Kisah Nabi Musa dan kaumnya (Al-Quran)


Surah Al-Baqarah ~

(67) Dan (ingatlah), ketika Musa berkata kepada kaumnya, "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor sapi betina." Mereka berkata, "Apakah kamu hendak menjadikan kami bahan ejekan?"Musa menjawab, "Aku berlindung kepada Allah agar tidak menjadi salah seorang dari orang-orang yang jahil."

(68) Mereka menjawab, "Mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, agar Dia menerangkan kepada kami; sapi betina apakah itu." Musa menjawab, "Sesungguhnya Allah berfirman bahawa sapi betina itu adalah sapi betina yang tidak tua dan tidak muda; pertengahan antara itu; maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu."

(69) Mereka berkata, "Mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami apakah warnanya." Musa menjawab, "Sesungguhnya Allah berfirman bahawa sapi betina itu adalah sapi betina yang kuning, yang kuning tua warnanya, lagi menyenangkan orang-orang yang memandangnya."

(70) Mereka berkata, "Mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami bagaimana hakikat sapi betina itu, kerana sesungguhnya sapi itu (masih) samar bagi kami dan sesungguhnya kami insya-Allah akan mendapat petunjuk (untuk memperoleh sapi itu)."

(71) Musa berkata, "Sesungguhnya Allah berfirman bahawa sapi betina itu adalah sapi betina yang belum pernah digunakan untuk membajak tanah dan tidak pula untuk mengairi tanaman, tidak cacat, tidak ada belangnya." Mereka berkata, "Sekarang barulah kamu menerangkan hal yang sebenarnya." Kemudian mereka menyembelihnya dan hampir saja mereka tidak melaksanakan perintah itu.

....

1- Antara hikmah perintah ini ialah ; supaya hilang penghormatan terhadap sapi yang disembah.

2- Hmmm... bukankah boleh sakit apabila terlalu banyak mempertikai/ bersoal-jawab dengan sesuatu yang tidak sepatutnya.

Fikir-fikirkan...

Muthiah : Malu bertanya sesat cari jalan pulang.

Kisah Walid Al-Mughirah (Bedah buku)


ISLAM itu agama AKHLAK. Kenapa Muthiah berkata sedemikian? Ya, kerana sesungguhnya setiap umat Islam dianjurkan untuk berakhlak dengan akhlak mulia...

Kisah Walid Al-Mughirah yang datang berbincang dengan Muhammad SAW ~

Ringkasan Cerita

Ketika Muhammad SAW sedang duduk bersendirian di tepi Kaabah, Walid telah menghampirinya. Ia duduk di sebelah Muhammad.

Bertanya Walid, "Apakah yang sudah terjadi, wahai Muhammad? Apakah yang kamu bawa ini? Sesungguhnya, seruan kamu telah memecahbelahkan kami." Muhammad diam.

"Adakah kamu sakit? Kami akan mencarikan tabib yang paling baik untuk kamu. Adakah kamu mengharapkan wang dan harta daripada perjuangan kamu? Kami, Quraisy sanggup mengumpulkan wang dan harta sehingga menjadikan kamu seorang yang paling kaya," tambahnya lagi. Muhammad SAW tetap bersabar dan berakhlak di hadapan Walid meskipun kata-kata lelaki itu begitu menyakitkan hatinya.

"Sekiranya kamu mahukan kemuliaan, kami bisa menjadikan kamu ketua kami. Seandainya kamu mahukan kekuasaan, kami tidak teragak-agak untuk menjadikan kamu raja kami. Kalau kamu mahu bernikah, kami akan kahwinkan kamu dengan sesiapa sahaja yang kamu mahukan, wahai Muhamamd. Kami akan menunaikan segala permintaan kamu tetapi... hentikan dakwah dan perjuangan kamu ini." Diam.

Setelah Walid selesai berbicara, Muhammad bertanya, "Adakah kamu sudah habis berkata-kata, wahai Walid?"

"Ya," jawab Walid.

Kemudian, Muhammad SAW pun membacakan ayat daripada surah Al-Fussilat ayat 1 sampai 13 sehingga terkedu Walid jadinya.

Pengajaran

Nah! Sesuatu yang menyakitkan namun maklum balas positif bijak yang diberikan.

Itulah umat ISLAM.
Itulah pendokong agama ALLAH.


Ia tidak mudah melenting dan cepat naik angin dengan sesuatu yang telah menyentap hatinya (kalau ada pun...bertempat dan perlu!!!). Mungkin sahaja tercalar dengan kata-kata insan yang menyakitinya namun, ia meletakkan kesabaran berada di puncak. Ia punya jalan untuk menyedarkan manusia yang terlupa itu.

Diamnya bukan diam kosong. Ada isi yang bisa membuatkan mereka yang memperlekehkannya terkesima dan hilang kata-kata. Ya! Ia berdakwah dengan akhlak mulia. Akhlak yang bisa menyedarkan mereka daripada kealpaan mahupun kelekaan.

Sukar, bukan? Ya... sukar untuk berlapang dada terhadap mereka yang menyakiti. Ikutkan hati... mahu meluahkan segalanya. Mahu ia tahu bahawa tindakannya itu sungguh menyakitkan. Tidak salah. Kita juga punya hak untuk bersuara.

Namun... contohilah sisi teladan Rasulullah. Tidak mampu? Sekiranya kita tidak berdaya melakukan semuanya, usah tinggal segalanya. Mintalah daripada Allah agar diberi kekuatan hati. Mohonlah agar dikurniakan dengan sifat sabar dan mudah memaafi...

Hmmm...

** Apabila marah.. diamlah dahulu. Usah berbicara. Banyakkan istighfar. Kerana... waktu itu syaitan begitu dekat dengan kita. Ia terus membisikkan sesuatu yang bisa membakar hati kita yang sedia terbakar. Bertenanglah... ambil wuduk...solat dan mengaji. Apabila sudah tenang... tidak lagi marah-marah (atau kemarahan sudah semakin kendur)... fikirkan kembali... Apakah yang boleh kita lakukan...

Muthiah : Pernah juga marah yang melampau-lampau serta tidak tertahan. Namun, jadikan peristiwa itu sebagai satu pengajaran untuk mendidik hati menjadi seorang yang lebih sabar.
Labels: 0 comments | | edit post

Izinkan mereka berdikari…


Cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini, Muthiah telah bertemu dengan seorang teman lama yang sudah berumah tangga selama lebih setengah tahun. Oleh sebab banyak orang, kami tidak dapat berbual panjang namun kesempatan yang ada, ia tetap sempat meluah rasa.

Katanya, ia berada dalam keadaan tertekan waktu ini. Kenapa?

Walaupun sudah menjadi isteri orang, dirinya masih berada di bawah kawalan ibu dan bapa. Menurut teman Muthiah lagi, ia dan suami mahu tinggal berasingan daripada keluarga (hendak berdikari) tetapi tidak mendapat keizinan keluarga. Ia tertekan melihat suaminya yang tidak selesa bahkan…

Contoh situasi ~

Kalau mereka suami isteri hendak keluar ke mana-mana, perlu meminta izin daripada bapanya terlebih dahulu. Rasa terkongkong! Tertekan! Tertekan sungguh.

Pernah satu ketika, ia dan suami berhadapan dengan masalah kewangan (maklumlah… masing-masing baru hendak membina karier. Biasalah). Menurut teman Muthiah, masalah ini sebenarnya tidaklah sebesar mana tetapi apabila diketahui oleh ahli keluarga, permasalahan menjadi semakin besar dan rumit. Riuh jadinya. Semakin stres dibuatnya. Boleh jadi berasa malu dan segan.

Berkali-kali teman Muthiah ini mengungkap luahan yang sama. Walaupun suaminya nampak boleh bersabar, teman Muthiah ini tetap berasa serba tidak kena.

Hmmm… kasihan tetapi Muthiah pun tidak berdaya untuk membantu apa-apa. Silap cakap, takut jadi benda lain pula. Lagipun, Muthiah juga masih lagi mentah. Banyak yang perlu dipelajari daripada orang lama.

Akan tetapi, Muthiah pernah terbaca catatan kaunselor tentang hal ini :

1- Bagi ibu dan ayah, berilah peluang si anak berdikari dengan kehidupan barunya. Memang, ibu dan ayah lebih mengetahui/ kenal dengan anak yang telah dibesarkan sekian lama tetapi sekiranya ibu dan bapa tidak mengizinkan mereka mencuba, bagaimana mereka mahu belajar? Mereka sebenarnya akan belajar daripada kesilapan/ pengalaman. Peranan ibu dan ayah adalah sebagai penunjuk jalan (yang boleh diikuti oleh sang anak).

2- Percayalah kepada anak sendiri. Keyakinan dan kepercayaan ibu dan ayah adalah doa buat mereka. Sekiranya mereka sendiri tidak yakin dan percaya, bagaimana si anak boleh/ mampu melakukannya? Berdoalah agar si anak dapat mengharungi kehidupan baru itu dengan hati waja.

3- Izinkan si suami (anak tadi) membuktikan kemampuannya selaku seorang ketua keluarga. Memang! Tidak ada ibu dan ayah yang mahukan anaknya hidup menderita/ susah namun sekiranya ia sudah bersedia untuk belajar, izinkan dia belajar. Khuatir, ego suami si anak tadi tercabar dan memberi kesan negatif kepada rumah tangga mereka sendiri.

4- Bersedialah untuk ‘melepaskan’ anak (yang telah hidup bersama selama 24/ 25/ 26/ 27 tahun) bersama teman baru mereka. Melepaskan bukan bererti membiarkan/ memutuskan perhubungan tetapi izinkanlah ia membina hidup baru bersama insan yang disayanginya. Percayalah dengan kemampuannya. Kalau masih tidak yakin, pantaulah ia. Nasihatilah dia dengan hikmah.

5- Bagi si anak, cubalah berbincang dengan ibu dan bapa sebaiknya. Kalau masih menemui jalan buntu, bersabarlah. Bersangka baiklah kepada keduanya. Mereka terlalu sayangkan kita sebenarnya. Kadang-kadang, mereka terlupa bahawasanya kita sudah dewasa. Ibu dan ayah itu sering kali menganggap anaknya bagai budak kecil yang sentiasa membutuhkan perhatiannya. Banyakkan berdoa kepada Pencipta.

Moga… kita semua kan terus bersabar dalam apa jua rintangan yang datang dalam kehidupan kita.

Muthiah : Banyak bersabar demi kebaikan semua…

AWAS!!! Jangan sampai tertipu..


Assalammualaikum, semua? Sudah siap membeli barang-barang keperluan rumah? Apapun... berpada-padalah dalam berbelanja. Tengok keperluan. Tengok kemampuan. Muthiah khuatir... disebabkan terlalu asyik berbelanja membuatkan kita lupa diri. Tengok-tengok... hutang sudah keliling pinggang. Umur baru suku abad tetapi .... huhu...

Baru-baru ini, Muthiah menerima sistem kiriman ringkas daripada seorang teman lama. Katanya, ia telah berhabis sebanyak lebih kurang RM6K untuk membeli barang keperluan dapur. Bayar melalui kad kredit. Adoi... Muthiah menggeleng sendiri...

Salah? Tidak... Muthiah tidak kata SALAH.
Betul? Tidak... Muthiah tidak kata BETUL.


Cuma, Muthiah kurang bersetuju dengan tindakannya berhutang untuk mendapatkan sesuatu yang boleh jadi hanyalah satu KEHENDAK. Sebab... ada dari kalangan barang yang dibeli itu sudah pun dimiliki...

Apakah barang yang dibeli?

1- Periuk nasi.
2- Blender.
3- Dapur elektrik.
4- Microwave dan lain-lain.

Lupakan soal itu. Teman Muthiah mempertahankan tindakannya membeli barang-barang berkenaan. Hmmm... Muthiah tidak boleh buat apa-apa. Diri masing-masing. Bukan Muthiah yang menanggung hutang. Muthiah tidak marah walaupun berasa sedikit kecewa.

Kenapa kecewa? Sebab Muthiah sayangkan teman Muhiah ini. Muthiah tidak mahu ia dihambat dengan hutang (pinjaman bank, kad kredit dan lain-lain) sedang usianya masih terlalu muda.

Muthiah terkenang... satu ketika... jeng jeng jeng...

Di pusat membeli-belah... Jeng jeng jeng (suspen sih)...

Seorang gadis kecil molek menghampiri Muthiah dan suami. Katanya, "Kak, kami hendak beri sesuatu. Akak dan Abang tidak perlu membeli apa-apa." Ia menyerahkan sekeping voucher kepada Muthiah.

Tambahnya lagi, "Kita tengok sama ada dapat 'Thank You' (maksudnya tidak dapat apa-apa) atau barang X." Dengan senyum melebar, ia mahu membuka voucher tersebut. Kemudian, tindakannya terhenti. Ia berkata, "Akaklah yang buka." Dengan malas-malas, Muthiah pun buka...

Tiba-tiba, dia menjerit terkejut, "Eh, mana boleh dapat yang ini?" Seorang pelakon tambahan berbangsa Cina datang menghampiri. Ia bertanya, "Kenapa?"

Gadis ini menjawab, "Tengok! Mana boleh macam ini!"

Budak Cina itu menyampuk kembali, "Ya. Kenapa jadi begini?" (Banyak lagilah lakonan mantap yang ditunjukkan sampai Muthiah tersenyum sendiri. Senyum bukan kerana gembira dapat 'sesuatu' tetapi terhibur melihat lakonan menjadi jurujual ini).

Ia berulang kali mengatakan, "Akak bertuah. Sepatutnya, sudah tidak dapat/tidak ada."

Hmmm... Muthiah? Entahlah... Suami cakp, "Macam blur." Kemudian, ia pun menghubungi 'bosnya' yang entah dari mana. Ia memberitahu tentang 'sesuatu' yang tidak sepatutnya berlaku ini. Katanya, kalau Muthiah ambil barang ini, syarikat akan rugi dan macam-macam lagilah(Macam kes kawan Muthiah).

Muthiah? Sememangnya KAYU yang tidak punya perasaan apa-apa. Berbuih ia berbicara. Akhirnya, tetap sia-sia... Muthiah dan suami mengambil keputusan ~ TIDAK MAHU BELI.

Keesokannya... Muthiah pergi lagi ke tempat membeli-belah yang sama. Hendak tahu apa yang Muthiah lihat? Huhuhu...

Gadis dan budak Cina yang beria-ia mengatakan...

Muthiahlah bertuah...
Muthiahlah beruntung...
Tawaran untuk HARI INI sahaja...


Turut membuat tawaran yang sama kepada orang lain. (Padahal katanya, ada satu sahaja tawaran sebegitu).Hampir setengah jam Muthiah melihat mereka membuat janji-janji manis menggunakan strategi perniagaan yang sama...

Akaklah bertuah...
Akaklah beruntung...
Tawaran untuk HARI INI sahaja...


Muthiah tersenyum sendiri...

Berbulan-bulan telah berlalu... Muthiah dapati, orang yang membuat tawaran hebat itu tetap membuat 'Tawaran untuk HARI INI sahaja' lagi. Entahlah...

Jadi, Muthiah ingin berpesan kepada rakan-rakan semua agar berhati-hati dalam membuat apa-apa keputusan/ tindakan. Kadang-kadang, tanpa sedar kita sudah diperdaya senang-senang oleh orang yang mahu mengambil kesempatan terhadap diri kita. Berpada-padalah dalam berbelanja. Nanti, bukan orang lain yang susah tetapi diri kita sendiri.

Muthiah : Bilalah hendak dapat hadiah 'microwave'....?Hehe...

Tidak malukah? Hmmm...


Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Moga-moga, hidup kita hari ini kan lebih baik daripada semalam. Khuatir... satu ketika kita pernah dianggap sebagai pejuang agama. Namun, pengakhiran hidup kita... kita menjadi bukan siapa-siapa. Hanya sibuk mengumpul harta...

Adoi... Sewaktu sedang meronda-ronda di karnival Tasik Taiping, suami tiba-tiba bersuara," Alahai, tidak malulah berpakaian begitu? Abe pun rasa malu hendak pakai macam itu..." Matanya memandang sebentar beberapa gadis muda yang berpakaian tetapi semacam telanjang.

Ada yang memakai tudung namun baju dan seluarnya betul-betul mengikut bentuk badan. Macam pakaian yang diperbuat daripada getah pula.

Hmmmm... Muthiah tidak mahu bercakap persoalan hukum di sini kerana Muthiah bukanlah orang yang selayaknya. Namun, selaku Muslimah... Muthiah juga tidak mahu Muslimah lain diperkotak-katikkan oleh orang sekeliling disebabkan oleh tindakan mereka sendiri. Cantikkah berpakaian sedemikan?

Muthiah...walaupun sama-sama seorang wanita... tetap berpaling berkali-kali ke arah sekumpulan gadis tersebut. Ini Muthiah... bagaimana lelaki lain? Sedikit sebanyak... cara mereka berpakaian sedikit sebanyak menarik perhatian (Muthiah tidak mahu berbicara tentang akhlak).

Justeru...

Ayuh, wahai Muslimah...

Berpakaianlah dengan sopan... Peliharalah aurat kalian kerana sesungguhnya diri kalian amat berharga. Jadilah bunga ros yang cantik dipandang tetapi untuk dipegang.... AWAS!!! Penuh dengan duri. Hanya mereka yang terpilih sahaja layak memilikinya. Usah jadi seperti rama-rama. Terbang ke sana ke mari. Mengibarkan sayapnya yang cantik menawan tetapi sayang...tatkala ditangkap... habis terkoyak... tidak cantik lagi. Pekalah...peka terhadap sensitiviti orang di sekitar kita.

:)

** Informasi tentang aurat : Boleh rujuk ~
http://www.zaharuddin.net/content/view/288/95/

Muthiah : Pengislahan diri...
Labels: 0 comments | | edit post

Hati seorang isteri


Hanan tahu, perempuan dicipta untuk lelaki dan begitulah sebaliknya. Hawa dijadikan Allah sebagai pengisi kekosongan Adam. Allah tahu, Adam tidak betah keseorangan lalu terciptalah Hawa. Hawalah penyeri, Hawalah penghibur, Hawa jua racun berbisa. Pujuk rayu Hawa akhirnya menundukkan ketaatan Adam terhadap Yang Esa lantas dicampakkan ke dunia.
Dunia yang penuh kekejaman, penuh noda. Kuasa wanita bukan terletak kepada kekuatannya. Habil dan Qabil berbunuhan kerana hawa. Bill Clinton menggemparkan dunia ekoran dakwaan si hawa. Pemimpin agung negara juga pernah tersungkur dek seorang wanita.
Hanan mengenali Muhammad sejak berada di kampus. Siapa tidak kenal lelaki itu? Muhammad memiliki peribadi yang boleh dibanggakan. Matanya yang tajam bisa menggegarkan jantung si gadis.
Rambutnya lurus, kopiah di kepala. Mukanya bersih disinari cahaya. Bibirnya merah, sebagai tanda tidak merokok.
Muhammad pastinya belum pernah menyentuh Dunhill, Marlboro tetapi bukan itu alasannya. Bukan itu puncanya. Ilmu! Ilmunya penuh di dada, ilmu itu di hujung jarinya.
Hanan ingin benar memiliki sebuah keluarga Muslim yang berpegang teguh dengan syariat. Kini, setelah hampir sepuluh tahun melayari bahtera rumahtangga, pasangan itu telah dikurniakan dua cahaya mata. Putera sulung diberi nama Abu Bakar manakala si puteri dipanggil Fatimah Az-Zahrah.
Sewaktu Fatimah dilahirkan, Muhammad tiada di sisi. Si suami begitu sibuk dengan kerjayanya. Paginya menjadi penganalisis komputer. Malamnya menggegarkan pentas ceramah. Hanan bangga memiliki suami yang giat berjuang di jalan-Nya. Hanan terharu.
“Ayang nak letak nama apa?”
“Suka hati abang la. Asal abang suka, ayang tak bantah.”
“Sumayyah?Abang suka?”
“Entahlah. Apa kata Fatimah Az-Zahrah.”
Muhammad mengucup dahi isteri tercinta. Muhammad bahagia bersama Hanan. Muhammad bersyukur kerana Hanan kini menjadi miliknya. Dia tidak salah pilih.
Hanan begitu memahami. Hanan tidak pernah merungut dengan segala kekurangan. Hanan sentiasa patuh dan redha. Hanan mahu menjadi setaat Siti Muthiah. Itu Muhammad tahu.
Saidatina Fatimah agak kecewa apabila mengetahui bahawa ada wanita lain yang memasuki syurga mendahuluinya. Apakah keistimewaannya sehingga disebut namanya oleh Rasulullah?
Dialah Siti Muthiah. Wanita agung mentaati suami. Dirinya untuk suami. Kebahagiaan, dan kegembiraan dicurahkan buat suami.
“Wahai Muthiah, apakah perlunya peralatan itu?” Tanya Fatimah tatkala melihat Siti Muthiah memegang segelas air, sehelai kain dan sebatang rotan di sampingnya.
“Wahai puteri Rasulullah, kain ini kugunakan untuk mengelap peluh suamiku yang penat bekerja. Air ini kuhidangkan buatnya. Kutahu, dia tentu kehausan setelah lelah membanting tulang mencari rezeki buatku dan anak-anak.”
“Bagaimana pula dengan rotan?”
“Jika layananku tidak memuaskan hatinya, aku rela dipukulnya…”
Hanan ingin menjadi sehebat Siti Muthiah. Taat dan patuh kepada suami. Menjadi penawar buat suami. Melahirkan permata hati untuk suami. Paling penting, melahirkan pejuang Islam masa depan.
“Ayang, minggu depan abang kena bagi ceramah kat Kedah. Mungkin dalam dua hari.”
“Pergilah bang. Orang dah jemput.”
Macam mana anak-anak?”
“Abu, macam biasalah. Sikit-sikit, abinya. Fatimah pula, tiada masalah”
“Ayang, penganjur tidak dapat sponsor ceramah abang. Minggu ni, kita jimat sikit ye. Duit ibu dah hantar?” Emmm…
Abang, bukan harta yang kupinta. Bukan emas yang kurayu. Hanan ingin selalu di sampingmu. Hanan serba salah. Bukan dia tidak tahu dengan kerja suaminya. Kereta Wira itu sahajalah yang membawanya ke mana-mana.
Kadang-kadang, Muhammad tidur beralaskan kusyen. Kadang-kadang Muhammad tidak tidur langsung. Hanan kasihan melihat suaminya. Meskipun Muhammad tidak pernah meluahkannya, Hanan tetap mahu melihat keselesaan suaminya.
Ah!! Iblis begitu kuat menghasut. Sedangkan Nabi junjungan hidup sederhana. Sedangkan sahabat terdahulu lebih hebat dugaannya. Persetankan segala hasutan syaitan laknatullah.
Dia perlu sentiasa redha dan bersyukur dengan segala kurniaan Tuhan. Allah pernah berfirman, “Ketika Tuhan memberitahu : Dan jika kamu berterima kasih, nescaya Kutambah nikmat yang ada padamu. Tetapi, jika kamu kafir, sesungguhnya seksaanKu amat keras.” Ibrahim : 7.
Ya! Hanan perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Seperti biasa, Hanan menjalankan kewajiban seorang ibu dan isteri sebaiknya.
Mengasuh mengikut pesan suami. Tidak dimanjakan dan tidak pula terlalu keras. Hanan begitu bahagia.
Alangkah indahnya, jika kelak dia dijemput Tuhan tika perit melahirkan zuriat. Bukan sengaja mahu meninggalkan anak-anak tanpa ibu, suami tanpa isteri. Tetapi, Hanan mahu mati sebagai syuhadah.
Bak kata seorang teman, “Hiduplah sebagai ulama, matilah sebagai syuhadah.” Hanan mahu mati dengan redha suami. Bukan tangisan yang mengiringi pemergiannya.
Kadang-kadang Hanan cemburu. Cemburu memikirkan. Pastinya Muhammad akan menikah lagi. Anak-anaknya bakal punya umi baru. Akan ada orang lain di hati Muhammad. Memikirkan Ainur Mardhiah pun menggelisahkannya apatah lagi wanita di dunia.
*****
“Kak Hanan…”
“Ya saya. Siapa di sana?”
“Saya Nona, anak didik ustaz Muhammad.”
“Ooo, ustaz tiada. Dia belum pulang. Nona nak pesan apa-apa?”
“Em, akak... Saya harap akak tidak marah tapi saya dah tak mampu…” talian sunyi sebentar.
“Akak, saya mencintai ustaz Muhammad. Saya tidak mampu menipu diri saya sendiri. Saya begitu sayang kepadanya dan saya sanggup menjadi yang kedua.”
Hampir terjatuh gelas putih itu. Hanan tidak sanggup! Dia tidak sanggup bermadu, tidak rela dimadu apatah lagi berkongsi suami.
Hanan tidak sekuat Saidatina Aisyah. Aisyah juga cemburukan isteri-isteri Rasulullah. Bermadu tak semanis yang disangka. Mungkin lebih pahit daripada hempadu. Hanan tahu, lelaki yang mampu layak bernikah lebih daripada satu malahan dua, tiga, empat..
Hanan yakin Muhammad mampu mengemudi dua buah bahtera tapi Hanan tidak cukup kuat untuk itu. Sudah banyak dia berkorban. Perlukah dia berkorban lagi?
Namun, bagaimana pula dengan Nona? Nona mencintai suaminya. Mengapakah Muhammad yang dipilih? Bukan teruna lain di muka bumi Allah ini?
Adakah Muhammad turut mempunyai perasaan yang sama? Atau, adakah mereka sebenarnya saling mencintai? Oleh sebab tidak sanggup berterus-terang, Muhammad menyuruh Nona meminta kebenaran.
Nanti Abu dan Fatimah akan punya dua umi. Tidak sanggup Hanan memikirkannya. Tidak sanggup dia melihat kemesraan Nona dan Muhammad.
Berkahwinlah tapi jangan berdampingan di hadapannya. Bermesralah tapi usah mempamerkan kemesraan itu.
Hanan yakin! Kala itu, dia pasti akan menangis. Kalau dulu, Hanan menangis dalam senyuman tetapi kini tangisannya berbunyi. Tangisannya menggugurkan air mata jatuh ke bumi.
“Kenapa lain macam je ayang sekarang? Ada masalah ke?” Muhammad mula bersuara bilamana dia menyedari perubahan yang berlaku kepada isterinya. Senyum Hanan lain dari biasa.
“Tak adalah bang. Ayang letih je,” kata Hanan menahan sebak di dada.
“Bukan sehari abang kenal ayang. Dah bertahun kita bersama. Kenapa ni? Ayang ada masalah? Atau baby ni merungsingkan ayang?” Sangkal Muhammad lantas mengusap perut isterinya yang mengandung tujuh bulan itu. Hanan, abang mencintaimu. Muhammad memeluk Hanan dan mendudukkan dia di sisinya.
“Ceritakanlah, ayang bukan sahaja isteri abang tapi sahabat dan teman bagi abang. Tiada rahsia antara kita…”
“Abang…” Hanan makin sebak.
Tiba-tiba! “Umiii, tengok abang ni. Dia kacau Imah.”
“Alaa. Bukan Abu nak kacau. Abu nak main je.”
“Abu main kasar, bukan nak main elok-elok. Cakap kat abi.”
Tak sanggup Hanan membuka suara. Mujur putera-puterinya buat hal. Kalau tidak, tak tahu apa yang akan berlaku. Pasti dia akan teresak-esak di pangkuan Muhammad.
Nona! Mengapakah kamu hadir dalam hidupku? Kenapa Muhammad yang kau pilih? Kenapa dia yang kau cinta? Bagaimana jika Muhammad bersetuju? Tak sanggup Hanan menerima realiti itu. Satu mimpi ngeri buatnya.
Jika Muhammad menolak, Hanan pasti menangis suka. Namun, jika Muhammad menerima? Hanan menangis juga. Dia menangis kedukaan. Muhammad pasti memujuk tapi hatinya telah mati.
Cerai? Ya, perkara halal yang dibenci Allah. Hanan tidak pernah terfikir untuk minta cerai. Hanya Muhammad yang diharapkannya.
*****
Sudah sebulan peristiwa itu berlaku. Hanan melaksanakan tanggungjawab seorang isteri seperti lazimnya. Diasuh anak-anak sebaiknya, dilayan suami seikhlasnya. Tidak pernah Hanan bermasam muka apatah lagi berwajah sugul.
Hanan lupa. Dia tidak boleh menipu Muhammad. Suami itu menyedari perubahan Hanan. Ada benda yang cuba disembunyikannya. Senyum Hanan manis tapi tidak semanis dahulu. Segalanya berubah.
Muhammad amat mencintai Hanan dan dia tidak mahu perubahan ini. Apa dah jadi? Muhammad gelisah tak menentu. Kerjanya tanpa kosentrasi. Senyuman Hanan yang lain itu sudah cukup meresahkan Muhammad. Sedarkah Hanan?
Lebih parah lagi pabila Muhammad tidak dapat melakukan kerja dakwah seeloknya. Itulah kuasa wanita. Yang akhirnya menyungkurkan seorang lelaki. Bangkitlah Muhammad.
“Abang,” Hanan bersuara satu malam.
“Yang...”
“Baru-baru ni, pelajar abang telefon. Nona namanya,” Hanan cuba melihat reaksi Muhammad tapi tiada perubahan pada wajah itu.
“Ya,” katanya. Diam seketika…
“Katanya dia mencintai abang. Dia mahu mengahwini abang.”
“Jadi?” Begitu tenang lelaki ini.
“Kahwinilah dia,” lantas Hanan menangis teresak-esak. Dia tidak mahu menangis tapi ia tidak mampu menahan sebak di dada.
Disembamkan mukanya di riba suami. Habis basah pelikat itu. Hanan menangis dan terus menangis. Tidak sanggup untuk menatap wajah suaminya.
Sebab inikah kamu berubah isteriku? Bisik hati Muhammad. Diangkat muka Hanan. Ditenung mata yang berair itu.
Hanan menundukkan muka lantas menyembamkan wajahnya di ribaan suami. Muhammad mengangkat kembali wajah itu. Ditenung lagi mata itu. Tenungan yang sememangnya tajam semakin tajam jadinya.
“Kalau ayang suruh abang kahwin, kenapa menangis?” Diam…
“Ayang tak sanggup?” Diam lagi..
“Kalau tak sanggup, kenapa suruh abang kahwin?” Lidah Hanan kelu.
“Tiada orang lain di hati abang. Ayang tiada celanya. Buat apa abang nak cari lain? Isteri abang hanya seorang. Nazihatul Hanan namanya. Terima kasih kerana bersama abang selama ini. Melahirkan keturunan abang.”
Hanan terlalu banyak berkorban. Begitu teguh di belakangnya tika dia turun berjuang.
*****
Kasihan Muhammad melihat Hanan. Lain pula dia kali ini. Benar-benar tidak bermaya. Mukanya pucat. Langkahnya longlai. Mujur senyuman itu menghilangkan kecacatan yang ada.
“Abang, takut rasanya kali ini.”
“Kenapa? Kan abang ada.”
“Entah bang. Melahirkan ni umpama nyawa di hujung tanduk.”
“Insya-Allah, segalanya akan selamat.”
“Abang...”
“Ya sayang.”
“Kalau ada apa-apa yang berlaku pada ayang…”
“Tak akan ada apa-apa yang berlaku.”
“Kalau-kalau..”
“Semua akan selamat,” pintas Muhammad.
“Kalau-kalaulah… Abang nikahilah Nona sebagai pengganti ayang.” Inilah wanita. Sekali tergores, sekali terusik, payah nak sembuh. Prasangka tidak pernah luput. Muhammad mengerti. Prasangka itu tandanya sayang tapi usahlah begitu.
“Encik Muhammad, nampaknya pihak kami hanya punya satu jalan. Sama ada ingin menyelamatkan si bayi atau si ibu.”
”Selamatkan keduanya,” Muhammad seolah-olah memberi arahan. Muhammad memegang erat isterinya. Muka Hanan pucat lesi. Diusapnya rambut hitam Hanan. Diciumnya pipi itu.
Muhammad ingin menangis tetapi tidak sanggup membiarkan air matanya gugur ke bumi. Bukan kerana ego. Hanan sendiri tidak menangis. Masakan dia boleh menangis?
Hanan sedaya upaya melawan sakitnya. Yang penting, anak Muhammad itu lahir ke dunia. Nyawanya nombor dua. Nafasnya kian sesak. Tiba-tiba, kedengaran bayi mendendangkan lagunya. Makin lama, makin rancak bunyinya. Serentak dengan itu, Hanan menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Seruan berdakwah (Al-Quran)


"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung." Ali-Imram ayat 104.

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang maaruf, dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik." Ali-Imran ayat 110.

"Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan; mereka menyuruh kepada yang maaruf, dan mencegah daripada yang mungkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan; mereka itu termasuk orang-orang yang soleh." Ali-Imran ayat 114.

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang maaruf, mencegah daripada yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." At-Taubah ayat 71.

Muthiah : Berdakwah kepada diri sendiri.

Kamu pasti kan disakiti... (Bedah buku)


Assalammualaikum...

Peristiwa Sayidatina Khadijah yang berjumpa dengan Waraqah ~

Ringkasan cerita

Setelah peristiwa Muhammad bertemu dengan Jibril di Gua Hira', Siti Khadijah telah membawa suaminya itu bertemu dengan anak saudaranya yang bernama Waraqah bin Naufal. Waraqah merupakan penganut agama Kristian (sebelum ini) serta mempelajari kitab-kitab Kristian. Dari itu, ia mengetahui tentang zaman kenabian. Setelah Siti Khadijah habis bercerita, berkatalah Waraqah...

"Demi, Allah. Sudah sampai kepadanya Jibril yang telah datang kepada Musa sebelum ini..."

"Alangkah baik andai aku masih muda dan dapat membantumu sehabis-habisan ketika mana kaummu berusaha mengusirmu..."

Muhammad bertanya, "Bukankah aku juga daripada kalangan bangsawan mereka?"

"Sesungguhnya, tidak ada seorang pun yang membawa perjuangan seperti kamu melainkan pasti kan disakiti..."

Pengajaran

Hmmm... Dakwah itu bukan kerja mudah. Pasti ada mehnah dan tribulasinya.

Muthiah pernah mendengar satu ungkapan... "Perjuangan... pabila dihampari permaidani merah, tolehlah ke belakang." Boleh jadi ada yang tidak kena dalam perjuangan itu kerana sememangnya, perjuangan yang mengajak manusia kepada Allah dan kebaikan ini .... tentu ada rintangannya...

Firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 111 yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar daripada Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar."

Muthiah : Moga jualan kan dibeli Allah...
Labels: 0 comments | | edit post

Putus sudah kasih sayang (iv)


Adakah Muthiah menyalahkan si gadis?

TIDAK... Tidak sama sekali. Bukannya Muthiah tidak mahu penyelesaian dibuat secara baik. Bukannya Muthiah tidak mahu si gadis mendapatkan jawapan yang sebenar daripada ‘permasalahan’ yang dihadapi namun… dari sisi si teruna… tika ini, ia tidak mahu berbicara apa-apa. Ia diam seribu bahasa dan Muthiah sendiri… tidak berdaya untuk membuat apa-apa. ..

Hendak Muthiah desak si teruna?
Tidak boleh! Muthiah tidak mahu ia semakin menjauh daripada Muthiah.

Hendak Muthiah memarahi si teruna?
Hmmm… Sebenarnya tetap tidak dapat menyelesaikan masalah dan memenuhi kehendak si gadis.

Lagipun, Muthiah tidak cukup jelas dengan pokok pangkal cerita. Hanya mendengar daripada sebelah pihak. Tidak layak untuk menilai sesiapa. Kalau pun mendengar daripada kedua-dua belah pihak, masih tidak layak untuk menilai/ menghukum sesiapa. Cukup menjadi pendengar setia dan mengemukakan pandangan yang tidak seberapa.

Jadi???

Hmmm… biarlah masa yang menentukan. Sepertimana yang telah Muthiah perkatakan sebelum ini… BERSABARLAH. Serahlah segalanya kepada Allah. Si gadis tidak mampu berbuat apa-apa. Muthiah apatah lagi. Minta doa kepada Allah agar diberi petunjuk dan jalan.

Muthiah : Kalau boleh, selesaikanlah konflik yang melanda. Khuatir ada hati-hati yang membenci dan terluka. Muthiah faham…. Sikap gadis itu sendiri yang membuatkan ia semakin menjauh namun, ikhtiarlah mencari penyelesaian terbaik… Buat salah dengan Allah, boleh bertaubat. Buat salah dengan manusia…

Pau (ii)


Sebenarnya, Muthiah teringatkan seorang teman (temankah?). Teman yang menyedarkan Muthiah tentang realiti kehidupan. Tidak semua orang di atas muka bumi Allah ini baik dan ikhlas. Tidak terkecuali yang suka mengambil kesempatan. Jadi, usah terkejut apabila berhadapan dengan kaki bohong, kaki tipu, kaki maki dan kaki ampu.

Dahulu… setiap kali menyebut namanya, kemarahan Muthiah akan membuak-buak. Sehinggakan suami tidak lagi mahu melayan apabila Muthiah berbicara tentangnya. Muthiah tahu, suami tidak mahu Muthiah menyimpan dendam, melayan perasaan dan memendam rasa benci terhadap orang lain namun… selaku manusia yang lemah… kadang-kadang, sering-kali nafsu menguasai diri.

Sekarang… Alhamdulillah, perasaan marah itu semakin menghilang walaupun sakit hati tetap datang sekali-sekala. Muthiah cuba untuk sentiasa bermuhasabah.

1) Teman itu juga adalah manusia biasa. Ada waktu jahilnya. Ada waktu ‘jahat’nya. Ada waktu ia terlupa. Begitu juga dengan diri Muthiah. Bilamana iman jatuh, nafsu sering kali menguasai diri. Ada juga berbuat salah. Ada menyakitkan hati orang dalam sedar mahupun tidak.

2) Siapa kita sebenarnya untuk membenci dan berdendam? Tidak akan ke mana juga. Hati makin sakit, adalah. Kita tidak untung apa-apa kalau menyimpan perasaan itu. Orang yang pernah membuat naya pun tidak rugi apa-apa dengan kebencian yang menggelodak di dalam hati kita. Jadi, buanglah perasaan itu sedikit demi sedikit. Hendak buang sekaligus, takut tidak terbuang pula.

3) Serah sepenuhnya penghitungan kepada Allah. Allah Maha Adil. Allah Maha Saksama. Tidak perlu mengharapkan sesuatu yang tidak baik kepadanya. Ingat! Allah lebih tahu. Muthiah? Pernah juga terluka dengan sikap/ anggapan orang lain (orang yang tidak suka, sakit hati atau membenci, mungkin). Sedih… Tuhan sahaja yang tahu. Kalau ikutkan hendak menangis, kering sudah air mata tetapi tatkala Muthiah memikirkan keadilan dan kesaksamaan Allah, Muthiah kembali tenang. Muthiah berusaha untuk menyerahkan segalanya kepada Allah. Allah lebih arif dengan segala sesuatu. Biarkan sahaja si luncai terjun dengan labu-labunya.

4) Letakkan diri kita di dalam kasut orang yang berbuat silap itu. Setelah sedar dan insaf, kita pasti mahukan kemaafan daripadanya. (Yang tidak mahu insaf??? Serah sahaja kepada Allah). Kalau ia diam seribu bahasa, tentu kita akan menjadi tidak tenteram dan diselubungi perasaan bersalah. Jadi, bersedialah untuk sentiasa memaafkan. Moga-moga, orang lain juga akan mudah memaafkan diri kita tatkala kita melakukan khilaf.

5) Berlapang dada dengan kekurangan milik orang lain. Lagipun, kita pun sebenarnya terlalu banyak kelemahan juga. Kita tidak akan berdaya memuaskan hati semua orang. Kita tidak ada kuasa untuk membuatkan orang lain menyukai dan menyayangi kita. Bukan kita yang memegang hati-hati manusia. Justeru, berdoalah kepada Allah agar sentiasa diberi kekuatan dalam mendepani segala ujian yang mendatang.

Apa lagi, ya? Hmmm… sudah tepu. Nanti, Muthiah sambung lagi.

Mikami – ‘Mengambil hak orang lain tanpa kebenaran adalah mencuri.’
Misaki Youku – ‘Mengambil tanpa pengetahuan pemilik adalah meminjam.’

Muthiah : Hmmm….

Kepada siapa kita marah?


Assalammualaikum... Salam berhujung mingu... Ada sihat? Moga-moga, kita semua kan diberkati Allah selalu. Muthiah? 'Ala kullihal alhamdulillah.

Minggu lepas, Muthiah ada membeli timun (untuk dibuat ulam)... Makan dengan budu, tempoyak... huh sedap :) Hendak dijadikan cerita, timun yang Muthiah beli... pahit dan tidak boleh dimakan sama sekali. Apabila Muthiah buang kulit, tetap tidak boleh dimakan. Sekali pandang, semacam tidak ada masalah tetapi memang tidak boleh telan maaa. Hmmm... perasaan? Alhamdulillah, Muthiah tidak rasa marah/ tidak berpuas hati....

*****

Muthiah teringatkan satu cerita yang pernah Muthiah baca. Kisah si pembeli tembikai...

Satu hari, seorang wanita membeli sebiji tembikai namun sayang, tembikai yang dibelinya tidak manis. Ia merungut-rungut di hadapan suaminya. Kemudian, suaminya bertanya... "Kepada siapa engkau marah?"

Penjual?
Petani?

Hmmm... Si penjual tembikai mahupun petani pastinya tidak mahu tembikai yang dijual itu tidak manis. Nanti...larilah pelanggan.

Siapakah yang menumbuhkan tembikai itu???

Ya! Jawapannya adalah Allah... Adakah kita mahu menyalahkan Tuan Punya tembikai berkenaan???

*****

Fikir-fikirnya ...

Muthiah : Jangan biarkan diri diperkotak-katikkan... Kenalpasti hak kita selaku seorang.... jeng jeng jeng...
Labels: 0 comments | | edit post

Hati

“ Boleh tak kalau kita nak mainkan hati orang?”
“ Tak boleh!”
“ Tapi, kan Tuhan dah cakap. Kalau ada orang ambik barang kita, kita boleh ambik barang orang tu balik.”
“ Hati tak boleh disamakan dengan barang!”
“ But, it’s fair and square right?”
Gadis itu mendendaminya. Bukan dendam, tetapi sayang. Oleh sebab terlalu sayang, akhirnya bertukar menjadi dendam. Yang tak mampu dizahirkan oleh kata-kata. Tak mampu ditunjukkan melalui jelingan mata. Ada mata berwarna hitam. Ada juga berwarna biru. Hijau lebih menarik perhatian. Pink pula menyakitkan jiwa. Tidak kiralah warna apupun. Tetap tidak mampu menzahirkannya.
Ikutkan rasa, mahu saja gadis buat dia menangis. Biar hati dia turut teresak kesakitan. Mahu saja gadis melukai hati dia yang terlalu banyak mengguris perasaan. Gadis mahu dia turut merasai apa yang dirasai gadis. Biar hati sama-sama sakit. Biar jiwa sama-sama derita.
Gadis terlalu banyak makan hati. Bukan hati ayam yang dimaksudkan. Atau hati daging yang digoreng ibu. Tetapi hati milik gadis sendiri. Terlalu banyak. Tidak sampai infiniti tetapi sudah cukup meresahkan.
Tubuh gadis semakin layu. Berat benar derita yang gadis alami. Hakikatnya, hati gadis sebenarnya yang menderita. Hati tidak cukup tabah menghadapi dugaan berkasih. Hati begitu lemah.
Gadis ingin sekali menyakiti dia sebagaimana gadis telah disakiti tetapi hati tidak mampu berbuat demikian. Hati itu lembut. Tidak sekeras gadis yang telah dirasuk amarah iblis. Pastinya syaitan ketawa riang tatkala melihat kemarahan menguasai diri…
Aku telah berjaya menundukkan hamba-Mu yang Kau kata begitu taat kepada perintah-Mu. Aku tidak memerlukan bala tentera yang banyak untuk menundukkannya. Tidak seperti Bushiful. Mahu menghancurkan Islam dengan batalionnya. Berapa ratus tentera bersekutu telah mati katak akibat ketololannya?
Sedang aku, dalam senyap telah membinasakan. Kau dilihat kejam kerana kebodohanmu. Tetapi aku yang sebenarnya lebih zalim ini tidak dapat dikesan oleh sesiapa. Benar… mereka yang sememangnya kejam tidak dapat diadili sesiapa.
Sebenarnya telah lama hati gadis terhiris. Begitu lama tanpa dapat dibilang waktunya. Pabila parut lama belum hilang, datang pula parut baru. Hinggakan parut-parut pada hati yang hanya sebesar syiling lima sen bertambah saiznya menjadi setebal novel Salina. Luka Siti Salina yang dikhianati Abdul Fakar lebih kurang sama besarnya dengan luka gadis.
Hati memang begitu payah mahu sembuh. Hati yang hampir sembuh pula seolah-olah telah ditakdirkan untuk terhiris kembali. Dihiris dan ditoreh sehingga berdarah. Mengalirkan darah-darah merah pekat. Lebih pekat daripada darah yang digambarkan Seno Gumira Ajidarma dalam ‘Telinga’nya.
Hati gadis pernah menutup cinta buat makhlukan. Meskipun diri meronta-ronta ingin merasainya, tetap digagahi jiwa itu. Cinta Tuhan cinta hakiki. Cinta Tuhan yang dikejar selama ini. Cinta, pergantungan yang hanya disasarkan buat Pencipta. Tangan boleh bersedekah. Kaki boleh menuju ke majlis ilmu. Dahi boleh sujud sehingga hitam jadinya. Tetapi hati… adakah hati boleh menipu? Sama sekali tidak mampu membohongi hati yang tahu nilai sebuah ketaatan dan ketaqwaan. Tidak sama sekali.
Dari jauh, hati itu kelihatan seperti simbolik sayang. Ya… hati itu sememangnya makna bagi sayang yang tidak dapat membohongi makhlukan. Darah-darah pekat melingkari hati. Darah merah pekat itu sememangnya menakutkan, menggerunkan.
Bagi Mahsuri, darahnya berwarna putih. Sebagai tanda dia tidak berdosa. Dihukum akibat fitnah yang menghancurkan. Fitnah juga hampir membinasakan Saidatina Aisyah.
Andai hati itu dilukai, bertambah banyaklah darah yang bisa melingkari. Jika kuat hati dilukai, tidak mustahil mampu menghancurkan hati yang sedia kecil itu. Darah terus mengalir tanpa henti membasahi bumi. Peliknya darah itu hanya mahu membasahi tanah ciptaan Tuhan. Tidak mahu melekati jantung di sekitar hati. Begitu aneh blood ini.
Satu masa, tika cinta Tuhan dikejar gadis, hidup gadis begitu aman dan bahagia. Hidupnya gadis, matinya gadis hanyalah untuk Dia yang menjadikan. Dia yang berkata qunfayakun, maka terciptalah.
Bangunnya menyebut nama Kekasih. Makannya mengingati Kekasih. Kerjanya merindui Kekasih. Tidurnya dengan pengharapan terhadap Kekasih. Agar diberi peluang untuk bangkit keesokannya dan menemui Kekasih untuk kesekian kalinya. Melepaskan segala resah di jiwa. Hati juga sama-sama membantu gadis mencapai matlamatnya itu.
Gadis letih. Hati turut sama letih. Lebih penat berbanding letihnya gadis. Keringat yang lebih banyak daripada yang dimiliki gadis. Gadis begitu bahagia kerana hadirnya cinta itu bukan hanya dari mulut yang sentiasa tidak benar butir bicaranya. Ya… Dari mulut yang sering berdusta.
Rutinnya gadis... Bangun tidur menghadap Tuhan, hati turut sama bangun. Nafsu mendesak hati agar terus lena dibuai mimpi tetapi kekuatan spiritual milik gadis menyebabkan hasutan nafsu itu ditempis bulat-bulat.
Gadis menuju ke kamar mandi. Hati ikut sama. Tiba-tiba, gadis tersentak. Hati tidak lepas untuk tersentak juga. Tetapi, gadis tidak tahu asbab sentakan itu. Sentakan sepantas halilitar itu tidak dapat dinilai gadis.
Gadis terus mengambil wudhuk. Hati masih diam memikirkan sentakan tadi. Ada sesuatu yang dirasai hati. Sesuatu yang abstrak, yang tidak dapat digambarkan oleh kata-kata. Oleh kata-kata hati...
Gadis tersentak lagi. Tidak dapat merasai manisnya iman. Tidak dapat mengecapi cinta Ilahi. Gadis mula mengerti. Hati yang telah lama mengerti tidak keruan. Dirasakan semakin jauh daripada gadis. Makin jauh daripada Ar-Rahim.
Berdikit-dikit air mata gadis turun ke bumi. Semakin lama semakin rancak tangisnya. Hati juga begitu. Cuma hati sebenarnya telah kering air mata merasai kejauhan yang baru saja disedari gadis. Hati telah lama tahu…
Konspirasi yang dilakukan gadis dan hati telah berada di puncaknya. Bukan konspirasi menjatuhkan pemimpin. Konspirasi sebegitu itu amat keji dan menjelikkan. Hati akhirnya tunduk dengan kehendak gadis. Ah! Hanya alasan hati untuk menuding kesalahan kepada gadis. Perlu diingat!!! Satu jari yang menuding, empat jari kan kembali kepada si penuding.
“ Kan perempuan yang baik diciptakan untuk lelaki yang baik?”
“ Dah tahu, kenapa masih cari nahas?” Hati membidas.
“ Tapi, Tuhan juga suruh berusaha. Tidak Aku ubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri berusaha untuk mengubahnya.”
“ Berusaha sampai meninggalkan yang wajib? Gadis hanya pandai mengeksploitasi ayat Tuhan,” hati terus menyalahkan.
“ Jangan salahkan gadis. Mana pernah gadis meninggalkan yang wajib.”
“ Kenapa? Sedangkan gadis yang buat dosa,” hati melenting.
“ Gadis tidak mengabaikan solat. Hatilah yang salah kerana gagal menghadirkan diri dalam pertemuan dengan Tuhan itu.”
“ Sebetulnya, gadis yang membuat keputusan melulu sehingga melupakan Dia,” hati masih tidak berpuas hati.
“ Tepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Andai hati mampu mengawal diri, pastinya gadis turut sama melepasi ujian ini,” hati akhirnya tunduk membisu. Memang hati hanya mampu membisu. Sama sekali tidak dapat berkata-kata.
Segalanya adalah untuk Tuhan sehinggalah gadis mengenali dia. Dia yang sebenarnya milik Tuhan juga. Sama seperti gadis. Yang sepatutnya hanya mengabdikan diri kepada-Nya.
Gadis masih ragu-ragu. Antara kehendak jiwa dan naluri manusia. Sedang Adam diciptakan Hawa. Hati juga masih keliru. Seperti gadis, tidak tahu mana yang hendak dipilih. Tetapi, sedikit-sebanyak hati tidak mampu berdusta bahawa naluri manusia melebihi kehendak jiwa, meski gadis menafikan naluri itu.
Iblis laknatullah pula semakin banyak mencucuk. Tidak salah melayan naluri manusia. Kan itu fitrah? Gadis hampir bersetuju dengan kata-kata sahabat baru. Sahabat baru yang bertanduk dua, panjang taringnya, merah matanya. Hati yang sememangnya telah menerima makin yakin dengan pendirian baru. Tetapi masih ada yang menghalang. Apa???
“ Katakanlah: Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum kerabatmu, harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu takuti kerugiannya serta tempat kediaman yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah, rasulNya dan jihad ke jalan Allah, maka tunggulah olehmu, sehingga Allah mendatangkan seksaanNya…” At-Taubah : 24. Hati terus membisu.
Gadis begitu bahagia. Bahagia yang tidak pernah dikecepi secara zahirnya sebelum ini. Bahagia dalam dunia ciptaan sendiri. Hidup gadis penuh dengan senyuman dan keceriaan. Hadirnya dia menggantikan tempat Kekasih yang semakin lama dilupakan. Alangkah malang bagi gadis andai Kekasih itu turut sama melupakannya. Melupakan walau sesaat sudah cukup untuk membinasakan gadis. Hadirnya dia menyebabkan hati kian lalai dan alpa. Kali ini gadis dan hati gagal membezakan antara Dia yang mengenali gadis, lebih daripada gadis mengenali diri gadis sendiri.
Satu hari, hati tersentak setelah kian lama tidak tersentak. Tidak seperti sebelumnya, hati gagal mentafsir erti sentakan itu. Gadis pula masih lalai dan alpa. Gadis terus hanyut dengan dunia ciptaannya. Tiba-tiba, hati menangis. Ya! Hati menangis lagi tanpa alasan yang munasabah. Menangis dan terus menangis. Tanpa diketahui puncanya.
Dia akhirnya pergi meninggalkan gadis. Dia pergi tak akan kembali. Entah ke mana perginya dia? Gadis pun tidak tahu.
Gadis menangis. Tangisan penuh penyesalan. Baru gadis sedar betapa alpanya gadis terhadap Tuhan. Ditinggalkan yang kekal, dikejar yang tiada pastinya. Gadis telah kalah dengan kehendak nafsu.
Kehendak nafsu atau fitrah insani? Nafsu atau fitrah sama sahaja. Benarkah ia sama? Sama atau berbeza... kedua-duanya telah menyungkurkan gadis sehingga gadis tidak mampu untuk bangun kembali.
Gadis terus menangis dan menangis. Lebih kuat daripada tangisan hati. Lebih kuat daripada tangisan gadis yang terdahulu. Entah bila mahu berhenti….

Jauhi larangan, laksana perintah (Hadis Arbain : 9)


Daripada Abu Hurairah Abdulrahman bin Shakhr R.A. berkata; Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Jauhilah semua yang aku larang dan laksanakan apa yang aku perintahkan semampu kalian. Sesungguhnya yang membinasakan umat-umat sebelum kalian adalah kerana mereka terlalu banyak bertanya dan berselisih dengan Nabi-nabi mereka,”. (HR Bukhari dan Muslim)

….

1) Nabi SAW adalah lelaki pilihan yang diutuskan Allah untuk menyampaikan wahyu kepada seluruh umat manusia.

2) Setiap larangan dan suruhannya adalah datang daripada Allah kerana sesungguhnya Nabi SAW hanya menyampaikan apa-apa yang telah diperintahkan kepadanya.

3) Larangan dan suruhan itu sebenarnya adalah demi kebaikan diri manusia sendiri kerana selaku hamba yang lemah, manusia itu terbatas pemikirannya.

Muthiah : Tidak mahu taklid ~ Ikut tetapi tidak faham…

Pasti akan ada Tuan yang menjaganya (Bedah buku)


Kisah Abrahah yang hendak menyerang Kaabah~

Ringkasan Cerita

Abrahah serta pengikut-pengikutnya menuju ke Kaabah (dengan tujuan mahu merobohkannya). Tatkala mereka sudah sampai berhampiran Mekah, mereka bertindak merampas binatang ternakan milik penduduk Mekah.

Abdul Mutalib, ketua penduduk Mekah waktu itu segera menghadap Abrahah. Beliau meminta Abrahah mengembalikan binatang ternakan yang telah dirampasnya. Abrahah terkejut. Ia menyangka, Abdul Mutalib mahu merayunya supaya tidak mengganggu Kaabah tetapi nampaknya datuk Muhammad itu lebih mengutamakan harta-hartanya.

Berkata Abdul Mutalib, “Abrahah, sesungguhnya aku adalah tuan punya kepada unta-unta itu. Maka, bebaskanlah unta-untaku. Bagi Kaabah pula, ada Tuan yang menjaganya. Sekiranya Kaabah itu Rumah Tuhan, Dia pasti akan memelihara dan menjaganya…”

Pengajaran

Apakah pengajaran nyata yang boleh kita perolehi? Hanya satu yang ingin Muthiah coretkan (yang lain, boleh renung-renungkan sendiri)…

Sesungguhnya, agama ISLAM ini adalah milik ALLAH. ALLAH pasti akan menjaga dan memeliharanya. Walaupun terdapat 1001 perencanaan untuk memburukkan/ menghancurkan Islam, pasti tidak akan berjaya. Nampak sukses sekarang tetapi tidak selamanya!
Itu pasti! Satu hari, ISLAM pasti akan menang sebagaimana janji-Nya. Cuma, akal kita sahaja yang tidak dapat menjangka bilakah waktunya.

Bilamana kemenangan ISLAM itu sudah pasti…

1) Tetapkah kita mahu menjadi penentang agama-Nya dalam diam atau nyata?

2) Masih beranikah kita mengengkari suruhan dan membuat sesuatu yang dilarang-Nya?

3) Tidakkah kita mengimpikan untuk menjadi salah seorang yang menyumbang kepada kemenangan ISLAM? Kita ada atau tidak… ISLAM akan tetap menang. Hanya… adakah kita tergolong dalam golongan yang memberi sumbangan itu? Fikir-fikirkan… ISLAM yang memerlukan kita atau kita sebenarnya yang MEMBUTUHKAN ISLAM???

Fikir-fikirkan…

Muthiah : Kebencian yang menghancurkan…
Labels: 0 comments | | edit post

Putus sudah kasih sayang (iii)


Assalammualaikum. Alhamdulillah. Hari ini, Muthiah kembali bangkit. Bangkit yang bagaimana? Bangkit untuk meneruskan penulisan. Hmmm… selaku manusia biasa yang banyak khilaf, berkilo-kilo kelemahan… sering kali juga Muthiah terjatuh. Sayang sekali, tidak berdaya untuk bangun. Namun, Muthiah cuba untuk berdiri perlahan-lahan. Apabila sudah kembali menemui rentak yang serasi, Muthiah cuba pula untuk berjalan. Akhirnya, Alhamdulillah… Muthiah sudah bisa berlari anak. Insya-Allah, akan Muthiah percepatkan langkah ini.

Sebelum ini, Muthiah ada bercerita tentang si gadis yang tidak habis-habis meluahkan rasa hatinya. Hmmm… sudah beberapa hari Muthiah tidak bertanya khabarnya. Bukan lupa dan bukan juga mahu melupakan. Sekadar hendak memberi ruang kepadanya untuk ‘berehat’… memberi tempoh kepada hatinya untuk ‘bertenang’… Moga-moga Allah akan mengurniainya kekuatan hati.

Di sebalik luahan si gadis… sebenarnya, si teruna juga ada meluah rasa kepada Muthiah. Berbeza dengan si gadis, si teruna nampak lebih rasional dan tidak mengikut perasaan. Cuma…

1) Ia berasa serabut dengan tindakan si gadis yang tidak henti-henti menyalahkannya.
2) Ia tertanya-tanya permasalahan yang sebenarnya dihadapi si gadis. Perkara sudah berakhir, usahlah diungkit kembali!

Si teruna nekad dengan keputusan yang diambil. Ia tidak mahu bersama si gadis. Ia juga mahu membuka buku baru… hidup baru…

Mungkin silapnya si teruna ialah … ia diam seribu bahasa. Namun, Muthiah tidak mahu menyalahkan 100%. Pasti ada alasan yang munasabah. Ditambah dengan sikap si gadis yang terlalu mendesak menyebabkan si teruna semakin mengunci mulutnya… menjadikan ia semakin menjauh.

Tatkala Muthiah ingin merungkai permasalah (dari sisi si teruna)… ia sepertinya tidak mahu bercerita (mungkin begini agaknya sifat sang lelaki). Cuma ia menyatakan…

1) Ia punya alasan yang kukuh dengan setiap tindakannya.
2) Keputusan yang dibuat tidaklah semberono. Ia sudah berfikir panjang.
3) Ia mahu menutup buku lama. Ia tidak mahu mengungkit kisah lalu.

Sebagai teman… Muthiah menghormati keputusannya. Muthiah tidak boleh dan tidak ada niat untuk mendesak. Namun, dari sisi si gadis pula… ia tetap menyalahkan si teruna (Dari sisi si gadis, posisi dirinya adalah orang yang teraniaya; si teruna pula adalah insan yang menganiaya/ menzalimi). Bukan itu sahaja, si gadis turut mengatakan Muthiah ‘menyembunyikan’ sesuatu daripadanya sedang hakikatnya… TIDAK ADA APA-APA YANG HENDAK DISEMBUNYIKAN....

Hmmmm… entahlah…

Setelah melihat kondisi si teruna, Muthiah berpesan kepada si gadis untuk …

1) Tutup buku baru. Usah ungkitkan lagi. Usah perkatakan lagi perihal lalu kerana ia bisa menimbulkan rasa tidak puas hati yang berterusan. Bukan itu sahaja, bilamana kita meluahkan kepada banyak nyawa, sedikit sebanyak membuka pekung di dada. Kita tidak tahu apa yang orang lain fikirkan. Boleh jadi mereka akan simpati kepada kita dan tidak mustahil akan ada yang memandang jelik. Satu lagi… selagi hal itu diperkata, selagi itu peristiwa duka itu akan diingati. Bukan kepada kita sahaja bahkan orang lain…

2) Buang sms/ nombor telefon/ alamat emel/ ID YM dan lain-lain. Kenapa? Selagi ia ada di hadapan mata, hati kita boleh teringatkan si dia. Rasa hati hendak meluah ketidakpuasan mungkin bisa membuak. Bukan itu sahaja, membuatkan kita terkenangkan kisah-kisah duka dengannya. Lainlah kalau kita benar-benar sudah dapat ‘menerima’ segala apa yang telah berlaku.

Adakah Muthiah menyalahkan si gadis? Bersambung…

Muthiah : Bilamana berduka...carilah Allah...

Pau (i)


Assalammualaikum, semua. Sihat? Muthiah… ‘Ala kullihal, Alhamdulillah. Sedang berlumba-lumba dengan suami. Lumba apa? Dalam mutabaah ibadah. Nampaknya, Muthiah kalah. Insya-Allah, akan usaha lagi.

Pernah atau tidak barang kita diambil orang? Atau… kita ambil barang orang tanpa izin tuannya?

~ Sewaktu tinggal di rumah sewa/ asrama. Ada pengalaman ; syampu… pencuci muka… bedak… pakaian…beg kita di‘pinjam’ orang tanpa pengetahuan kita? Atas dasar ukhwah, milikmu adalah milikku jua. Namun, sejauh mana si ‘peminjam’ menjaga sesuatu barang yang bukan miliknya itu sebaiknya? Atau… dia hanya membiarkan kita tercari-cari barang kita yang ‘hilang’?

~ Duit pernah kena pau?

~ Orang guna telefon bimbit kita tanpa kebenaran? Katanya, hendak sms kawan atas urusan kerja… dalam diam, sms kepada orang yang tidak sepatutnya. Atas urusan yang entah apa-apa entah pula. Alahai, teman.

Hmmm…

1) Di kesempatan ini, Muthiah ingin minta maaf kalau pernah menjadi orang yang meminjam tanpa memulangkan (atau kalau pulangkan pun, setelah diminta berkali-kali). Rasanya macam tidak ada. Kalau ada pun, mungkin buku yang dipinjam agak lama. Namun, insya-Allah… dalam stock Muthiah, tidak tersimpan barang-barang yang bukan kepunyaan Muthiah.

~ Bagi yang pernah pinjam barang Muthiah dan ada kisah di sebaliknya, insya-Allah, Muthiah O.K. sudah. Yang pernah ambil buat harta sendiri pun, Muthiah sudah halalkan. Jadi, usah bimbang diperhitungkan Allah kelak ;)

2) Kalau Muthiah ada terhutang duit sesiapa, bolehlah maklumkan kepada Muthiah. Rasanya tidak ada (sebab Muthiah memang tidak gemar berhutang lama). Manalah tahu, kalau terlepas pandang.

~ Bagi yang pernah berhutang dengan Muthiah, kalau mampu dan berdaya… bayarlah. Kalau tidak mampu, insya-Allah Muthiah telah halalkan. Harapan Muthiah… kalau sudah berduit… usah kedekut/ berat hati untuk menginfaqkannya ke jalan Allah. Bilamana kita mati satu hari nanti, semua harta akan kita tinggalkan melainkan sesuatu yang kita berikan kepada orang lain dan dimanfaatkan olehnya [bak kata suami Muthiah].

~ Bagi yang pernah pau Muthiah (dengan niat mengambil hak/ mencuri secara halus)… Hmmm…. Muthiah serahkan segalanya kepada Allah. Hehe…


Sebenarnya… bersambung.

Muthiah : Ada kisah…

Nasi goreng masin


Alahai… nasi goreng yang Muthiah buat agak masin. Sebenarnya, terkejar-kejarlah juga menyediakan makan pagi serta tengah hari sekaligus. Pagi… Muthiah masak nasi goreng kampung (tetapi tidak guna kangkung – guna kacang panjang). Tengah hari, Muthiah bekalkan suami dengan kueh teow goreng.

Suami : Masin nasi ni..
Muthiah : Ya ka? Letak sikit bangat garam.
Suami : Hmmm…
Muthiah : Hehe…
Suami : Bukan ke selama ini kalau Muthiah goreng nasi dengan ikan bilis tidak letak garam langsung.
Muthiah : Adoi, lupa daaa…


Haha… betul! Kebiasaannya, bilamana Muthiah masak menggunakan ikan bilis, Muthiah tidak akan letak garam kerana bagi Muthiah ikan bilis itu sudah sedia masin. Alahai… mengigau.

Muthiah : Suka ikan pekasam.
Labels: 0 comments | | edit post

Ego


Kubiar kalam berbicara. Meluahkan rasa hati yang membara. Marah, benci, kecewa namun tidak dapat kunafikan rasa cinta yang masih lagi subur di dalam jiwa. “Uhibbuki fillah, ya ukhti,” aku berkata sendiri.
Wajah Ukhti Ida berlegar-legar di dalam kotak pemikiranku. Sekejap-sekejap ia tersenyum memandangku, sekejap-sekejap ia berwajah sayu. Aku pun tidak mengerti. Siapakah yang bersalah tetapi hatiku benar-benar sakit. Aku kecewa dengan persahabatan ini. Tidak adil dan berat sebelah. Hina sangatkah diriku sehingga dianaktiri oleh… oleh murabbiah sendiri?
“Abe tahu ayang rindukan mereka,” kata suamiku satu malam. Aku hanya diam. Hendak kunafi, jauh di sudut hati aku merindui mereka… Ukhti Ida, Ukhti Zue, Ukhti Sue, Azie dan Hada sentiasa hadir dalam mimpiku. Namun, untuk aku mengiyakannya, tidak sama sekali. Ukhti Ida yang aku sayangi tidak adil terhadapku dan mereka semua tidak kasihkan diriku. Adakah benar Ukhti Ida tidak adil atau aku yang terlalu cemburu? Cemburukan keprihatinan yang diberikannya buat teman-temanku lainnya. Argh!!!! Aku benci dia!
“Abe rasa ayang ego ke?” Aku bertanya kepada suamiku yang sedang memandu kereta Kancil SE. Diam… tidak ada jawapan yang terpacul dari bibirnya.
“Ayang yang salah atau mereka?” Tanyaku lagi. Aku memandang tepat suamiku yang begitu fokus dalam pemanduannya.
“Mungkin silap faham…” suamiku berkata pendek.
“Mungkin sahaja ayang salah faham dengan kasih sayang mereka…”
“Mungkin sahaja ayang terlalu sensitif…”
“Mana ada!” Sampukku.
“Afwan, be,” segera kucapai tangan kanan suamiku lantas menciumnya. Aku tersalah meninggikan suara kepadanya. Bagi seorang anak, berkata ‘ah’ pun ditegah Tuhan inikan pula aku seorang isteri. Khuatir dikatakan sebagai isteri derhaka dek keterlanjuranku berkata-kata.
“Abe maafkan ayang dunia akhirat,” ia berkata sambil tersenyum.
“Iblis laknatullah dicampak keluar dari syurga dek ego yang menebal dalam diri. Mereka sombong dan angkuh, bukan kepada Adam tetapi Allah yang mencipta dan menjadikan mereka,” panjang lebar suamiku menyampaikan tazkirah ‘Maghrib’nya. Aku tersenyum manja lantas melentokkan kepalaku di bahunya.
“Elok-elok, abe drive ni,” katanya perlahan.
“OKlah, ayang nak lelap kejap,” segera kupejamkan mata yang tidak mengantuk. Wajah teman-teman hadir terngiang-ngiang dalam mindaku. ‘Ukhti…’ aku berkata sendiri.
“Selamat hari jadi, Hada,” kata Ukhti Zue, Ukhti Sue dan Azie serentak.
“Moga panjang umur, murah rezeki dan diberkati Allah selalu, insya-Allah,” Ukhti Ida menambah.
“Terimalah hadiah yang tak seberapa daripada kami ni,” Azie berkata riang.
“Kek ni Ukhti Sue yang pilih,” sambungnya lagi sambil tersenyum.
“Adik???” Ukhti Ida tiba-tiba menegurku yang sedari tadi membisu.
“Kenapa tak raikan sekali hari gembira akhuwat?” Ia bertanya lagi.
Rai? Aku hendak meraikannya bersama mereka? Sebagai teman, harus prihatin terhadap temannya yang lain. Lebih-lebih lagi bilamana ia berkait dengan hari pentingnya. Bukankah bagi seorang gadis, hari kelahiran itu merupakan hari yang paling bermakna untuk diingati?
Ya, aku mahu meraikannya tetapi kenapa hanya hari penting mereka yang diingati? Hari lahirku baru sahaja berlalu minggu sudah tetapi tidak ada siapa yang mengingatinya. Ukhti Ida, selaku murabbiah seharusnya lebih prihatin dan peka. Kalau mahu lupa, lupakanlah semuanya. Tidak perlu wujud insan terpilih!
Tanpa kusedari, air mataku mengalir pilu. Aku rindukan mereka tetapi hatiku benar-benar sakit. Sakit mengenangkan saat duka bersama mereka. Aku sayang tetapi hati ini sentiasa rasa diabaikan. ‘Oh Tuhan, tunjukkan aku jalan,’ aku merintih sayu.
Ya! Rasa diabaikan, rasa tidak dipedulikan. Selaku murabbiah, Ukhti Ida tidak boleh berat sebelah. Besar sangatkah kesalahanku sehingga aku sering sahaja menjadi sasaran kemarahannya? Teruk sangatkah diriku sehingga pada kaca matanya, ada sahaja yang tidak kena dengan diriku. Kalau aku salah, tegurlah. Kalau aku silap, nasihatilah tetapi tegur dan nasihatlah dengan hikmah. Bukankah dakwah fardhiah ada menyebut tentang itu dan aku yakin, Ukhti Ida pasti lebih maklum dengannya.
“Ayang tak tidur?” Tiba-tiba aku ditegur suamiku. Hmmm… sama sekali aku tidak mampu membohonginya kerana nalurinya begitu kuat terhadap diriku. Mungkin dek keberkatan doa rabitah yang kami amalkan membuatkan Allah mengikat hati-hati kami. Bukan sahaja diikat, bahkan diperkuat lagi. ‘Terima kasih Tuhan atas kurniaan ini,’ aku segera mencelikkan mataku yang bundar.
“Mata ayang merah…”
“Tadi abang ajak ziarah mereka, ayang tak mahu. Kan sekarang dah berindu-rinduan,” entah dia mahu memujuk atau menyindirku. Aku tidak pasti tetapi aku tahu, segala apa yang lahir dari bibirnya adalah tulus dan ikhlas. Ia tulus mahu membuang ego dan perasaan marahku terhadap insan lain. Katanya, tidak tenang jika ada perasaan dendam. Aku tahu semua itu. Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah ada menyebut, “Jika mahu ceria, maafkan orang lain. Sebelum tidur, maafkanlah mereka yang ada menyakiti kita. Sebelum berpisah dari sebarang pertemuan, maafkan mereka yang ada tersilap kata dengan kita. Insya-Allah, hidup pasti ceria.”
“Hmmm…” ia mengeluh perlahan. Mungkin bosan melayan karenahku yang tidak pernah mahu mengalah.
“Sahabat adalah cerminan diri kita. Dia nampak silap kita dan sebagai teman yang baik, ia harus memperbetulkan kesalahan teman yang dikasihinya. Abe rasa, Ukhti Ida sayangkan ayang. Sebab itu dalam banyak-banyak mutarabbi, ayang yang kerap dimarahinya,” suamiku memulakan sesi tazkirah yang kedua. Aku hanya diam. Hatiku sedang bergelora sebenarnya. Tidak tahu sebab apa tetapi jantungku benar-benar sedang berdegup kencang. Seolah-olah dikejar pontianak dari Gunung Tahan.
Tidak! Tidak! Pontianak juga makhluk Tuhan. Buat apa aku takut? Kan aku ada Allah yang sentiasa dekat bersamaku dan Dia pasti kan mengawasi serta melindungiku. Buat apa aku perlu takut? Namun, kenapa jiwaku masih lagi meronta-ronta?
Dosa! Adakah ini tandanya aku sedang menambah dosa di dalam jiwa? Benar… Ukhti Ida pernah berkata satu ketika dahulu, “Mereka yang bermaksiat kepada Allah akan berasa tidak tenang. Dirinya gundah-gulana dan tidak tenteram…” ia diam seketika. Ukhti Ida memandang mataku dengan tajam tetapi ada kelembutan padanya.
“Bilamana seorang manusia itu berbuat salah,akan terpalit satu bintik hitam dalam hatinya…”
“Bilamana ia kekal melakukan kesilapan kepada Tuhan, bertambahlah bintik hitam itu…”
“Ia pula tidak sedaya upaya membersihkan hatinya dengan amalan-amalan yang boleh membawanya kepada Tuhan. Manusia yang lupa ini membiarkan dirinya terjerumus dengan dosa yang sedikit tetapi ingat! Jangan sekali-kali melihat kepada sikitnya dosa yang dilakukan tetapi pandanglah… kepada siapa dosa itu dibuat,” Ukhti Ida berkata dengan lembut. Bahuku diusap perlahan. Ada air yang mengalir dari kelopak matanya membuatkan matanya kemerahan. Aku hanya tunduk membisu. Ukhti Zue dan Ukhti Sue hanya menjadi pemerhati dalam sesi muhasabah di antara kami. Tiba-tiba, Ukhtie Zue yang terkenal dengan kelembutan hatinya turut sama mengalirkan air mata. Aku? Entahlah… aku pun tidak tahu mengapakah hatiku begitu keras. Mungkin sahaja lebih keras daripada batu bahkan telah dikonkrit dengan simen berkualiti tinggi.
“Apa pandangan abe tentang kami?” Aku memberanikan diri bersuara. Takut juga kalau-kalau suamiku merajuk.
“Hmmm…” suamiku berdengus perlahan.
“Macam abe kata tadi, mungkin sahaja silap faham. Manusia ni tidak ada yang sempurna yang. Dia bukan nabi yang maksum meskipun dia seorang pembela agama. Bezanya dengan orang biasa, mereka yang menghayati dan memahami agama ini tidak akan berasa rendah diri untuk mengakui kesalahannya…” diam seketika.
“Biasalah tu. Nasia kan maksudnya lupa. Jadi, manusia itu kadang-kadang lupa dan alpa. Kita juga pernah lupa kan?” Ia bertanya lembut.
“Kita lupa bahawa Allah ada…”
“Kita lupa ada yang mencatat kebaikan dan kejahatan kita. Atid dan Rakib bukannya duduk jauh, dekat sahaja dengan kita…”
“Dan yang paling penting, kita lupa bahawa hidup kita tidak lama…”
“Kita akan kembali kepada Tuhan. Mahukah kita bertemu dengan Dia yang Maha Agung dengan ada rasa dendam, benci, kecewa, marah terhadap makhluk ciptaan-Nya juga?” Suamiku meninggalkan aku dengan satu persoalan mudah tetapi hakikatnya, begitu sukar untuk dijawab. Aku hanya diam… kaku tidak mampu berkata-kata.
*****
Sebulan kemudian…
Kring kring… kring kring…
“Assalammualaikum, Adik ada?” Salam diberi. Macam kenal suara itu tetapi… ah! Mustahil aku akan dihubungi. Aku bukanlah siapa-siapa.
“Waalaikumussalam, Adik ni. Siapa tu?” Aku berpura-pura bertanya.
“Tak cam suara Ukhti Zue? Hmmm…” diam sejenak.
“Limaza ya ukhti?” Aku bertanya dalam Bahasa Arab, maksudnya, ‘Kenapa wahai saudariku?’
“Hmmm…” tiba-tiba ia mengeluh.
“Ada hal penting ke ni?” Aku bertanya lagi. Sebenarnya, jauh di sudut hati aku berasa riang tatkala mendengar suara itu tetapi syaitan sering kali membuatkan aku ragu-ragu. Perlukah aku berasa gembira dengan kehadiran mereka yang terlalu banyak menyakitiku? Jadi, aku berlagak biasa. Tidak seperti orang lain yang sudah berpisah lama dengan temannya. Pasti teresak-esak kegembiraan. Aku?
Aku yakin aku mampu menahan diriku daripada mengalirkan air mata di hadapan mereka dan aku pasti selepas gagang ini diletak, mataku pasti berkaca. Suamilah menjadi tempat aku meluah rasa. Ah! Ego benar insan yang bernama Nazihatul Hanan ini sedang namaku bermaksud ‘suci daripada perbuatan keji,’. Hanan pula membawa makna ‘kasih sayang,’ tetapi aku terus dengan kedegilanku dalam meluahkan rasa kasih dan sayang.
“Adik…” sayu benar suaranya.
“Ukhti Ida sakit tenat. Sekarang dirawat di ICU. Harapan untuk hidup 50-50. Adik kena segera hadir,” kali ini, Ukhti Zue menangis teresak-esak. Apa? Tidak! Aku tidak sanggup menerima berita ini. Aku bencikannya tetapi tidak pudar sedikit pun rasa sayangku terhadap dirinya. Dialah murabbiah terbaik dalam hidupku dan aku terlalu menyintainya... aku cinta dia kerana Allah.
“Insya-Allah, kalau free Adik pergi,” aku masih lagi mahu berlagak selamba sedang di dalam hati, hanya Tuhan yang tahu.
“Assalammualaikum,” kata Ukhti Zue tegas. Mungkin kecewa dengan respon yang kuberi.
Air mata yang kutahan-tahan tadi akhirnya gugur ke bumi. Apabila sudah masuk ICU, pasti keadaannya tenat…
“Abe, jom pergi KL. Ukhti Ida sakit tenat!” Aku berlari mendapatkan suamiku yang sedang asyik menonton drama bersiri China, ‘Fox volant of the snowy mountain,’.
“Apa?” Matanya yang sedia bulat dibulatkan.
“Sakit apa?” Tanyanya lagi.
“Jomlah… tak sempat nak terang ni,” aku segera masuk ke dalam bilik dan mengambil pakaian serta beg tanganku.
“Baik baik,” katanya lantas segera menutup televisyen.
“Afwan be,” aku menarik dan mencium tangannya. Aku tahu, aku agak kasar tadi.
“Abe kenal bini abe,” katanya sambil tersenyum.
“Abe maafkan ayang dunia akhirat,” tambahnya lagi. Lega…
Sesampainya kami di Kuala Lumpur, kakiku tiba-tiba menjadi kaku. Betulkah aku mahu menziarahinya? Nanti, orang ingat aku mengakui kesalahanku. Adakah aku bersalah dalam perhubungan ini?
“Jom cepat! Buat apa termenung lagi?” Suamiku menarik tangan kananku. Aku hanya menurutinya. Aku mahu melihat keadaan Ukhti Ida tetapi hatiku begitu berat berjumpa dengan teman-teman yang telah menyakiti hatiku.
“Adik…” Satu suara memanggilku. Ukhti Zue, Ukhti Sue, Azie dan Hada berlari anak mendapatkanku.
“Ukhti Ida…” diam. Semuanya kelihatan begitu sayu.
“Ukhti Ida telah meninggalkan kita selama-lamanya,” sebak-sebak Ukhti Sue menuturkan kata-katanya. Aku yang dari tadi berazam tidak mahu menangis di hadapan teman-temanku tidak mampu berlakon lagi. Air mataku mengalir jua akhirnya. Ukhti Zue segera memelukku erat.
“Kami sayangkan Adik kerana Allah,” bisiknya.
“Ukhti Ida bagi,” Azie menghulurkan sepucuk surat kepadaku.
“Dalam kesakitan, dia cuba menulis buat Adik,” Hada menambah. Aku mengambil surat itu lantas berlalu pergi meninggalkan teman-temanku yang terkebil-kebil sendiri. Aku tahu tindakanku salah tetapi aku tidak sanggup untuk berada dekat dengan mereka. Kalau dahulu, aku menangis sendiri, biarlah kini aku tetap menangis sendiri.
Assalammualaikum…
Adik yang akak kasihi fillah, bagaimana dengan kehidupan baru? Di kesempatan ini, akak mahu memohon sejuta kemaafan daripada Adik atas segala kesalahan yang akak lakukan, dalam sedar ataupun tidak. Afwan sayang seandainya akak terlepas pandang terhadap dirimu. Ketahuilah sayang, tidak ada sekelumit rasa bencipun diri akak terhadap Adik dan percayalah, nama Adik sering akak sebut dalam doa akak. Moga Adik berjaya di dunia dan akhirat. Moga-moga Adik bahagia dengan pilihan yang telah Adik buat. Adik memang jauh di mata akak tetapi yakinlah, hati akak sentiasa dekat bersama Adik.
Sayang fillah, Ukhti Ida.
Tanpa sedar… aku rebah ke bumi. ‘Maafkan Adik, ukhti,’ aku berkata perlahan. Air mataku masih mengalir laju, tidak ada tanda mahu berhenti.
Labels: 4 comments | | edit post

Al-Alaq


[1] Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),

[2] Ia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku;

[3] Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah,

[4] Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan,

[5] Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

[6] Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya),

[7] Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya.

[8](Ingatlah) Sesungguhnya kepada Tuhanmulah tempat kembali (untuk menerima balasan).

[9] Adakah engkau nampak (baiknya) orang yang melarang (dan menghalang),

[10] Seorang hamba Allah apabila ia mengerjakan sembahyang?

[11] Adakah engkau nampak (buruknya) jika ia berada di atas jalan yang betul?

[12] Atau ia menyuruh orang bertaqwa (jangan melakukan syirik)?

[13] Adakah engkau nampak (terlepasnya daripada azab) jika ia mendustakan (apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad kepadanya) serta ia berpaling ingkar?

[14] Tidakkah ia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat (segala amal perbuatannya dan membalasnya)?

[15] Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi sesungguhnya jika ia tidak berhenti (daripada perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke dalam neraka),

[16] Ubun-ubun (orang) yang berdusta, yang bersalah.

[17] Kemudian biarlah ia memanggil kumpulannya (untuk menyelamatkannya),

[18] Kami pula akan memanggil malaikat Zabaniyah (untuk menyeksanya)!

[19] Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)...

*** Wahyu pertama Allah kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW ***

Bacalah...
Bacalah...
Bacalah...

Fikir-fikirkan....

Allah yang memberi hidayah (Bedah buku)


Kisah perintah Allah kepada Ibrahim agar menyeru manusia kepada Kaabah~

Ringkasan cerita

Allah telah memerintahkan Nabi Ibrahim A.S. untuk membina semula Kaabah yang sudah runtuh dan terkambus. Kemudian, Allah SWT memerintahkan pula Ibrahim untuk menyeru manusia supaya menziarahi Kaabah.

Ibrahim bertanya, “ Bagaimanakah seruanku dapat sampai kepada manusia?”

Allah menegaskan bahawa Dialah yang akan menyentuh hati-hati manusia itu. Ibrahim hanya berperanan membuat seruan.

Pengajaran

Ya! Kita hanya bisa menyampaikan. Kita boleh menyeru manusia kepada kebaikan. Kita berdakwah siang dan malam. Kita mengatur strategi untuk mengajak mereka kepada Allah. Namun hakikatnya, Allahlah yang memberi hidayah.

Sekiranya banyak yang menjadi pengikut (jemaah kita), bukanlah kita yang hebat. Kita bukanlah siapa-siapa. Kita bukanlah pendakwah hebat. Kita bukan juga manusia istimewa. Allahlah yang memiliki segala kehebatan itu. Tidak ada yang mustahil bagi-Nya untuk menyentuh hati-hati makhluk ciptaan-Nya.

Jadi, sentiasalah bermuhasabah dan mengislah diri. Ingatkan diri tentang tanggungjawab kita yang sebenarnya. Apa yang pasti!!! Kita hanyalah manusia biasa yang banyak khilaf dan kelemahan…

Muthiah : Terlalu banyak kelemahan.
Labels: 0 comments | | edit post

Putus sudah kasih sayang (ii)

Sambungan lepas… Apa perasaan Muthiah?…

Huhu… terkedu untuk mencari jawapan… Namun, percayalah. Setiap manusia, akan tetap diuji Allah… Sepertimana firman-Nya dalam surah Al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud, “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan, "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?”

Ada orang diuji dalam kehidupan berkeluarga… Suami/ isteri yang punya banyak karenah… tidak bertoleransi… tidak bertimbangrasa… Manalah kita tahu kerana kita tidak berada di samping mereka…

Ada orang diuji dalam hal kerjaya dan kewangan… Makan pakai tidak cukup… kais pagi makan pagi..kais petang makan petang…

Terdapat seribu satu ujian dan pasti! Apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah, sesuai dengan kesanggupan kita sepertimana firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud… ‘Tidak Aku bebankan seseorang sesuai dengan kesanggupannya…’

Berbalik kepada persoalan teman Muthiah tadi… “Apakah perasaan Muthiah kiranya Muthiah berada di tempatnya?”

Hmmm…Memang… Allah tidak menguji Muthiah dengan ujian yang sama sepertimana yang dialami olehnya tetapi ujian tetap ada… Muthiah juga manusia biasa… Pernah rasa sedih… pernah rasa terhiris… pernah juga rasa terluka… Bohonglah kalau Muthiah katakan hidup Muthiah sepanjang 28 tahun ini hanya diselubungi kegembiraan 24 jam sehari semalam.

Namun…di sebalik kesukaran itu…

Muthiah cuba untuk optimis. Muthiah memilih untuk ceria dan gembira… Bukannya Muthiah tidak pernah terjatuh, tersungkur dan terjelepok tetapi Muthiah cuba untuk bangkit. Sakit tatkala memaksa diri untuk bangun tetapi kita tidak punya jalan lain. Hidup perlu diteruskan. Hendak tidak hendak kita perlu melalui hari esok (kalau masih dipanjangkan usia).

Masih tidak mampu??? Masih tidak berdaya??? Jalannya… Muthiah tahu Muthiah perlu kembali kepada Allah. Itulah kekuatan Muthiah…bukan sahaja Muthiah tetapi kita semua. Kemudian, sedikit demi sedikit rasa resah itu akan menghilang. Cuma masa sahaja yang menentukan… Muthiah yakin Muthiah tidak sendiri. Muthiah ada Allah yang Maha Tahu dan Mahu Adil. Muthiah serahkan segalanya kepada Allah SWT. Sesungguhnya, Allah itu Maha Teliti Penghitungan-Nya…

Untuk berasa kecil hati… marah … atau kecewa??? Muthiah mungkin bukan siapa-siapa tetapi Muthiah berpegang kepada kesaksamaan Tuan Punya alam ini.

Jadi… renung-renungkan wahai teman…

Tidak salah jika mahu menangis tetapi usah biarkan tangisan itu menghancurkan diri sendiri… membuatkan kita lupa kepada Allah yang sentiasa hampir dengan diri kita…

Tidak salah untuk bersedih hati tetapi jangan sampai kesedihan itu menjadikan kita manusia yang ada jasad tetapi nyawanya sudah entah ke mana. Marah, dendam dan benci terus menguasai diri…

Tidak salah untuk meluah rasa. Tidak sama sekali! Muthiah faham… begitu berat bebanan yang ditanggung. Begitu sakit hati yang dipendam… Namun….

Sabarlah… ALLAH ada, Sayang… Maafkan Muthiah andai ada sedikit ketegasan tika itu… Ketegasan Muthiah bukan bereti Muthiah marah tetapi … Muthiah sayangkan teman Muthiah ini kerana Allah… Muthiah tidak mahu ia terus bermain dengan emosi. Muthiah tidak mahu ia terlalu melayan perasaan…. Si dia pula sudah jelas lagi bersuluh tetap diam seribu bahasa. Tidak mahu berkata apa-apa… Hendak buat macam mana?

Sabarlah… Hanya itu yang boleh Muthiah ungkapkan… Walau seribu kali, Muthiah akan ucapkan kata-kata yang sama. Buka buku baru… bina hidup baru… Optimis dan usah jadikan kisah duka ini sebagai noktah hidup kita. Bangkit dengan semangat baru… Ingat bahawa kita sama sekali tidak sendiri.

Bagaimana pula dari sisi si teruna? Bersambung…

Muthiah : Sayang suami Muthiah bangat….

Doktor oh doktor…


Baru-baru ini, Muthiah dan suami menziarahi guru Muthiah yang sedang menghidap penyakit barah. Banyak perkara yang dikongsi dan banyak juga cerita yang disampaikan. Hmmm… ada sesuatu yang ingin Muthiah kongsikan kepada semua. Agar dapat dijadikan iktibar dan pengajaran.

Hmmm… mengeluh lagi. Alahai… Banyak sungguh perkara yang tidak sepatutnya berlaku telah terjadi…

1- Seorang doktor muda perlu mengambil darah cikgu Muthiah. Sekali cucuk, tidak bertemu urat… dua dan tiga kali cucuk, pun tidak ketemu. Adoi… sakitnya… (sepertimana yang telah diceritakan).

2- Kemudian, ia memanggil temannya (juga seorang doktor baru). Dengan yakin, doktor muda ini terus mencucuk sebelah tangan cikgu Muthiah. Setelah siap, ia bertanya, “Tangan mana yang hendak dibedah?” Cikgu Muthiah menjawab, “Tangan inilah.” Selepas itu, doktor tersebut berkata kesal, “Alamak, mana boleh cucuk tangan ini!” Adoi….

3- Air bisa perlu dikeluarkan dari tubuh cikgu Muthiah. Doktor pun menggunakan tiub (hmmm… tidak tahu hendak panggil apa) dan masukkan ke dalam tubuhnya. Tiub itu pula disambungkan pada satu bekas. Namun sayang, air bisa tetap tidak mengalir ke dalam bekas yang sepatutnya. Ia melimpah keluar menyebabkan ketidakselesaan pada cikgu Muthiah. Sudahlah jahitan yang dibuat tidak sempurna. Makin teruk jadinya. Apabila diajukan kepada doktor pakar, barulah keadaan menjadi baik. Jahitan semula telah dibuat dan air bisa tidak lagi melimpah.

4- Ada sesuatu yang perlu dilakukan. Cikgu Muthiah meminta seorang doktor melakukannya. Doktor tersebut nampaknya tidak tahu apa-apa dan ia bertanya kembali kepada cikgu Muthiah apa sebenarnya yang harus dilakukannya? Huhu…. Aduh!

5- Ada satu ketika, doktor berkira-kira apa yang harus dilakukan untuk merawat cikgu Muthiah. Aik, masih keliru? Tidak apa… belajar…. Hehe..

6- Pakar meminta doktor-doktor baru ini supaya sentiasa memantau para pesakit. Namun, apabila tiada doktor pakar di sisi, mereka tidak melakukan sepertimana yang diarahkan.

7- Ada satu kes, melibatkan pesakit barah ovari. Seorang anak muda telah dibedah. Kemudian, ia dimasukkan semula ke hospital. Rupa-rupanya, doktor telah tersilap jahit (sekali dengan usus).

Menurut cikgu Muthiah lagi, batch sebelum ini lebih meyakinkan (Cikgu Muthiah sebenarnya sudah beberapa kali dimasukkan ke dalam wad untuk tujuan rawatan).

1- Mereka nampak bekerjasama dan berbincang sebelum membuat sebarang keputusan.

2- Mereka lebih peka terhadap pesakit.

Apakah iktibar yang boleh diambil?

Tidak perlulah Muthiah coretkan di sini. Tepuk dada, tanya iman. Hehe… Bak kata Nabil, “LU PIKIRLAH SENDIRI!”

*** Sekadar coretan daripada luahan seorang pesakit untuk renungan bersama***

Muthiah : Doktor dan pesakit adalah sama-sama manusia biasa yang banyak khilafnya.

Hoi hoi ya hoi...


Hoi hoi ya hoi...
Hoi hoi ya hoi...

Assalammualaikum...

Muthiah dan suami menonton filem, "Ali Baba Bujang Lapok" lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

....

Satu hari, ketika Ali Baba keluar mencari kayu api, ia terlihat para penyamun sedang berkawad di dalam hutan dengan membawa hasil rompakan. Tatkala Ketua Penyamun sampai ke tempat persembunyian mereka...

Ketua Penyamun itu telah memuji anak buahnya...
# Bagus dalam melakukan pekerjaaan (merompak)...
# Berdisiplin...


'... Tetapi, ada satu yang tidak kena. Pakaian kamu daaaa...'

....

Suami berkata, 'Boleh dimuatkan dalam blog.'

'Puji dahulu.... kemudian, baru tegur...' tambahnya lagi.

Hmmm... ada betulnya. Kaedah menegur orang yang baik.

Mula-mula... bunga-bungakan hatinya dahulu...

Beri komen yang positif... (Ikutkan cerita di atas, Ketua Penyamun memuji anak buahnya dengan dua perkara)

Kemudian... tegurlah dengan baik/hikmah ;)

Dapat tangkap? Hehe... LU PIKIRLAH SENDIRI...

Muthiah :Kadang-kadang hikmah... Kadang-kadang, hentam sahajalah.
Labels: 0 comments | | edit post