Mencari Naurah (Bab 22)

“SABAR, mak. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Manalah kita tahu Arul akan insaf. Semuanya di tangan TUHAN. Kuasa ALLAH, mak,” aku memujuk lembut.

Adilla sekadar memerhati dan lidahnya kelu. Tidak tahu apa yang harus dilakukan mungkin.

“Arul memang nakal tetapi dia tidak jahat.” Mak masih mahu mempertahankan anak terunanya. Air matanya tidak henti-henti mengalir. Meskipun sendunya tidak kedengaran, aku tahu mak sedang bersedih hati.

“Mak yang melahirkan, membesarkan...” Mak terdiam sebentar, tidak mampu untuk meneruskan kata-katanya. “Apa pun yang Arul buat, darah mak tetap mengalir dalam tubuh badannya...” dia diam lagi. “Mak sayang dia. Lebih daripada diri mak sendiri,” bicaranya terhenti.

Aku lihat, Adilla juga sudah mula mengalirkan air mata. Setitik demi setitik gugur ke bumi. Hatinya lembut walaupun kadang-kadang mulutnya tidak berhenti merungut dan membebel. Sikapnya, cara dia bertindak dan tingkah lakunya tidak ubah seperti arwah ayah. Ayah sudah lama meninggalkan kami tetapi terasa seperti baru semalam dia menasihatiku, “Asha mesti belajar sungguh-sungguh. Masuk universiti, boleh jadi contoh yang baik buat adik-adik.”

Aku tersenyum memandang Adilla. Ya! Aku sedaya-upaya mengukir senyuman yang paling manis buat adik bongsuku ini. Mana tahu, dia boleh tenang dengannya.

Aku mahu menangis sebenarnya tetapi khuatir tangisanku nanti membuatkan mak bertambah sebak dan berdukacita. Biarlah aku bertahan. Siapa sanggup melihat insan tersayang membazirkan air mata begitu sahaja? Ada! Nasrul adikku yang nombor dua. Dia tidak pernah mahu ambil tahu tentang orang lain. Entahlah...

“Mak yang peluk dia, cium dia, dukung dia...” Mak mengimbas memori lalu.

“Mak tahu ini ujian ALLAH tetapi mak sedih. Mak tidak boleh berpura-pura dan berlagak seperti tidak ada apa yang berlaku,” luah mak sambil memandang tepat mataku. Mungkin mengharapkan pengertian.

‘Aku mengerti, mak,’ bisik hatiku.

“Asha janji dengan mak. Kalau mak tidak ada nanti, Asha kena tengok-tengokkan Arul juga. Jangan ambil hati sangat dengan perangainya. Asha kena sayang dia macam Asha sayang mak...

Arul tetap adik Asha, abang Dilla,” tambahnya lagi lantas memandang Adilla.

Kali ini, tangisan Adilla yang semakin rancak sudah mula kedengaran. Seperti sedang berhadapan dengan satu musibah yang besar.

Aku berjalan ke arah Adilla lalu memeluk pinggangnya dari belakang. Moga-moga dia tenang tidak terlalu bersedih hati. “Tabah, sayang,” aku berbisik di telinganya perlahan.

Aku memandang ibu kembali, namun lidahku menjadi bisu untuk berkata-kata. Aku terdiam seribu bahasa, tidak mampu mengungkap sepatah kata. Aku memahami dan mengerti hati serta perasaan mak... mak yang melahirkan dan membesarkan, meskipun aku belum lagi bergelar seorang umi.

Namun, aku adalah seorang kakak. Dan seorang kakak itu laksana mak buat adik-adiknya. Benar! Mak yang melahirkan Hasrul... Efendy dan Adilla tetapi selaku insan yang tercipta sebagai seorang wanita, naluri keibuan itu tetap meresap dalam jiwa dan sanubariku. Aku tahu dan aku sedia maklum. Aku mengerti rasa hati mak meskipun tidak sepenuhnya dapat menyelami.

Tiba-tiba mak terbatuk kuat. Cepat-cepat aku berlari ke arah mak. Tanpa berlengah, aku menepuk-nepuk belakangnya perlahan. Risau betul aku melihat keadaan mak. Mak yang selama ini nampak kental dan tabah, kelihatan begitu lemah dan tidak bermaya. Wajahnya lesu, mukanya berkerut dan matanya sembap. Terlalu banyak berfikir agaknya.

Mak terbatuk lagi.

“Dilla, tolong Kak Sha ambilkan air suam untuk mak.” Aku sedikit panik.

“Baik,” balasnya pendek lalu berjalan laju ke dapur.

Tiba-tiba kedengaran bunyi pinggan mangkuk terjatuh ke lantai. Mak yang tadinya kelihatan lemah bingkas bangun dan menuju ke dapur.

“Dilla!!!” Mak menjerit lantas berlari kencang ke arah Adilla yang tersungkur di hadapan meja makan.

“Sakit, sayang?” Kelam-kabut mak bertanya.

Adilla kemudiannya menangis teresak-esak. Dipeluknya mak erat-erat. Mungkin tertekan dengan apa yang berlaku. “Kenapa Abang Arul buat kita macam ini?” Dia merintih perlahan. Wajahnya kelihatan begitu beremosi. “Kenapa Abang Arul tidak fikir tentang orang lain?” Dia merungut lagi. Nada suaranya ditinggikan.

“Kecil-kecil tidak mahu mati. Besar-besar susahkan orang!” Ungkapan Director Ahmad Nisfu dalam Seniman Bujang Lapok terpacul dari mulutnya. Dia tidak henti-henti memarahi abangnya.

“Sabar, sayang...” Mak memujuk lembut. Aku mengusap rambut Adilla yang panjang mengurai. Lidahku kelu. Aku hanya mampu menjadi pemerhati. “Mak sayang Dilla.” Dia mencium pipi Adilla sepenuh hati.

“Kalau ayah ada...” Adilla terdiam. Tangisannya semakin kuat. Mak yang tadinya sudah berhenti menangis mengalirkan air matanya kembali. Aku? Aku tidak kuat untuk bertahan. Aku turut menangis bersama-sama mak dan Adilla.

‘Arul, Arul... sampai hati buat kami begini. Akak sayang Arul dan akan tetap menyayangi Arul,’ aku berkata di dalam hati. Tangisanku semakin kuat. Entah bila mahu berhenti.

~bersambung~

Nota : Mencari Naurah di buku boleh jadi ada sedikit perbezaan setelah diedit editor.

0 Responses