Khilaf


‘Buntu aku buntu!’ Khaleeda menjerit sendiri.
‘Mana satukah pilihanku???’ Nah! Gadis manis berkerudung hitam itu masih belum menemui jawapan yang pasti. Perlahan-perlahan ia membuka tudung pemberian ibu lalu meletakkannya di atas meja bersebelahan sofa.
‘Qaddafikah atau Dia?’ Penat berfikir agaknya sehingga tanpa siren amaran, Khaleeda terjelopok di atas sofa kayu yang disediakan tuan rumah. Mujur ada sofa ini, boleh juga ia duduk pada posisi yang betul. Kalau tidak, terpaksalah ia meniarap di atas lantai sehingga sesak dadanya.
“Ana berminat untuk mengenali anti dengan lebih dekat,” kata Qaddafi suatu petang. Diam…
“Ana tidak main-main dan ana serius atas perhubungan yang mungkin sahaja kita bina,” tambahnya lagi.
“Hati ana sakit! Solat ana tidak khuyuk, pelajaran ana tidak dapat fokus…” Qaddafi seolah-olah mahu meluahkan perasaan yang terbuka lama di dalam hatinya.
“Anta, ana sibuklah. Kalau tidak ada urusan penting, kita jumpa lain kali,” sampuk Khaleeda sebelum sempat Qaddafi menghabiskan bait katanya. Ah, gadis ini memang sukar didekati. Selalu sahaja dengan alasan yang kadang-kadang tidak dapat diterima akal. ‘Khaleeda Khaleeda,’ Qaddafi tersenyum sendiri.
Wajah Qaddafi tiba-tiba muncul dari kotak pemikirannya. Sekejap-sekejap, lelaki itu tersenyum manis dan sekejap-sekejap ia serius memandang dedaun nan hijau. Sukar benar mahu menyelami dan memahami hati lelaki itu. Sebentar-sebentar ia nampak teguh dengan pendiriannya dan sebentar-sebentar ia kelihatan begitu lemah. Lemah tatkala berhadapan dengan sosok jiwa yang bergelar wanita.
Satu ketika dahulu, Khaleeda pernah mengagumi jejaka yang tua dua tahun daripadanya itu. Gadis mana yang tidak tersentuh nalurinya tatkala berhadapan dengan lelaki yang selayaknya dijadikan teman hidup. Ya! Qaddafi miliki segala kesempurnaan. Ia kacak, berasal daripada keluarga bangsawan dan yang paling utama, ilmu agamanya berada di hujung jari.
Yang pasti, setiap mata yang memandang pasti terpegun dengan kehebatannya berkata-kata. Kalau tidak, masakan surau Umar Al-Khattab, Kolej Kediaman Pertama Universiti Malaya sentiasa penuh tatkala Qaddafi menyampaikan kuliah Maghrib. Bukan sahaja gadis yang bertudung labuh bahkan cik adik manis yang tidak mengenakan kain di kepala pun sanggup turun surau semata-mata mendengar sepatah dua kata jejaka idaman Malaya ini. ‘Hmmm,’ Khaleeda berdengus sendiri.
“Kenapa ni, dari tadi akak tengok Khaleeda runsing saja… ada masalah ke?” Tanya Kak Fatin tatkala melihat Khaleeda begitu jauh mengelamun.
“Eh, bila akak balik? Afwan, saya tak sedar kak. Teringat masa duduk kolej dulu, teringat surau Umar Al-Khattab, teringat semua-semualah,” Khaleeda cuba memberi alasan.
“Sesuatu yang berlaku, pasti ada hikmahnya Da. Kalau Da tak kena buang kolej, mesti kita tak duduk serumah kan…” diam seketika.
“Bukan sahaja duduk serumah tetapi satu bilik lagi tu,” tambah Kak Fatin sambil tersenyum manis.
“Akak saum hari ni?” Khaleeda bertanya dengan mesra, mahu mengubah topik perbualan sebenarnya.
“Insya-Allah, Khaleeda?” Kak Fatin menyoal kembali.
“Hmmm…” tanpa menjawab pertanyaan Kak Fatin, Khaleeda menundukkan wajahnya ke lantai.
“Khaleeda?” Tanpa disuruh, Kak Fatin segera mengurut bahu Khaleeda yang nampak begitu tidak bermaya.
“Limaza?” Ia bertanya lagi.
“Ana la’ ‘arif ya ukhti,” Khaleeda menjawab tanpa memandang wajah Kak Fatin. Ia khuatir sebenarnya. Sebagai pelajar jurusan kaunseling, Kak Fatin pasti cepat menangkap permasalahan yang dihadapi ‘klien’ di hadapannya. Lebih-lebih lagi individu yang bermasalah itu sentiasa dekat dengannya. Sebarang perubahan tingkahlaku, pasti mudah dikenalpasti.
“Sudah lebih lima hari Da tak bangun qiam. Bukan itu sahaja, solat Da tidak khusyuk… rasa malas untuk saum, tadarus dan membaca tafsir…” Khaleeda memandang tepat anak mata Kak Fatin.
“Study pun Da tak dapat fokus. Da pun tak tahu di mana silapnya dan Da rasa sangat tak tenang,” kali ini, air matanya mengalir laju dari pipinya yang gebu. Sebenarnya, sudah lagi ia pendam rasa hati. Hendak diluah, tidak tahu kepada siapa. Khaleeda benar-benar buntu mencari jawapan yang pasti, jawapan yang pastinya tidak melanggar syariat dan mendatangkan kemurkaan Tuhan.
“Khaleeda sayang…” jemari Khaleeda Kak Fatin usap dengan perlahan.
“Ingatlah, dengan mengingati Allah hati kan tenang. Cuba check surah Ar-Ra’d ayat 28. Akak pun ingat-ingat lupa ayat mana,” sambung Kak Fatin lagi.
“Pertama, kenal pasti apa yang merunsingkan jiwa Khaleeda…”
“Kedua, bilamana Khaleeda rasa tidak kuat maka carilah kekuatan…”
“Kat mana nak cari kekuatan tu?” Soal Kak Fatin.
“Kita sebenarnya tidak mampu untuk berbuat apa-apa hatta nak angkat jari kelingking ni sekalipun. Jadi, tak lain dan tak bukan kekuatan itu kita dapat daripada Allah,” sambung Kak Fatin sebelum sempat Khaleeda menjawab persoalannya. Perlahan-lahan ia menggerakkan jari kelingkingnya yang halus.
“Kesimpulannya?” Dengan senyuman yang tidak lekang di bibir, Kak Fatin bertanya lembut tetapi sedikit tegas. Diam… Khaleeda tidak bersuara walau sepatah kata. ‘Sah! Adikku ini sedang kritikal dan perlu dihantar ke ICU,’ bisik Kak Fatin sendiri.
“Khaleeda perlu kembali kepada Allah. Cuba garang kepada diri dalam menjaga hubungan dengan-Nya. Ayuh! Bangkit bangkit adikku. Akak yakin Da mampu bangun. Cuma, perlu usaha lebih sedikit saja…”
“Da istiqamah qiammullai, cuba khusyuk solat, banyakkan mengaji dan berzikir. Minta dan doa kepada Tuhan dengan penuh pengharapan. Allah itu Maha Mendengar, Maha Melihat dan Maha Mengetahui sayang. Setiap sesuatu, pasti ada penyelesaiannya dan sebagai Tuan Punya yang mencipta alam ini, Dia sudah sedia maklum…”
“Bangkit ya sayang. Kalau tidak dapat jawapan lagi, minta lagi dengan Tuhan, merintih lagi, merayu lagi dan jangan sekali-kali berputus asa. Allah itu dekat sayang, lebih dekat dari urat merih kita,” Kak Fatin menyampaikan ‘ceramah’ on the spot-nya. Khaleeda masih lagi membisu…
*****
Entahlah… susah untuk diungkap dengan kata-kata, lagi payah untuk diluah dengan bicara. Meskipun bibir Khaleeda menafikannya, hatinya sama sekali tidak mampu berbohong! Ya, naluri gadisnya begitu kuat meronta-ronta… ingin menyayangi dan disayangi, mahu dibelai dan dimanja tetapi bagaimana, bila dan dengan siapa???
Qaddafi hadir tanpa dipinta. Lelaki itu selalu sahaja mengganggu-gugat keharmonian hatinya yang sedia tenang, seolah-olah dipukul ombak dan ribut taufan. Adakah dia yang bersalah atau insan yang telah berjaya mencuri hatinya itu? Hmmm… akhirnya Khaleeda mengaku sendiri. Qaddafi berjaya mengetuk dan merompak hati kecilnya. Lelaki itu membuatkan dirinya berada di dalam dilema dan ia sendiri masih belum ketemu jawapan yang sepatutnya.
Antara rasa cinta dan cita-cita, mana satukah pilihannya? Salahkah bercinta di samping mengejar cita-cita? Bukankah cinta yang berbunga itu mampu memotivasi diri menjadi lebih maju dan bergerak pantas ke hadapan? Lihat sahaja polan bin polan, anu binti anu… mereka bertemu, jatuh cinta, bercinta dan terus teguh dalam percintaan. Oh bahagianya…
Ah! Khaleeda sudah hilang pertimbangan. Ia tetap mahu merasai keseronokan bercinta dan ia mahu mengecapi kebahagiaan bersama insan yang dicinta. Kebetulan, Mr. Right itu sudah muncul di hadapan mata. Tidakkah selayaknya dikatakan tidak cerdik seandainya menolak tuah yang datang bergolek di depan mata?
Qaddafi Qaddafi... begitu kuat penangan cintamu sehingga berjaya menundukkan hati seorang gadis yang masih terlalu naïf dalam kehidupan yang penuh pancaroba ini. Akhirnya, prinsip yang dipegang sekian lama pecai terburai sepertimana pecahnya kaca di atas lantai. Habis bersepah sehingga terluka kaki. Sakit!!! Namun dek kerana cinta, kesakitan itu dibuang ke tepi. Rasa cinta mengatasi segalanya.
“Anta… ana sudah bersedia,” Khaleeda berkata suatu hari tatkala bertemu lelaki itu di hadapan tasik varsiti.
“Bersedia untuk berumahtangga?” Tanpa memandang wajah Khaleeda, Qaddafi bertanya sungguh-sungguh.
“Apa?” Terkejut dengan bait kata Qaddafi, mata Khaleeda yang sedia bulat dibulatkan.
“Maksud anta, berkahwin?” Tambahnya lagi.
“Bukankah anta mahu mengenali ana dengan lebih dekat dahulu?” Khaleeda masih tidak berpuas hati.
“Ya… tapi waktu itu ana telah melakukan khilaf…” Qaddafi bersuara perlahan. Diam sejenak.
“Benar, hati ana menyukai anti dan ana rasa antilah gadis terbaik buat ana…”
“Jadi, apakah maksud anta dengan khilaf tersebut?” Khaleeda menyampuk sebelum sempat Qaddafi menyudahkan kata-katanya. Qaddafi diam sebentar.
“Maksud ana…” ia diam lagi.
“Ana silap dalam membuat percaturan…”
“Ana dan ‘mereka’ adalah berbeza,” sambung Qaddafi.
“Siapa mereka tu?” Sampuk Khaleeda lagi.
“Mereka… mereka yang begitu asyik dengan cinta sebelum berumahtangga. Dating, sms, bergayut… sehingga telah melalaikan diri daripada mengingati Tuhan,” jawab Qaddafi tenang.
“Ana mahu menggapai redha Allah dan ana khuatir ana akan terbabas sekiranya melakukan sesuatu yang bisa sahaja mengacau ketenteraman hati ana. Maksud ana, ana takut ana sendiri yang gagal mengawal hati daripada mengingati-Nya…”
“Benar… kita boleh berkata cinta itu kerana Allah. Cinta itu berlandaskan syariat menuju kepada-Nya. Cinta itu membawa diri kepada Pencipta tetapi ana risau hati ana akan terleka dengan cinta sehingga menyebabkan ana jauh daripada Tuhan…”
“Sebelum menjalin hubungan pun hati ana sudah berdegup kencang sehingga tidak mampu khusyuk dalam pengibadatan…”
“Ana khuatir bilamana hati ana sudah terbiasa dengan cinta… yakni cinta dengan anjabi tanpa nikah, menyebabkan ana semakin lalai dan alpa. Akibatnya, menjadikan ana terus jauh daripada Tuhan dan akhirnya tersungkur daripada jalan yang sepatutnya,” terang Qaddafi panjang lebar. Khaleeda terdiam sendiri, mudah sekali lelaki ini hadir dan tidak sukar pula ia mahu berlalu pergi.
*****
Malam itu, Khaleeda menangis teresak-esak di atas tilam empuk yang dikongsi bersama Kak Fatin. Khaleeda malu pada diri sendiri… bukan bukan! Khaleeda malu kepada Qaddafi dan yang paling utama, Khaleeda malu kepada Tuhan kerana tidak mampu mengawal diri daripada terjebak dengan cinta.
Tidak salah bercinta tetapi cintalah kepada yang sepatutnya. Cinta kepada Tuhan yang mencipta rasa cinta dalam diri… cinta kepada ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan sehingga menjadi orang berguna… cintalah kepada sesama manusia kerana dengan rasa cinta itu, dunia pasti aman dan sentosa.
“Kenapa ni sayang?” Tegur Kak Fatin sekembalinya daripada kuliah. Diam…
“Da ada masalah lagi?” Bahu Khaleeda diusap perlahan dengan penuh kasih sayang. Masih lagi diam.
“Uhibbuki fillah,” akhirnya Kak Fatin mencium ubun-ubun Khaleeda.
“Kak!!!” Kali ini, Khaleeda memegang tangan Kak Fatin dengan erat.
“Da malu kak… Da malu…” diam sejenak.
“Da silap membuat penghitungan,” katanya lagi. Kak Fatin mengangkat kepala Khaleeda yang disembam ke bantal. Ia memandang wajah Khaleeda yang kemerahan sambil tersenyum. Tangan gadis itu dipegang erat, lebih erat daripada pegangan Khaleeda.
“Tidak ada siapa yang sempurna sayang…” Kak Fatin kemudiannya membangunkan Khaleeda perlahan-lahan.
“Bila kita tersilap, kita istighfar dan mohon keampunan daripada Allah…”
“Insya-Allah, Dia tidak akan terus membiarkan kita dibelenggu dosa asal kita sekali-kali jangan mengulangi dosa yang telah kita lakukan itu…”
“Bercintalah… berkasihlah dengan Allah yang Esa. Pasti kita kan sentiasa bahagia, dunia dan akhirat,” nah! Kak Fatin telah merungkai permasalahan Khaleeda sebelum sempat ia menceritakan segalanya.
‘Ya kak,’ Khaleeda berkata sendiri. Perlahan-lahan ia bangun menuju ke bilik air. Khaleeda tidak mahu menbiarkan diri terus dalam kedukaan dan kesedihan. Semuanya sudah terjadi. Maka, yang boleh dilakukan untuk menebus kesalahan itu adalah dengan kembali mengharapkan kasih sayang Tuhan, ¬Ar-Rahman Ar-Rahim.
Wajah Qaddafi tiba-tiba hadir dalam kotak pemikirannya namun kali ini, kehadirannya sedetik cuma. Lelaki itu berjalan perlahan meninggalkannya sambil tersenyum. Mungkin sahaja ia gembira kerana disedarkan Tuhan daripada terjerumus ke dalam sesuatu yang tidak punya jamin ‘keselamatan’ ke atasnya. Kemudian, Khaleeda tersenyum sendiri dan pastinya ia tersenyum kerana diberi peluang oleh Tuhan untuk membetulkan kesalahan dan kesilapan yang dilakukannya. Allah sayangkan mereka… itu pasti!!!

Glosari :
Ana – saya
Anta – awak (bagi lelaki)
Anti – awak (bagi perempuan)
Saum – puasa
Limaza – mengapa
Ana la ‘arif ya ukhti – saya tidak tahu wahai saudara perempuanku
Uhibbuki fillah – saya cintakan awak kerana Allah
Labels: | edit post
0 Responses