Aku mahu tenang dan bahagia

Assalammualaikum. Ehe. Awal Muthiah mencoret pagi ini. Yeah! Sekejap lagi, Muthiah hendak memulakan kerja mengedit manuskrip. Harapan Muthiah agar semangat yang berkobar-kobar ini akan kekal sampai bila-bila, insya-ALLAH... amin. Sekiranya jatuh pun, moga bisa bangkit kembali. Chaiyok! <- Jom sama-sama bersemangat. 

Ya ALLAH, tunjuki aku jalan yang ENGKAU redhai...

Memetik kata-kata Tuan Dr. Haji Tengku Asmadi T.M. di facebook beliau, ada 5 perkara yang pasti memberi ketenangan jiwa dan kebahagiaan hati.
  1. Bersangka baik pada semua orang.
  2. Mencari hikmah dan kebaikan di sebalik perkara dan peristiwa.
  3. Bersyukur dan tidak membanding dan membeza-bezakan.
  4. Redha atas apa jua yang berlaku.
  5. Penyerahan sepenuhnya kepada ALLAH.
Persoalan;

Bersangka baik... mencari hikmah... bersyukur... redha dan penyerahan sepenuhnya kepada ALLAH.

Sejauh mana kita meletakkan persangkaan baik terhadap orang di sekeliling kita? Susah, bukan? Tidak payah tengok orang lain, pandang sahaja diri sendiri <- Akulah ni. Akulah ni. Akulah ni yang bernama Muthiah. Lebih-lebih lagi apabila iman tengah jatuh, berada nun di bawah sana. Jasad dan jiwa pula jauh daripada TUHAN. Keegoan diri berada di tempat tertinggi. Hanya aura negatif berada di sekeliling kita. Nasihat orang, kita nampak yang buruk sahaja. Bukan setakat itu, kita menyakiti pula mereka yang peka dan prihatin pada diri kita. Blablabla <- membebel. 

Sejauh mana kita mencari hikmah di sebalik peristiwa? Kita hendak A, ALLAH beri B. Kita kecewa. Kita marahkan TUHAN. Kita salahkan orang di sekeliling kita. Paling parah, kita terus berputus asa. Kita takut untuk berhadapan dengan kegagalan yang belum pun terjadi. Ya. Tidak ada siapa yang mahu berhadapan dengan kegagalan. Jadi, bagaimana? BERMUHASABAHLAH...  'Boleh jadi kamu sukakan sesuatu tetapi ia tidak baik bagimu. Boleh jadi kamu bencikan sesuatu sedang ia baik bagimu.' (al-Baqarah, 2:216)

Bersyukurlah... mudah menyatakan tetapi sukar untuk mengaplikasikannya. Kita sering melihat dan memperbesar sesuatu yang tidak kita perolehi. Itu lumrah... berlaku apabila kita terlupa dan alpa. Kita hendak menikah, belum diijab kabul lagi. Kita mahukan cahaya mata, pun ALLAH belum bagi. Kita ingin duit yang banyak... hmm, setakat kais pagi dan makan pagi. Kita dan kita. Ah! Kita sedih dan kecewa. Kita mungkin terlupa... daripada 10 keinginan kita yang tidak tercapai, ada 1001 nikmat yang telah ALLAH kurniakan buat diri kita. Tepuk dada, tanya iman. Berapa banyak kurniaan ALLAH yang telah kita perolehi? 'Jika kamu bersyukur, ALLAH akan menambah nikmat kepada-MU...' (Ibrahim, 14:7)

Redha... Bak kata Mila dalam Ombak Rindu, "Redha itu ikhlas. Pasrah itu menyerah!" Hmm... sebenarnya secara peribadi, kadang-kadang bahkan acap kali diri ini terasa sukar untuk redha. Bibir mengatakan 'aku redha' tetapi tindakan pula adalah sebaliknya. Maka, bagaimana? Mohonlah kekuatan daripada ALLAH agar kita menjadi hamba-NYA yang sentiasa redha dan terus sabar dengan ujian-NYA. Alhamdulillah dari sisi Muthiah... suami sentiasa mengingatkan perkara ini kerana sungguh! Sering Muthiah 'terlupa' tentangnya.

Penyerahan sepenuhnya kepada ALLAH. Benar! Segala-galanya adalah kepada ALLAH. Selaku manusia, kita hanya mampu berusaha dengan bersungguh-sungguh. Seterusnya berdoa kepada Yang Maha Kuasa. Hasilnya... ketetapan itu adalah daripada DIA yang lebih tahu. Sungguh... Muthiah sendiri selalu alpa terhadap apa yang dikatakan penyerahan ini. Muthiah bersungguh-sungguh... kemudian, Muthiah kira sudah berdoa dengan sepenuh hati namun tatkala tidak mencapai apa yang diingini, Muthiah kecewa. Alhamdulillah... setakat ini Muthiah cepat bangkit dan sedar kembali. Syukur... ALLAH hadirkan mereka yang sentiasa mengingatkan tatkala Muthiah terlupa.

Wah! Panjang banget! Moga yang baik, dapatlah dijadikan panduan. Yang merapu itu, maaf ya. Bak ungkapan Muthiah sebelum ini, 'Carilah yang positif...' negatif yang ditemui itu adalah kelemahan Muthiah selaku insan biasa tetapi masih mahu berkongsi cerita.

Okey. Selamat bekerja. Yuk....
Labels: | edit post
0 Responses