Jika mahu menjadi penulis dengan Alaf21 (ix)
Tuesday, October 25, 2011
Assalammualaikum. Apa khabar, 'murid-murid'? <- Muthiah bajet jadi cikgu.
Betul. Muthiah memang pernah menjadi cikgu tusyen, juga cikgu sukarela. Anak-anak murid panggil... Cikgu LISA. Comel, bukan tetapi Muthiah sedar. Muthiah tidaklah comel macam Lisa Surihani. Namun, Muthiah bersyukur dengan kurniaan TUHAN. Dengan kata lain, 'Aku, dia, kita dan mereka sebenarnya comel.'
Baik. Tips penulisan hari ini... seperti biasa, disampaikan juga oleh Puan Sa'adiah Mohammad, editor di Alaf 21. 'Saya' dalam nota di bawah adalah merujuk kepada Puan Sa'adiah ^^
WATAK DAN PERWATAKAN
- Saya hendak tekankan perkara ini kerana ada juga penulis yang keliru, tidak yakin atau hilang fokus apabila mahu mengembangkan sesuatu watak. Kita tahu kebanyakan manuskrip mengutamakan watak hero dan heroin. Kemudian diwujudkan watak-watak pembantu pertama, kedua dan seterusnya. Akan tetapi ada berlaku, manuskrip yang kita terima daripada penulis-penulis baru, dia tidak dapat membezakan yang mana satu watak hero atau watak heroin.
Contohnya; watak Aziz dan Nizam, tidak pasti yang mana satu hero. Begitu juga watak Diba dan Azie, yang mana satu heroinnya. Kalau menurut sinopsis yang diberi, kisah berkisar pada watak Aziz dan Diba yang menghadapi tentangan untuk mendirikan rumah tangga. Nizam dan Azie hanyalah watak pembantu kerana mereka adalah rakan baik Aziz dan Diba. Akan tetapi, keadaan yang berlaku sebaliknya. Kecuali... jalan cerita ditukar; dua pasangan ini menghadapi cinta empat segi antara mereka. Jika ini yang dimaksudkan, perlu ada watak-watak pembantu bagi mengembangkan cerita seterusnya.
- Sebelum mula menulis, anda perlu menyenaraikan nama-nama watak dalam cerita mulai bab 1 hingga ke bab akhir. Kalau ada 10 watak, lebih baik semua watak ini bercakap (ada dialog). Akan tetapi, ada pengecualiannya jika watak yang disebut itu sudah meninggal dunia dan menyebutnya sekadar kenangan.
- Nama-nama watak. Ada penulis suka sangat menamakan watak menurut huruf abjad yang disukai.
Contohnya; nama hero Faiz, heroinnya Fiza, watak pembantu Farah dan Faizal. Kalau ada watak adik-beradik; Fuad, Faliq, Farhana; emaknya Fatimah dan bapanya Fahim. Amboiiii... Pembaca nak ingatkan nama watak-watak ini pun sudah keliru sungguh. Itu belum lagi yang suka abjad N, K, J dan sebagainya. Saya cadangkan, pelbagaikan abjad nama barulah harmoni.
- Ejaan nama. Sebaik-baiknya, ejalah mengikut kesesuaian sebutan. Adakah anda sengaja mengejanya dengan tambahan abjad untuk nampak pelik dan lain daripada orang lain?
Contoh; Jasmin-Jasmyyn, Khairil - Khaireell, Isabella - Izabeella dan sebagainya.
- Dua nama. Trend ini amat disukai oleh penulis-penulis baru.
Contoh nama; Izabeella Jasmyyn, Asshraaff Khaireell. Kalau dalam manuskrip, sukar nak sebut dua nama ini berulang kali dalam dialog dan naratif dari bab 1 hingga ke bab akhir. Kalau tidak berbuih mulut, kering tekak pembaca nak menyebutnya. Jadi, sendiri mau ingat!
JALAN CERITA
- Sebelum mula menulis, fikir masak-masak cerita apa yang hendak anda karang. Ambil buku latihan sekolah anak-anak dan buat gambaran kasar. Bab 1, senaraikan watak dan cerita apa di situ. Bab 2, senarai watak lagi dan kisah seterusnya pula. Begitu juga dengan bab-bab seterusnya. Jika anda terlupa, anda boleh rujuk di sini. Atau boleh buat tambahan teks berdasarkan catatan-catatan kasar yang telah anda tulis.
- Amat penting setiap bab mempunyai kesinambungan cerita.
Contoh; bab 1 - 3 berkisar tentang watak utama. Bab 4 - 5, alihkan cerita pada watak kedua atau sampingan. Bab 6-7 balik semula kepada watak utama. Elakkan bercerita tentang watak hero atau heroin mulai bab 1 - 10. Pembaca akan bosan sebab pergerakan cerita lambat. Sebenarnya, anda mesti bijak menghidangkan 5 bab pertama yang enak dan berkhasiat untuk menarik pembaca. Insyallah... mereka akan terus berselera untuk menikmati karya anda sampai titik nokhtah.
Okey. Kita sambung lain kali.
Muthiah : Pun sedang belajar ;)