan-kawan dia,” beritahu Mak Minah.
“Batal? Kenapa, mak cik?” Dahiku berkerut.
“Rumah kami ada tetamu istimewa hari ini,” sampuk Sal sambil menghidangkan dua gelas air suam kepada aku dan Mak Minah.
“Eh, menyusahkan mak cik pula... Dahlah saya bermalam di rumah mak cik, mengganggu aktiviti harian pula,” aku berbasa-basi.
“Tak adalah, Asha. Bukankah tetamu itu membawa barakah?” Mak Minah diam seketika. “Asha rehatlah dahulu.Duduk dalam bilik Sal. Tentu belum hilang penat naik bas. Bukan dekat Kuala Lumpur dengan Terengganu ni.” Dia mencadangkan.
“Kak Sha, tempat tidur dah saya sediakan. Kak Sha rehat-rehatlah dahulu. Nanti asar saya kejut Kak Sha. Insya-ALLAH,” ucap Sal. Begku awal-awal lagi sudah diletakkan di dalam biliknya.
Kerana terlalu kepenatan, akhirnya aku terlelap.
~bersambung~