Wasilah

Kringgggggg…
Aduh, 5.30 pagi!!! Beratnya kepala… beratnya kaki… beratnya tangan. Asal jangan tambah berat badan, sudah. Baru-baru ini, BMIku berada pada kedudukan yang selamat. Alhamdulillah, maintain slim gitu.

Dalam kemalasan, aku gagahkan diri untuk bangun. Aik, tidak gerak-gerak. ‘Bangunlah… bangunlah…’ Aku memujuk diri. Banyak perkara yang perlu aku bereskan. Report ‘A’ belum siap lagi. Report ‘B’ pula menanti. Pada peringkat awal, aku sering membawa pulang kerjaku ke rumah. Namun, setelah di ‘basuh’ oleh bapaku, aku sekadar membuat kerja sebagaimana yang telah diamanahkan ke atasku. “Kakak hanya dibayar gaji untuk bekerja dari 8.30 pagi sehingga 5.30 petang,” begitulah leteran ayahku setiap kali aku merungut dengan kerja yang tiada tanda mahu surut. Bertambah sehari-hari. Pening aku dibuatnya.

Bebanan kerja bertambah… masa kerja meningkat… hanya gaji yang tidak mahu naik. Sudah tahu kerja banyak, tambahlah pekerja. ‘Tak luak pun duit company menggaji budak SPM,’ marahku. Setakat marah dalam hati. Maklumlah, aku sekadar kuli yang dibayar gaji oleh majikan. So, please shut up! Aku tidak punya hak untuk bersuara…

Benar, kadang-kadang aku membebel sendiri. Akulah buat kerja admin… aku juga yang menjadi orang HR… kerja marketing pun aku sapu. Kalau diikutkan, memang multi-tasking. Semua aku boleh buat. Eh, ada satu perkara yang aku tidak mampu buat. Aku tidak pandai membodek bos. Mungkin sebab itulah gajiku tidak naik-naik sampai sekarang. Nasib badan… Beruntunglah mereka yang pandai mengipas. Moga-moga, suatu hari aku dapat belajar cara mengipas yang paling baik dan berkesan. ‘Dengan siapa agaknya?’ Aku mula berfikir sendiri.

“Nurul, jangan lupa bayar bil telefon. Nanti, dipotong pula talian telefon kita. Susah nak deal dengan customer,” pesan bosku suatu hari. Aku sekadar memandang tanpa reaksi. ‘Aku kuli,’ bisikku dalam hati.

“Nurul, pastikan invois kepada syarikat di pantai timur diletakkan di atas meja saya sebelum lunch,” pesannya lagi. Mataku berkelip-kelip. ‘Aku kuli,’ aku berbisik sekali lagi.

“Nurul, air Tongkap Ali sudah habis…”
“Nurul, duit claim bila boleh dapat?”
“Nurul, kenapa bilik saya berhabuk?”

Begitulah sehari-hari. Aku memohon kerja di syarikat ini untuk jawatan Eksekutif Pentadbiran. Namun, setelah sebulan berada di sini, barulah kutahu bahawa skop kerjaku bukanlah selaku seorang eksekutif pentadbiran semata-mata tetapi merangkumi semua perkara yang melibatkan urusan syarikat. Mula-mula, aku berasa seronok. Al-maklumlah, sudah tentu banyak pengalaman yang dapat aku timba. Bukan mudah untuk menjadi pekerja yang serba boleh. Versatile gitu. Hanya insan-insan terpilih sahaja berpeluang menjadi sepertiku. Siapa mahu cuba? Angkat tangan!

Ada yang sekadar boleh mengarah dan mengemukakan idea. Macam… Ops. Tidak boleh cakap. Tidak pasal-pasal, gajiku dipotong nanti. Ada yang hanya boleh bercakap, berkata-kata, talking… samalah semuanya tu.

Akan tetapi, setelah aku merasai sesak nafas dalam meneruskan kehidupan di kota metropolitan ini, aku mula berkira-kira. Barang naik, cukai pintu naik, minyak naik (turun balik tetapi tidak banyak), bil air naik… beruntunglah mereka yang tinggal di negeri Selangor. Kenapa ya? Tanyalah penduduk setempat. Hidup YB! Sayangnya, gaji tidak naik-naik meskipun aku telah mendambakan diriku di sini setelah sekian lama. Mahu menjadi loyal staff tetapi keadaan tidak mengizinkan. Tekananku bertambah sehari-hari.

Entahlah. Mungkin majikanku tidak sedar. Atau mungkin, bebanan yang ditanggung syarikat besar. Maklumlah, syarikat kami masih baru dan persaingannya pula hebat. Untuk memberi kenaikan hatta sebanyak RM50 seumpama memberi sedekah sebanyak RM500. Banyak tu…

Tetapi, aku bukan meminta sedekah. Aku bekerja untuk syarikat dan aku telah mendambakan diriku buat syarikat tercinta. ‘Tercinta? Nurul, biar betul!’ Aku berkata sendiri. Kalaupun aku menjadi pengemis, tidak salah untuk menderma. Bukankah tangan yang memberi itu dipandang tinggi oleh Allah SWT? Aku mula mencari-cari dalil yang sesuai untuk menyokong hujahku.

“Nurul, tolong saya hubungi En. Hashim. Setkan appointment untuk saya dengannya dalam minggu ni,” kata En. Sakari, penolong bosku. Alahai, telefonlah sendiri. Aku perlu keluar segera. Tadi, pihak TNB telefon. Kami diberi tempoh sehingga petang ini. Jika masih tidak menjelaskan bil api tertunggak, elektrik akan dipotong serta-merta. Nanti, aku juga yang dipersalahkan. Telefon bimbitku juga yang akan berdering-dering. Semua salah aku. Tension!

Entahlah. Sukar untuk menghadirkan rasa ikhlas dalam diri. Kubelek majalah Mingguan Wanita yang baru kubeli dari kedai Pak Abu. Terdapat satu ruangan tazkirah yang menerangkan tentang ikhlas. Bilamana kita melakukan sesuatu ikhlas kerana Allah semata-mata, pasti ada ganjaran yang besar buat kita. Sekiranya kita tidak mendapatnya di dunia, yakinlah bahawa kita pasti memperolehinya pada hari akhirat kelak.

Namun, masih sukar untuk mengikhlaskan diri. Himpitan hidup menjadikan aku begitu berkira dengan syarikat. Meskipun bosku tidak strict seperti Ravi Gopal (majikanku terdahulu), aku masih tidak mampu untuk menghadirkan diri dalam kerjaku. Kalau dahulu, kerja yang aku lakukan adalah untuk kemajuan syarikat tetapi tidak kini. Aku kini bekerja untuk mendapatkan wang.

Ada perut yang perlu diisi. Bukan perutku sahaja bahkan perut Kancilku. Aku sekadar makan nasi tetapi Kancilku… ‘makan’ minyak, ansuran bank, road tax, maintenance dan banyak lagi. Boleh botak kepalaku. Mujur aku bertudung. ‘Nurul, Sesungguhnya amal seseorang bermula dengan niat (Hadis Arbain : 1)!’ Satu bisikan muncul. Astaghfirullah. Aku bertudung kerana Allah, bukan untuk menutupi kekurangan diriku.

Aku berfikir sendiri. Kenapakah aku bekerja di sini? Kenapa aku masih bertahan? Ya, pekerjaan ini menjadi wasilah buatku untuk memperoleh fulus. Daripada gaji yang kuterima, membolehkan aku meneruskan kehidupan sehari-hari. Membolehkan aku membayar pinjaman PTPTN… memberi sedikit wang kepada keluarga di kampung.

Sedih apabila dikenangkan. Usai kecil ibu bapa banyak berkorban untukku. Namun, setelah berjaya di menara gading, aku masih tidak mampu untuk membantu mereka. Sikit-sikit bolehlah. Untuk memberi lebih, sukar. Aku tidak boleh berbangga dengan Ijazah Sarjana Muda yang aku peroleh. Meskipun budak ‘U’, aku diberi gaji setaraf gaji diploma. Argh… ‘Dan tatkala Tuhanmu memaklumkan : Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih (Ibrahim :7),’ bisikan hadir lagi. Astaghfirullah. Aku terlupa buat kesekian kalinya. Syukur kerana diingatkan Allah melalui tarbiyah-Nya.

Minggu depan, aku akan menghadiri KMK atau nama panjangnya, ‘Kursus Mutu Kerja’. Bagiku, tiada gunanya kursus ini dianjurkan. Mutu kerja bukannya meningkat. Daripada menganjurkan kursus sebegini, lebih baik digunakan duit tersebut untuk memberi bonus kepadaku serta pekerja-pekerja lain yang masih setia di sini. Bukan mudah untuk setia. Jika pasangan tidak concern pun boleh berpaling arah. Inikan pula kerja. Yang kaya, hanya bos dan mungkin kroni-kroninya. Aku? Beginilah jua. Mujur peluang kerja tidak banyak menyebabkan aku masih di sini.

“Mengapakah kamu semua dihantar ke sini?” Tanya fasilitator kepada para peserta.
“Untuk meningkatkan mutu kerja,” jawab Olan bersungguh-sungguh. Mamat Kelantan yang seorang ni memang sentiasa bersemangat waja dengan tindakannya.
“Untuk apa kamu bekerja di sini?” Tanyanya lagi. Handsome jugak pakcik fasi ni. Sudah berpunya ke belum? Aku single but not available namun masih boleh dirunding. Ketampanannya menjadikan aku bersemangat untuk mengikuti kursus kali ini.
“Nurul?” Alamak, aku berkhayal tadi. Kacau daun betul.
“Ya saya, En. Ajib.”
“Boleh berikan pendapat kamu tentang soalan saya tadi,” ia berkata dengan senyuman di bibirnya yang merah. Sebagai tanda ia tidak merokok. Memang memenuhi ciri-ciri jejaka idamanku.
“Maaf, saya tidak faham soalan tadi,” aku cuba cover line. Kulihat teman-temanku tersenyum sumbing. Kurang asam punya kawan.
Dengan senyuman yang tidak lekang ia berkata, “Mengapakah kamu memilih untuk bekerja di sini?” Aduh, malunya aku. Susahnya soalan (dalam bracket).
Dengan yakin aku menjawab, “Sebagai wasilah untuk mendapatkan duit.” Eh, betul atau tidak jawapanku ini?
“Iya, bagus Nurul. Pekerjaan merupakan wasilah bagi kita untuk mendapatkan rezeki. Ia juga menjadi wasilah kepada kita untuk menimba sebanyak mana pengalaman. Memang, kadang-kadang kita down. Mungkin kerana workload, gaji yang tidak setimpal, rakan sekerja yang tidak sekepala tetapi percayalah bahawa melalui pengalaman yang kita perolehi, menjadikan kita manusia yang lebih kuat untuk mengharungi kehidupan,” terangnya panjang lebar.

Benar katanya. Kerja ini sebagai wasilah untuk menggapai sesuatu. Ia sebagai wasilah daripada Allah untuk memberi rezeki kepadaku. Ia juga menjadi wasilah bagiku untuk menimba 1001 pengalaman manis dan pahit dalam kehidupan. Aku harus lebih bersemangat. Cayok… cayok… gambatte…Tidak sabar untuk hadir ke pejabat dengan semangat baru.

Di pejabat, tiga hari selepas KMK…

“Nurul, air kopi sudah habis!”

Semangatku luntur kembali… ‘Jawapannya di sini… semangat kita yang hilang…’ Aku menyanyi sendiri.
Labels: | edit post
0 Responses