Mencari Naurah (Bab 15)


“SHAZLEEN, Nadia beratur dahulu. Akak hendak jumpa kawan-kawan akak sekejap,” kataku apabila kami tiba di dewan serbaguna. Kelihatan para fasilitator sudah berkumpul di suatu tempat. Membuat perbincangan akhir mungkin.

Belum sempat kakiku melangkah, Nadia menarik tanganku perlahan lalu berkata, “Mak pesan, perlu bersalam sebelum berpisah. Assalammualaikum, kak.”

Tidak lama selepas itu, Shazleen pula menyusul. Dia memandang tepat anak mataku. “Akak jangan tinggal kami lama-lama, boleh? Shazleen sayang akak,” ucapnya sambil tersenyum manis.

“Waalaikumussalam, sayang,” jawabku ringkas. Cepat-cepat aku berjalan ke arah Kak Rose dan rakan-rakan. Aku melihat jam di pergelangan tangan. Alhamdulillah, aku tidak lewat.

“Lajunya jalan sampai tidak perasan ada orang di belakang dia!” sergah Anuar seraya tersenyum sumbing.

Aku meliriknya tajam kemudian memandang Asyraf yang sedang memberi penerangan. Entah bila lelaki ini mahu insaf, aku sendiri tidak tahu. Tidak bolehkah ia menjadi seperti...

“Seperti yang telah dirancang, aktiviti bermula dengan sesi perkenalan mengikut kumpulan. Masa yang diberi adalah selama 30 minit. Kumpul data adik-adik. Setelah selesai semuanya, beri masa 15 minit untuk adik-adik berehat,” terang Asyraf. Dia diam seketika lalu menyambung, “Ada sebarang soalan?”

“Minum pagi ada tidak?” Anuar bertanya. Seriuskah dia?

“Hmm... jam 10.00 nanti... insya-ALLAH ada minum pagi. Anuar laparkah?” jawab Asyraf sambil tersenyum. Senyuman yang berjaya memukau hatiku.

“Laparlah juga. Pagi tadi, kena kawal... rumah orang,” Anuar berterus-terang dengan selamba.

Kedengaran gelak tawa fasilitator. Agak lucu lawak yang dibuat Anuar tetapi sukar benar bagiku untuk ketawa. Mungkin masih sakit hati dengan tindakan dan tingkah lakunya.

“Baik...” Asyraf diam sejenak. “Jumpa saya selepas ini. Ada sesiapa lagi yang kelaparan?” sambung Asyraf lagi.

“Natasha!” jerit Anuar.

Argh!!! Lelaki ini masih belum puas menyakatku.

“Ada apa-apa lagi?” Mujur Asyraf tidak melayan karenah Anuar yang entah apa-apa itu.

“Tiada,” kami menjawab serentak.

“Kalau begitu, bagus. Selamat maju jaya,” kata Asyraf memberi motivasi.

“Ya! Satu Malaysia; Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan,” celah Anuar.

Para fasilitator saling berpandangan. Kemudian, mereka pun bersurai. Hanya aku yang tidak berganjak dari tempat aku berdiri tadi.

“Ada apa-apa yang tidak kena, Natasha?”

Tiba-tiba, aku ditegur seseorang. Alamak!

“Tak ada apa-apa.” Aku menjawab sambil menundukkan kepalaku ke tanah. Dup dap dup dap... jantungku berdegup kencang.

“Anuar memang suka bergurau. Jangan ambil hati dengan dia. Yang penting, kita perlu sentiasa betulkan niat. Lagipun, bagus juga Anuar membuat lawak pagi-pagi begini. Ceria sedikit suasana,” Asyraf seakan memujuk tetapi tetap dalam nada yang tegas.

Aku hanya diam tidak mampu berkata-kata.

Mana mungkin aku tidak jatuh cinta dengan keprihatinannya. Mustahil aku tidak jatuh hati dengan kepimpinannya. Asyraf bijak mengawal suasana dan sentiasa rasional tatkala berhadapan dengan sesuatu yang sudah dijangka ataupun di luar jangkaan. Lelaki ini sememangnya seorang ketua dan pemimpin yang baik. Dia seolah-olah lelaki sempurna... lebih hebat daripada hebatnya Laksamana Sunan dalam Hijab Sang Pencinta.

~bersambung~

2 Responses
  1. wah.. best pulak baca cerita ni. tak sangka saya masuk ke blog penulis. ^^,

    saya teringin nak menulis novel. tapi tak berapa nak reti aje. selalu tulis ikut suka aje.. hehehe.. ^^,


  2. Salam kenal, Faaein Talip Roy.

    Selamat datang ke teratak Siti Muthiah yang ________ (tidak tahu hendak kata apa).

    Jika mahu menulis novel dan punya minat dan kesungguhan, jomlah. Boleh ke sini -> http://siti-muthiah.blogspot.com/search/label/Impian%20dan%20cita-cita

    Ada serba sedikit perkongsian tentang 'Mahu menjadi penulis.'

    Salam kenal ^^