Dugaan cinta tak bermata

Malam itu, aku tidak dapat melelapkan mata. Sekejap-sekejap aku memandang siling, sekejap-sekejap aku merenung ke luar jendela. Kecut juga perutku tatkala melihat kegelapan malam. Lagi kecut bilamana memikirkan hanya aku sahaja di kamar ini.
Adilla dan Sarah pulang ke kampung halaman. Ingin mendapatkan restu ibu dan bapa kata mereka. Al-maklumlah, peperiksaan akhir semester semakin hampir. Aku? Aku tidak punya siapa-siapa. Bapa dan ibuku sudah aman di alam sana. Moga-moga rohnya dicucuri rahmat.
Tiba-tiba, wajah Asrul berlegar-legar di fikiranku. Aku cuba menepis ingatan itu tetapi ia tetap mahu hadir, seakan-akan tidak mahu beredar dari sisiku. Aku keliru sebenarnya. Aku cintakan dia tetapi adakah lelaki itu benar-benar cintakanku? Kalau ia cinta, masakan ia sanggup…
“Abang sayang Fatin,” kata Asrul satu petang. Aku hanya tersenyum manja.
“Fatin sayang abang tak?” Ia bertanya kepadaku.
“Insya-Allah, sayang,” jawabku pendek.
“Sayang banyak mana?” Ia masih lagi mahu menjadi bak seorang pegawai polis yang sedang menjalankan siasatan.
“Banyak sikit daripada sayang abang pada Fatin,” kataku ikhlas. Ya, aku amat kasihkan lelaki ini. Asrul yang kukenali sejak tahun pertama pengajian di varsiti betul-betul membuatkan aku gila bayang, gila sendiri… boleh juga dikatakan sebagai angau.
“Buktikan cinta Fatin,” kali ini, Asrul berkata tegas. Wajahnya yang selama ini kelihatan tenang sudah berubah rupa. Asrul lain dari sebelumnya.
“Hmmm…” aku berdengus perlahan.
“Nak buktikan macam mana?” Tanyaku manja.
“Malam ni, bermalam dengan abang,” segera ia menarik tanganku dan menciumnya dengan rakus.
“Apa ni?” Terkejut dengan tindakan luar kawal Asrul, aku cepat-cepat menepis tangannya yang kasar. Aku berundur sedikit ke belakang. Mujur aku tidak mengikut ajakannya untuk bertemu di tepi taman. Kalau tidak!!! Alhamdulillah, Allah menggerakkan hatiku untuk bertemu dengannya di sini… tempat awam yang terbuka dan tidak mungkin dapat mendorong kami daripada melakukan sesuatu yang dilaknati Tuhan.
Kuakui, kefahaman agamaku cetek. Ilmuku tidak semacam gadis-gadis lain yang bertudung labuh dengan jubah dan baju kurung. Aku lebih selesa menyarung baju lengan panjang dengan skirt labuh di samping tudung bidang 45. Namun, jangan kerana penampilanku yang ‘kurang’ muslimah, aku boleh diperkotak-katikkan! Aku masih punya harga diri dan aku masih takutkan Tuhan.
“Fatin…” lembut Asrul kembali memujukku.
“Sabar sayang. Dunia dah berubah, jangan terlalu kolot. Zaman sekarang, ada dara bermakna kuno,” dengan selamba ia berkata-kata.
“Got to go, assalammualaikum,” segera aku berlari anak meninggalkannya terkebil-kebil sendiri. Aku marah sebenarnya. Adakah dia benar-benar cintakan aku? Kalau betul ia cinta, pasti ia akan berusaha untuk memelihara maruahku. Bukankah aku bakal isterinya? Sanggupkan ia beristerikan seorang gadis yang tidak punya dara? Tiba-tiba, air mataku mengalir. Asrul betul-betul telah menghancurkan hatiku.
“Kau akan menyesal!” Asrul menjerit dari kejauhan. Aku tidak sanggup menoleh ke belakang. Tidak percaya dengan apa yang berlaku hari ini. Asrul sepertinya bukan lelaki yang aku kenali selama ini. Dia orang asing! Dia mementingkan diri sendiri dan ia lupakan Tuhan dalam sekelip mata. Betullah kata Ustaz Khoirul Anuar Mat Zuki dalam kuliah Maghrib baru-baru ini, “Janganlah kamu mendekati zina…”
“Jangan duduk berdua-duaan dengan bukan muhrim…”
“Jangan terlalu mengagungkan cinta…”
“Kerana ada ‘orang’ ketiga di antaranya…”
*****
Sejak peristiwa tempoh hari, aku dan Asrul tidak lagi berhubungan. Aku tekad untuk memutuskan hubungan dengannya sementelah dia tidak ikhlas dalam ikatan yang terjalin di antara kami. Kalau lelaki ini tulus, masakan ia sanggup memusnahkan hidup gadis yang dikatakan ia cinta kepadanya. Tidak! Cinta tidak buta tetapi pasangan yang bercintalah yang menjadikan ia tidak bermata.
Jauh di sudut hati, aku berasa tenang sebenarnya. Kalau tidak, selalu sahaja jantungku berdegup kencang… acap kali jiwaku meronta-ronta. Aku pun tidak pasti sebabnya tetapi kini, perasaan itu tidak lagi mengganggu hidupku. Aku senang dengan study-ku. Aku gembira dengan teman-teman kuliah yang understanding dan yang paling utama, perpisahanku dengan Asrul menyedarkan aku tentang kehadiran Tuhan.
Ya! Allah sedia ada cuma aku yang tidak mengendahkan-Nya. Kerana cinta, Ilah kubuang jauh-jauh. Kerana kasih, aku lupa perananku yang sebenar… aku lupa terhadap tanggungjawabku sebagai pelajar, rakan dan masyarakat. Bukan itu sahaja bahkan aku adalah khalifah di atas muka bumi ini.
Jika aku tidak menjalankan amanah, bermakna aku khianat. Bilamana aku khianat, takut-takut aku terjerumus bersama mereka yang dijanjikan azab oleh Allah SWT. Aku tidak mahu menjadi si munafik yang tidak takutkan Tuhan. Sama sekali aku tidak mahu berteman dengan Abdullah bin Ubay di dalam neraka jahanam.
Setiap apa yang berlaku, pasti ada hikmahnya dan hikmah yang kuperoleh daripada perpisahan ini ialah cinta baru. Benar, telah kutemui cinta yang lebih hebat daripada cintanya Asrul dan aku tidak punya halangan untuk bertemu dan merintih kepada Yang Dicinta ini. Dia sentiasa dekat denganku dan tidak sepertimana Asrul, Kekasih baruku ini jauh lebih baik… lebih hebat daripada cintaku yang terdahulu.
“Fatin! Fatin!” Sarah memanggil namaku sambil termengah-mengah. Berlari agaknya. Aku hanya membulatkan mataku yang bundar.
“Heboh satu kolej Fatin dot dot dengan Asrul!” Katanya lagi.
“Asrul sendiri yang buat pengakuan…” diam seketika. Mungkin Sarah mahu menyusun kata agar aku tidak terguris.
“Hmmm…” aku berdengus perlahan. Terkejut tetapi aku cuba untuk menenangkan diri. Aku yakin, Kekasih baruku pasti akan memberi solusi kepadaku.
“Lagi?” Aku bertanya perlahan. Rasa sebak kerana difitnah begitu tetapi aku harus kuat. Sedang Saidatina Aisyah RA difitnah dihina, inikan pula aku insan biasa. Sepertimana isteri kesayangan Rasulullah yang dibersihkan namanya oleh Tuhan, aku pasti Allah tidak akan membiarkan aku seorang diri menghadapi situasi ini.
“Dia jaja kat semua siswa, Fatin ni bohsia kelas atasan…” diam lagi.
“Dia kata Fatin lagi hina daripada pelacur-pelacur kat LHT (Lorong Haji Taib) tu,” perlahan Sarah bersuara.
“Astaghfirullah…”
“Alhamdulillah…”
“Allahuakbar…” aku bersuara keras.
“Fatin???” Sarah menyebut namaku dengan keningnya yang terangkat.
“Tak apa. Sarah tak perlu komen apa-apa. Sarah tinggalkan Fatin sendiri sekejap ya,” kataku sambil tersenyum.
“Hmmm…”
“Take care,” Sarah nampak ragu-ragu meninggalkan aku sendiri tetapi ia tetap berlalu pergi. Aku segera mencapai tuala yang terletak di tepi katil. Aku hendak membersihkan diri dan bertemu dengan Kekasih hatiku. Aku tahu, Dia pasti sudah maklum dengan apa yang berlaku tetapi aku masih mahu meluahkan kepada-Nya. Aku sedih dengan fitnah yang telah memburukkan nama baikku dan hanya kepada Dia aku berharap dapat memberi ketenteraman kepadaku.
Ya Allah Ya Rabbi Ya Rabbal ‘Alamin. Sesungguhnya aku tidak cukup kuat untuk melalui saat ini dan aku tidak cukup tega dalam menghadapi ujian ini namun kuyakin, Engkau sama sekali tidak akan membiarkan aku sendiri.
Ya Allah Ya Rabbi Ya Rabbal ‘Alamin. Dengan rendah hati aku bermohon. Dengan rasa hina aku berharap. Peliharalah aku daripada sesuatu yang memudaratkan. Seandainya, Humairah yang putih kemerahan Kau bersihkan namanya dengan wahyu-Mu, sucikanlah jua namaku dengan kekuasaan-Mu dan pasti tidak ada siapa yang mampu melawan ketentuan-Mu.
Ya Allah Ya Rabbi Ya Rabbal ‘Alamin. Ampunilah segala dosaku… dulu, kini dan akan datang. Aku manusia lemah yang banyak celanya. Berilah petunjuk dan hidayah buatku agar aku tidak tergelincir daripada landasan-Mu. Jika ujian ini hadir sebagai kafarah dosaku, aku terima Ya Allah. Moga-moga dengan itu dapat mengurangkan dosaku sebelum aku menemui-Mu. Ya Allah Ya Allah Ya Allah…
Air mataku merintih sayu. Aku buntu sebenarnya. Tidak tahu apa yang harus kulakukan. Aku tidak boleh berdiam diri dengan fitnah yang bermaharajalela tetapi kudrat gadisku tidak cukup kuat untuk itu. Aku tidak sanggup bersua muka dengan manusia di sekelilingku demi menegakkan kebenaran. Aku malu walaupun aku tahu aku di pihak yang haq.
Tok tok tok… kamarku diketuk.
“Masuklah, bilik tak kunci,” segera kukesat air mata yang mengalir.
“Fatin!” Sarah lagi. Ia datang mesti dengan berita terbaru.
“Assalammualaikum,” aku memberi salam.
“Waalaikumussalam. Urgent urgent. Tak sempat nak bagi salam,” ia mengerutkan dahinya yang luas.
“Apa yang urgent tu?” Berdebar sebenarnya. Khuatir ada cerita baru yang lebih panas!
“Asrul accident dengan lori simen. Motor dia hancur, tak ada harapan untuk hidup,” Sarah membulatkan matanya yang sedia bulat.
“Innalillah, kat mana dia sekarang?” Cepat-cepat aku bertanya. Walaupun dia telah memfitnahku, aku tidak sanggup ia ‘pergi’ dalam keadaan begini. Lelaki ini pernah hadir menceriakan hidupku. ‘Ya Allah, ampunilah dosanya,’ aku berdoa di dalam hati.
“Tak tahu. Motornya hancur tapi tak tahu keadaan dia,” terang Sarah.
“Jom,” aku segera menarik tangannya yang lembut.
“Nak ke mana?” Sarah pula bertanya kepadaku.
“Jomlah kita turun bawah dulu,” kataku membiarkan ia tertanya-tanya sendiri. Tiba-tiba…
“Assalammualaikum wbt,” pengumuman dibuat dari pejabat. Macam kenal suara itu tetapi bukankah ia berada di ICU sekarang? Motornya hancur…
“Di sini, saya ingin memohon sejuta kemaafan kepada Saudari Fatin Nabila binti Hafiz atas keterlanjuran saya membawa berita tentangnya. Bagi yang telah maklum tentang berita itu, ingin saya nyatakan di sini bahawa ia adalah FITNAH semata-mata dan saya harap, fitnah itu tidak disebarluas. Kalau tidak, bertambahlah dosa saya,” masih sempat Asrul berjenaka dalam keseriusannya. Cepat-cepat aku berjalan menuju ke pejabat. Aku perlu bersua muka dengannya.
“Assalammualaikum,” aku memberi salam.
“Hah!” Mungkin terkejut dengan kehadiranku, Asrul terdiam seketika.
“Jawablah salam tu dulu,” kataku lagi.
“Waalaikumussalam,” jawabnya sambil menundukkan muka ke lantai.
“Eh, kata kau accident,” Sarah tiba-tiba menyampuk.
“Hmmm…” ia mengeluh perlahan.
“Memang accident tapi mujur kaki aku je yang luka. Aku sempat lari. Lori simen tu terbabas kena motor aku. Motor baru beli pula tu,” Asrul berterus-terang. Oooo, begitu ceritanya. Ingatkan sudah jadi arwah tadi.
“Fatin, maafkan abang ya,” ia memujukku. Diam…
“Abang nak kita sambung balik hubungan kita dan abang betul-betul menyesal dengan apa yang telah berlaku,” katanya lagi.
“Mintalah ampun dengan Tuhan…” diam seketika.
“Fatin dah lama maafkan abang,” aku berkata perlahan lantas meninggalkannya sendiri. Aku berjalan dengan hati yang tenang. Yang pasti, aku tidak akan menduakan cintaku terhadap Kekasih lama yang baru sahaja kusedari kehadirannya. Pasti! Aku mahukan kekasih yang diredhai oleh Dia yang tidak pernah meninggalkan aku sendirian. Aku tersenyum penuh makna.
Labels: | edit post
0 Responses