Mencari Naurah (Bab 48)

Novel | Mencari Naurah



AWAL-AWAL pagi aku sudah berada di dapur. Mahu membuat nasi kerabu buat adik lelaki bongsu kesa-yanganku. Mesti dia suka. Maklumlah, duduk di tempat orang... pasti sukar untuk mencari makanan tradisional rakyat Malaysia ini.

“Akak buat apa?” tanya Adilla.

“Masak makanan kegemaran Abang Ady,” jawabku sambil tersenyum memandang Adilla yang baru sahaja bangun dari tidur. Tiba-tiba dia menguap. “Aik, anak dara. Masih tak cukup tidur? Sudah pukul berapa ni, sayang?” aku berpura-pura marah.

“Ingat hendak qada tidur tetapi tidak dapatlah. Ada anak dara tua buat bising di dapur,” Adilla tersenyum. Matanya dibulatkan. “Mak mana?” soal Adilla apabila dia tidak melihat kelibat mak di dapur.

“Mak pergi ambil ubi kayu di belakang rumah. Ady suka makan ubi kayu, kan?” Tanganku masih lagi memotong halus daun kesum yang baru kuambil di hadapan rumah. Aku melihat bahan-bahan yang tersedia. Serai, timun, taugeh... Okey... sudah cukup semuanya.

“Alah,  semua orang pentingkan Abang Ady daripada Dilla. Dilla balik, mak tak buat macam ni pun.” Muka Adilla masam mencuka. Sering kali beranggapan bahawa aku dan emak melebihkan Ady dan Nasrul berbanding dirinya.

Aku memandang tepat anak matanya sambil tersenyum, “Akak sayang Dilla. Bukankah Abang Ady sudah lama tidak balik kampung? Mesti dia rindu. Rindu dengan mak, Dilla, Nasrul, rumah kita, ayam kampung, lembu, serai belakang rumah...” Diam sejenak. Aku cuba menghiburkan Adilla dengan lawakku  yang tidak menjadi.
“Biarlah kalau macam itu. Dilla tahu siapa Dilla. Belajar pun setakat politek sahaja. Akak masuk UM, Abang Ady sambung belajar di Mesir.” Mata Adilla mula berkaca.

Aku meletakkan pisau di atas meja lalu berjalan ke arah Adilla yang semacam mahu melarikan diri daripadaku. “Adik akak yang seorang ini, tidak sabar betul,” aku segera menarik tangannya masuk ke dalam bilik. “Duduk sekejap,” arahku. Mataku tercari-cari beg pakaianku. ‘Itu dia...’

“Tahniah sebab dapat anugerah dekan semester lepas. Akak ingat hendak buat kejutan.” Aku menggeleng sambil menghulurkan sebuah bungkusan yang dibalut dengan kertas minyak. Ia tersenyum...

“Nah, politik menjadi. Dilla bergurau sahaja.” Adilla terus membuka hadiah yang kuberikan. “Dilla tahu, Akak mesti bagi Dilla hadiah sebab dapat anugerah dekan.” Dia menambah.

“Kurang asam jawa punya adik.” Aku membulatkan mataku sambil mencubit pipinya perlahan. “Jom, nanti lewat masak,” sambungku.

Kami pun berjalan ke dapur. Alamak, ibu sedang menyambung tugasanku.

“Tak apa, mak. Biar Asha buat. Anak bongsu kesayangan mak ini buat hal tadi,” ujarku.

“Dah siap pun. Tolong mak hidang di atas meja hadapan aje,” mak berkata perlahan sambil tersenyum.
“Dilla punya pasallah,” aku berpura-pura marah.

“Mak, nanti mak beritahu Abang Ady bahawa Kak Asha yang sediakan nasi kerabu ini. Kasihan dia. Pagi-pagi buta sudah buat bising di dapur sampai terjaga Dilla daripada tidur. Ingatkan gempa bumi tadi. Rupanya dinosaur masuk dapur.” Adilla masih belum puas mengenakanku.

“Mak... baik mak kahwinkan anak dara mak yang seorang ini. Sudah kahwin, matanglah nanti. Siapalah lelaki malang yang akan kahwin dengan adik kesayangan aku ini?” balasku.

“Betul, mak. Kahwinkan Dilla. Mak, Dilla sudah ada calon. Nama dia Asyraf dari UM,” kata Dilla dengan selamba.

Mataku terbeliak. “Asyraf mana?” Aku memandangnya sekilas.

“Adalah...” usik Adilla lagi.

“Akak serius, Dilla,” kataku.

Adilla ketawa. “Pagi esok, akak kena masak nasi dagang untuk Dilla...” Dia diam sebentar. “Tidak cukup, tidak cukup. Akak kena panjat pokok rambutan belakang rumah. Dilla hendak makan rambutan satu bakul.” Dia tersenyum.

“Iya, iya. Nanti Akak dapatkan,” cepat-cepat aku mengiakan.

“Panjat pokok rambutan pun ke?” Adilla mahukan kepastian. Matanya yang sedia bulat itu dibulatkan.
“Insya-ALLAH,” balasku teragak-agak.

“Tidak boleh ambil dengan galah, tangga atau minta tolong Abang Ady panjatkan.” Dia meletakkan syarat lagi.

“Insya-ALLAH...” aku merenung tajam anak matanya. ‘Alah, akak suruh Pok Piji panjat,’ bisik hati kecilku.

“Tidak boleh suruh Pok Piji panjatkan.” Adilla menambah.

Aik, macam mana dia tahu kata-kata hatiku?

“Insya-ALLAH,” jawabku. Terpaksalah aku memanjat pokok rambutan tersebut. Sudah lebih lima tahun aku tidak bergayut di atasnya.

“Tengok, mak. Dilla sebut nama Asyraf, terus Kak Asha bersemangat. Mak ingat ya nama bakal menantu mak tu,” kata Adilla kepada mak yang sedari tadi begitu asyik memerhatikan gelagat kami adik-beradik.
“Hmm... yang akak cetak e-mel akak dengan Abang Asyraf tu kenapa? Siap letak atas meja lagi. Dilla bukan curi-curi baca. Memang terdedah kepada orang awam,” kata Adilla sambil mengenyitkan mata. Dia tersenyum...

Alamak, aku terlupa untuk menyimpannya kembali. Nasib badan, Adilla sudah membaca e-mel yang dihantar Asyraf kepadaku.

“Oh, e-mel itu. Tidak ada apa-apa pun. Kalau tidak, sudah pasti akak simpan dalam peti besi,” aku membuat helah.

“Betullah sangat, siap cetak lagi.” Adilla masih tidak berpuas hati. Masih mahu menyakatku.

“Okey... okey... Akak mengaku kalah, Dilla menang,” aku mengangkat kedua belah tangan. Kemudian, kuturunkan tangan kananku dan mencapai kain putih yang terletak di atas dapur. Aku mengambil kain putih tersebut dan mengibar-ngibarkannya ke udara. “Akak mengalah, Akak mengalah,” kataku lagi.

Adilla dan ibu sama-sama ketawa. Tidak lama selepas itu, aku pun turut ketawa bersama mereka.

~bersambung~

0 Responses