Jom berbekam

Assalammualaikum. Apa khabar? Mengantuk sebab tengok bola malam tadi? Ehe. Muthiah sokong Itali tetapi Muthiah tidak berjaga malam pun. Bersorak dalam mimpi sahajalah. 
Sepanyol VS ITali (4-0)
Okey.


Hari ini, Muthiah ingin berkongsi tentang BEKAM. Aik... tetiba? 


Oh, sebenarnya tempoh hari, Muthiah menziarahi saudara di Kampung Melayu Subang. Beliau yang mencadangkan kaedah kesihatan alternatif ini; untuk penjagaan kesihatan. Kata beliau lagi, bekam ini sunnah Nabi


Maka pada 24 Jun lepas, Muthiah dan suami pun pergi ke Pusat Rawatan Alternatif yang terletak di Rapat Setia, Ipoh. Satu poin bersamaan RM5. Kami buat 10 poin setiap seorang. Siap berbekam, Muthiah ditanya oleh Dr. Nurlinah, "Bagaimana rasanya?" Jawab Muthiah, "Biasa-biasa saja." Hukhuk... Muthiah memang terlalu berterus-terang.


Pada 29 Jun, Muthiah ke Pusat Rawatan tersebut sekali lagi. Hukhuk... sebenarnya sepanjang minggu sebelumnya, Muthiah kurang bahkan TIDAK menjaga pemakanan. Ore Kelate ghoyak, 'Make kokse'. Puncanya ialah malas masak sementelah suami ada 5S dan bekerja di luar daerah. Akibatnya, kepala jadi pening. Maka, Muthiah pun berbekam buat kali kedua. Oh, kali ini hanya 6 poin di kepala. Alhamdulillah, rasa ringan dan lega berbanding sebelumnya. 


Malamnya, Muthiah mencari-cari info tentang bekam. Jom Muthiah kongsikan di sini.


Apa itu bekam?
Gambar diambil dari web HPA

Proses mengeluarkan darah toksik dari badan seseorang menggunakan jarum tajam/ pisau/ tanduk dll. 


Jenis bekam :

  • Bekam kering 

Hisap permukaan kulit tanpa mengeluarkan darah toksik.

  • Bekam basah

Dilakukan dengan melukai permukaan kulit dengan jarum tajam. Darah toksik (disebut juga sebagai darah kotor) kemudiannya dikeluarkan menggunakan alat pengamal bekam. Prosesnya antara tiga hingga lima minit


Nota : Dinasihati agar tidak mandi selama 3 jam selepas berbekam. 


Dalil tentang bekam


'Kesembuhan itu ada pada 3 perkara iaitu; minum madu, sayatan pisau bekam, dan sundutan dengan api (kay). Sesungguhnya aku melarang umatku berubat dengan kay.' Hadis Sahih al-Bukhari)


Waktu bekam 


Seeloknya dilakukan...

  • Sewaktu musim/ cuaca panas.
  • Pada pertengahan bulan Hijrah (17, 19 dan 21) - Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa berbekam pada hari ke 17, 19 dan 21 (tahun hijrah), maka dia akan sembuh dari segala macam penyakit.' (Sahih Sunan Abu Dawud, karya Imam al-Albani).
  • Pada hari Isnin, Selasa dan Khamis.
  • Pada waktu tengah hari (cuaca panas)
Nota : Dinasihati tidak makan (makanan berat) 2 hingga 3 jam sebelum berbekam.

Siapa dilarang berbekam?

  • Mereka yang mempunyai masalah tekanan darah rendah.
  • Pesakit kudis.
  • Wanita mengandung.
  • Ketika mengalami haid.
  • Mempunyai masalah kulit yang serius.
  • Dalam keadaan yang sangat letih, lapar dan kenyang.
Nota : Bahagian tubuh yang dilarang untuk berbekam; mata, telinga, hidung, alat kelamin dan dubur.

Kelebihan berbekam
  • Menghilangkan pening dan migrain.
  • Membuang angin dalam badan, melegakan pernafasan dan sistem perkumuhan.
  • Memecahkan lemak, peluh dan melegakan demam.
  • Memulihkan ketegangan urat leher, belikat, pinggang dan urat sendi di kaki.
  • Mencegah kebas kaki dan membantu meredakan serangan angin ahmar.
  • Mengeluarkan darah toksik dan melancarkan peredaran darah yang tersumbat.
  • Meringankan tubuh. 
  • Menajamkan penglihatan. 
  • Dikatakan mampu merawat pelbagai penyakit. Dianggarkan sebanyak 72 jenis penyakit dapat disembuhkan seperti ketegangan urat, darah tinggi, jantung, kolesterol, masuk angin, migrain, sakit mata, angin ahmar, sakit gigi, jerawat, sembelit, tekanan dan buah pinggang.
Sumber utama : pmr.penerangan.gov.my

Cukup setakat ini perkongsian Muthiah tentang bekam. Sekiranya ingin mengetahui dengan lebih lanjut, Muthiah sarankan agar teman-teman dapat bertanya kepada mereka yang lebih arif. Info ini Muthiah cari di beberapa laman web ~ untuk pengetahuan diri sendiri asalnya. Moga mendapat manfaat daripadanya. 

Tanya Muthiah... insya-ALLAH, ada rezeki Muthiah ingin mengamalkan sunnah ini.

Isu?!

Muthiah bertanya dengan Dr. Nurlinah berkenaan penggunaan jarum sewaktu bekam. Iyalah. Khuatir bisa mendatangkan mudarat apabila dikongsi dengan ramai pesakit. Jawab beliau, "Satu jarum, seorang pesakit." Okey, lega. Moga ALLAH memelihara diri dari sebarang kemudaratan. 

Jom ^____^
Labels: | edit post
0 Responses