Mencari Naurah (Bab 49)

Novel | Mencari Naurah



SEDANG aku dan Adilla rancak ketawa, kedengaran rumah kami dimasuki orang. "Eh, siapa kat luar?" aku sedikit terkejut. Pencurikah?

"Hmmm… mak memang buka pintu luas-luas. Adylah tu…" Mak memberitahu. Membuatkan kegusaranku kembali kendur.

"Hah! Abang Ady dah sampai," mulut Adilla ternganga. Cepat-cepat dia berlari menuju ke ruang tamu di hadapan rumah.

"Eh, anak dara. Runtuh rumah nanti," aku menjerit perlahan. Adilla berkalih ke arahku lantas menjelirkan lidahnya tanpa rasa malu.

"Molek sangat buat macam tu," omelku sendiri. Mak hanya tersenyum. Cepat-cepat mak mengekori langkah Adilla dari belakang. Wajahnya ceria. Tidak sabar agaknya menanti kepulangan putera bongsu yang sungguh jauh di mata tetapi begitu dekat dalam jiwa.

"Abang Ady…" bergema suara Adilla memanggil abangnya. Aku tersenyum mendengar keriangan suara adik perempuanku. Tanpa lengah, aku pun turut sama menuju ke ruang tamu.

"Assalammualaikum, mak. Dilla…" kata-kata Ady terhenti.

"Eh, Kak Sha pun ada…" setelah bersalaman dengan mak, Efendy segera berjalan ke arahku.

"Sihat?" soalku pendek.

"Alhamdulillah. Akak cakap kerja banyak. Tak boleh balik jumpa Ady," dahi Efendy berkerut dan matanya mengecil.

"Hehehe… Surprise…" ucapku lantas menampar perlahan bahunya.

"Sudah, sudah. Boleh berbual lepas ini. Mari kita makan dulu. Jie, makan sekali," mak yang diam dari tadi tiba-tiba bersuara.

"Saya kena ikut Pak Leman tebas lalang di kebunnya, Kak Jarah. Sudah lewat ni. Lagipun, sudah pekena dua bungkus nasi minyak pagi tadi," ujar Pok Piji panjang lebar.

"Oooo… Kalau begitu, tidak apalah. Terima kasih banyak-banyak sebab ambilkan Ady," kata mak lagi.

"Sama-sama. Baik. Saya beransur dahululah. Assalammualaikum."  Cepat-cepat Pok Piji beredar dari rumah kami. Hmmm… nampaknya, pak cikku yang seorang itu benar-benar hendak cepat!

"Pok Jie nak cepat. Pak Leman sudah tunggu depan warung Pak Abu tadi," terang Efendy.

"Jom makan. Dinosaur masak," pelawa Adilla.

"Dinosaur???" Mata Efendy membulat.

"Hehe…" Adilla tersenyum sumbing.

"Abang… Apa cerita terkini?" Adilla nampaknya tidak sabar-sabar untuk menemubual abangnya.

"Sudah, Dilla. Abang Ady baru sahaja sampai. Bagilah dia rehat. Marilah kita makan. Lepas tu, pergi mandi dahulu. Kalau nak tidur, mak dah siapkan tempat tidur," kata mak.

"Baik, puan." Adilla pun berlalu ke dapur. Begitu juga dengan mak dan Efendy. Aku pula mengangkut beg pakaian adik lelakiku masuk ke dalam bilik. Mak ai, beratnya…

“SELAMAT hari lahir, kak,” ucap Efendy ketika kami sama-sama membersihkan halaman. Silap! Efendy sekadar memerhati. Hanya aku dan Adilla menyapu dan mengutip daun-daun di perkarangan rumah.

Aku ketawa. “Hadiah mana?” aku berhenti menyapu lalu memandang Efendy sambil tersenyum.

“Petang ini, insya-ALLAH,” kata Efendy sambil mengenyitkan matanya.

“Sudah tamat tempoh kalau begini. Hari jadi akak pagi semalam. Bersamaan jam 5.30 pagi,” aku membalas.

“Petang ini, Ady tunjukkan hadiah istimewa buat akak. Kalau akak rasa hadiah itu sesuai dengan akak, akak terimalah. Kalau tidak, Ady redha.” Efendy tersenyum lagi... senyuman penuh makna.

“Mestilah terima hadiah adik akak,” balasku.

Sungguh tenang hatiku berada di kampung halaman. Meskipun rumahku tidak punya penghawa dingin, aku berasa nyaman berada di dalamnya. Sejuk hati melihat mak yang sentiasa murah dengan kasih sayang.


Benar. Mana ada kasih yang lebih hebat daripada kasihnya seorang mak. Dia yang  mengandung. Dia juga yang melahirkan. Di samping itu, mak jua yang membesarkan aku sehinggalah aku mengecap kejayaan. Tidak terbalas jasa dan budi mak. Ditambah dengan pemergian ayah menghadap ILAHI. Maklah mak dan maklah jua ayah.

‘Terima kasih, mak,’ bisik hatiku.

“Jauh termenung. Ingat bakal abang ipar?” teguran Adilla menyedarkanku daripada lamunan.

Aku ketawa. “Mana ada,” aku memuncungkan bibirku. Adoi! Sejak kantoi dengan Adilla semalam, tidak henti-henti dia mengusikku.

“Akak sudah ada calon?” Efendy tiba-tiba menyampuk.

“Ada. Semalam kantoi dengan Dilla.” Adilla seperti mahu membuka cerita. Lagaknya, punya bakat menjadi pengacara Melodi.

“Dilla, tolong mak ambilkan pucuk paku di belakang rumah,” panggil mak.

 Aku memandang Adilla sambil berpura-pura senyum kanyur. Mujur mak ada untuk menyelamatkanku dari terus diserang kata-kata oleh Adilla.

“Baik, mak,” jerit Adilla.

“Kong, kong, kong...” ejekku sambil menjelirkan lidah. Macam kanak-kanak Ribena.

Adilla hanya tersenyum. Kemudian dia mengaturkan langkahnya ke dapur.

“Akak sudah ada calon?” soal Efendy lagi. Kali ini, mukanya nampak serius.

Aku hanya tersenyum.

“Kak...” Efendy menyambung. Perlahan sahaja suaranya.

“Ya, sayang,” jawabku tanpa memerhatikan wajahnya.

“Petang ini, senior saya akan datang. Dia baru habis pengajian dan sekarang tengah sambung master di UKM, Fakulti Pengajian Islam... Namanya Afzan Helmy. Orang Pasir Mas...” Efendy terdiam sejenak. “Umur 28 tahun. Anak sulung daripada enam adik beradik...

Dulu, dia abang angkat Ady. Sangat baik budi pekertinya walaupun tidaklah macam Aidil dalam Nur Kasih...”
Mentang-mentanglah aku menggemari drama bersiri arahan Kabir Bhatia itu.

“Selalu jadi imam dan hafaz al-Quran,” terang Efendy tanpa henti.

“Okey,” aku memberi respons yang pertama.

“Dia sedang mencari isteri. Ikutkan, adalah beberapa orang Muslimah yang hendakkan dia tetapi tidak tahulah Ady... senyap sahaja. Ady rasa, dia sangat sesuai dengan akak,” Efendy menambah.

“Seorang lelaki yang ingin berkahwin perlu mengenali bakal isterinya terlebih dahulu,” aku mengutarakan pandanganku.

“Maaf, kak.  Ady dah tunjukkan gambar akak kepadanya,” Efendy berterus-terang. Ada riak kesal pada wajahnya.

‘Betul-betul kesal atau mahu menagih simpati?’ aku menyoal sendiri. “Apa?” mataku yang sepet kubulatkan. Mana boleh begini! Hakku telah dicabuli.

“Akak pun sudah habis belajar, bukan?” Efendy memujukku dengan lembut.

Bersungguh-sungguh dia mahu mengenengkan aku dengan abang angkatnya. Abang angkat? “Tengoklah dahulu,” jawabku acuh tidak acuh. Sebenarnya, sejak bertemu dengan mama Asyraf tempoh hari, hatiku sudah kurang berminat untuk berbicara ataupun berfikir hal-hal sebegini.

“Akak istikharahlah. Ady tak memaksa. Cuma sebagai adik, Ady mahu yang terbaik untuk akak,” katanya penuh harapan.

“Insya-ALLAH,” balasku.

“Lagipun, dia baik. Jadi, paling sesuai untuk akak.” Efendy merenung dalam mataku.

“Ady, terbaik tidak semestinya bermakna paling sesuai. Dia mungkin baik dan sempurna pada mata Ady tetapi mungkin tidak sesuai atau serasi dengan Akak. Tidak ada manusia yang sempurna di atas muka bumi ini melainkan Nabi SAW yang maksum,” aku berkata lembut.

“Namun, lainlah ceritanya kalau sudah ada jodoh. Kita perlu berusaha untuk mewujudkan keserasian dalam rumah tangga yang telah kita bina. Yang penting sebelum diijab kabul, perlu sentiasa bermohon dan berdoa kepada ALLAH agar dikurniakan insan yang paling baik buat diri kita. Kerana, bila kita sudah meminta kepada-NYA, DIA pasti tidak akan mensia-siakan kita. Kalau ada masalah, biasalah asam garam rumah tangga. Itu tandanya ALLAH sayang,” khutbahku panjang lebar.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan dia amat baik bagimu. Dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu sedangkan ia amat buruk bagimu; ALLAH mengetahui sedang kamu tidak mengetahui...” Efendy menyambung.

“Surah apa? Akak lupalah.” aku bertanya tanpa berselindung.

“Al-Baqarah ayat 216 tetapi kak, Ady rasa dia memang sesuai untuk akak,” ujar Efendy lagi sedikit mendesak.

“Hati Dy...” aku membalas penuh makna. Bayangan Asyraf tiba-tiba muncul dalam kotak fikiranku. Entah apa yang dilakukannya kini dan bagaimana dia menghadapi persoalan hati yang bertamu.

Argh, persetankan perasaan itu! Semakin dilayan, semakin menjadi. Iblis yang dilaknat ALLAH tidak henti-henti menggoncang hatiku. Tidak tahu bagaimana untuk menghindarkan diri daripadanya kerana dia tetap mendekat. Musuh manusia yang paling jelas ini tidak pernah kenal erti kecewa dan putus asa dalam menyesatkan umat manusia.

Benarlah sepertimana amaran ALLAH, ‘... Syaitan itu adalah musuh yang paling nyata...’. Hanya manusia kadang-kadang lupa dan teralpa. Teman dari neraka itu sama sekali tidak boleh dihampiri. Tidak sama sekali!!! Namun sayang, kita yang sedia jahil ini tetap mahu menjadikannya sebagai kawan. Bukan sekadar teman bahkan sahabat yang paling akrab.

~bersambung~

0 Responses