Mencari Naurah (Bab 14)


AKAK mandi dahulu, boleh? Sebab bilik air tidak ada api,” kata Sal. Jam menunjukkan pukul 7.00 malam.

“Ya, insya-ALLAH,” jawabku. Tidak mahu Sal risau memikirkan kebajikanku.

Sesudah menunaikan solat maghrib, aku lihat makan malam sudah tersedia. ‘Menjadi seperti tuan puteri

pula,’ aku memarahi diriku. Aku pun tidak tahu apa yang boleh aku lakukan. Sal dan Mak Minah seolah-olah tidak membenarkan langsung aku membantu mereka membuat kerja rumah. Kata Sal, aku adalah tetamu. Jadi aku perlu berehat. Katanya lagi, “Meraikan tetamu adalah kewajiban setiap muslim.” Walaupun telah kujelaskan kepada mereka tentang perananku dalam program baktisiswa ini, mereka tetap melayanku umpama tetamu VIP.

“Amir, baca doa makan, sayang,” kata Mak Minah dengan suara yang lembut.


“Allahumma bariklana fi ma razaktana waqina ‘azabannar...”

“Pandai anak ayah,” Pak Madi memuji lalu menjamah makanan yang disediakan.

“Sedapnya. Lama sangat tak makan lauk ayam,” kata Shazleen.

“Alhamdulillah,” Sal menyampuk. Mungkin ingin menegur Shazleen secara tidak langsung.

“Pak cik beli ayam di mana?” aku bertanya Pak Madi perlahan. Risau sebenarnya. Khuatir jika ayam yang kujamah ini merupakan ayam kampung dan aku... sedari kecil tidak makan ayam kampung meskipun tidak diragui kehalalannya.

“Kedai Pak Su Yah,” Pak Madi menjawab sambil tersenyum.

Harap-harap Pak Madi tidak berkecil hati dengan soalan yang kuajukan.

“Akak jangan risau. Ni ayam bandar,” celah Sal. Dia turut tersenyum.

Malu aku dibuatnya.

“Akak tak makan ayam kampung?” Nadia pula mengajukan soalan buatku.

Aku mengenyitkan mata kepadanya.

“Di sini, hanya orang asli tak makan ayam kampung sebab...” Shazleen memulakan cerita.

“Shazleen!!!” Mak Minah mencelah. Kedengaran nada suaranya lebih tinggi daripada biasa. “Bila aktiviti sebenar bermula?” sambungnya lagi sambil memandang anak mataku.

“Pagi esok kena berkumpul di dewan serbaguna,” jawabku ringkas.

“Shazleen dan Nadia ikut boleh?” Nadia bertanya.

“Insya-ALLAH, boleh. Lagipun, aktiviti adik-adik bermula jam 9.00 pagi esok,” jawabku lalu menuang air sirap ke dalam gelas.

“Asha belajar tahun berapa?” Mak Minah masih ramah bertanya.

“Tahun tiga,” aku menjawab pendek sambil memerhatikan Pak Madi yang semacam hendak beransur.

“Pak cik pergi surau dahulu. Asha buatlah macam rumah sendiri, ” kata Pak Madi.

Aku tersenyum lagi. Betul tekaanku.

“Maaflah, kak. Ayah tidak dapat tunggu sehingga semua selesai makan...” Sal memberi penjelasan. “Biasanya, ayah jarang makan malam sebenarnya,” sambungnya.

“Ayah memang selalu solat maghrib dan isyak di surau,” kata Shazleen pula.

“Rumah ni jadi nombor dua di hati ayah,” Nadia menambah.

Mak Minah hanya tersenyum.

Sesudah makan malam, Shazleen dan Nadia sudah bersiap sedia dengan telekung mereka. ‘Mahu solat isyak agaknya,’ aku berkata di dalam hati.

Sal berkata, “Akak rehat dahulu, kami solat sekejap.”

“Jangan risau. Silakan,” kataku perlahan.

“Terima kasih, kak.”

Entah kenapa Sal berterima kasih kepadaku. Aku pun tidak tahu. Mungkin kerana aku telah merelakan diriku ditinggalkan seketika. Bukankah aku tetamu?

Mataku tertumpu pada peti televisyen yang dipasang namun fikiranku melayang jauh. Aku senyum sendiri sambil berbicara perlahan, “Barang siapa yang mengucapkan, tiada TUHAN yang diabdikan diri melainkan ALLAH, dia adalah pendakwah.” Namun... nampaknya bukan aku yang berdakwah tetapi telah didakwah.

~bersambung~

0 Responses