Mencari Naurah (Bab 50)
Sunday, July 08, 2012
Novel | Mencari Naurah
~bersambung~
"ASSALAMMUALAIKUM," kedengaran suara orang
memberi salam dari muka pintu. Diam…
"Assalammualaikum," ucapnya lagi. Aku yang
berada di dapur berlagak seperti tidak mendengar apa-apa. Adilla pula sudah
menjenguk dari celah pintu.
"Mak mana?" aku bertanya kepada Adilla.
"Entah," jawabnya pendek.
"Akak, keluarlah. Ada tetamu tu," Adilla
menggesaku.
"Pergi pakai tudung dan ambilkan tudung akak
dalam bilik," arahku. Aurat perlu dipelihara!
"Eh, terlupa. Kita tidak pakai tudung.
Hehe…" Adilla segera berlalu memasuki bilik kami yang terletak
bersebelahan dengan bilik Efendy.
"Assalammualaikum," suara itu kedengaran
lagi.
"Cepatlah, kak. Sudah tiga kali dia beri salam
tu. Nanti, balik sia-sia. Abang Ady tengah sembahyang," Adilla menarik
tanganku.
"Iyalah…" aku menurutinya dalam paksa.
Aku… bukannya tidak mahu meraikan tetamu. Akan tetapi, setelah diberitahu
Efendy tentang abang angkatnya yang ingin mencari isteri, membuatkan aku tidak
bersemangat dan tidak mahu ambil tahu.
"Waalaikumussalam. Masuklah. Maaflah. Ady
sedang sembahyang. Mak cik pula tengah cari barang dalam bilik," Mek Jarah
menerangkan panjang lebar.
'Selamat…' hatiku berbisik kecil.
"Tidak apa, mak cik. Saya Helmy," baik
juga budi bahasa teman adikku ini.
"Ooo… duduklah dahulu. Nanti mak cik minta anak
dara mak cik buatkan air." Mek Jarah segera berlalu ke dapur.
"Hai… orang bagi salam, tak ada yang
sambut?" mak membebel perlahan.
"Salah Kak Sha, mak," Adilla menuding
jarinya ke arahku. Aku hanya tersenyum.
"Dilla pergi hantar keluar," aku sedikit
memerintah. Dulang yang berisi air teh dengan jemput-jemput kuhulurkan kepadanya.
"Kenapa Dilla?" Adilla membulatkan
matanya.
"Saja…" jawabku pendek.
"Sudah! Biar mak yang bawa keluar." Mak
segera mengambil hidangan tersebut dan berjalan perlahan ke ruang tamu.
"Akak ni… menyusahkan mak sahaja," Adilla
mencebik.
"Hmmm…" aku diam seribu bahasa.
“Apa
khabar?” Efendy menghulurkan tangan untuk bersalaman.
“Alhamdulillah,”
jawab Afzan Helmy pendek sambil tersenyum manis.
“Jadi,
tadi datang naik motor ke?” Efendy bertanya lagi.
“Ya,
dalam 30 minit,” balasnya sambil menghirup air teh yang dihidangkan.
“Siapa
nama anak tadi? Mak cik lupa. Maklumlah, sudah tua.” Tiba-tiba mak menyampuk.
“Afzan
Helmy, mak tetapi orang biasa panggil Helmy,” Efendy menjawab bagi pihak
sahabatnya itu.
“Kak
Sha, Dilla... jomlah minum sama-sama,” kedengaran suara Efendy memanggilku dan
Adilla dari ruang tamu.
Diam...
Aku hanya mendiamkan diri di dapur. Adilla pula, sedari tadi aku lihat begitu
asyik mengintai Helmy dari celah pintu. Apa yang diperhatikan, aku sendiri
tidak tahu. Namun, tidak aku nafikan bahawa Helmy nampak begitu segak dengan
baju ‘Help Palestin’ yang disarungnya.
“Siapa
lebih kacak? Kawan Abang Ady atau kawan akak di UM?” soal Adilla separuh
berbisik.
“Tak
mahu komen,” aku memandangnya sekilas. Adilla masih lagi tersenyum sumbing.
“Boleh
tahan juga kawan Abang Ady. Lagipun, Dilla solo lagi.” Adilla berkira-kira
sendiri.
Aku
menjelingnya sejenak tetapi tetap tidak menunjukkan sebarang reaksi. Buku
tulisan Stephen R. Covey pemberian Anuar aku belek setiap helaian. Pada muka
hadapan buku tersebut, tertulis ucapannya buatku, ‘Selamat menjadi rakan
sejawatan. Semoga Natasha akan sentiasa bahagia di dunia dan akhirat.’ ‘Anuar,
Anuar,’ aku tersenyum sendiri.
“Kak!!!”
Jeritan
Adilla mengejutkan aku daripada khayalan. “Ya,” wajahnya yang berkerut seribu
kurenung tajam. ‘Buat orang terkejut sahaja. Mujur tidak ada penyakit jantung,’
omelku sendiri.
“Angau.
Kawan Abang Ady sudah hendak baliklah. Jomlah kita keluar. Dilla segan hendak
tunjuk muka seorang.”
“Sejak
bila adik bongsu kesayangan akak ini jadi pemalu?” aku mencubit pinggangnya
perlahan. Sekadar mahu mengusik.
“Tidak
adalah. Bukankah tetamu hendak balik. Jomlah,” Adilla masih berharap.
“Ya,
ya... jangan tengok lama-lama. Tidak baik! Lagipun, tidak manis anak dara
pandang anak teruna. Jatuh saham, dik,” pesanku sejujurnya.
“Baik,
tuan.” Adilla segera memberi tabik hormat kepadaku.
Kami
pun berjalan ke ruang tamu.
Aku
lihat, Helmy menyerahkan sesuatu kepada Efendy sambil berbisik. Kemudian, dia
menepuk perlahan bahu adik lelakiku itu.
“Insya-ALLAH.”
Efendy
turut sama bercakap perlahan tetapi perkataan ‘Insya-ALLAH’ masih dapat aku dengari.
‘Senyum
kambing yang sumbing,’ aku membebel sendiri.
“Ada
masa, datanglah rumah mak cik lagi,” pelawa mak. Aduh, mak semacam sudah
berkenan. Aku hanya tersenyum. Namun, senyumku tidaklah sumbing sepertimana
senyuman adik-adikku.