Kisah Walid Al-Mughirah (Bedah buku)
Tuesday, April 20, 2010
ISLAM itu agama AKHLAK. Kenapa Muthiah berkata sedemikian? Ya, kerana sesungguhnya setiap umat Islam dianjurkan untuk berakhlak dengan akhlak mulia...
Kisah Walid Al-Mughirah yang datang berbincang dengan Muhammad SAW ~
Ringkasan Cerita
Ketika Muhammad SAW sedang duduk bersendirian di tepi Kaabah, Walid telah menghampirinya. Ia duduk di sebelah Muhammad.
Bertanya Walid, "Apakah yang sudah terjadi, wahai Muhammad? Apakah yang kamu bawa ini? Sesungguhnya, seruan kamu telah memecahbelahkan kami." Muhammad diam.
"Adakah kamu sakit? Kami akan mencarikan tabib yang paling baik untuk kamu. Adakah kamu mengharapkan wang dan harta daripada perjuangan kamu? Kami, Quraisy sanggup mengumpulkan wang dan harta sehingga menjadikan kamu seorang yang paling kaya," tambahnya lagi. Muhammad SAW tetap bersabar dan berakhlak di hadapan Walid meskipun kata-kata lelaki itu begitu menyakitkan hatinya.
"Sekiranya kamu mahukan kemuliaan, kami bisa menjadikan kamu ketua kami. Seandainya kamu mahukan kekuasaan, kami tidak teragak-agak untuk menjadikan kamu raja kami. Kalau kamu mahu bernikah, kami akan kahwinkan kamu dengan sesiapa sahaja yang kamu mahukan, wahai Muhamamd. Kami akan menunaikan segala permintaan kamu tetapi... hentikan dakwah dan perjuangan kamu ini." Diam.
Setelah Walid selesai berbicara, Muhammad bertanya, "Adakah kamu sudah habis berkata-kata, wahai Walid?"
"Ya," jawab Walid.
Kemudian, Muhammad SAW pun membacakan ayat daripada surah Al-Fussilat ayat 1 sampai 13 sehingga terkedu Walid jadinya.
Pengajaran
Nah! Sesuatu yang menyakitkan namun maklum balas positif bijak yang diberikan.
Itulah umat ISLAM.
Itulah pendokong agama ALLAH.
Ia tidak mudah melenting dan cepat naik angin dengan sesuatu yang telah menyentap hatinya (kalau ada pun...bertempat dan perlu!!!). Mungkin sahaja tercalar dengan kata-kata insan yang menyakitinya namun, ia meletakkan kesabaran berada di puncak. Ia punya jalan untuk menyedarkan manusia yang terlupa itu.
Diamnya bukan diam kosong. Ada isi yang bisa membuatkan mereka yang memperlekehkannya terkesima dan hilang kata-kata. Ya! Ia berdakwah dengan akhlak mulia. Akhlak yang bisa menyedarkan mereka daripada kealpaan mahupun kelekaan.
Sukar, bukan? Ya... sukar untuk berlapang dada terhadap mereka yang menyakiti. Ikutkan hati... mahu meluahkan segalanya. Mahu ia tahu bahawa tindakannya itu sungguh menyakitkan. Tidak salah. Kita juga punya hak untuk bersuara.
Namun... contohilah sisi teladan Rasulullah. Tidak mampu? Sekiranya kita tidak berdaya melakukan semuanya, usah tinggal segalanya. Mintalah daripada Allah agar diberi kekuatan hati. Mohonlah agar dikurniakan dengan sifat sabar dan mudah memaafi...
Hmmm...
** Apabila marah.. diamlah dahulu. Usah berbicara. Banyakkan istighfar. Kerana... waktu itu syaitan begitu dekat dengan kita. Ia terus membisikkan sesuatu yang bisa membakar hati kita yang sedia terbakar. Bertenanglah... ambil wuduk...solat dan mengaji. Apabila sudah tenang... tidak lagi marah-marah (atau kemarahan sudah semakin kendur)... fikirkan kembali... Apakah yang boleh kita lakukan...
Muthiah : Pernah juga marah yang melampau-lampau serta tidak tertahan. Namun, jadikan peristiwa itu sebagai satu pengajaran untuk mendidik hati menjadi seorang yang lebih sabar.