Mencari Naurah (Bab 21)

KENAPA menangis?

Berkali-kali kubaca nama pengirim mesej ini. Benarkah aku kini berada di alam nyata? Atau sekadar bermimpi?

Ada masalah keluarga. Adik lelaki ditangkap polis kerana merempit. Ibu tidak cukup wang untuk ikat jamin. Dia sering kali mendatangkan masalah kepada mak.

SMS Asyraf aku balas.

Kalau begitu, boleh beransur awal. Saya akan uruskan segalanya di sini. Usah khuatir, saya akan rahsiakan perkara ini daripada pengetahuan umum.

Jawabnya seolah-olah tahu isi hatiku.


Pukul 3.00 nanti jumpa saya. Selepas solat zohor, saya belikan tiket. Natasha nak pulang ke Kelantan, kan? Saya belikan tiket ke Kota Bharu, insya-ALLAH.

Aku membalas.

Terima kasih, Tuan Pengarah. Boleh belikan tiket ke Kota Bharu. Rasanya, ada stesen bas ekspres di Permaisuri.

Mana mungkin aku tidak jatuh cinta dengan lelaki ini! Bukan sahaja prihatin tetapi bijak bertindak. Astaghfirullah, astaghfirullah, astaghfirullah... Adakah kegelisahan ini disebabkan oleh hati yang terlalu kotor? Masalah yang bercampur aduk... antara masalah di kampung dengan permasalahan jiwa yang sebenarnya sudah lama terpendam? Sayangnya, ingin pula meluahkan laharnya saat ini.

‘Ya, ALLAH. Ampunilah dosa-dosaku...’

Aku segera membasuh muka. Cermin dalam tandas kuamati dalam-dalam. Gerun melihat wajah sendiri. Seperti wajah insan yang banyak berdosa. Dosa yang tidak dapat dilihat oleh mata. Mata itu sering kali tertipu dengan keindahan dan kecantikan yang tidak akan kekal lama.

‘Aku perlu mengambil wuduk,’ aku berbisik sendiri.

Perlahan-lahan aku membuka tudung serta anak tudung lalu menyangkutnya di tepi dinding. Cermin di hadapan kuamati lagi. Masih suram wajah itu. Betul kata Nadia... wajahku tiada seri.

Kemudian, pili air aku pulas perlahan-lahan. Aku perlu tenang... aku perlu rasional dan tidak beremosi. Aku perlu lupakan segalanya. Biar ALLAH sahaja yang berada di dalam hatiku. Bukankah dengan mengingati ALLAH itu hati akan tenteram?

‘Ya ALLAH. Ya ALLAH. Ya ALLAH,’ aku merintih lagi dengan seribu satu pengharapan. Aku berharap agar ditenangkan hatiku yang sedang gundah. Malangnya, aku tidak dapat mencari kunci kegundahan ini.

‘Ya ALLAH. Ya ALLAH. Ya ALLAH,’ nama ILAHI kusebut lagi.

Selesai mengambil wuduk, aku menyarung kembali tudungku. Pasti Kak Rose sedang menanti. Cepat-cepat aku keluar dari tandas dan menuju ke tempat makan. Dari jauh, kulihat Kak Rose sedang berbual-bual dengan seorang mak cik yang sedang makan di dalam khemah yang sama.

“MAAF... Asha lewat,” ucapku perlahan.

“Tak apa. Makanlah,” balas Kak Rose pendek lantas menghulurkan sebungkus nasi kepadaku.

“Akak dah makan?” aku bertanya perlahan.

“Belum. Akak tunggu Asha.”

Tepat jangkaanku. “Lauk apa, kak?” Aku segera membuka bungkusan nasi tersebut.

“Akak ambil ayam masak merah untuk Asha. Asha tak makan daging, kan?” Jawab Kak Rose.

Aku mengambil makanan yang diberi. “Ya, Asha tak makan daging. Terima kasih, kak.”

“Sama-sama,” Kak Rose tersenyum manis.

Tanpa lengah, dia pun membuka bungkusan nasi yang diambilnya. Aku yakin Kak Rose tengah lapar. Aku mengerling makanan Kak Rose. ‘Kepak ayam...’ aku berkata sendiri apabila melihat sepotong kepak ayam di dalam bekas polistirena Kak Rose. ‘Oh, kegemaranku,’ bisikku lagi.

“Ambillah, akak ambil peha,” Kak Rose seolah-olah mendengar isi hatiku.

“Terima kasih, kak...” Aku diam sebentar. “Terima kasih banyak-banyak, kak,” aku mengucapkan terima kasih kepadanya sekali lagi.

Kak Rose tersenyum memandangku. Persis seorang ibu yang baru sahaja memenuhi kehendak anak kecilnya dan anak kecil itu adalah aku.

Setelah membaca doa makan, kami pun sama-sama menikmati makanan yang disediakan. Alhamdulillah, sedap sungguh.

“Asha menangis?” Kak Rose bertanya pula. Aku memandangnya sekilas sambil tersenyum.

“Akak, Asha kena balik awal. Ada urusan penting di kampung. Pengarah program sudah maklum tentang hal ini,” Aku berterus-terang. Tidak mahu dia berkecil hati sekiranya aku beransur pulang senyap-senyap.

“Baik. Sudah selesai semuanya, jangan lupa cerita pada akak,” ucapnya tidak mahu mendesak.

“Insya-ALLAH,” jawabku. Aku menyuap nasi perlahan-lahan. Aku lapar tetapi seleraku mati...

~bersambung~

Nota : Mencari Naurah di buku boleh jadi ada sedikit perbezaan setelah diedit editor.

0 Responses