Sabar dan solat (al-Baqarah, 2:45-46)


Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.

(Iaitu) orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui TUHAN-nya, dan bahawa mereka akan kembali kepada-NYA.

(Al-Baqarah, 2:45-46)

Assalammualaikum, dan salam sejahtera.

Yuk...

Katakan pada diri, "Sabar! Solat! Sabar! Solat! Sabar! Solat! Sabar! Solat!"

Sesungguhnya, ALLAH dekat dengan hamba-hamba-NYA yang sabar...

Dan solat itu mendekatkan seorang hamba kepada TUHAN-nya.

Moga kita tidak menjauh daripada-NYA tatkala diuji ^^

Siapa yang kita perolok-olokkan? (al-Baqarah, 2:13-15)



Apabila dikatakan kepada mereka, "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang lain telah beriman." Mereka menjawab, "Akan berimankah kami sebagaimana orang-orang yang bodoh itu telah beriman?" Ingatlah, sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh; tetapi mereka tidak tahu.

Dan apabila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka mengatakan, "Kami telah beriman". Dan apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka mengatakan, "Sesungguhnya kami sependirian dengan kamu, kami hanyalah berolok-olok."

Allah akan (membalas) olok-olokan mereka dan membiarkan mereka terumbang-ambing di dalam kesesatan mereka. (Al-Baqarah, 2:13-15)

Assalammualaikum dan salam sejahtera,

Moga kita terpelihara daripada tipu daya syaitan, juga tidak dibiarkan ALLAH terumbang-ambing atas olok-olok yang kita lakukan... dalam sedar mahupun tidak. Sesungguhnya, ALLAH Mata Tahu, Maha Teliti Penghitungan-NYA <3

Nota : Fikir dan renung...

Serahkan sahaja pada DIA


Dia...

Dipandang serong oleh sang mertua...
Kakak iparnya pula asyik berburuk sangka...
Adik ipar? Hmm... tidak belajar dan tahu menghormatinya...

Dia tetap tersenyum... dan lagi, dan lagi. Sesungguhnya, dia adalah bidadari dunia. Moga ALLAH memberkati hidupnya sentiasa.

Satu hari, aku bertanya, "Tak ada rasa dendam ke? Sakit hati? Kecewa..."

Dia menggeleng seraya menjawab, "Tak ada sedikit pun. Saya tahu ALLAH ada dan hari pembalasan itu pasti. Sebab itu saya selalu gembira." Dia tetap dengan senyum manisnya.

Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan walau seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula. (Az-Zalzalah, 99:7-8)

...

Jauhi pandangan serong, buruk sangka dan belajarlah untuk menghormati manusia lainnya.

Apabila diuji...

Sedarlah, wahai hati yang lara.
ALLAH dekat... Maha Teliti Penghitungan-NYA ♥
Labels: 0 comments | | edit post

Takwa -> Untung (al-Baqarah, 2:2-5)


Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa. (Iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang KAMI anugerahkan kepada mereka. Dan mereka yang beriman kepada kitab (Al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk daripada TUHAN mereka, dan merekalah orang-orang yang beruntung (Al-Baqarah, 2:2-5)

Yuk, jadi hamba ALLAH yang bertakwa, juga mendapat keuntungan...

1- Beriman kepada perkara ghaib.
2- Mendirikan solat.
3- Menafkahkan rezeki ke jalan-NYA.
4- Beriman kepada Al-Quran dan kitab-kitab terdahulu.
5- Yakin dengan kehidupan hari akhirat.

Ayuh kita ambil masa menyelami 5 item yang disebutkan di dalam Al-Quran ini.

Nota : Takwa -> Untung ♥

Hanya padamu, ALLAH (al-Fatihah, 1:5)



Hanya kepada ENGKAU kami mengabdikan diri dan kepada ENGKAU kami memohon pertolongan (Al-Fatihah, 1:5)

Hakikatnya, kita tidak pernah sendiri. Kita punya ALLAH yang Maha Mendengar, Melihat, Mengetahui bahkan Maha Teliti Penghitungan-NYA. Serah segalanya pada DIA yang Maha Arif atas segala sesuatu.

Justeru, dekatkanlah jasad dan jiwa kita kepada-NYA. Hampir... biar terus mendekat.

Nota : Buntu? Mintalah pertolongan kepada DIA dengan penuh harap...

Sesungguhnya, hidup dan matiku hanya untuk ALLAH :)

Mencari Naurah (Bab 33)

Novel | Mencari Naurah

“HELO... nama saya Tengku Amalin tetapi awak boleh panggil saya, Alin,” kata Tengku Amalin memperkenalkan dirinya. Tangannya dihulur tanda perkenalan.

Tanpa menyambut tangan Amalin, Asyraf membalas, “Assalammualaikum. Saya Asyraf Daniel. Orang panggil Asyraf sahaja.”

“Asyraf... mama keluar dengan Datin Azira dahulu. Asyraf berbuallah dengan Alin,” jerit Datin Khatty. Tanpa lengah, dia menaiki kereta Honda City milik Asyraf. Tidak terkecuali Datin Azira yang berjalan di belakangnya.

“Saya pandu,” kata Datin Khatty sambil tersenyum manis.

“Terpulanglah, datin.”

Datin Azira dan Datin Khatty sama-sama tersenyum.


“Alin, tolong jaga anak teruna aunty,” jerit Datin Khatty.

“Baik, aunty,” balas Amalin pula sambil melambai-lambaikan tangannya.

“Duduklah dahulu. Saya panggil bibik buatkan air. Awak mahu minum air panas atau sejuk?” tanya Amalin.

‘Bibik lagi,’ bisik hati kecil Asyraf. “Panas, terima kasih.” Jawab Asyraf pendek.

“Bibik, bawakan Horlicks panas dan air tembikai,” Amalin menjerit kuat.

“Baik, bu,” balas pembantu rumah. Turut sama menjerit.

Asyraf tersenyum sendiri. Bibik dan tuannya sama-sama melolong.

“Aunty Khatty cakap, awak bakal jadi doktor. Tahniah,” ucap Amalin. Tidak lagi menjerit seperti sebelumnya.

“Terima kasih...” Mata Asyraf memandang ke arah sepasang kembar yang sedang asyik berlari. Tidak sanggup melihat Amalin yang kelihatan bajunya seperti tidak cukup kain. Terbelah sana sini. Khuatir imannya tergugat. Apapun keadaannya, dia tetap lelaki!

“Adik bongsu saya. Mama terkemalangan mengandung,” Amalin ketawa kecil. “Umur awak berapa?” Dia bertanya lagi.

“26,” pendek jawapan yang diberi oleh Asyraf.

“Umur saya 23. Minggu hadapan, saya mula bekerja di syarikat Big Four, dekat Jalan Sultan Ismail,” ujar Amalin lagi tanpa disoal.

‘Jalan Sultan Ismail? Syarikat Big Four?’ Asyraf bertanya sendiri. “Syarikat PWC ke?” Adakah Amalin akan bekerja satu pejabat dengan Natasha dan Anuar?

“Betul. Saya bakal menjadi juruaudit,” jawab Amalin sambil tersenyum bangga. “Sebenarnya, saya nak menetap di United Kingdom tetapi mama tak izinkan.” Dia mula bercerita. “Tempat itu lagi bebas. Di Malaysia, saya rasa terkongkong. Saya pakai kain singkat, semua mata pandang. Kalau saya tidak pakai apa-apa, mesti semua orang tidak boleh buat kerja,” kata Tengku Amalin lagi. Dia pura-pura ketawa kecil.

Asyraf hanya diam...

“Kelab malam di sini pun tidak sehebat kelab malam di United Kingdom. Apabila saya minum, semua pandang. Hatta orang Cina dan India pun tengok lain macam sahaja. Walaupun begitu, saya kira sudah banyak perubahan dan peningkatan. Banyak juga unsur-unsur dari Barat menular dalam kehidupan masyarakat di sini. Satu perkembangan yang baik,” Amalin menambah.

‘Memanglah orang Cina dan India pandang. Awak memiliki wajah seorang gadis Melayu dan beragama Islam,’ bisik Asyraf. Hatinya menggelegak. “Apa yang awak maksudkan dengan peningkatan?” suaranya sedikit meninggi.

“Ada juga budak Melayu yang tuang arak. Jadi, tidaklah rasa kolot sangat.” Amalin berkata dengan bangganya.

‘Kolot! Bukan kolot tetapi jahil namanya tu. Arak itu haram!’ bentak hati Asyraf lagi.

“Satu lagi, Khamis lepas saya ke sebuah disko berhampiran Taman Jaya... Saya menari dengan seorang budak lelaki yang sangat kacak. Muka ala-ala Brad Pitt. Tiba-tiba, ada seorang perempuan muda datang serang saya. Mengamuk... sungguh memalukan.” Amalin ketawa yang dibuat-buat. “Sebab itulah saya mahu kembali ke United Kingdom. Bebas! Dan saya suka jika jalan hidup kita di sini berpaksikan negara Barat!”

Dia tersenyum. “Apa pandangan awak tentang dara?” Entah kenapa soalan itu tiba-tiba terpacul dari bibir anak gadis Datin Azira itu.

‘Nah, inilah peluang yang datang. Terima kasih, TUHAN...’ kata Asyraf di dalam hatinya. “Dara? Sebagai seorang lelaki sejati, saya mahukan seorang dara yang dapat mengisi kekosongan hidup saya. Maksud saya, jika hendak mencari isteri, mestilah yang masih dara. Lagipun, saya orang Islam. Zina itu dilarang, arak itu dilarang, pergaulan bebas itu ditegah sama sekali!!!” katanya lembut tetapi tegas.

“Argh... awak pun kolot macam orang lain. Saya rasa, awak kena ikut saya seminggu. Pasti corak pemikiran awak akan lebih terbuka,” segera Amalin memintas kata-kata Asyraf. “Hidup bererti menikmatinya. Jangan disekat kehendak itu, boleh jadi gila.” Dia seolah-olah berfalsafah.

Allahu Akbar Allahu Akbar... tiba-tiba kedengaran azan dari surau yang berdekatan rumah Amalin.

“Surau mana?” soal Asyraf serius.

“Kenapa awak hendak ke surau?” Amalin bertanya kembali.

“Saya mahu tidur. Hmm... Cik Amalin, saya seorang Muslim dan bila mana saya mengakui agama anutan saya adalah Islam, saya perlu menunaikan tanggungjawab saya selaku seorang yang beragama Islam. Jadi, perlulah bersegera menunaikan solat. Melengahkan solat tanpa sebab yang munasabah merupakan sesuatu yang tidak disukai ALLAH. Bukankah sudah azan? Awak hendak ikut?” Asyraf diam sejenak. Dia memandang Amalin yang diam membatu. "Awak nak ikut tak?" soal Asyraf lagi. "Hmmm… boleh ke?" Amalin nampaknya ragu-ragu.

“Boleh! Tetapi awak mesti salin baju awak dahulu. Nanti, semua makhluk tengok peha awak. Bukan sahaja manusia, lalat pun pasti teruja,” Asyraf sedikit mengejek.

“Kalau Datin Khatty balik, tolong maklumkan kepadanya bahawa saya pulang dahulu. Insya-ALLAH, saya naik teksi,” sambungnya lagi.

“Assalammualaikum,” Asyraf kemudiannya segera berjalan ke surau berhampiran... tanpa menoleh lagi.

~bersambung~

26 Februari dalam kenangan ^___^

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah. Hari ini rasa ...

  • Gembira...
  • Tenang...
  • Suka hati...

Sebabnya pula banyak...

  • Alhamdulillah, masih bernyawa.. dapat menghirup udara segar milik ALLAH sehingga ke saat ini.
  • Rasa dihargai oleh ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat-sahabat. Doa itu sungguh... telah membuatkan Muthiah tersenyum. Muthiah sayang sama semua.
  • Dapat hadiah sangat istimewa daripada si dia, Alhamdulillah. Juga... daripada mama di kampung. Lalalala...

Namun... paling utama... rasa ini boleh jadi hadir kerna...


Muthiah cakap pada suami, "Azam umur meningkat ini ialah hendak menjadi isteri solehah... anak solehah... menantu solehah... kakak yang solehah... juga insan yang menyenangkan orang lain."

........
........

Wah! Besarnya impian... syok sendiri kot. TIDAK! Muthiah mahu! Mahu! Mahu! Amin...

Hmm... kita mungkin tidak boleh buat semua... kita juga mungkin tidak dapat sentiasa menjadi yang terbaik untuk semua orang tetapi kita boleh berusaha ke arah itu, insya-ALLAH. Tidak mampu buat semua, usah tinggal segalanya. Yuk! ^^

Kita boleh kata... kita hendak capai redha ALLAH... hendak itu dan ini tetapi sejauh mana usaha kita? Huhu <- Peringatan untuk diri Muthiah dan sahabat-sahabat. Namun! Tidak salah untuk menanam azam dan impian, kan:) Moga-moga... moga-moga... amin ya Rabbal 'Alamin.

......................................
...................................................
.................................................................
..........................................................................

Keazaman ini membuatkan Muthiah rasa... entah. Sukar untuk diungkap dengan kata-kata.

Moga ALLAH pilih Muthiah menjadi salah seorang hamba yang sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada-NYA.

Salam sayang buat semua ^____^

Si tua

Gambar : Sekadar gambar hiasan

Entah kenapa
hati ini berasa sayu
melihatkan sang tua
berbasikal lama
dengan baju biru
duduk melepas lelah
di madrasah milik TUHAN
sememangnya alam ini hak DIA

Sang lelaki tua
tidak berdaya berbicara apa
aku simpati
namun tiada kudratku
untuk meringan beban
kerna hakikat aku tidak menahu
apakah mahunya?
siapakah dia?

Doaku pada Yang ESA
moga dia dilimpah rahmat
bahagia dunia akhirat

23/2/2012
3:20pm
Kuaters Kastam
Fair Park, Ipoh

Labels: 2 comments | | edit post

Sakit jantung

Assalammualaikum. Entahlah. Sejak akhir-akhir ini, Muthiah berasa gusar dengan penyakit ini. Khuatir corak pemakanan yang tidak sihat menyebabkan Muthiah dan suami melorongkan diri kepadanya. Iyalah. Muthiah kan MasterChef di rumah. Tambahan pula...

I LOVE HIM MUCH THAN HE DOES ^___^

Jom baca. Muthiah petik dari web penerangan Malaysia. Sumber yang tertulis di web tersebut ialah Kementerian Kesihatan Malaysia. Afwan, Muthiah cuba dapatkan pautannya tetapi tidak berjaya.

SAKIT JANTUNG

Jantung manusia terdiri daripada serabut-serabut otot khusus yang bekerja untuk mengepam darah. Apabila otot jantung tidak mendapat bekalan darah yang cukup, seseorang itu dikatakan mengidap sakit jantung. Antara penyebab bekalan darah ke otot jantung tidak cukup, disebabkan saluran darah menjadi sempit kerana dinding sebelah dalam saluran darah dipenuhi lemak, terutamanya "kolesterol".

SERANGAN PENYAKIT JANTUNG

Penyakit jantung digambarkan sebagai rasa kesakitan yang amat sangat di bahagian dada yang berterusan sehingga setengah jam, menjalar ke arah tangan kiri dan rahang. Pesakit akan mengalami keseukaran untuk bernafas dan perasaan takut yang keterlaluan.

Sebab sebenar rasa kesakitan ini adalah disebabkan kematian sebahagian otot jantung yang disebabkan oleh salur darah di bahagian tersebut tersumbat. Lebih besar salur darah yang tersumbat, lebih merbahaya serangan jantung tersebut. Sekiranya saluran darah tertutup sepenuhnya, sebahagian dari otot jantung akan rosak. Kemudian, sakit dada yang teramat sangat akan terjadi. Keadaan inilah yang dinamakan "serangan sakit jantung".

FAKTOR PENYEBAB

Asap Rokok
  • Mempercepat pembekuan darah
  • Menggalakkan pemendapan lemak pada dinding saluran darah.
  • Mengurangkan bekalan oksigen ke jantung.
  • Tekanan perasaan.
  • Seseorang yang mengalami tekanan perasaan, degup jantungnya, meningkat.
  • Tekanan darahnya juga meningkat.
Kandungan Lemak Yang Tinggi

Lebih tinggi kandungan lemak, lebih berbahaya. Makanan yang tinggi lemak :
Sila kurangkan makanan di atas; Mentega, minyak sapi dan daging berlemak.
  • Mentega,
  • Minyak sapi,
  • Daging berlemak.
Kurang Bersenam

  • Senaman penting untuk menguatkan jantung.
  • Ia juga penting untuk memperbaiki pengaliran darah ke jantung.

Darah Tinggi

  • Darah tinggi menggalakkan berlakunya penyempitan saluran darah.
  • Jantung "terpaksa" mengepam lebih kuat untuk mengalirkan darah melalui saluran yang sempit itu.
  • Lebih tinggi tekanan darah, lebih besar pula peluang serangan sakit jantung.

Kencing Manis

Pesakit kencing manis lebih tinggi peluangnya mendapat serangan sakit jantung.

FAKTOR MENINGKATKAN KEMUNGKINAN MENGHADAPI PENYAKIT JANTUNG KORONARI

  • Jika anda mempunyai keturunan yang mengidap penyakit jantung.
  • Jika anda berusia 35 tahun ke atas dan mempunyai masalah berat badan.
  • Jika anda merokok.
  • Jika anda gagal mengawal tekanan darah anda.
  • Jika anda mengidap penyakit kencing manis.
  • Jika anda menghadapi masalah mengawal tekanan.
  • Jika pemilihan makanan anda tidak betul makanan anda mengandungi kadar kolesterol dan lemak yang tinggi.
  • Jika anda kurang bersenam.
  • Jika anda kurang memakan sayur dan buah segar.
MENGURANGKAN RISIKO SAKIT JANTUNG

  • Anda boleh memastikan sama ada keluarga sebelah ibu atau sebelah bapa anda ada yang menghidap penyakit jantung. Sekiranya ada, anda perlu lebih berwaspada dengan tanda-tanda penyakit jantung dan digalakkan menjalani pemeriksaan tahunan.
  • Berhenti merokok terutama sekiranya anda berusia melebihi 35 tahun.
  • Mengambil ubat dan mengawal permakanan anda sekiranya anda mempunyai tekanan darah tinggi atau kencing manis.
  • Mengawal tekanan perasaan anda dan jangan cepat meradang atau runsing.
Jom makan saya dengan suka hati ^^
  • Digalakkan memakan daging putih "white meat" seperti daging ayam, ikan, dan mengelakkan dari terlalu kerap memakan daging merah "red meat" seperti daging lembu, kambing, kerbau dan lain-lain sepertinya.
  • Mulalah bersenam secara beransur-ansur.
Jomlah makan saya juga :)
  • Gentian serat yang terdapat dalam makanan dipercayai boleh menyerap sebahagian dari lemak / kalesterol, oleh itu pakar permakanan mempercayai makanan yang banyak serat seperti bijiran oat dapat mengurangkan jumlah kalesterol yang diserap oleh badan.
Muthiah : Huhu... suka makan sambal tumis yang pastinya lebih enak jika dimasak pakai minyak yang banyak.

Mencari naurah (Bab 32)

Novel | Mencari Naurah

“ASSALAMMUALAIKUM,” Anuar memberi salam sebaik sahaja ternampak kelibat Asyraf di sudut kafeteria di bawah bangunan pejabatnya.

“Waalaikumussalam. Apa khabar?” Asyraf menjawab sambil menghulurkan tangannya untuk berjabat.

“Alhamdulillah, sihat. Sedang berusaha mencapai misi dan visi. Ingat persatuan sahaja ada?” Anuar ketawa kecil. “Lama kita tak jumpa,” sambungnya lagi.

“Ya, betul. Aku tunggu keputusan penempatan keluar. Kemudian, masuk hospital.”

Tidak berkelip mata Asyraf memandang Anuar yang kelihatan semakin segak. Sedang bahagia, mungkin.

“Engkau sakit?” Dahi Anuar berkerut.

“Hmm... takkan kau tak tahu. Sesungguhnya...” Asyraf seakan-akan mahu memulakan sesi tazkirah paginya. “Rukun persaudaraan Islam itu merangkumi kenal, faham dan tolong...” sambungnya sambil berpura-pura ketawa. “Hmm... apa misi kau, War. Hendak jadi ketua pengarah?” Dia mula bersoal siasat.

“Lagi hebat daripada itu,” Anuar hanya tersenyum penuh makna.

“Alhamdulillah. Apa, ya? Alahai, War. Dengan teman akrab sendiri pun mahu berahsia.” Asyraf mengerutkan dahinya. Tidak berpuas hati kononnya.

“Kalau beritahu, kejutan yang bakal mengejutkan satu dunia tidak akan menjadi. Lagipun, belum dapat lagi,” Anuar mula berbasa-basi. Dia tersenyum lagi.

Asyraf ketawa. “Rasanya aku sudah dapat agak.” Dia membulatkan matanya. “Kau dah jumpa buah hati yang berkenan di hati? Orang mana?” Cepat-cepat dia bertanya.

“Bijak, bijak. Boleh jadi Detektif Conan betul. Eh, silap. Jadi Shinichi Kudo. Sudah jumpa Ran? Atau sudah jatuh cinta dengan wanita berbaju hitam, Haibara?” Anuar masih berdalih-dalih. Dia begitu teruja untuk bercerita tetapi jiwanya tetap mahu berteka-teki. Sudah lama dia tidak menyakat anak emas Dato’ Ghazali ini.

“Apapun, selamat maju jaya.” Akhirnya Asyraf mengalah. Tidak kuasa untuk mengorek rahsia lagi.

“Asha, marilah bersarapan sama-sama,” jerit Anuar tiba-tiba.

‘Hah! Asha bekerja di sini? Bersama-sama Anuar atau...’ Kata Asyraf di dalam hatinya.

“Susah betul hendak petik bunga yang sekuntum ini. Nampaknya engkau pun tidak bernasib baik untuk makan bersamanya. Aku pun tidak pernah ada peluang. Eh, ada sekali. Itu pun kerana terpaksa meraikan aku,” Anuar bercerita panjang lebar.

“Jadi, misi dan visi penting kau adalah untuk memikat gadis sunti ini? Bijak, bijak. Selangkah menuju wawasan 2020.” Asyraf segera memalingkan kepalanya ke belakang. Lama benar tidak bertemu dengan Natasha. Terpaku! Terpaku dia melihat Natasha yang begitu ayu dengan baju kurung hijau yang dipakainya. Dia semakin manis dan menawan. ‘Astaghfirullah...’ bisik Asyraf di dalam hatinya.

“Insya-ALLAH, tetapi agak sukar nak memikat dia. Tidak pernah jalan. Aku pun buntu jadinya,” Anuar berkata sejujurnya.

“Macam mana engkau boleh bekerja satu pejabat dengan dia?” Asyraf menyoal lagi.

“Dah jodoh,” jawab Anuar sambil ketawa, menampaknya giginya yang tersusun rapi. “Gurau sahaja. Aku desak Rose... aku kata kat dia yang aku sekadar nak tahu tempat kerja Natasha. Mula-mula, Rose buat tidak endah tetapi apabila aku sudah terpacak di hadapan sekolah tempat dia mengajar, terus dia bongkarkan rahsia. Malu agaknya dengan tindakan aku yang di luar jangkaan. Hendak tidak hendak, terpaksalah dia buka mulut,” ceritanya.

“Hmm... engkau main kotor nampaknya,” kata Asyraf.

“Aku tak ada pilihan...” ujar Anuar. “Makanku tidak lalu, tidurku tidak lena, mandiku jua tidak basah.” Dia sempat bermadah.

“Banyaklah kau punya songeh, War.”

“Dengarlah dahulu. Dia eksekutif di jabatan sumber manusia. Apa lagi, aku pun cubalah hantar permohonan. Mungkin dia tidak perasan sampai aku boleh terlepas sehingga ke tahap ini...” Anuar tersenyum. “Sudah tentu! Dengan sokongan Tan Sri Muhammad, memudahkan aku untuk masuk ke sini. Lagipun, tidak ada siapa tahu yang Tan Sri adalah pak cik kesayangan aku...”

Asyraf tersenyum.

“Aku dapat PNGK 3.57 dengan MUET band 5. Jadi, apa yang kau fikir? Sepatutnya tidak akan ada masalah jika dilihat dari sudut kelayakan dan orang dalam,” tambah Anuar lagi. “Sewaktu pertama kali bersua muka, Natasha kelihatan terkejut. Walaupun demikian, aku tetap berpuas hati kerana dapat bekerja sebumbung dengannya... Satu hari nanti, tinggal sebumbung pula. Insya-ALLAH,” ujarnya nakal.

“Moga kau dapat yang paling baik dan paling sesuai pada pandangan ALLAH, War,” balas Asyraf.

“Kita ada masa 20 minit lagi. Ada apa-apa yang kau hendak kongsi dengan aku? Tentu banyak cerita, bukan?” Anuar bertanya pula.

“Tidak ada cerita yang menarik. Tunggu untuk praktikkan sahaja segala apa yang telah aku pelajari di kampus,” jawab Asyraf pendek.

“Kau minta hospital mana?” soal Anuar.

“Aku minta sekitar Kuala Lumpur dan Seremban.” Asyraf cuba berpaling ke belakang, namun kelibat Natasha sudah tidak kelihatan.

“Bila hendak kahwin? Sudah ada calon?”

“Aku serahkan pada jodoh.” Entah kenapa Asyraf hilang minat untuk berbicara soal itu.

“Selamat maju jaya untuk kau juga, Asyraf.”

“Insya-ALLAH,” kata Asyraf.

“Baiklah. Dah hampir pukul 9.00. Engkau pun kenal aku, bukan???”

I’m Mr. Punctual. Ever and ever,” Anuar membulatkan matanya sambil tersenyum lebar.

“Okey.. Sampaikan salam aku pada Natasha. Assalammualaikum,” Asyraf menghulurkan tangan kepada Anuar.

“Waalaikumussalam.”

Mereka kemudiannya sama-sama menuju ke lif dan beredar dari kafeteria berkenaan.

~bersambung~

Buah-buahan campuran

Assalammualaikum. Apa khabar?

Muthiah... Alhamdulillah. Bab 30 yang Muthiah rancang untuk buat hari ini berjaya disiapkan. Selepas kemaskini blog, hendak buat kerja mengedit pula, insya-ALLAH. Pukul 6.30 nanti, hendak memasak. Doakan segalanya dipermudah ALLAH, ya ^____^

Apakah yang mahu dikongsikan hari ini? Mengikut perancangan Muthiah, sudah lama Muthiah berasa ingin menulis tentang kisah Nabi SAW... juga membuat entri tentang Freemason yang Muthiah baca tetapi itulah. Idea ada, hendak mencoret, tidak dapat meluahkannya pula. Jadi, bagaimana?

Jomlah...

Resipi mudah yang teramat mudah! Insya-ALLAH... ini adalah resipi mampu buat oleh semua. Yuk^^


Bahan-bahan

1 tin buah-buahan campuran
1 tin susu cair
1 sudu gula (tidak letak pun tidak apa)

Cara membuatnya

Campurkan semua dan... siap. Kemudian, letaklah dalam peti sejuk. Bertambah enak jadinya.

Muthiah : ^___^
Labels: 0 comments | | edit post

Perempuan vs betina

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... not feeling good. Kenapa? Ketepuan, mungkin? Ehe...

Pernah atau tidak?

Kita terkenangkan seseorang yang tidak kita kenal secara rapat (kawan di alam maya contohnya)... tidak pernah bertemu empat mata... tidak pernah tidak namun dia menjadi manusia yang membuatkan hati kita berasa rawan.

Sedih?

Nangislah puas-puas. Bak kata suami Muthiah sewaktu Muthiah berhati walang, "Abe kan ada."

^_____^

Senyumlah. Boleh meraikan rasa sedih itu (Wah! Sedih pun diraikan?) tetapi usah keterlaluan dalam melayan perasaan. Takut jadi sia-sia. Boleh menangis tetapi usah melampau-lampau. Sakitnya kita juga. Kalau penulis macam Muthiah, alahai terbengkalai manuskrip jadinya. Suami pula akan kebankrupan kerana menghabiskan duit membujuk tetapi tidak okey-okey juga.

^_______^

Senyum semakin lebar. Okeylah. Muthiah hendak sambung kerja tetapi sebelum itu... Muthiah ingin berkongsi sedutan cerita Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Mood hari ini ialah tengok sedutan-sedutan cerita P. Ramlee. Semua best tetapi ada sesuatu yang boleh dijadikan renungan buat kita semua, khususnya Muthiah yang sudah bersuami ini. Peringatan buat diri yang selalu lupa dan alpa.

Semoga terhibur <3


Muthiah : Masih 29 ;)


Aku dan diari

Assalammualaikum.

^______^

Senyum dulu, boleh? Bab keseterusnya, boleh Muthiah mulai. Hati mengarahkan Muthiah mengemaskini blog. Sudah taip satu cerita santai tetapi terasa berat hati hendak berkongsi di sini. Oleh sebab masa yang dibazirkan (bazir??? tidaklah) untuk berangan-angan agak lama, Muthiah berkongsi satu catatan kenangan Muthiah sewaktu kecil-kecil dahulu.

Di bawah, adalah catatan Muthiah semasa darjah 4. Membuatkan Muthiah terfikir-fikir sendiri. Begini agaknya hati si anak kecil apabila kehilangan insan yang mereka sayang. Dahulu, Muthiah rasa biasa-biasa sahaja. Rupa-rupanya, di sebalik rasa biasa itu, tersimpan sesuatu. Akukah itu?

Hanya kenangan...

Tandatangan Allahyarham Sudirman Muthiah tiru dari air tin yang ada gambar Sudirman. Rasanya PEPSI.

Bagi ibu atau ayah, pernahkah kita menyelami hati anak-anak kecil kita? Atau, kita tidak pernah ambil tahu tentang mereka. Asal sudah bagi makan, minum, pakai... SUDAH CUKUP!

‘Setiap orang adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dipimpinnya. Seorang ketua negara akan ditanya perihal rakyat yang dipimpimnya. Seorang suami akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri yang memelihara rumah tangga akan ditanya perihal tanggungjawab dan tugasnya…’ (H.R. Bukhari & Muslim)


Bagi anak, sejauh mana kita mensyukuri nikmat kerana masih memiliki ibu dan ayah? Sejauh mana hubungan kita dengan mereka? Adakah mereka pernah terguris dengan kita? Adakah, apakah?

‘…hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka, dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.’ (Al-Isra’, 17:23)

You are my sunshine? Siapakan 'sunshine' dalam hati kita?
  • Suami?
  • Isteri?
  • Ibu?
  • Ayah?
  • _____

Setiap manusia yang hidup, pasti akan merasai mati. Kita pun sama. Tunggu masa sahaja untuk dipanggil kembali. Redhalah. Jika benar sayangkan mereka, berbuat baiklah selagi bernyawa.

Apabila mati anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali 3 perkara;

  • Ilmu yang bermanfaat.
  • Sedekah jariah.
  • Anak-anak yang soleh.
^______^

Mula dengan senyuman, akhir juga dengan senyuman.

Muthiah : 29

Mencari Naurah (Bab 31)

Novel | Mencari Naurah


“ASYRAF teman mama ke rumah Datin Azira, boleh?” ujar Datin Khatty sewaktu mereka sama-sama sedang menikmati sarapan pagi. “Asyraf belum mula kerja, bukan? Bila keputusan keluar?” Dia bertanya lagi.

“Insya-ALLAH, dalam minggu hadapan keputusan penempatan keluar,” Asyraf menjawab ringkas. Kemudian dia menceduk nasi goreng yang disediakan bibik. ‘Sedap,’ bisik hatinya.
“Papa mana, ma?” soal Asyraf pula.

“Rumah bini muda dialah. Mana lagi?” cebik Datin Khatty.

“Jam berapa kita hendak ke rumah Datin Azira?” Asyraf memandang mamanya sekilas, kemudian memandang Dewi yang sedang menuangkan air minuman
ke dalam cawan yang tersedia.

“Dalam jam 12.00. Pagi-pagi begini, anak gadis datin belum bangun lagi. Maklumlah, lama berada di luar negara. Sudah terbiasa dengan gaya hidup anak muda di sana,” Datin Khatty berkira-kira. Dia turut sama menceduk nasi. Sudah dua kali dia menambah.

“Okey... Asyraf keluar sekejap. Jumpa kawan di Jalan Sultan Ismail. Insya-ALLAH, dalam pukul 11.30, Asyraf balik.” Cepat-cepat Asyraf menyudahkan sarapannya. Kemudian, dia terus berjalan ke muka pintu yang sudah terbuka luas. “Assalammualaikum,” ucapnya sambil kakinya menyarungkan sepatu berjenama Adidas.

“Waalaikumussalam,” jawab Dewi.

Tidak kedengaran suara Datin Khatty menjawab salam Asyraf.

Pintu kereta Honda City dibuka perlahan. Minggu lepas, Dato’ Ghazali menghadiahi Asyraf kereta tersebut bersempena kejayaannya menggenggam segulung ijazah. Dia begitu berbangga dengan pencapaian anak terunanya. Jadi, apalah sangat dengan pemberian kereta berkenaan? Dia tersenyum simpul memandang motokar berwarna biru air laut itu.

Mujur papanya tidak membelikan sebuah kereta Mitsubishi Lancer sepertimana yang disarankan mama. Kalau tidak, pasti dia akan berasa tidak selesa. Naluri hatinya tidak menggemari kehidupan yang terlalu mewah. Biarlah berpada-pada. Silap hari bulan, boleh timbul rasa riyak dalam diri. Lagipun, kereta mewah itu merupakan satu pemberian. Lainlah kalau diperolehi daripada hasil usaha titik peluhnya sendiri.

Tiba-tiba kedengaran bunyi SMS. Dia segera mencapai handphonenya yang terletak di atas dashboard..

Di mana? Aku tunggu dalam kafe pejabat aku. Tingkat tiga... apa-apa masalah, kau hubungi aku.

Kereta barunya itu dipecut laju. Dia perlu sampai ke tempat yang dijanjikan lebih awal. Jam 9.00 pagi, temannya itu sudah masuk kerja.

Okey. On the way ke sana.

Muthiah : 28

Jika kamu bersyukur... (Ibrahim, 14:7)

Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah, Alhamdulillah...

Syukur kerana ...

  • Diberi nikmat ISLAM dan IMAN oleh ALLAH sedang masih ada yang berada dalam kesesatan yang nyata, nauzubillah. Moga akan kekal berada di atas jalan ini sampai hujung nyawa, Amin.
  • Masih bernyawa di atas muka bumi ini.
  • Dikurniakan suami, keluarga dan rakan-rakan yang selalu menggembirakan hati.
  • Ehe... idea untuk menulis manuskrip NUR sudah mula berkembang, Alhamdulillah.
  • Dapat sesuatu semalam daripada insan tercinta <- Mode : Hati, hidung kembang.
^____^

Persoalan untuk rakan-rakan : Apakah yang anda rasa apabila membaca posting (tentang syukur) di atas?

a) Menjadikan diri mahu merenung kembali tentang syukur. Cuba senaraikan dan baca sendiri.
b) Meluat. Itu pun hendak tulis! Huh...
c) Biasa-biasa sahaja.
d) Sekejap hendak fikir.

Kemudian : Tepuk dada, tanya sama hati kita ^_____^ (Senyum lagi).

Okey. Ada lagi 4 minit sebelum Muthiah masuk pejabat. Jom kita baca terjemahan ayat suci al-Quran untuk minggu ini.


Dan (ingatlah juga), tatkala TUHAN-mu memaklumkan, "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti KAMI akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-KU), maka sesungguhnya azab-KU sangat pedih." (Ibrahim, 14:7)

Mudah untuk mengungkapkan... Namun, marilah sama-sama kita berusaha menjadi manusia yang sentiasa bersyukur dengan segala kenikmatan yang diberi TUHAN.

Muthiah : Yuk, jom kerja (lewat 4 minit). Hahaha...

Buat pak cik teksi...

Novel | Air Mata Siti Hajar (m/s 207)




Mata lelaki itu membulat. Dia menggeleng perlahan kemudian menekan minyak keretanya meninggalkan tempat itu. Dia merancang hendak menipu tetapi dia pula yang ditipu. Biasalah, lumrah kehidupan. Yang baik, dibalas baik. Yang jahat, dibalas jahat. Bukankah ALLAH itu Maha Teliti penghitungan-NYA? Nasib badan...

Nasi ayam (mudah)

Assalammualaikum. Apa khabar? Insya-ALLAH, hari ini Muthiah ingin berkongsi resepi yang sudah lebih 1 tahun agaknya Muthiah tidak buat. Sewaktu tinggal di Taiping dahulu, masak sokmo. Muthiah selalu masak ____ apabila mood rajin berkurangan, manakala mood malas menguasai diri. Aiyaa...

Jeng jeng jeng...

Oleh sebab lama tidak buat, Muthiah lupa tetapi kurang rajin membelek blog resipi. Jadi, hentam sajalah!


Bahan-bahan dan cara membuatnya

Nasi

Beras 1 pot (untuk 2 orang makan).
Air rebusan ayam (yang hendak dibuat sup) <- Ini cara mama Muthiah buat. Ada orang, guna kiub ayam, mudah.
Tumis bawang putih dan halia dengan planta.

Siap menumis, masukkan dalam beras yang sudah dibersihkan, sekali dengan air rebusan ayam. Tunggu sejuk sebelum masak atas rice cooker. Jika guna dapur, boleh masak terus.

Sup

Ayam yang siap dipotong.
Bawang putih.
Halia.
Sup bunjut.
Ubi kentang -> Potong 2 atau 4.
Garam secukup rasa.
Bawang merah - digoreng <- untuk jadikan bawang goreng. Kemudian, tabur atas sup.
Limau nipis <- untuk perah atas sup yang siap dimasak.
Boleh juga letak daun sup dan daun bawang <- Muthiah jarang letak sebab... hmm... Muthiah suka rasa kosong.

Rebus ayam sekali dengan halia dan bawang putih. Jangan lupa letak sup bunjut. Apabila mendidih, sebahagian air rebusan digunakan untuk masak nasi. Sebahagian lagi untuk dijadikan sup. Siap!

Ayam

Ayam yang direbus ditoskan.
Letak sos tiram dan kicap manis Kipas Udang.
Letak sedikit madu.

Kemudian, goreng sahaja. SEDAP ^_^

Sambal

Huhu... Muthiah terlupa resipinya. Dalam ingat-ingat Muthiah...

Kisar cili merah, sekali dengan tomato, gula dan sedikit cuka. Dahulu seingat Muthiah, mama letak bawang putih dan halia sedikit tetapi Muthiah tidak letak.

Lain-lain

Salad, timun, tomato <- Untuk hiasan dan dimakan.

Selamat mencuba ^_____^
Labels: 0 comments | | edit post

Kenalpasti siapa unfriend kita di Facebook

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Baru hendak memanaskan 'enjin' setelah bercuti lama. Gear pun belum masuk lagi. Insya-ALLAH, esok akan mula menyambung manuskrip yang terhenti agak lama gara-gara bercuti sampai tidak hengat dunia... 'berkursus' di Sungai Petani -> Ehe. Tang berkursus ini, insya-ALLAH, ada satu hasil yang Muthiah berjaya keluarkan. Siap satu cerpen. Jeng jeng jeng, Alhamdulillah. Kemudian, cuti Maulidur Rasul. Hero-hero datang dari Sekolah Alam Shah. Maka, TER'sambung' cuti lagi.

Baik. Oleh sebab otak Muthiah masih bercuti, hari ini... Muthiah ingin berkongsi sesuatu yang santai tetapi mungkin banyak yang berminat hendak tahu.

Lalalala ^______^

Bagaimana hendak mengenalpasti friend yang unfriend kita di Facebook?

Bagi yang sudah tahu... boleh baca entri lain Muthiah. Ehe ^___^

1) Mula-mula, pastikan anda sudah guna Mozilla Firefox. Jika tidak ada, usah sedih. Usahlah berhiba. Download dulu link Mozilla Firefox ini.

2) Kemudian, kita berlalu ke link Unfriend Finder pula. Namun sebelum itu, apakah yang kita dapat jika sudah download Unfriend Finder ini?

a) Kita akan tahu siapa yang unfriend kita.
b) Kita akan tahu siapa yang deactived daripada Facebook.
c) Kita akan tahu siapa yang ignore kita untuk menjadi kawan di Facebook.
d) Kita akan tahu siapa yang accept kita menjadi kawan di Facebook.

Motif??? - Bergantung pada diri sendiri. Tanya sama pokok, apa sebab goncang... Ia boleh memberi kesan yang positif mahupun negatif. Bagaimana? Tanya sama hati, apa sebab ____...

Okey, berbalik kepada tajuk asal item kedua -> Download Unfriend Finder.


3) Seterusnya, ikuti langkah yang dinyatakan di link yang Muthiah berikan di atas dan hasilnya, seperti yang Muthiah dapat lihat di Facebook Muthiah.


Selamat mencuba dan jika merasakan perkongsian ini hanya membuang masa, abaikan sahaja ^___^ Maaf jika Muthiah TER'ambil' masa kawan-kawan dengan sengaja ;)

T______T (ii)

Assalammualaikum.

^______^

Senyum dulu... senyum lagi... tidak kiralah sama ada senyuman itu ikhlas dari lubuk hati... senyum kelat... atau senyum yang penuh dengan kepura-puraan. Senyum tetapi air mata mengalir laju pun tidak jadi masalah. Apa yang penting -> senyum dan senyum.

Jangan senyum sinis, sudah. Senyum sebegitu agak menyakitkan hati. Betul?

Hari ini, Muthiah berada di Sungai Petani, Kedah kerana mengikut suami yang berkursus di sini. Oleh sebab Muthiah lebih selesa menulis manuskrip di rumah, dekat Swiss-In ni, Muthiah mencoret hal-hal santai sahaja. Target Muthiah dalam 3 hari ini...

  1. Buat cerpen <- Entah bila hendak mula. Selalu tinggal niat sahaja T_T
  2. Kemaskini blog <- Alhamdulillah. Blog kembali hidup.
  3. Studi/ baca buku <- Ya, ALLAH. Permudahkan urusan itu. Hati kata (5% mahu, 95% tak nak).
  4. Edit draf manuskrip yang sudah siap dibuat <- Gambatte!

Hmm... ada sesuatu yang ingin Muthiah luahkan di sini sebenarnya... tetapi tidak tercoret. Ada sesuatu yang Muthiah pendam... hanya ALLAH yang tahu. Diari Muthiah yang tidak boleh bersuara pun tahu. Sudah juga Muthiah ceritakan pada suami... okey sekejap. Kemudian, apabila terkenang kembali peristiwa 28Jan2012 itu, Muthiah kembali trauma. Sedih... tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Rasa marah, kecewa dan benci pada sesuatu yang tidak pernah Muthiah kenal atau tahu tentangnya. Pergilah, pergi. Pergilah jauh-jauh kisah itu jangan kembali.

NOKTAH! <- Jangan merapu banyak sangat! Hahaha....

^______^

(Entah apa-apa letak gambar sendiri :P Senyum ini senyum _______)

Senyum semula. Pernah merasainya? Sedih... kecewa... terkilan... putus asa... hilang percaya... bla bla bla?

^_______^

Senyum lagi. Jom... Jangan kita terlalu melayan rasa itu kerana ia bisa sahaja membinasakan diri sendiri. Sedih tidak apa. Menangis pun tidak apa. Muthiah sendiri, apabila berhati rawan, menangis di bahu suami. Mencoret di dalam diari dengan air mata merembes laju. Namun, biarlah berpada-pada. Nanti, jadi macam P. Ramlee dalam Ibu Mertuaku. Dikhuatiri... bukan setakat diri, jiwa dan hati pun terimpak rasa. Orang depan, belakang, kiri, kanan pun terasa sama.

Doakanlah... agar ingatan kita tentang sesuatu yang menyakitkan itu LUPUS terus dalam ingatan. Boleh? TIDAK! Kita tidak akan mampu meluputkannya dengan sekelip mata. Namun, MAAFKANLAH.

Percayalah, wahai teman. Kita tidak sekali-kali sendiri. ALLAH uji kerana ALLAH menyayangi. Mahu menguatkan hati kita.

Mode ~ Adakah aku berada dalam kondisi merapu macam semalam lagi? Ya! Jadi, maaf kerana membazirkan masa ^^

Muthiah : Oh, En. Suami. Jom jalan-jalan cari pasal! <3

^______^ (i)

Assalammualaikum....

^____________________________^ (Senyum dulu)...

Apa khabar? Muthiah... selsema dan batuk sedikit. Beginilah Muthiah setiap kali lama/ jauh berperjalanan -> Batuk, selsema, tidak sedap tekak = satu pakej lengkap.

21 hari bulan Januari baru-baru ini, Muthiah balik Kelantan. Orang Cina beraya, Muthiah dan suami pun hendak berhari raya juga. Ehe... jalan-jalan cari pasal dengan keluarga mertua.

Kondisi badan -> gagah perkasa lagi, Alhamdulillah.


3 hari di Kelantan, kami balik Terengganu pula pada malam 23 Januari. Na na na na na, Ganu Kite. 'Sere sohor metar asa Ganu.' (Padahal kad pengenalan nombor 14). Seperti di Kelantan, aktiviti yang berlangsung pun sama iaitu jalan-jalan cari pasal. Noktah!

Kondisi badan -> Masih perkasa (Bukan PERKASA!).

Pejam celik, pejam celik... sudah 26 hari bulan. Esoknya, Muthiah ada program di Shah Alam (Festival Karangkraf 2012). Bertolak ke Pasir Mas dari Sungai Tong... bagi hadiah hari jadi ibu mertua yang terlewat. Kemudian, singgah ke Merapoh. Muthiah bergerak ke Kuala Lumpur pada malam 26 hari bulan.

27 hari bulan...

Pertama -> Majlis penyampaian hadiah, Jom Tulis Cerpen, 'Saya hidup positif, anda bila lagi?' di Studio F, Kompleks Karangkraf Shah Alam. Insya-ALLAH, nanti Muthiah kongsikan pengalaman di sebalik pertandingan yang Muthiah masuki ini.


Kedua -> Aktiviti di booth NUR bersama penulis Raihan Zaffya ;)


Tidak sabar untuk tidur di atas tilam di rumah, Muthiah terus balik ke Ipoh pada malamnya.

Terima kasih yang tidak terhingga Muthiah ucapkan kepada suami yang sentiasa menyokong, mengasihi Muthiah sepenuh hati... keluarga yang selalu dekat dalam sanubari Muthiah... rakan-rakan serta semua yang menyayangi Muthiah.

Mode keseluruhan -> ALHAMDULILLAH. Muthiah gembira. Gembira sebab...

Dapat bersama keluarga...
Dapat rasa diri berkerjaya... Chewah ;)

Noktah! Kenapa Muthiah merasakan diri Muthiah sedang merapu-rapu di blog sendiri ini? Sekadar perkongsian perjalanan. Jika ada yang boleh dikutip, ambillah. Jika tidak...

Geleng kepala atau senyum kelat sahaja^^

Nota :

Dalam hidup...

ada senyum... ada mencuka..

Apapun kondisinya, ketahuilah yang kita tidak sendiri.

Muthiah : Merapu ;)