Mencari Naurah (Bab 33)

Novel | Mencari Naurah

“HELO... nama saya Tengku Amalin tetapi awak boleh panggil saya, Alin,” kata Tengku Amalin memperkenalkan dirinya. Tangannya dihulur tanda perkenalan.

Tanpa menyambut tangan Amalin, Asyraf membalas, “Assalammualaikum. Saya Asyraf Daniel. Orang panggil Asyraf sahaja.”

“Asyraf... mama keluar dengan Datin Azira dahulu. Asyraf berbuallah dengan Alin,” jerit Datin Khatty. Tanpa lengah, dia menaiki kereta Honda City milik Asyraf. Tidak terkecuali Datin Azira yang berjalan di belakangnya.

“Saya pandu,” kata Datin Khatty sambil tersenyum manis.

“Terpulanglah, datin.”

Datin Azira dan Datin Khatty sama-sama tersenyum.


“Alin, tolong jaga anak teruna aunty,” jerit Datin Khatty.

“Baik, aunty,” balas Amalin pula sambil melambai-lambaikan tangannya.

“Duduklah dahulu. Saya panggil bibik buatkan air. Awak mahu minum air panas atau sejuk?” tanya Amalin.

‘Bibik lagi,’ bisik hati kecil Asyraf. “Panas, terima kasih.” Jawab Asyraf pendek.

“Bibik, bawakan Horlicks panas dan air tembikai,” Amalin menjerit kuat.

“Baik, bu,” balas pembantu rumah. Turut sama menjerit.

Asyraf tersenyum sendiri. Bibik dan tuannya sama-sama melolong.

“Aunty Khatty cakap, awak bakal jadi doktor. Tahniah,” ucap Amalin. Tidak lagi menjerit seperti sebelumnya.

“Terima kasih...” Mata Asyraf memandang ke arah sepasang kembar yang sedang asyik berlari. Tidak sanggup melihat Amalin yang kelihatan bajunya seperti tidak cukup kain. Terbelah sana sini. Khuatir imannya tergugat. Apapun keadaannya, dia tetap lelaki!

“Adik bongsu saya. Mama terkemalangan mengandung,” Amalin ketawa kecil. “Umur awak berapa?” Dia bertanya lagi.

“26,” pendek jawapan yang diberi oleh Asyraf.

“Umur saya 23. Minggu hadapan, saya mula bekerja di syarikat Big Four, dekat Jalan Sultan Ismail,” ujar Amalin lagi tanpa disoal.

‘Jalan Sultan Ismail? Syarikat Big Four?’ Asyraf bertanya sendiri. “Syarikat PWC ke?” Adakah Amalin akan bekerja satu pejabat dengan Natasha dan Anuar?

“Betul. Saya bakal menjadi juruaudit,” jawab Amalin sambil tersenyum bangga. “Sebenarnya, saya nak menetap di United Kingdom tetapi mama tak izinkan.” Dia mula bercerita. “Tempat itu lagi bebas. Di Malaysia, saya rasa terkongkong. Saya pakai kain singkat, semua mata pandang. Kalau saya tidak pakai apa-apa, mesti semua orang tidak boleh buat kerja,” kata Tengku Amalin lagi. Dia pura-pura ketawa kecil.

Asyraf hanya diam...

“Kelab malam di sini pun tidak sehebat kelab malam di United Kingdom. Apabila saya minum, semua pandang. Hatta orang Cina dan India pun tengok lain macam sahaja. Walaupun begitu, saya kira sudah banyak perubahan dan peningkatan. Banyak juga unsur-unsur dari Barat menular dalam kehidupan masyarakat di sini. Satu perkembangan yang baik,” Amalin menambah.

‘Memanglah orang Cina dan India pandang. Awak memiliki wajah seorang gadis Melayu dan beragama Islam,’ bisik Asyraf. Hatinya menggelegak. “Apa yang awak maksudkan dengan peningkatan?” suaranya sedikit meninggi.

“Ada juga budak Melayu yang tuang arak. Jadi, tidaklah rasa kolot sangat.” Amalin berkata dengan bangganya.

‘Kolot! Bukan kolot tetapi jahil namanya tu. Arak itu haram!’ bentak hati Asyraf lagi.

“Satu lagi, Khamis lepas saya ke sebuah disko berhampiran Taman Jaya... Saya menari dengan seorang budak lelaki yang sangat kacak. Muka ala-ala Brad Pitt. Tiba-tiba, ada seorang perempuan muda datang serang saya. Mengamuk... sungguh memalukan.” Amalin ketawa yang dibuat-buat. “Sebab itulah saya mahu kembali ke United Kingdom. Bebas! Dan saya suka jika jalan hidup kita di sini berpaksikan negara Barat!”

Dia tersenyum. “Apa pandangan awak tentang dara?” Entah kenapa soalan itu tiba-tiba terpacul dari bibir anak gadis Datin Azira itu.

‘Nah, inilah peluang yang datang. Terima kasih, TUHAN...’ kata Asyraf di dalam hatinya. “Dara? Sebagai seorang lelaki sejati, saya mahukan seorang dara yang dapat mengisi kekosongan hidup saya. Maksud saya, jika hendak mencari isteri, mestilah yang masih dara. Lagipun, saya orang Islam. Zina itu dilarang, arak itu dilarang, pergaulan bebas itu ditegah sama sekali!!!” katanya lembut tetapi tegas.

“Argh... awak pun kolot macam orang lain. Saya rasa, awak kena ikut saya seminggu. Pasti corak pemikiran awak akan lebih terbuka,” segera Amalin memintas kata-kata Asyraf. “Hidup bererti menikmatinya. Jangan disekat kehendak itu, boleh jadi gila.” Dia seolah-olah berfalsafah.

Allahu Akbar Allahu Akbar... tiba-tiba kedengaran azan dari surau yang berdekatan rumah Amalin.

“Surau mana?” soal Asyraf serius.

“Kenapa awak hendak ke surau?” Amalin bertanya kembali.

“Saya mahu tidur. Hmm... Cik Amalin, saya seorang Muslim dan bila mana saya mengakui agama anutan saya adalah Islam, saya perlu menunaikan tanggungjawab saya selaku seorang yang beragama Islam. Jadi, perlulah bersegera menunaikan solat. Melengahkan solat tanpa sebab yang munasabah merupakan sesuatu yang tidak disukai ALLAH. Bukankah sudah azan? Awak hendak ikut?” Asyraf diam sejenak. Dia memandang Amalin yang diam membatu. "Awak nak ikut tak?" soal Asyraf lagi. "Hmmm… boleh ke?" Amalin nampaknya ragu-ragu.

“Boleh! Tetapi awak mesti salin baju awak dahulu. Nanti, semua makhluk tengok peha awak. Bukan sahaja manusia, lalat pun pasti teruja,” Asyraf sedikit mengejek.

“Kalau Datin Khatty balik, tolong maklumkan kepadanya bahawa saya pulang dahulu. Insya-ALLAH, saya naik teksi,” sambungnya lagi.

“Assalammualaikum,” Asyraf kemudiannya segera berjalan ke surau berhampiran... tanpa menoleh lagi.

~bersambung~

0 Responses