Mencari Naurah (Bab 17)

~ Di kesempatan ini, Muthiah ingin mengucapkan Salam Aidiladha buat rakan-rakan yang Muthiah kasihi semua. Moga... diri kita... hidup kita akan bertambah baik daripada hari-hari sebelumnya. Lihat cermin... muhasabah diri. Yuk ~
*****

TELEFON bimbitku berdering perlahan. Aku memandang sekeliling. Mujur tidak ada ahli jawatankuasa lainnya. Sebenarnya, aku baru sahaja menukar nada dering telefon bimbitku kepada lagu kesukaan ramai, Doraemon... “Assalammualaikum,” aku memberi salam.

“Waalaikumussalam. Asha sedang buat apa? Sibuk?” Kedengaran suara Mek Jarah di corong telefon.

Hmm... jarang benar mak menelefonku pagi-pagi begini. Ada sesuatukah? Lagipun, lain benar suara ibu. Ada getaran di hujungnya. “Sedang gotong-royong di dewan serbaguna. Mak sihat?” aku bertanya lembut. Tidak mahu bersangka buruk.

“Alhamdulillah, sihat. Sibuk?” Mak seakan-akan berbisik. Suaranya sedikit cemas.

“Asha kena jaga adik-adik. Kenapa, mak? Ada apa-apakah, mak?” Risau aku dibuatnya dengan reaksi mak yang benar-benar lain daripada biasa. Bukan sahaja nada suaranya, cara mak bercakap juga berbeza... seperti ada sesuatu.

“Jadi, Asha sibuklah?”

Mak masih belum menjawab soalanku. Sah! Mesti ada yang tidak kena. Naluriku jarang sekali tersilap.

“Tak apa, mak. Asha tak sibuk sangat. Lagipun, banyak ahli jawatankuasa yang menjaga adik-adik ni. Keadaan di kampung baik, mak? Mak hendak berkongsi cerita dengan Asha, ke?” soalku sambil berjalan ke luar dewan.

Bising bangat! Ada yang mengelap tingkap... ada yang menyapu lantai. Bukan itu sahaja, bahkan ada yang bermain kejar-kejar di dalam dewan. Tidak terkecuali Shazleen bersama teman-temannya. Aku kira, anak Pok Mat yang tinggal bersebelahan dengan rumah Pak Madi. Nadia pula begitu asyik mencuci tangga pentas.

Aku berjalan ke luar dewan. Alhamdulillah, lapang sedikit.

“Tidak ada apa, Sha. Lama benar tidak bertanya khabar. Kalau begitu, jaga diri baik-baik. Jaga solat dan jaga makan,” pesan mak tergesa-gesa. Baru semalam aku berbual-bual dengan mak. Kenapa pula ada istilah, ‘Lama benar tidak bertanya khabar?'

“Mak...” aku berkata lembut tetapi belum sempat aku bercakap panjang, talian telefon terputus. ‘Kenapa dengan mak?’ aku bertanya sendiri. Mak kelihatan menyembunyikan sesuatu. Nasrul buat halkah atau Adilla yang bermasalah? Kalau Nasrul, aku tidak terkejut kerana adik lelakiku itu sering sahaja mendatangkan masalah buat ibu. Adilla? Mustahil tetapi hanya dia dan Nasrul bersama mak waktu ini.

‘Mak, mak...’ aku mengeluh sendiri. Semuanya hendak sendiri. ‘Hmm...’ aku mengeluh lagi. Inilah mak, selalu sahaja terkunci mulutnya untuk meluah rasa. Tidak mahu menyusahkan aku katanya. Mak...

Nota : Mencari Naurah di buku boleh jadi ada sedikit perbezaan setelah diedit editor.

~ bersambung~

0 Responses